Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 034

Ujikaji Riduan berjalan lancar dan teratur. Strateginya bersifat seperti serampang dua mata yang selari dan bermatlamatkan yang sama tetapi tidak pernah berselisih. Sebagai seorang kaunselor, tiada apa yang pasti jawapannya tanpa pernah mencuba dan tiada istilah berundur tanpa mencuba sesuatu di hadapan. Harapan Akmal adalah memberikan nasihat yang terbaik supaya tiada penyesalan di kemudian harinya. Akmal masih menantikan perkataan yang tidak dilafazkan oleh Riduan itu tadi.

            “Lagipun... apa?”, bentak Akmal sedikit supaya disegerakan ayat Riduan yang tergantung itu.

            “Macam ni, Mal. Semasa aku buat ujikaji ni, ada hal yang di luar dugaan berlaku.”

            “Cuba cerita, cuba cerita.”


Pada hari pertama minggu persediaan peperiksaan, Riduan menahan diri daripada terserempak dengan Ekin dan Nisa. Lalu dia membawa diri untuk belajar seorang diri di perpustakaan fakulti, tidak jauh daripada kumpulan belajar Ekin dan Nisa di foyer fakulti. Bahkan boleh dilihat dari tingkat atas bangunan tersebut. Ketika itu, Riduan disapa oleh seseorang yang dikenalinya tetapi tidak semesra sepertimana kawan-kawannya yang lain.

            “Hai Riduan. Belajar seorang saja?”, sapa Raihana, gadis dari Kelas A iaitu kelas di mana pelajar-pelajar genius ditempatkan.

            “Uh~ emm, awak ni...?”, balas Riduan,berpura-pura terlupa nama gadis itu. “Jemputlah duduk”, tambahnya lagi sambil menolak kerusi di sebelahnya yang kosong.

            “Terima kasih.”

            Gadis itu mendiamkan diri untuk seketika. Raihana meletakkan buku dan alat tulis di atas meja sel tersebut lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi plastik itu. Riduan sekadar memerhatikan gelagat gadis di sebelahnya itu. Mengenakan pakaian berwarna serba coklat daripada tudung kepala sehinggalah ke sarung kaki, wajahnya yang putih itu terserlah serinya di sebalik warna gelap pakaiannya. Bermain di fikiran Riduan, apakah yang berlaku ini? Mengapakah gadis yang tidak pernah menegurnya selama hampir empat tahun ini tiba-tiba duduk di sebelahnya?

            “Saya mengganggukah? Awak nampak terkejut”, cetus Raihana.

            Riduan tersentak lalu membetulkan kedudukan tulang belakangnya. Raihana lebih berani daripada yang disangkakan oleh Riduan. Riduan merasakan diri sangat kerdil apabila berada di meja perbincangan pelajar pintar dari Kelas A kerana kelasnya hanya terdiri daripada orang biasa-biasa sahaja.

            “Tak mengganggu pun. Cuma rasa kekok sebab saya tak pernah berbual dengan awak walaupun saya tahu nama awak”, kataRiduan.

            “Syukurlah. Awak tahu nama saya. Saya dah rasa sedikti malu tadi takut-takut awak tak kenal saya. Nampak macam saya pula yang terhegeh-hegeh”, balas Raihana dengan senyuman tersipu-sipu.

            Riduan menjadi serba-salah di atas reaksinya sebentar tadi. Namun dia masih tertanya-tanya mengapakah Raihana berani untuk menegurnya yang seperti orang asing padanya itu.

            “Kelas kami jarang belajar secara berkumpulan. Motivasi kami adalah untuk menjadi nombor satu dengan memijak orang lain”, luah Raihana. “Tapi saya suka awak yang selalu beri motivasi kepada kawan-kawan lain.”

            Perkataan ‘suka’ itu telah membelalakkan mata Riduan. Jantungnya berdegup kencang. Adakah ini ‘cinta’? Ketawa di dalam hati.

            “Sesuatu yang saya sendiri tidak mampu untuk melakukannya. Kalau saya beri galakan kepada orang, response daripada mereka sepertinya saya sedang menunjuk-nunjuk dengan kehebatan sendiri”, tambah Raihana lagi, sugul.

            “Saya faham maksud awak. Tapi bukan semua orang macam itu. Manusia selalunya makin tinggi ilmunya, makin rendah hatinya...”, pujuk Riduan. “...macam Raihana. Sudi duduk bersama dengan orang kebanyakan macam saya walaupun saya berasa diri seumpama seekor kera. Hahaha”, seloroh Riduan.

            “Tak. Bagi saya awak sangat cerdik walaupun bukan di atas kertas”, balas Raihana serba salah.

            “Saya selalu rasa budak pintar ni kurang bercakap mungkin sebab takut ilmu dia terkeluar ikut mulut”, seloroh Riduan lagi. “Tapi Raihana lain daripada orang lain. Bahkan sama macam student yang lain. Berani duduk sebelah saya walaupun tak kenal sangat dengan saya.”

            “Sebenarnya, awak silap. Saya kenal awak lebih daripada yang awak sangkakan. Saya dah perhatikan awak sejak tahun pertama. Saya gemar memerhatikan profile seseorang dari sudut meja yang jauh. Awak selalu jadi diri awak. Sesiapapun yang bersama awak mesti akan tersenyum dan ketawa. Saya sangat sukakan personaliti seperti itu. Saya sangat sukakan awak.”

            Riduan pun terkejut dan terasa seakan-akan ada wap kepanasan yang keluar daripada wajahnya. Raihana yang tadinya sangat aktif berkata-kata serta merta menekap mukanya dengan kedua tapak tangannya lalu beredar dengan barang-barangnya masih di atas meja. Riduan terkesima. Apakah yang sedang berlaku? Apakah reaksi yang perlu dia lakukan sekembalinya Raihana nanti?
Previous: Ep. 033
Next: Ep. 035

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree