Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 017

Akmal menoleh ke belakang sambil mencari-cari suara yang memanggil. Disebabkan takut tersalah orang, Akmal tidak menjawab dan berjalan perlahan menuju ke keretanya.

            “Tunggu sekejap”, jerit Nur lagi. Kali ini memang Akmal pasti suara itu ditujukan kepadanya. Akmal menoleh ke belakang.

            “Tertinggal medicalkit ni”, tambah Nur lagi sambil membawa barang milik Akmal itu.

            Cis! Hati Akmal memberontak. Mengapakah gadis ini begitu peka terhadap hal-hal remeh seperti itu. Hajat Akmal untuk membiarkan kotak ubat itu menjadi suatu ingatan terhadap dirinya tidak membuahkan hasil. Memandangkan rancangannya telah pun rosak, Akmal terpaksa mengeluarkan pelan sokongan yang telah pun disediakan di dalam kepalanya. Akmal memang panjang akal dan tidak mudah mengalah. Pelan A tadi pun tidak berada di dalam rancangan asal tetapi ianya boleh berubah keutamaannya mengikut keadaan semasa menjadi pelan B, C atau Z.

            “Boleh saya berbincang dengan awak. Sebenarnya saya nak jumpa ibu awak. Tapi...” kata Akmal kepada Nur di saat kit perubatan itu bertukar tangan.

            “Macam mana awak kenal ibu saya? Kawan sekelas saya pun saya tak pernah cerita”, soal Nur pula.

            Tergamam Akmal apabila disoalkan perkara demikian. Sungguh sensitif gadis ini akan perihal yang kecil-kecil.

            “Saya pernah tolong ibu awak angkat barang ke tepi jalan sana.”

            Nur menumbuk tangan kirinya lalu berkata, “Oh! Awaklah orangnya yang tolong ibu dan adik saya bulan lepas. Tapi sekali itu saja, kan?”

            Akmal mengangguk perlahan. Berdebar dada Akmal melihatkan memori gadis ini seperti sebuah komputer bergerak. Sampaikan perkara sebulan lepas pun dia masih teringat. Ganjilnya dia boleh melupakan orang yang telah dimakinya di hadapan khalayak ramai. Namun begitu, Akmal masih meneruskan drama tidak berskrip yang cuba dimainkan oleh Nur. Adegan seterusnya beralih kembali lagi ke ruangan kantin.

            “Sebenarnya saya ada proposal nak dibuat. Saya dah bincang dengan ibu awak dan bercadang untuk letak ala-ala slot machine di setiap bucu corner kantin ni”, Akmal memberikan usul, terus terang kepada Nur.

            Nur berfikir sejenak dan menjawab, “Apa kelebihan yang kami dapat kalau kami bantu?”

            “Fuh! Memang bergaya peniaga sejati”, bentak Akmal di dalam hati lalu menjawab, “RM40 seminggu untuk empat rak, boleh? Ia termasuk sewa tapak dan after-damage kalau terdapat kekotoran disebabkan barangan yang dijual.”

            “Jadikan RM50. Kami akan simpankan bila operasi tamat dan akan keluarkan semula bila kantin dibuka. Apa kata?” tawar Nur pula.

            Akmal tidak terkata. Pandai betul gadis ni tawar menawar. Sentiasa ada hujah yang mematikan langkahnya. Akhirnya Akmal tetap bersetuju pada nilai RM50 seminggu. Sedar tidak sedar sudah lebih sejam Akmal berada di situ dan selama itu jugalah Akmal berbual bersama Nur. Ada sesuatu yang terkesan di hati Akmal perihal gadis ini. Sepertinya ada sejenis aura tarikan yang pasti bukan disebabkan oleh wajahnya yang biasa-biasa atau lenggok suaranya yang sedikit pun tiada alunan manja. Namun, Akmal merasakan dirinya berjalan di atas satu gelombang pada lembayung yang sekata.


Setelah segala urusan disepakati, Akmal meminta izin untuk mengundurkan diri bagi tidak mengganggu persediaan Nur di kantin itu. Baru sahaja sebelah kaki Akmal memasuki ke dalam kereta, kelibat sebuah van yang dipandu oleh seorang lelaki memarkir melintang bersebelahan keretanya. Tiba-tiba, kocek seluar berserta kaki Akmal bergetar seperti terkena renjatan elektrik yang kecil. Selepas diseluk dan dicapai punca gegaran itu, Akmal lantas menekan butang merah pada skrin telefonnya sambil berdengus.

            “Apahal, Jayme? Kacau daun la kau ni”, bentak Akmal.

            “Kok ya pun marah, bagi la salam dulu. ‘Adab kat mana’”, pesan Jamal dengan frasa kata yang sering dimainkan di televisyen. Mereka sering bergurau kasar sedemikian rupa.

            “Aku tengah ‘memancing’ ni. Kononnya nak tangkap ikan tongkol, sekali dapat ikan tuna daa...”, kata Akmal penuh keghairahan. “Baru ingat nak pancing ikan sardin tadi untuk buat umpan, sekali katak pisang datang mengacau pula. Hahaha”, tambahnya sambil ketawa.

            “Kau cakap aku katak pisang ke? Ikan sardin siapa? Ikan tongkol? Tuna?”, Jamal kebingungan.  Beberapa perumpamaan sering digunakan Akmal ketika berbual dengan Jamal, selaku sahabat yang paling memahami walaupun adakalanya dia kebingungan juga.

            “Weh, Zaki datang nak jumpa kau. Dia ada kat bilik ni”, tambah Jamal lagi sebelum sempat Akmal bersuara.

            Zaki, pelajar pintar yang agak sempurna fizikalnya. Seorang mahasiswa kegilaan ramai bukan sahaja di Fakulti Kejuruteraan malahan di kampus-kampus yang lain juga. Tercetus di fikiran Akmal, apakah yang dimahukan daripadanya yang serba kekurangan ini? Pastinya bukan untuk bersoal jawab akademik dengan orang yang kurang pintar, kan? Kereta Akmal pantas dipandu menuju pulang ke asrama dengan perasaan keterujaan.

Previous: Ep. 016
Next: Ep. 018

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree