Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 024

Akmal berjalan-jalan di Fakulti Perhotelan, jauh dari fakultinya untuk melapangkan fikiran yang sarat dengan permasalahan orang lain. Menikmati penghawa dingin di waktu tengahari yang panas terik disertakan dengan bauan aromatik yang menusuk ke dalam rongga pernafasannya. Setiap langkahnya disapa dengan senyuman manis mahasiswa perhotelan di perkarangan ala-ala lobi hotel bertaraf bintang. Terasa malu pula di hati Akmal melihatkan pakaiannya yang biasa-biasa sahaja. Hanya berseluar karkis berpoket di lutut dan berkemeja-T berkolar. Terhenti langkah Akmal di restoran berdekatan.

            “Selamat datang”, sapa seorang pelayan perempuan tersenyum manis bersama menu di tangan dan sehelai kain berwarna putih.

            Akmal tersipu-sipu sambil menarik kerusi banquet ke belakang lalu melabuhkan punggungnya. Sehelai kain putih dihamparkan ke atas peha Akmal oleh pelayan tadi. Masih janggal di hati melihatkan layanan sebegitu ke atas dirinya. Lantas Akmal membuka lembaran menu yang terdapat di atas meja. Hanya dua mukasurat di dalamnya namun persembahannya amat membuka selera kerana disisipkan gambar di sisi. Melihatkan gadis pelayan itu yang masih berdiri di sebelahnya telah membuatkan Akmal lebih gelisah dan cemas.

            “Menu apa yang sedap kat sini?” soal Akmal kepada gadis itu untuk menghilangkan gugup.

            “Mostly orang ramai datang kat sini akan makan menu nombor satu atau empat”, balas gadis itu kembali dengan senyuman yang lebih manis.

            Akmal menggerakkan bola matanya ke arah nombor yang disebutkan itu. Menu satu adalah hidangan kambing bersama kentang putar, sayur brokoli dan jagung bakar. Manakala menu empat menghidangkan suku potongan ayam dibakar bersama kentang goreng, sayur campuran, sup cendawan dan roti bawang putih.

            “Air pula?”, soal Akmal lagi. Kali ini dia lebih menumpukan ke arah gadis itu berbanding cadangan yang diberikan. Tersipu-sipu juga gadis itu menahan malu.

            Melihatkan harga yang lebih kurang sama, Akmal memilih menu empat memandangkan setnya yang berbagai dan menarik dimata. Untuk minuman pula, Akmal menurut sahaja cadangan gadis itu tanpa mempedulikan berapakah harganya. Mujurlah Akmal datang berseorangan, maka tidaklah banyak kos yang perlu dikeluarkan dari kantung duitnya.

            Restoran ini terletak di tingkat bawah laluan utama Fakulti Perhotelan namun dipisahkan dengan cerman tebal lutsinar sebagai dinding. Pandangan mata Akmal tertumpu pada persekitaran restoran yang kebanyakannya masih kosong walaupun telah memasuki waktu rehat pejabat. Adapun seorang dua sedang menikmati hari-hari yang romantik bersama pasangan masing-masing sekadar memesan segelas air dan pencuci mulut yang berupa gubahan aiskrim setinggi 30 sentimeter. Loya tekak Akmal melihatkan gelagat pelanggan tersebut. Lalu matanya beralih pula ke bahagian luar restoran. Ternyata lebih ramai lagi pasangan kumbang dan bunga sedang bersantai di ruang legar menikmati suasana mewah di kawasan itu. Yang anehnya, hampir tiada suara kebisingan yang bergema dari segenap penjuru. Seolah-olah segala suara yang dikeluarkan telah terserap oleh perhiasan-perhiasan indah di sekelilingnya.

            “Ini makanan Tuan”, sapa pelayan yang sama kepada Akmal. Terkejut juga Akmal melihatkan kepantasan tukang masaknya menyediakan hidangan.

            “Terima kasih, Cik...”, balas Akmal sambil bertanyakan nama gadis itu secara tidak langsung.

            “Hanna. Panggil saya Hanna”, jawab gadis itu. Hanna berlalu tanpa bertanyakan kembali nama Akmal. 

            Lagi senyuman manis itu yang dipersembahkan. Ternyata berbaloi perjalanan Akmal hari ini kerana layanan yang mesra itu. Terasa setiap wang yang dibelanjakan di situ memberikan pulangan yang berlipat kali ganda daripada yang diharapkan. Tiba-tiba datang ilham dibenak Akmal lalu dicatatkan ke dalam telefon bimbitnya. 

Previous: Ep. 023
Next: Ep. 025

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree