Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 010

Nur merebahkan badannya ke atas katil sambil membelek-belek ubat angin yang dibelinya di kedai serbaneka 24 jam tadi. Perutnya ditekan-tekan sedikit untuk melegakan rasa pedih yang semakin berkurangan. Bermain di fikiran Nur peristiwa yang berlaku di restoran tadi.

            “Siapa bayar makanan aku tadi hah?” Nur bermonolog sendiri.

            “Menyesal aku makan mi goreng mamak tadi. Memulas perut aku”, luah Nur sambil jari jemarinya meramas-ramas di bahagian sisi perutnya pula. “Kalau aku tahu dapat makan percuma, aku dah pesan macam-macam tadi”, tambahnya lagi, berseloroh.

            “Nasib baik kedai Mak Jah tutup. Kalau tak, jangan harap aku nak singgah makan kedai mamak tu.”

            Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Dengan pantas, Nur menutup perutnya yang terdedah dengan kemeja-T dan menyembunyikan plastik ubat ke bawah bantal.

            “Kakak? Belum tidur lagi ke?”, ibunya menyapa.

            “Belum mak. Masuklah”, jawab Nur lalu duduk di pinggir katil.

            Ibunya sedih melihatkan tubuh anak gadisnya itu semakin kurus semenjak menolongnya di kantinnya itu. Namun, dia tidak dapat meluahkan kerisauannya kepada anak perempuannya itu kerana hakikatnya memang dia tidak mampu melakukannya sendiri tanpa bantuan anak-anaknya sejak kematian suaminya lima tahun dahulu.

            “Nur dah makankah? Mak ada simpan lauk dalam peti ais. Kalau nak, mak boleh panaskan”, pelawa ibu secara sukarela.

            “Dah mak. Tadi makan dengan kawan lepas study group”, balas Nur. Hakikat hal yang sebenarnya hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

            Walhal naluri ibu itu sangat ajaib dan tidak boleh dipandang ringan. Seorang ibu dapat mengesan penipuan seorang anak namun kebanyakan mereka bersangka baik terhadap anak masing-masing. Meskipun seseorang anak tidak berkata apa-apa pun ibunya tetap juga akan mengerti. Ini kerana jarak di antara ibu dan Tuhannya adalah berjarak sebuah doa. Semua doa ibu itu sangat mustajab dan tidak perlu dipertikaikan.

            “Emak ingat esok nak pergi supermarket lah beli barang mentah. Mak ingat nak jual nasi lemak setiap hujung minggu kat simpang perumahan sana tu. Ada banyak student menyewa kat situ”, cadang ibunya kepada Nur.

            Nur berfikir sejenak lalu menjawab,“Apa kata mak jual waktu malam saja. Student selalunya hujung minggu akan bangun lewat, skip sarapan. Kalau malam, kita pasang lampu kelip-kelip mesti ramai yang tertarik.”

            “Mak cepat letih kalau buat waktu malam”, rungut ibunya dengan wajah yang sedih.

            “Tak apa, mak. Mak masak saja kat rumah. Biar Nur dan Wan yang jualkan.”

            Nur tahu akan kesusahan ibunya itu terutama dari segi kewangan. Memandangkan adiknya telah pun selesai menjalani SPM, ibunya terpaksa mencari sumber rezeki yang lain untuk menampung keperluan adiknya itu sekiranya berjaya melanjutkan pelajaran kelak. Oleh itu, Nur tidak menolak cadangan ibunya itu bahkan menawarkan diri untuk menggantikan ibunya mencari rezeki. Nur turut mencadangkan nama adiknya untuk berniaga bersama-sama dengan harapan supaya adiknya itu merasai perit jerih ibunya itu dalam mencari rezeki untuk membesarkan anak-anaknya.

            “Kalau macam tu, emak ikutkan saja”, ibunya bersetuju meskipun dia berasa kasihan terhadap anak sulungnya itu.

 

Restoran Barra

Malam ke-30...

 

            Akmal mencuba nasib hampir setiap malam di Restoran Barra. Meskipun dia tahu bahawa Nur juga menolong ibunya di kantin, tetapi dia tiada peluang bertemu muka dengan Nur kerana dia sering membantu ibunya di dalam dapur sahaja. Justeru, Akmal nekad untuk berbual dengan gadis itu jika terserempak sekali lagi di restoran. Namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan disamping duit belanja bulanannya kian berkurangan disebabkan tabiat barunya itu.

            “Mungkin kebetulan saja hari tu”, Akmal membuat kesimpulan di dalam fikirannya lalu menoleh ke arah kanan. “Kaulah yang paling untung”, tambahnya lagi melihatkan Jamal yang sedang memuaskan nafsu perutnya dengan nasi kandar.

Previous: Ep. 009
Next: Ep. 011

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree