Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 027

Ujian semester bermula. Dua minggu keseluruhan peperiksaan akan berlangsung. Subjek yang diambil rata-rata hanya lima matapelajaran sahaja. Tetapi sela masa di antara satu kertas dengan kertas yang lain adalah sebanyak satu atau dua hari. Akmal lebih suka sekiranya peperiksaan ini berakhir sekaligus. Dengan itu, ilmu yang dipelajarinya akan lebih segar dan tidak terlalu lama disimpan di dalam otaknya. Baginya, beban untuk menghadapi ujian adalah lebih perit sekiranya perhitungan ditunda terlalu lama. Lebih cepat, lebih baik.

            Jamal baru pulang daripada aktiviti belajar berkumpulan. Melihat Akmal yang sedang lena tertidur, Jamal pun bersiap untuk keluar kembali. Terasa ingin makan di luar berbanding makan di kantin. Adiknya akan menemani Jamal dengan menyediakan kereta, sedang abangnya itu hanya menaiki motorsikal Yamaha Sport 100cc yang mana jika dipulas sehabisnya pun hanya mampu mencecah 100km/j sahaja. Berbanding adiknya, sebuah kereta Perodua Kelisa lebih sesuai untuk seorang mahasiswi. Apapun kelebihannya itu sering dikongsi bersama bak kata pepatah, ‘bagai isi dengan kuku’.

            “Hari ni kita nak makan kat mana, Abang?” soal adiknya.

            “Makan nasi goreng kat restoran Mak Jah. Kawan abang cakap kat situ nasi dia sedap ‘giler’”, balas Jamal dengan menggunakan bahasa terkini para remaja sekarang.

            “Abang Mal tak ikut sekali ke?” tanya adik Jamal lagi. Ada sinar di matanya yang gagal dikesan oleh abangnya itu.

            “Dia tidur. Ingat nak kejut tadi tapi air liur dia...” Jamal tidak menghabiskan ayatnya namun intipatinya dapat disampaikan kepada adiknya itu.

            Kereta Kelisa berwarna kuning itu bergerak keluar meninggalkan perkarangan asrama. Timbul curiga di hati kecil Jamal, bagaimanakah Akmal boleh dapat keputusan peperiksaan yang baik sedangkan pada pandangan matanya Akmal lebih banyak tidur berbanding bersengkang mata untuk mengulangkaji pelajaran. Melainkan pada minggu belajar yang lalu, Akmal keluar selang dua hari sekali untuk belajar berkumpulan. Selebihnya hanya beradu di atas katil.

 

Akmal terjaga dari lenanya apabila penggera di telefon bimbitnya berbunyi menandakan waktu makan tengahari. Dicapai tuala di kepala katilnya lalu ditekup di atas mukanya untuk menyegarkan diri. Tuala yang sejuk itu sedikit sebanyak membantu Akmal mengurangkan perasaan mengantuknya. Akmal memeriksa kotak pesanan di telefon bimbitnya. Terdapat beberapa orang meminta bantuan kaunselingnya. Namun, Akmal sekadar membalas: “sedang bercuti study week. Henti aktiviti sementara.”

            “Hish, diorang ni tak tahu nak study ke? Asyik nak ber- 'romance' je”, keluh Akmal sambil membetulkan rambutnya yang kusut.

            “Si Jayme ni pergi mana pula? Kuat betul study sampai tak ingat nak lunch. Jangan pengsan kelaparan sudahlah”, Akmal mengomel sendirian. Dia lantas bersiap untuk mandi dan menunaikan solat zohor yang akan masuk beberapa minit lagi.

            Akmal mengenakan baju yang berwarna hitam selepas selesai membersihkan diri. Kebetulan warna baju sebelum tadi juga berwarna hitam. Akmal bersolat zohor bersendirian di bilik dan kemudiannya berjalan ke kantin juga berseorangan. Terfikir di dalam hatinya bahawa kehidupannya di mana-mana pun agak kesunyian. Tambahan pula di ketikamana rakan-rakannya menghabiskan waktu belajar berkumpulan bersama-sama teman wanita atau yang berlainan jantina bertujuan untuk mengelakkan perasaan jemu atau mengantuk ketika menelaah.

            Akmal juga tidak terlepas dari terjebak dengan 'gejala tidak sihat' itu. Dia mengulangkaji secara berkumpulan pada ‘study week’ yang lalu manakala minggu seterusnya secara bersendirian di bilik. Hasilnya tidak begitu memberangsangkan kerana mereka akan lebih bergelak ketawa dan mudah hilang fokus dalam pembelajaran. Namun tidak dinafikan perasaan ketika itu lebih harmoni dan santai berbanding belajar sendirian. Penat Akmal mengelamun memikirkan cara untuk menjadikan belajar lebih menarik lantas terlelap kembali di atas katilnya. Kepulangan Jamal pula langsung tidak disedarinya.

            “Iskh! Tidur lagi. Tak study ke budak ni?”, prasangka Jamal melihatkan Akmal terus-terusan beradu di atas katilnya. Padahal Akmal telah pun selesai menelaah hampir keseluruhan buku untuk ujian keesokkannya tanpa pengetahuan Jamal.

Previous: Ep. 026
Next: Ep. 028

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree