Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 033

Perjalanan Akmal dari rumah Jamal hanya mengambil masa lebih kurang dua jam pada halaju normal sebuah kereta Kancil iaitu 80 km/j. Namun, mustahillah Akmal akan memandu seperlahan itu. Oleh itu, Akmal akan singgah di suatu tempat laiin dahulu seperti warung atau kawasan rehat dan rawat untuk mengaburi mata orang tuanya bahawa dia tidak memandu laju. Dikesempatan itu lazimnya Akmal akan menjamu selera, beriktikaf atau sekadar duduk termenung menikmati keindahan alam. Akmal memeriksa telefon bimbitnya yang disimpan di dalam beg galasnya. Alangkah terkejutnya melihatkan berbelas-belas mesej telah dikirimkan oleh seorang sahabatnya yang bernama Jamal.

            “Pencuriiii...!!”

            “Polis! Tangkap dia!”

            “Tu buku adik akulah! Teruk aku kena marah”

            Begitulah di antara rintihan Jamal hanya disebabkan oleh sekotak buku komik. Padahal, Jamal tidak langsung dimarahi adiknya kerana peminjamnya adalah Akmal. Jamal cuma menzahirkan perasaan malunya secara tidak langsung kepada Akmal kerana tembelangnya telah dipecahkan oleh adiknya. Selepas ini, sudah pasti setiap barang yang hilang daripada bilik Aina akan dituding ke arah abangnya itu.

            “Nasib kaulah, Jayme. Hahaha...”,balas Akmal kepada sahabatnya itu dengan sekeping pesanan ringkas untuk merangkumi keseluruhan mesej daripada Jamal itu.

           

Sedang Akmal menikmati semangkuk mi bandung, telefon bimbitnya berdering memaparkan nombor yang tidak dikenali. Perasaan ragu menghantui diri Akmal buat seketika. Berbagai-bagai andaian bermain di fikirannya.

            “Hello?”, ucap Akmal membuka salam dengan nada soalan.

            “Hello. Akmal kah?”, jawab suara tersebut. Nada yang agak lembut seperti perempuan tetapi garau pula seperti lelaki.

            “Ya, saya. Siapakah ini?”, soal Akmal kembali, tidak pasti.

            “Saya Riduan...”

            “Riduan yang mana satu? Engine atau dentist?”, balas Akmal.

            “Saya Wang dari Fakulti Mekanikal. Yang ada masalah nak pilih antara dua calon tu. Ingat tak kita pernah berbual kat tempat letak kereta tu?”

            Sudah tentu. Dialah satu-satunya jejaka yang ada perasaan pada dua orang perempuan. Perwatakan lembut, sebab itu ramai perempuan hendak jadi kawannya. Entah apa pula masalahnya kali ini.

            “Ha~ kenal. So Wang, apa cerita?”, tanya Akmal dengan perasaan ingin tahu.

            “Ni nak cerita sambil nak minta buah fikiran pakar kaunseling”, Riduan berseloroh.

 

Selepas mendapat nasihat daripada Akmal pada hari itu, Riduan memulakan ujikaji sepertimana yang disarankan. Ujikaji dinamakan sebagai ‘Operasi Calon Sehidup Semati’ atau OpeCal. Tujuan: mengkaji status dan tahap perhubungan di antara dua orang gadis pilihan hati. Andaian: Semakin lama terputus hubungan, semakin membara perasaan rindu. Pemalar: kekerapan bertemu, masa bertemu dan tempat bertemu. Hipotesis: salah sseorang akan mula menghubunginya secara luarbiasa ketika musim cuti semester nanti. Pembolehubah: aktiviti bersama yang semakin romantis.

            Riduan memulakan ujikaji pada minggu persediaan peperiksaan setelah membuat beberapa intipan ke atas Ekin dan Nisa. Demi percintaannya, Riduan sanggup memendekkan waktu belajarnya semata-mata untuk mengkaji waktu kedua-dua mereka akan berpisah. Pada minggu ini ramai yang memilih untuk belajar secara berkumpulan dan apabila habis minggu tersebut barulah mereka akan belajar bersendirian. Jsteru, di kesempatan ini Riduan pasti akan berjumpa kumpulan belajar Ekin dan Nisa pada setiap hari di foyer fakulti.

            Riduan berjaya mengenalpasti sesuatu perkara iaitu Ekin dan Nisa sering berpisah di persimpangan dua asrama perempuan. Ekin tinggal di Asrama Teratai manakala Nisa tinggal di Asrama Cempaka. Pada hari pertama OpeCal, Riduan memulakan rancangan untuk berjalan seiring dengan Ekin dengan alasan ingin berjumpa teman berhampiran asrama tersebut. Manakala Nisa pula pada keesokan harinya dan begitulah seterusnya. Kadar keintiman akan meningkat iaitu bermula daripada sekadar berjalan bersama, kemudian mempelawa untuk dihantar pulang dan puncaknya adalah makan malam romantis dengan beralasan sebagai parti perpisahan atau keraian bersempena selesai peperiksaan.

            Setiap kali pertemuan itu, Riduan akan meminta Ekin dan Nisa untuk tidak memberitahu pertemuan tersebut kepada rakan yang tiada di situ masing-masing. Ia kononnya bagi mengelakkan sifat cemburu dan salah sangka ke atas perhubungan mereka berdua. Tanpa mereka sedari, aktiviti bertiga tidak lagi dilakukan dan bertukar kepada aktiviti secara berdua sahaja. Mereka juga berjanji tidak akan berhubung secara maya kerana takut dibongkari. Maklum sahajalah kerana Ekin dan Nisa adalah sahabat yang sangat baik dan sudah pasti segala-galanya akan dikongsi bersama termasuklah aktiviti di telefon bimbit dan media sosial.

            “Semuanya berjalan lancar, Mal. Tapi...”, kata Riduan, nada kerisauan.

            “So, ada masalahkah?” soal Akmal.

            “Aku rasa serba-salah sekarang ni.”

            “Kenapa pula? Sebelum ni dua orang tu yang main-main dengan kau.”

            “Aku tahu tu. Tapi sekarang aku dah tak kisah apa kesudahannya. Lagipun...”

            Riduan menghentikan lagi ayatnya tanpa ada sambungannya. Akmal menanti-nanti perkataan seterusnya daripada mulut Riduan. Mi bandungnya yang tadinya bersisa, masih tidak disentuh kerana sifat ingin tahu yang membara dalam diri Akmal mengenai kesimpulan kisah Riduan itu.
Previous: Ep. 032
Next: Ep. 034

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree