Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 026

            “Nur, saya nak tanya sesuatu, boleh?”

            Nur yang sedang menyuap makanan kedalam mulutnya tidak serta-merta menjawab soalan Akmal. Perlahan-lahan mengunyah Maggie yang masih bersisa di pinggan. Bakinya mungkin tinggal dua atau tiga sudu lagi.

            “Tanya apa?” jawab Nur acuh tidak acuh. Matanya masih tertumpu ke arah warta berita pada slot rangkuman antarabangsa.

            “Hmm... awak dah semester ke-berapa sebenarnya? Kawan saya ada nampak awak dalam kelas dia. Junior saya pun ada nampak awak dalam salah satu subjek dia.”

            Akmal cuba menduga sedalam manakah perbualan mereka boleh diperkongsikan. Dengan itu, Akmal dapatlah menafsir peluangnya untuk ‘masuk jarum’. Akmal juga terpaksa mengambil risiko kerana bak kata pepatah 'menduga di laut yang dalam, padah ditanggung pada diri sendiri'.

            “Saya semester ke-4. Kalau kesampaian, semester depan siap belajar. Pastu, kerja praktikal kemudian konvo. Tamat”, kata Nur, diakhiri dengan gerak tangan yang lemah gemalai.

            Itu bermaksud dia akan tamat satu tahun lebih awal. Akmal mencongak sambil mentafsir kebarangkalian dia dan Nur akan berjumpa di semester akhir iaitu di semester ke-7 akan datang. Lantas Akmal mencatatkan maklumat penting tersebut ke dalam telefon bimbitnya. Gelagat Akmal diperhatikan oleh Nur dengan jelingan tirus di sudut kanan matanya. Namun, Nur tidak berkata apa-apa melainkan menghabiskan santapannya yang terakhir ke dalam mulutnya.

            Sedar tidak sedar, jam menunjukkan waktu menghampiri jam 1 pagi. Kelibat Mak Jah sedang mengumpulkan barang-barang ke bahagian dapur bersama-sama pekerja-pekerjanya yang gagah perkasa termasuk anak beliau (menurut penceritaan oleh Nur). Akmal menghabiskan air suam yang telah dipesan sebanyak dua kali ke titisan terakhir. Akmal mengambil inisiatif untuk menuju ke kaunter bayaran untuk membuat bayaran bagi pihak dirinya dan Nur juga. Malunya Akmal terasa apabila mengetahui Nur sudah pun membayar harga makanannya ketikamana Nur mengambil tisu di situ tadi.

            Perpisahan Akmal dan Nur di Restoran Mak Jah diibaratkan seperti berada di simpang tiga, seorang ke kiri dan seorang ke kanan. Akmal tidak sangka Nur akan pergi dahulu ketikamana dia sedang berurusan di kaunter pembayaran. Beg sandang berwarna biru yang dibawa oleh Nur tadi sudah tiada lantas menunjukkan Nur telah pun pergi tanpa sebarang ucapan selamat sebagai tanda berpisah. Akmal tidak menyangka begitu dinginnya gadis itu ke atas dirinya walaupun setelah satu jam makan dan minum semeja. Akmal melangkah longlai menuju ke arah keretanya dalam keadaan yang pasrah.

 

            “Bob, mana budak yang duduk sebelah Akak tadi?”

            “Oh! Yang duduk sebelah Akak tadi tukah? Dia dah balik”, balas Bob atau nama sebenarnya Ahmad Firdaus. Disebabkan badannya yang gempal menjadikan dirinya lebih dikenali dengan nama panggilannya itu.

            “Saya ingat Akak dah balik. Saya rasa dia pun ingat Akak dah balik tadi. Tu yang menonong terus balik tu”, jelas Bob kepada Nur yang kelihatan terpinga-pinga.

            “Ceh! Baru ingat nak tumpang kereta dia tadi. Malas pula rasanya nak balik jalan kaki”, kata Nur bermonolog.

            “Saya boleh tolong hantarkan kalau Akak nak balik rumah. Rumah Akak pun dekat sini saja”, pelawa Bob kepada Nur.

            “Tak payah. Tolong mak kau kemas barang tu lagi baik.”

            Bob yang tersipu-sipu malu kerana ditempelak anak kawan ibunya itu. Nur sangat perihatin, penyayang dan tegas seperti seorang ahli keluarga yang penting kepada Bob dan Mak Jah. Terlintas di kepala Bob mengenai lelaki yang duduk di sebelah kakak angkatnya itu.

            “Tadi tu Pakwe kak Nur ke?”

            Terbeliak mata Nur mendengarkan soalan cepumas oleh Bob. Namun Nur tidak terus melatah. Hanya sekadar tersenyum dan berlalu meninggalkan Bob tertanya-tanya di kaunter pembayaran. Reaksi apakah yang dipersembahkan oleh Nur itu? Apakah ungkapan ‘diam itu tanda setuju’ ini boleh diaplikasikan ke atas kes Nur ini?
Previous: Ep. 025
Next: Ep. 027

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree