Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 012

Perkakasan di kantin kejuruteraan adalah seperti medan parkir di hospital kerajaan. Tidak kira siapa dahulu yang tiba, nasib lebih mengambil peranan berbanding budi bicara. Jika kebetulan ada kereta yang keluar parkir, siapa yang lebih dekat itulah yang paling beruntung.

            Ketikamana Ridwan dan Fairuz menghampiri, Akmal dan Jamal bingkas berdiri untuk mengosongkan meja meskipun bakso masih ada saki-bakinya. Demi kejayaan rancangan yang telah direncanakan, Akmal dan Jamal terpaksa mengundurkan diri walaupun bebola daging yang enak itu sedang memanggil-manggil nama mereka berdua. Hati yang duka terpaksa dialami demi cinta murni seorang anak Adam dan Hawa.

            “Fay! Sini ada kosong”, jerit Ridwan kepada Fairuz yang telah terlajak beberapa langkah melewati meja yang kosong itu. Tiba-tiba Ridwan merasakan jurang di antara mereka semakin dekat.

            “Jangan panggil nama aku sesuka hati kau! Nampak macam aku ni sidekick kau pula”, tegur Fairuz tanpa bertentang mata pada Ridwan. ‘Sidekick’ adalah ungkapan yang agak terkenal merujuk kepada sahabat baik.

            Segala perkembangan pada Ridwan telah dicatatkan dengan terperinci di dalam telefon bimbit Akmal. Disamping itu juga Akmal akan merangka strategi seterusnya kepada rakannya itu. Jamal akan menyusuri sebagai pelakon tambahan sekiranya perlu atau ketika keadaaan mendesak.         

 

Pemerhatian mereka terganggu oleh sekujur tubuh yang agak asing oleh Akmal dan Jamal. Tubuh itu menolak Jamal sedikit ke tepi dari arah hadapan untuk dia berada di antara dua sahabat itu. Mujurlah tubuh yang kurus itu tidaklah menjadi masalah yang besar kepada Jamal tetapi tetap juga berjaya menjengkelkannya.

            “Akmal, right?”, soal pemilik tubuh kurus itu. Akmal mengangguk kepala danmengerut kening.

            “Thank God. Jumpa juga. Aku nak minta tolong something boleh. Can we talk in private?”, pinta lelaki itu sambil menjeling ke arah Jamal.

            “It’s okay. He is my PA”, balas Akmal tanpa sebarang riak muka. Jamal terpinga-pinga mendengarkan status jawatannya itu. “Let’s talk somewhere else”, tambahnya lagi, tidak pasti sama ada Bahasa Inggerisnya itu betul atau tidak.

            Setelah mendapatkan persetujuan, Akmal dan Jamal berpindah ke satu tempat redup di kawasan parkir kereta lalu menyangkung di tepi longkang. Jamal yang masih berasa kejengkelan tetap berdiri sedikit jauh dari Akmal dan lelaki itu.

            “Sebenarnya begini. Aku nak minta second opinion. Aku pernah minta nasihat daripada seorang kaunselor tak bertauliah macam kau ni dari Fakulti Mekanikal. Nak tanya pendapat kau pula, boleh?”, lelaki itu memulakan bicara.

            “Apa dia? Kalau boleh aku tolong, aku tolonglah”, balas Akmal.

            Lelaki itu mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menghulurkan kepada Akmal untuk ditatapi. Kelihatan sekeping gambar berkumpulan yang diambil di antara dua menara Fakulti Kejuruteraan. Namun kelibat lelaki itu tiada di dalam gambar tersebut. Akmal tidak pasti apakah tujuan lelaki tersebut menunjukkan gambar tersebut.

            “Before that, nama aku Riduan. Panggil aku Wang”, kata Riduan. “Tu gambar group kelas B. Aku kelas C. Fakulti yang sama.”

            ‘Riduan lagi!’ Bentak hati Akmal. Terlalu banyak orang seangkatan dengannya memiliki nama yang sama. Oleh itu, dia terpaksa menulis catatan tambahan di buku telefonnya karakter yang melambangkan si empunya nama sepeti gedempol, kering, black, nama fakulti, atau secara berabjad mengikut turutan.

            “So, apa masalahnya?”, soal Akmal pula.

            “Aku berkenan kat dua orang perempuan. Watak yang berbeza. Rupa yang berbeza.”

            “Okay, Wang. Dua-dua dah declare couple ke dengan kau?”

            “Belum lagi. Aku hajat nak couple dengan salah seorang daripada dua orang ni memandangkan kami dah sama-sama semester akhir.”

            “Yang mana satu dalam gambar ni yang kau cakapkan ni?” Akmal memberikan semula telefon bimbit itu supaya difokuskan dua orang calon yang diingini oleh Riduan.

            “Ni dia”, balas Riduan sambil menghulurkan kembali telefon itu kepada Akmal.

            ‘Aduh! Parah ni.’ Akmal berbisik sendiri. Dua orang perermpuan sedang memeluk bahu masing-masing kelihatan sangat mesra. Bermain di fikiran Akmal. Perlukah dia memutuskan persahabatan dua orang semata-mata kerana untuk seorang lelaki yang tidak pasti akan soal hatinya sendiri. Masih terlalu awal untuk Akmal membuat keputusan tanpa mengetahui sebarang butir-butir lanjutan mengenai sasarannya itu.

            “Bagi aku details budak dua orang ni.”

            “First yang pakai tudung kuning ni namanya Ekin. Orangnya ceria dan periang. Cantiknya biasa-biasa saja tapi personalitinya yang paling menarik. Pandai bergaul tak kira kanak-kanak atau orang tua”, terang Riduan panjang lebar. “Second ni namanya Nisa. Seorang pemalu tapi free hair. Perwatakan manja, kurang pandai bersosial tapi senang didekati kawan-kawan. Cantik lebih sikit berbanding Ekin”, tambahnya lagi.

            “Apa petunjuk yang menunjukkan dia boleh dijadikan pasangan kau.”

            “Kitorang selalu keluar makan bersama-sama. Makan angin sama-sama. Selalu juga chating sama-sama”

            Akmal membelalakkan mata lalu berkata, “Maksud ‘sama-sama’ tu ‘bertiga’ kah?”

            Riduan mengangguk. Maka teranglah situasi tersebut. Akmal merumuskan bahawa Ekin seorang ‘initiater’ atau pemula manakala Nisa seorang ‘attracter’ atau penarik. Riduan adalah seorang mangsa dan berkemungkinan lebih banyak mangsa yang lain lagi. ‘Mangsa’ di sini bukanlah suatu jenayah atau skim penipuan cinta tetapi lebih kepada dipermainkan perasaan oleh dua gadis setara ke atas seorang lelaki yang mudah jatuh cinta. Oleh itu, Akmal membuat keputusan memberikan nasihat dan kaunseling yang bersesuaian kepada Riduan.
Previous: Ep. 011
Next: Ep. 013

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree