Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 016

Keesokan harinya...

7.10 pagi

 

Pagi berkabus yang agak jarang berlaku di kawasan bandar seperti ini. Adapun kabus di bandar berpunca daripada asap pembakaran kilang-kilang dan kenderaan yang mengakibatkan jerebu. Namun, pagi itu benar-benar adalah berkabus kerana tiada bau yang kurang menyenangkan dapat dihidu. Tambahan pula udara yang bergeseran di muka amatlah menyegarkan dan dingin.

            Akmal memandu keretanya lebih awal pada pagi itu meskipun rata-rata mahasiswa dan mahasiswi sedang mengulangkaji di kediaman masing-masing pada minggu ulangkaji bersempena ujian akhir semester pada minggu hadapan. Akmal meletakkan kereta berhampiran kantin kejuruteraan sambil menunggu kelibat tuan punya kantin untuk memulakan perniagaan.

            Beberapa minit berselang tanpa sebarang tanda atau dari mana arah datangnya, tiba-tiba bunyi pintu kantin aluminium itu bergema dikala ianya ditolak ke atas yang menandakan operasinya bakal dibuka. Suasana yang masih gelap dan tidak berlampu telah menyukarkannya untuk mengenalpasti siapakah kelibat yang berada di bahagian dalam kantin itu. Akmal melangkah keluar dari kereta lalu menuju ke kantin yang sedang diterangi cahaya jingga daripada lampu tungsten.

            “Assalamualaikum. Tumpang tanya, boleh?”, sapa Akmal ke arah tubuh yang sedang membelakanginya.

            “Ya, maaf kantin belum buka.”

            Akmal tergamam melihatkan gadis yang berada di hadapannya. Nur mengenakan sepasang pakaian kemeja-T berlengan panjang dan seluar pallazo berwarna hitam. Hilang terus kata-kata yang hendak diluahkan seperti yang sepatutnya. Pucuk dicita, ulam mendatang. Ini lebih baik daripada apa yang Akmal rencanakan.

            “Umm... Mak Mah cuti hari ni?”, tanya Akmal kepada Nur perihal ibunya, Fatimah atau Mak Mah.

            “Hari ni dia demam sikit. Tapi makanan semuanya dia yang masak. Nanti adik saya yang akan bawa”, jawab Nur memberikan penerangan kepada seorang pelanggan di hadapannya iaitu Akmal tanpa bertentangan mata.

            Bermain di fikiran, “Nur tidak ada kelaskah hari ini?” Timbul kehairanan tentang pembahagian masa oleh gadis itu seolah-olah dia yang menetapkan waktu kelasnya setiap hari. “Kalau tak silap, adik dia kan baru habis SPM. Dah ada lesen kereta? Atau...” Lamunannya terhenti mendengarkan bunyi kuat diakibatkan oleh beberapa penutup bekas makanan yang terjatuh di atas lantai.

            “Nak saya tolong?”, Akmal menawarkan diri melihatkan Nur yang sedang mencangkung dengan penuh muatan di tangan.

            Tiba-tiba Akmal teringat pula jawapan yang diberikan kepadanya pada kali pertama mereka bertemu muka dahulu. Tindak-tanduk Nur yang kasar ketika itu telah mengembalikan nostalgia lama yang menjadi titik permulaan penjelajahan Akmal. Terfikir lagi Akmal di dalam hati sama ada Nur memang tidak mengingati peristiwa itu atau berpura-pura tidak mengenali dirinya.

            Masih tiada jawapan yang keluar dari mulut Nur. Lantas Akmal terus menuju ke arah bekas-bekas penutup yang bertaburan di atas lantai. Terperanjat Akmal melihatkan terdapat beberapa tompokan darah yang jatuh berhampiran gadis itu.

            “Eh, tangan awak berdarah!”

            “Ya, saya tahu. Saya tak buta”, jawab Nur, geram kerana kecuaian diri, sambil menahan kesakitan disebabkan oleh pergeseran pada sisi bekas makanan logam yang agak tajam itu.

            “Tunggu sekejap! Saya ambil ubat dalam kereta.” Akmal berlari menuju ke arah bonet keretanya dan mengambil kotak ubatnya lalu kembali mendapatkan Nur.

            “Saya cuci luka dulu”, kata Akmal berpura-pura seperti seorang pakar rawatan kecemasan sambil tangannya menekapkan kain kasa dan serbuk alkohol ke atas luka tersebut. Kemudian disapukan sejenis minyak akar kayu yang berwarna hitam tinggalan turun temurun dan ditampal sejenis kertas berubat dengan corak lemon ke atas tangan Nur.

            “Ni perisa lemon. Wangi sikit,” seloroh Akmal sambil melihat Nur tersenyum sedikit. “Lain kali hati-hatilah sikit. Jangan bawa barang berat sekaligus”, tambahnya lagi selepas melihat reaksi gadis itu yang sedikit baik.

            “Dah biasa dah luka sikit macam ni”, balas Nur lantas berdiri menyambung kerjanya semula.

            Akmal kagum melihat ‘keperkasaan’ gadis itu namun masih ada sisi kewanitaan yang menarik hati Akmal untuk mengenali Nur. Gaya kesombongan itulah yang lebih menarik hati Akmal. Pada pendapatnya, semua wanita di dunia ini perlu ada sedikit sifat itu dicampur pula dengan perasaan malu. Ibarat meminum segelas kopi, walau pahit tetap ditagihi. Itulah salahsatu ciri-ciri unik yang menjadi pilihan Akmal sebagai wanita idaman.

            Akmal menyusun penutup bekas makanan yang bertaburan di atas lantai ke dalam sinki. Dia cuba bergerak di ruang yang mudah untuknya berbual-bual dengan Nur. Tetapi harapan hanya tinggal harapan. Nur langsung tidak bersuara kerana asyik mengemas barang-barang di kantin itu. Melihatkan suasana yang terasing itu, Akmal yang tadinya mengharapkan secebis ungkapan terima kasih, berlalu pergi dengan perasaan kecewa dan hampa.

            “Eh, Encik. Tunggu dulu!” terdengar suara dari arah belakang seolah-olah menahannya dari berlalu pergi.
Previous: Ep. 015
Next: Ep. 017

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree