Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 020

Dataran Menara Sains dan Teknologi

8.00 malam

           

            Suasana malam di dataran itu sangat mengasyikkan dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang menyusup masuk dari ruang-ruang yang terbuka. Puluhan mahasiswa dan mahasiswi yang telah kebosanan belajar di situ berbanding di bilik sendiri. Tidak kurang juga yang mengadakan perbincangan secara berkumpulan dan ada juga yang sekadar melepak bersama kawan-kawan mungkin menghilangkan tekanan di siang harinya.

           Kelibat Akmal terlihat sedang mengadakan perbincangan dalam kumpulan yang kecil mengenai tesis tahun akhir mereka. Melalui pemilihan pensyarah mereka, Akmal ditetapkan sekumpulan bersama Farah, Joseph, Stephani, dan Sufiah. Masa untuk melengkapkan kerja tesis tersebut adalah setahun setengah dalam dua peringkat untuk dibahaskan oleh komuniti sebelum dimuktamatkan pada semester akhir. Sekarang baru masuk fasa pertama iaitu fasa ulangkaji dan penyediaan rangka projek yang hendak dibentangkan.

            Hari ini adalah perjumpaan kali kelima mengikut catatan Akmal. Disebabkan beban kerjanya yang bertambah banyak melalui program Persatuan dan Perwakilan Fakulti sementelah pula dia adalah ketua kumpulan itu, Akmal telah melantik Sufiah sebagai penolong untuk membantunya melicinkan proses pengumpulan maklumat. Oleh itu, segala aktivit perjumpaan dan hasil perbincangan akan dapat disatukan dengan lebih terperinci dan tersusun.

            Jam menunjukkan hampir pukul 10 malam. Joseph dan Stephani bersiap-sedia untuk pulang kerana tinggal menumpang di rumah saudara. Maklumlah, adat menumpang perlulah ikut peraturannya. Akmal memerhatikan jam di telefon bimbit lalu menjeling ke arah meja yang terletak jauh di sudut dataran. Jari-jemarinya sedang menaip pesanan ringkas pada telefon bimbitnya. Selepas melihat rekod penghantaran telah diterima, Akmal kembali melakukan ulangkaji bersama ahli kumpulannya yang tinggal.

            Jauh di sudut itu, Zaki sedang duduk menelaah bersendirian lantas menoleh ke arah Akmal selepas menerima pesanan ringkas itu dan menunjukkan isyarat ‘bagus’ secara tersembunyi. Akmal mengangguk sedikit kepalanya ke bawah. Zaki menutup buku bacaannya dan berpura-pura untuk ke tandas melewati tempat berkumpulnya kumpulan Akmal.

            “Weh, Zaki. Mana?" soal Akmal memecah kesunyian di dalam kumpulannya. "Busy ke? Minta tolong sikit, boleh?” tambahnya lagi tanpa menunggu jawapan daripada Zaki.

            Akmal berpura-pura terserempak ketikamana dia sedang menggeliat meregangkan badan manakala dua orang ahli kumpulannya masih tertumpu terhadap pembacaan masing-masing. Hanya selepas mendengarkan nama Zaki, barulah salah seorang daripadanya memberikan tindak-balas.

            “Duduklah, aku ada benda nak tanya sikit ni”, pelawa Akmal sambil menolak kerusi yang kosong di sebelahnya. “Kenalkan. Yang tersengih ni namanya Farah. Yang sebelah dia tu namanya Sufi”, Akmal memperkenalkan ahli kumpulannya kepada Zaki.

            Zaki melihat ke arah Sufiah yang langsung tidak berganjak posisinya dari tadi. Hanya melalui alis matanya sahaja, sepucuk pesanan ringkas telah diberikan kepada Akmal. Lebih menakjubkan lagi bahawa pesanan tersebut difahami olah Akmal. Mungkin inilah yang dipanggil telepati 'brotherhood' oleh segelintir ilmuwan. Perhubungan baik di antara kaum lelaki, walau tidak berbicara namun hajatnya sampai kepada seseorang itu.

            “Dia ni takkan bergerak selagi buku yang dibacanya itu tidak tembus atau terbakar sendiri”, perli Akmal tepat ke arah penolongnya, Sufiah atau Sufi. Tersentak daripada kata-kata pedas Akmal, Sufi mengangkat kepala dan hanya tersenyum dan memberikan salam sejahtera. Zaki membalas salam dengan nada yang agak perlahan dan memberikan lebih perhatian ke arah gadis yang tersembunyi di sebalik gulungan tudung labuh di kepalanya itu.

            “Duduklah, jangan berdiri sahaja!”, tegur Akmalkepada Zaki yang ternyata melakukan reaksi yang tidak sepatutnya.

            Zaki seolah-olah tergamam dan terkesima melihatkan gadis di hadapannya. Benar kata Akmal jika dibuang cermin mata itu dan ditukar jenis tudung yang dipakai, sudah pasti tidak kurang hebatnya berbanding Mira Filzah atau Mia Ahmad. Betapa bodoh dan buta dirinya menikmati kecantikan negara orang sedangkan yang indah itu ada di hadapan mata. Namun hatinya masih berasa curiga. Tidak pasti perasaan hatinya boleh beralih ataupun tidak dari cinta yang lalu.

            Ganjilnya, mengapakah tiada sesiapa pernah perasan bahawa gadis ini juga ada daya tarikan? Apabila melihat daripada jauh tiadalah istimewanya. Jika bergambar pun sekadar biasa-biasa sahaja. Sepertinya melhat bunga yang sangat cantik di kedai bunga padahal bunga di rumah sendiri tidak kurang hebatnya. Kita mulai sedar apabila ibu kita berkata, “buat apa beli bunga mahal-mahal kat kedai, rumah kita bersepah-sepah bunga macam ni. Organik lagi.”

            Zaki berhenti mengelamun apabila Akmal berpura-pura menunjukkan rangkap perenggan yang tidak difahami. Zaki memberikan penerangan kepada Akmal sambil menjeling ke arah Sufiah. Tiada tindakbalas yang diberikan oleh Sufiah tetapi Farah pula yang tidak berkelip memandang ketampanan Zaki.

            “Aku ni kadang-kadang tertanya-tanya apa beza lebur dengan lakur? Macam sama tapi kenapa dalam buku guna dua-dua perkataan tu”, cetus Zaki, menjeling lagi ke arah Sufiah.

            “Budak ni tak kreatif langsung!” bentak Akmal di dalam hati mendengar soalan tersebut serupa dengan apa yang diungkapkan olehnya sebelum ini.

            Kali ini Sufiah mencelah. “Beza lebur dan lakur adalah....”, terang Sufiah panjang lebar dengan menggunakan kertas dan pensil.

            Akmal mengalihkan pandangan ke arah bacaannya semula kerana tidak mahu turut campur di dalam perbincangan mereka yang berkelas tinggi dan membosankan bagi orang kebanyakan. Pada waktu yang sama, Akmal mendapati gadis di hadapannya iaitu Farah lebih tertarik kepada kewujudan Zaki berbanding penerangan ilmiah yang dikeluarkan oleh Sufiah.

            “Haih~ rumitnya hidup ini”, keluh Akmal di dalam hati. Sesuatu perlu dilakukan untuk membantu Farah pula selepas ini melihatkan gadis itu pula tidak berkelip-kelip melihat kepada Zaki. 
Previous: Ep. 019
Next: Ep. 021

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree