Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 023

Akmal sedang berehat selepas menunaikan solat subuh sambil membelek-belek buku rujukan di rak kecil di atas meja belajarnya. Hari ini dia tiada aktiviti siang di luar dan berkemungkinan hanya duduk menelaah di bilik sahaja. Waktu malam nanti barulah ada aktiviti belajar berkumpulan untuk subjek matematik kejuruteraan.

            Jamal pula bersiap sedia untuk tidur kembali disebabkan dia telah mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam. Tidur yang cukup sangat penting untuk menghilangkan kelesuan dan kepenatan rohaniah serta jasmani. Dia berbaring di atas katil sambil memeluk sebuah bantal yang panjang lagi pejal. Namun, pagi ini Jamal hanya tertidur selama beberapa minit sahaja kerana fikirannya dipenuhi berbagai persoalan untuk ditanyakan kepada Akmal secara langsung.

            “Kau mimpi apa malam tadi, Mal?” soal Jamal meskipun matanya masih tertutup.

            “Mimpi? Kenapa? Kau nampak aku mengigau ke?”, soal Akmal kembali, cuba untuk mengubah topik perbualan.

            Jamal mengetahui perihal Akmal yang berat mulut itu. Lebih baik bertanya tentang perihal orang lain berbanding kisah hidupnya atau kisah ‘mimpinya’ itu. Namun begitu, Jamal masih mencuba nasib juga walaupun keputusannya sudah jelas, terang dan nyata.

            “Tangan kau menggapai-gapai ke siling, siap dengan airmata lagi.”

            Akmal menggosokkan matanya secara spontan lalu menjawab, “Eh, bukanlah. Airmata orang tidur. Biasalah tu.”

            Jamal kehabisan soalan untuk ditanyakan. Akmal pula kehabisan jawapan untuk dijelaskan. Masing-masing termenung menembusi setiap objek yang berada di hadapan mata mereka. Tidak semena-mena mereka sebulat suara untuk melakukansesuatu.

            “Jom sarapan!”

            Serentak hasrat yang diudarakan. Jamal dan Akmal tersengih gembira kerana mereka memiliki buah fikiran yang serupa. Ternyata tidak sia-sialah persahabatan mereka beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Kantin asrama sedikit berlainan dari kebiasaannya. Suasana yang selalunya riuh-rendah pada hari lain tetapi agak sunyi di pagi itu. Kebanyakan kerusi masih tersusun rapi tidak berusik dan pinggan cawan yang sudah digunakan juga masih sedikit di dalam besen yang terletak di satu sudut paling dalam. Mungkin disebabkan penghuni asrama itu masih tidur kerana terlalu asyik mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam ataupun kebanyakan mereka telah pulang ke kampung untuk mencari ketenangan, kedamaian dan restu ibu bapa bersempena peperiksaan yang bakal tiba.

            “Wow, orang tak ramai. Maksudnya kita boleh 'cedok' makanan sendiri”, jelas Jamal sambil ketawa. Sifat pelahapnya membuak-buak tatkala melihat hidangan sarapan yang tidak kurang menariknya.

            Akmal mengambil beberapa keping roti bakar bersama sesenduk telur kocak dan kacang bersos tomato. Jamal pula ditambahkan lagi sepinggan nasi goreng yang membukit di atas pinggannya. Masing-masing mengambil air teh tarik panas lalu dibawa ke sudut meja yang berdekatan dengan tingkap yang sedikit terbuka dan kipas yang menghembus perlahan. Perut yang kosong itu diisikan dengan makanan dengan harapan supaya lebih bertenaga dan segar di waktu pagi. Lantas, mahasiswa sekalian bolehlah menyambung kembali ulangkaji pelajaran.

            Namun, harapan hanyalah tinggal harapan. Sekembali dari sarapan itu, Jamal menggapai bantal peluknya serta-merta terlena bak ular sawa kekenyangan. Akmal pula kembali duduk di meja belajarnya. Belum pun seminit dia menelaah, telefon bimbitnya membunyikan nada yang menandakan sebuah pesanan ringkas telah diterima. Akmal mencapai telefon itu lalu melihat isi kandungannya.

            “Dari....”, Akmal meneliti dahulu nama pengirimnya. “Farah!”, bentak Akmal di dalam benaknya. “Tak pernah-pernah dia bersembang dengan aku tiba-tiba hantar sms pula”, rungutnya di dalam hati sedikit aneh.

            Kandungan mesej yang agak panjang dan penuh tata tertib. Maklum sahaja dia tidak pernah bersembang melainkan mengenai soal pelajaran dan yang perkara penting. Bukanlah bermaksud Farah seorang yang sombong atau kurang bersosial. Cumanya perbezaan budaya yang membataskan pergaulan kami. Farah berasal dari Terengganu dan memiliki dialek kenegerian yang sangat pekat. Mungkin dia terasa malu untuk bersembang kerana takut ditertawakan atau sukar difahami oleh orang lain.

            Akmal cuba memahami isi kandungan yang ditulis oleh Farah. Semakin dibaca oleh Akmal, semakin berkerut dahinya. Bukan kerana isinya sukar difahami, tetapi maksud coretan itulah yang sukar dilaksanakan. Diibaratkan seperti ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’. Serba salah Akmal dibuatnya. Adakah cara untuk memuaskan hati sekalian manusia tanpa ada sesiapa pun yang terluka atau terkorban? Akmal berfalsafah sendirian.
Previous: Ep. 022
Next: Ep. 024

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree