Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 028

Selesai sudah dua minggu pertarungan di antara pen dan kertas semata-mata memenuhi kerenah birokrasi yang mahukan seseorang itu mempunyai kelulusan pendidikan untuk berjaya. Disebabkan desakan inilah sesetengah pelajar lebih gemar meniru atau menciplak semata-mata demi segulung ijazah tanpa perlu bersusah payah menuntut ilmu. Orang yang berijazah dipanggil cendekiawan, bagaimana diperolehinya bukan lagi persoalan. Inilah punca utama ketamakan, rasuah dan penyelewengan yang berlaku di sekeliling kita. Padahal untuk cepat berjaya di dunia bukanlah ijazah menjadi kayu pengukur tetapi dizahirkan daripada faktor keturunan yang berpengaruh, kuasa wang dan sokongan politik. Inilah hakikat dunia yang perlu ditelan pahit oleh sekalian kita di zaman kini jika tidak mempedulikan keperluan akhirat.

            Akmal termenung mengenangkan nasib diri. Sudahlah dia tidak berapa pandai, latar belakang keluarga pula biasa-biasa sahaja. Namun dirinya memendam suatu impian untuk memiliki segalanya iaitu pekerjaan yang berkah, isteri yang diredhai dan keturunan yang menyejukkan mata. Tetapi adakah tempat bagi orang kebanyakan sepertinya mencapai cita-cita tersebut.

            “Mal, kau balik kampung bila?”, tegur Jamal yang sedang mengemas pakaian ke dalam beg galasnya.

            “Entahlah. Aku ingat nak lepak dua tiga hari lagi”, balas Akmal, sedang matanya masih lagi memandang ke langit-langit.

            “Pepehal nanti roger aku, okay. Aku boleh temankan kalau aku free”, pelawa Jamal, memandangkan rumah ibubapa Jamal hanya di sekitar Selangor sahaja. “Tak pun nanti kau datanglah jalan-jalan kat rumah aku dulu sebelum balik kampung”, tambahnya lagi.

            “Kau balik naik motor ke? Kenapa tak balik sekali dengan kereta adik kau?” tanya Akmal.

            “Dia balik esok. Ada hal katanya.”

            “Kau nak aku hantarkah? Lagi pun aku tak pernah pergi rumah kau”, pelawa Akmal, ajak-ajak ayam.

            “Kau follow motor aku je lah nanti, okay?”

            Berkerut dahi Akmal. Bagaimanakah sebuah kereta boleh mengekori sebuah motosikal di lebuhraya? Sudah tentu laluan mereka berbeza. Namun Akmal sekadar mengiyakan sahaja.

            “Kau mesej alamat lengkap rumah kau. Apa-apa hal senang sikit.” pinta Akmal lantas dia melelapkan matanya.

 

Petang berganti waktu hampir memasuki malam. Akmal membatalkan niat melawat ke rumah Jamal kerana ada seseorang yang mahu berjumpa dengannya malam ini. Destinasi perjumpaan adalah di Restoran Mak Jah. Kelibat orang yang dicari masih belum kelihatan. Terpaksalah Akmal menjadi penanti kepada orang yang berjanji untuk berjumpanya itu. Akmal membelek-belek menu di atas meja dan memesan...

            “Nasi goreng paprik. Air bandung.”

            ...kepada pelayan, alias Bob, alias anak Mak Jah. Bob menulis pesanan ke atas sebuah potongan kotak rokok lalu mengambil menu di atas meja dan diserahkan kepada meja yang lain pula. Belum pun air minuman Akmal tiba, satu tepukan lembut singgah di bahu kirinya.

            “Salamualaikum”, sapa empunya tapak tangan yang masih diletakkan di atas bahu Akmal. Serta-merta Akmal menoleh kebelakang.

            “Wa’alaikum salam...”, balas Akmal,terpinga-pinga. “Kau dah kenapa ni?!”, tambahnya lagi setelah mengesahkan identiti orang yang menegurnya itu. Seorang pemuda berpakaian sopan.

            Akmal meneliti daripada kepala sehingga ke kaki sahabatnya itu. Sepertinya ada yang tidak kena. Apa pun yang tidak kena itu adalah ke arah perubahan yang positif. Akmal meriakkan senyuman kegembiraan melihatkan sahabatnya itu telah mencorakkan diri dengan kopiah hitam berjalur hijau di atas kepala dan berpakaian jubah Pakistan berwarna putih. Melihatkan warna jubah yang masih bersih dan tiada kesan luntur, sudah pastilah sahabatnya itu baru memakainya sekali dua sahaja.

            “Baru balik ‘usrah’ kah, Zaki?” soal Akmal, sedikit terperanjat dengan perubahan itu.

            “Hai, perli nampak!” balas Zaki dengan mencekak pinggangnya. “Baru balik solat Maghrib kat surau taman perumahan belakang ni. Kau kalau ada masa nanti Isyak solat sekali berjemaah sekejap lagi.”

            Tertelan air liur kering Akmal mendengarkan pelawaan Zaki samada sedang memperlekehkannya atau sekadar bergurau dengannya. Setahu Akmal, Zaki bukanlah ‘kaki surau’ atau ‘geng masjid’. Dia lebih dikenali sebagai ‘Mat Karok’ kerana tabiatnya sering melawat pusat karaoke atau karaoke jamban. Di mana ada pertandingan menyanyi pasti kelibat Zaki ada di dalam barisan tersebut. Sungguh menghairankan juga bagaimanakah Zaki membahagikan masa belajarnya kerana keputusan peperiksaannya tidak kurang hebatnya. Malangnya pakej rupa kacak dan otak bergeliga Zaki tidak diiringi dengan suara nyanyian yang merdu. Jika tidak, sudah tentu lebih ramai lagi wanita yang menggilai pemuda di hadapan Akmal ini.

            “Ni aku nak berterima kasih kat kau sebab...”

            Ayat Zaki tergantung di situ.Bersama muka yang sedikit kemerahan menahan perasaan. Apakah sebabnya perubahan ketara Zaki ini? Dan kenapa dia mahu berterima kasih kepada Akmal.

Previous: Ep. 027
Next: Ep. 029

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree