Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 032

Muka Aina kemerahan seolah-olah sedang menahan nafasnya. Jamal sedikit kerisauan melihatkan mata adiknya itu yang kelihatan seperti dirasuki makhluk halus.

            “Apakah dia marah sebab aku selalu ceroboh bilik dia?” bisik Jamal di dalam hatinya. “Rasanya aku dah hilangkan kesan ceroboh tu semua”, tambahnya lagi.

            Tubuh Aina yang tadinya jauh kian mendekati diri Jamal. Ibu dan bapanya membuat hal masing-masing. Ibu sedang mengemas di dapur manakala bapanya pula masih berada di halaman sedang menyapu dedaunan kering yang gugur ke bumi. Nampaknya memang dialah yang akan menjadi mangsa soal-selidik adiknya itu.

            “Apa?” balas Jamal kepada Aina yang merapatkan mukanya ke muka Jamal yang sedang kegelisahan.

            “Nampak macam ada orang sudah buat salah”, duga Aina tepat ke muka Jamal. Pasti! Aina pasti sudah mengetahui aktiviti abangnya itu.

            “Nampak buku komik Aina tak?” soal Aina.

            “Buku yang mana?” Jamal berdalih. Adakah dia ada terlupa untuk mengembalikan buku yang di ambil dari bilik Aina? Terlalu banyak buku yang telah diambil sehinggakan Jamal sudah lupa judul yang mana. Biasa sahajalah seorang abang selongkar bilik adiknya, kan?

            “Fruit Basket. Kawan Aina nak pinjam ni. Kalau ada, sila pulangkan cepat”, kata Aina sambil menghulurkan tapak tangannya.

            “Hehe, sorry lupa nak letak balik. Kejap abang ambil”, balas Jamal sambil menahan malu. Aktiviti penyelongkaran sempurnanya telah dibongkari. Bak kata pepatah, ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

            Jamal masuk ke biliknya sambil mencari-cari kotak kasut yang berisi buku komik tersebut. Hairan. Tiada di mana-mana. Tidak di bawah katil mahupun di tempat tidur Akmal yang telah dikemas rapi di sisi. Sepengetahuannya, tiada ruang lain lagi yang boleh memuatkan walau sebuah kotak kasut di bilik kecil Jamal itu. Terpaksalah Jamal menanyakan Akmal perihal kotak kasut itu. Belum pun sempat Jamal melakukan apa-apa, Jamal telah pun menerima satu pesanan ringkas daripada Akmal yang akan menerangkan segala-galanya.

            “Aku pinjam Fruit Basket.” Ringkas sungguh pesanan ringkas yang dikirim oleh Akmal. Namun, belum pasti mudah untuk Jamal memberikan penjelasan kepada adiknya itu.

            “Kawan Abang pinjamlah, Aina...” jelas Jamal. Aina mencekakkan pinggangnya. Belum sempat Aina berkata, ibunya kembali untuk menjengah keributan di antara kedua orang anaknya.

            “Kenapa, sayang?” suara ibu bertanya, lembut.

            “Abang ni selongkar bilik Aina. Lepas itu bagi pinjam buku komik Aina kat kawan dia pula”, jelas Aina kepada ibunya, bernada sedih.

            “Bukan selongkar, ibu. Semalam Jamal bagi pinjam kat kawan sebab dia tak boleh tidur. Tak tahu pula dia bawa balik kampung.”

            “Siapa? Akmal?” duga ibunya. Ibarat terkena satu renjatan elektrik yang membuatkan Aina terkedu seketika.

            “Akmal tidur bilik Aina semalam?”

            Langsung terpadam kemarahan Aina yang membuak-buak itu setelah mendengar nama Akmal. Namun mukanya masih kemerahan disebabkan sedang menahan malu pula. Kelakuan Aina itu diperhatikan oleh ibu dan abangnya.

            “Mak kenal Akmal?”

            “Yalah. Dia tidur kat sini malam tadi.”

            “Dia tidur bilik Aina? Malulah. Bilik Aina bersepah.”

            Padahal jika dibandingkan kekemasan bilik Aina dengan abangnya diibaratkan seperti istana raja dengan sarang burung. Wangian bilik Aina pula seperti sebuah kedai minyak wangi berbanding bilik abangnya yang berbau seperti ruang bilik menukar baju selepas pendidikan Jasmani. Entah apakah yang dimaksudkan dengan perkataan ‘bersepah’ itu.

            “Itulah. Mak suruh Akmal tidur kat bilik Aina sebab besar dan senonoh sikit tapi dia tak nak. Nak juga tidur kat bilik yang macam sarang tikus tu.”

            Perli ibunya menusuk tembus ke dada Jamal. Hakikatnya Jamal memang malas berkemas walaupun biliknya tidak sampai separuh kelebaran bilik Aina. Oleh itu, ibunya lebih selesa mempelawa tetamu untuk menginap di bilik Aina sahaja.

            Aina tersipu-sipu mendengar cerita ibunya yang panjang lebar itu sehinggalah ke dapur. Ibunya terus-menerus bercerita tentang perilaku Akmal yang lemah lembut, berbudi bahasa dan kelihatan selesa dengan persekitaran rumah itu walaupun berlanskapkan suasana dan kelengkapan serba kekampungan. Tiada langsung kelihatan perasaan geli sepanjang penginapan Akmal yang seketika itu.

            “Bertuahlah siapa yang jadi ibu bapa dia”, ibunya merumuskan kesimpulan pemerhatiannya.

            “Bertuahlah juga siapa yang jadi isteri dia”, Jamal mencelah sambil menjeling ke arah Aina yang sedang bersarapan. Jamal tersengeh-sengeh mahu menduga reaksi adiknya itu.

Previous: Ep. 031
Next: Ep. 033

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree