Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 030

Akmal memandu seorang diri ditemani wanita maya yang mengarahnya ke kanan dan ke kiri. Sistem Navigasi yang kononnya berkomunikasi dari satelit berjenama MaMaGo itu setia menemaninya sejak dari kampus sehingga menghampiri destinasi. Setibanya di rumah ibubapa Jamal, maka tamatlah sudah kerja wanita maya itu buat masa ini.

            Rumah yang tersergam indah berada di sempadan Kajang dan Bandar Baru Bangi kelihatan lebih kekampungan sedikit walaupun dikelilingi bangunan-bangunan komersial di sekitarnya. Akmal melangkah kaki keluar dari keretanya kagum melihat lanskap di hadapan rumah itu. Ada kolam ikan, pondok beristirehat dan bunga-bungaan yang menghiasi segenap ruang di laman.

            “Weh, masuk, masuk!”, jerkah Jamal sambil menguis beberapa ekor kucing yang sedang menanti di muka pintu.

            “Kau cakap dengan aku atau kucing tu?” seloroh Akmal melihat gelagat Jamal seolah-olah sedang menjaga gawang gol daripada dibolosi bola.

            “Masuklah Mal. Sorry lah tak ada kompang nak sambut kau”, balas Jamal, berjenaka.

            “Tak ada hal lah. As long ada makan beradab lobster kat dalam rumah kau.”

            Sketsa lawak di antara Jamal dan Akmal bakal berlarutan tidak berpenghujung. Mujurlah ibubapa Jamal menjengah kelibat tetamu di luar rumahnya kerana melihatkan Akmal masih lagi belum melangkahkan kaki ke dalam teratak tersebut. Akmal menanggalkan kasutnya sebelum memijakkan kaki ke rumah separa batu dan separa kayu itu. Udara sejuk pagi menyinap di segenap celahan ruang dinding papan rumah tersebut. Terasa nyaman walau pada hakikatnya terletak di tengah-tengah bandar yang sibuk tidak kira siang mahupun malam.

            “Cantik rumah Pakcik. Sejuk,nyaman...” terpacul spontan keluar daripada bibir Akmal kepada ayah Jamal. Ibunya pula masuk semula ke dapur untuk menyiapkan tugasan yang tergendala.

            “Rumah lama ni. Dah nak masuk usia jubli emas. Dulu keseluruhan rumah dibuat daripada kayu. Tapi bahagian dapur dah mereput tua dan nak roboh pun. Tu yang jadi separuh batu tu.”

            Jamal tiba bersama dulang yang diisi dengan mi goreng dan kuih-muih. Terkedu Akmal melihatkan hidangan berat tersebut meskipun dia telah pun bersarapan roti canai mamak tidak sampai satu jam pun lagi. Ayah Jamal mempersilakan Akmal untuk menjamu selera. Ibu Jamal pula tiba dengan seteko air kopi bersama tiga gelas cawan lalu duduk bersama-sama Akmal, Jamal dan suaminya di ruang tamu. Kiranya sesi soal jawab akan berlangsung tidak lama lagi ketikamana Akmal sedang menyuapkan makanan ke mulutnya.

            “Akmal asal orang mana?” soal ibu Jamal iaitu soalan pemecah ais.

            “Saya tinggal dan lahir di Negeri Sembilan. Tapi mak orang Kelantan, ayah orang Johor”, jawab Akmal. “Kalau orang tanya saya orang mana, selalunya saya jawab orang Negeri Sembilan. Kadang-kadang Kelantan atau Johor”, tambahnya lagi.

            Perbualan bermula daripada isu asal usul sehinggalah ke arah masa hadapan. Soal cita-cita, soal calon isteri dan macam-macam lagi. Keramahan ibu Jamal menyebabkan tengkorak Akmal hampir terkehel dek kerana terlalu banyak bercakap. Sedar tidak sedar, waktu telah menjelang petang. Tinggal sejengkal sahaja senja bakal menghilang berganti malam. Pelawaan ibubapa Jamal untuk menginap sahaja di rumah mereka telah diterima oleh Akmal tanpa dolak dalih. Mengenangkan adik Jamal tidak akan pulang pada malam itu, Akmal telah ditawarkan untuk bermalam sahaja di bilik tersebut,tetapi ditolak oleh Akmal mentah-mentah. Lantas bilik Jamal yang sempit itulah menjadi mangsa Akmal. Cukup-cukup sahaja ruang di bilik itu apabila dimuatkan dengan sebuah tilam angin. Inilah pengalaman pertama kali Akmal tidur di atas tilam angin, harap-harap tiadalah ‘letupan’ atau perkara yang tidak diingini berlaku.

 

Malamnya Si Ibu termenung ke siling, melihat kipas yang tergantung berpusing perlahan-lahan mengeluarkan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Si Bapa pula telah menutupkan mata dan mengiring ke arah berlawanan. Namun, Si Ibu mengetahui bahawa suaminya itu masih belum tidur kerana tiada sebarang bunyi dengkuran yang kedengaran.

            “Saya sukalah tengok Akmal tu, Bang. Budaknya sopan santun. Pandai ambil hati orang tua. Sejuk mata saya tengok dia”, luah Si Ibu kepada suaminya yang terbujur tanpa dilitupi selimut.

            “Emm...” balas Si Bapa, acuh tak acuh.

            “Rasa nak buat menantu pula. Kalaulah dia mahu... kalaulah anak kita pun mahu...”

            “Emm...”

            “Saya nak bagi percuma saja anak perempuan kita tu, Bang”, kata Si Ibu, bengang dengan layanan suaminya itu.

            Terbeliak Si Bapa mendengar luahan isterinya itu. Tiada balasan yang keluar daripada mulut Si Bapa. Si Ibu pula tersenyum kambing sambil menjeling reaksi suaminya itu

            “Dah buang tabiat pula bini aku ni”, tempelak Si Bapa kepada isterinya di dalam hati sahaja.

Previous: Ep. 029
Next: Ep. 031

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree