Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 021

Pintu bilik asrama dibuka. Lampunya masih terang menyala meskipun waktu telah melepasi seperdua malam. Rupanya Jamal masih belum tidur kerana sibuk mengulangkaji pelajaran untuk ujian semester. Salam diberikan disambut perlahan oleh Jamal.

            “Dah habis study group?” tanya Jamal.

            “Bukan study group. Group DP (design project) saja. Malam esok baru study group”, balas Akmal meletakkan beg dan kunci kereta di atas meja.

“Sambil-sambil nak perkenal Zaki dengan Sufi?”cetus Jamal lagi.

            Akmal menganggukkan kepala lantas mencapai tuala yang tergantung di kepala katil. Terasa penat yang teramat sangat. Hari yang panjang dan sangat berisi.

            “Lupa nak tanya. Kau jumpa awek mana pagi tadi kat kafe?” cetus Akmal pula teringatkan gadis yang duduk bersama Jamal pagi tadi.

            “Awek apa! Adik aku tu. Yang satu kelas dengan Nur.”

            Akmal langsung tidak mengenali adik Jamal meskipun satu fakulti. Jamal pula tidak pernah memperkenalkan adiknya secara langsung. Akmal juga sepertinya tidak berminat untuk mengambil kisah takut-takut terjatuh cinta pula. Tidak mahulah dia menjadi adik ipar Jamal.

            “Apa cerita? Kau nampak sibuk harini.”

            Akmal berdengus disebabkan keletihan lalu bersipuh di atas lantai bersandarkan sisi katil yang diperbuat dari besi itu. Tidak tahu hendak bermula dari mana. Perlukah bercerita bermula pada waktu pagi sehingga malam atau hanya menghuraikan titik-titik penting sahaja. Bermulalah kisah penglipurlara yang disampaikan oleh Akmal kepada seorang penonton setia di hadapannya itu. Hampir sejam Akmal mengomel sendirian dan hanya dua tiga kali sahaja Jamal mencelah.

            “Fuh! Panjang sungguh. Berpeluh aku dibuatnya. Ni kalau buat filem, guaranty pecah panggung. Ombak Rindu pun tercicir sepuluh tiang”, kata Jamal ala-ala gaya ‘mat rempit’ selepas seketika membisu.

            “Aku bukan apa. Aku tak nak perkara yang aku lalui dulu terjadi kat orang lain pula”, keluh Akmal.

            “Perkara dulu? Kau ada sorok sesuatu daripada aku kah?”, soal Jamal. Serba-salah Jamal apabila ungkapan ‘dahulu’ itu dikeluarkan dari mulut Akmal.

            Akmal tersenyum lalu bangun bersiap untuk ke bilik mandi. Bau badannya yang telah diperam seharian telah terasa lekitan di celah-celah lipatan anggotanya. Sasaran Akmal seterusnya adalah untuk membersihkan diri, solat dan kemudiannya tidur.

            “Tak payah tahulah, Jayme. Biarlah kenangan itu aku telan sampai aku mati”, seloroh Akmal seperti sedang melakukan sebuah persembahan teater.

            Jamal mencebikkan bibirnya sambil melihat Akmal berlalu keluar meninggalkan bilik. Sepertinya ada suatu aura hitam yang terbebas daripada tubuh sahabatnya itu dari pandangan Jamal. Aura yang menghantui dan menghalang perjalanan hidupnya daripada memperoleh kemaraan. Niat di hati ingin membantu tetapi apakan daya sahabatnya itu lebih suka memendam perasaan.

 

Jam menunjukkan waktu mencecah pukul 2 pagi. Tangan yang ditadah lalu diraut kemuka dengan penuh pengharapan dari Yang Maha Esa. Dipohon keampunan dan petunjuk semoga tidak jauh tersesat di dalam keindahan dunia yang fana. Sebagai tanda kesyukuran kurnianNya yang tidak berbelah bahagi meskipun masih kurang amalannya sebagai seorang hamba di muka bumi ini.

            “Nurul! Jangan, Nurul!” jerit Akmal secara tiba-tiba. Tangannya diangkat ke hadapan untuk menghalang gadis itu daripada berlalu pergi meninggalkannya. Air matanya mencurah jatuh ke pipi. 

Previous: Ep. 020
Next: Ep. 022

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree