Home Novelet Komedi/Romantik Komedi Aku? Kahwin?
Aku? Kahwin?
Athree
14/8/2016 12:36:42
16,411
Kategori: Novelet
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 30 - Epilog Aku Kahwin

Inilah hari yang dinanti-nantikan. Berdirinya tiang melengkapkan iman. Walimah diadakan mengikut sunnah, kecil tetapi meriah. Seekor kambing telah menjadi korban. Dua batang bunga mangga menyerikan tempat emak dan abah berdiri. Tiga khemah tersusun rapat dengan barisan kerusi dan meja yang beralas. Tiada muzik dan nyanyian, namun gelak tawa tetamu sudah cukup memeriahkan.

Sanak saudara datang mengucapkan tahniah dan tidak kurang juga sahabat handai yang berkunjung dengan membawa hadiah. Persandingan kami ala kadar sahaja kerana kami tinggal berhampiran, sekitar lebih kurang sepuluh kilometer dari rumah masing-masing. Namun begitu, pengantin perempuan telah pun berada di rumahku sejak malam tadi supaya perjalanan majlis lebih mudah dan tidak tergopoh-gapah.

Kelihatannya isteriku itu sedang bersolek di hadapan cermin selepas kami selesai solat zohor berjemaah. Segala persiapan kami sediakan secara berkeluarga termasuklah dandanan dan perhiasan pelamin demi mengelakkan pembaziran dan perasaan riak. Aku memulakan bicara sebagai pemecah ais (ice-breaking) untuk mengurangkan perasaan janggal di antara kami.

“Boleh saya tanya, kenapa awak setuju jadi isteri saya? Saya tak kenal awak dan awak pun tak kenal saya. Apakah perkara yang membuatkan awak setuju menerima lamaran saya?” tanyaku panjang lebar. Aku harapkan jawapannya juga panjang lebar.

Dengan mata yang agak tajam sambil melirik di balik pantulan cermin. Dia meletakkan berus di atas meja lantas membalikkan badan menghadap aku sambil tersenyum.

“Ini bukan kali pertama saya tengok awak. Saya pernah nampak awak banyak kali semasa awak datang ambil emak awak di sekolah. Itu cinta pada pandangan pertama saya. Cuma awak tak perasan sebab awak langsung tak pandang. Kali seterusnya semasa saya datang tuisyen SPM dengan emak awak di rumah awak. Saya kan muda satu tahun daripada awak. Malangnya awak tak ada sebab bersekolah kat Kedah. Bila emak awak merisik saya, saya gembira sangat. Tapi saya tertanya-tanya juga kenapa pilih saya? Sedangkan awaklah yang pertama kali tengok saya masa di hospital hari itu” balasnya. “Awak pula kenapa terima saya?” soalnya pula.

“Saya pernah berniat dalam hati yang saya akan pilih apa yang emak saya suka. Sebabnya jawapan yang awak beritahu emak saya telah meluluskan awak sekarang. Sebab saya tak berapa kenal awak, saya minta tolong emak buatkan penilaian. Saya redha dengan pilihan emak saya. Nabi pernah berpesan, redha Allah terletak pada redha kedua ibu dan bapanya. Walau macamana kita dah buat, kalau emak ayah tak redha tetap tak akan ke mana-mana. Therefore, here you are!

Padaku, permulaan dari kertas kosong bukanlah sesuatu yang teruk. Sesebuah novel pada asalnya juga hanyalah manuskrip yang tiada tulisan apa-apa pun. Sang penulisnya telah meletakkan sepenuh jiwa dan raganya untuk menghasilkan karya yang berkualiti. Akhirnya ia menjadi pilihan hati ribuan pembacanya. Jangan pula seperti surat khabar. Muka depannya menarik namun isi di dalamnya lebih kepada promosi iklan orang lain. Kesudahannya hanya jari sang pembacanya yang kehitaman sedangkan manfaat yang diperolehi ternyata jauh sekali.

“Mungkin betul cakap awak tu. Awak tahu, Mawar juga ada orang lamar dia beberapa hari sebelum emak awak melamar saya. Tapi dia tolak sebab terpaksa duduk dengan mentuanya sekali nanti. Itulah salahsatu punca penceraian dia yang dahulu. Bekas suami dia pula backup emak dia semasa diorang berpisah walaupun dia dengan bekas suami tidaklah bergaduh sampai sekarang. Punca utamanya mungkin disebabkan Mawar bukanlah menantu pilihan keluarga.”

Aku terkedu kerana tiba-tiba membabitkan cerita Mawar itu. Rupanya Mawar janda. Untuk pengetahuan, bukan aku yang membuat panggilan tersebut kerana aku tiada nombor telefon Mawar. Aku pernah ke hospital selama tujuh hari berturut-turut untuk melamar Mawar tetapi gagal dikesan. Pada hari terakhir itu, emak telah memberikan lampu hijau yang mengatakan calon pilihannya telah bersetuju. Kesudahannya itulah jodohku yang ditakdirkan.

“Maksudnya budak hari itu anak lelaki Mawar rupanya,” bisik aku perlahan. Teringat sewaktu aku pengsan di hospital. Budak yang datang itu adalah anak Mawar. Farhana yang duduk bersama Mawar juga dipanggil ‘Mama’ kerana terlalu mesra sejak dua tahun yang lalu.

“Farhana tak menyesal berkahwin dengan saya?” terpacul soalan dari mulut aku, cuba mengalih tajuk perbualan.

“Saya yakin dengan awak. Awak ikut pilihan emak awak dengan mengharapkan keredhaan emak. Dan saya yakin yang lelaki baik untuk perempuan yang baik juga”, jelas Farhana sambil tersenyum. “Awak pula? Tak menyesal?”, cetus Farhana.

“Saya pula yakin bahawa sesuatu yang hilang pasti Allah akan ganti yang lebih baik selagimana kita bersyukur. Dan akhirnya jodoh saya dengan awak. Cantik, cerdik, baik dan macam ustazah walaupun sebenarnya doktor”, balas aku sambil ketawa kecil menampakkan gigi.

Kesimpulannya, janganlah kita sebagai manusia terlalu berduka di atas nikmat yang tidak kita peroleh. Percayalah bahawa ada perkara tersirat di sebalik yang tersurat. Bersyukurlah atas nikmat yang kita tidak diperoleh itu dengan janji Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik lagi. Sememangnya rezeki tidak datang bergolek dan tetap perlu dicari. Yang pasti adalah rezeki itu ada, cuma entah di mana. Sama seperti jodoh juga, percayalah bahawa ianya sudah tertulis sejak azali lagi. Bak kata pepatah, ‘kalau sudah jodoh tidak akan ke mana-mana’. Yakinlah pada pandangan Allah kerana pandangan itulah yang paling hakiki.

Sekian.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree