Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 008

Malam dirasakan masih terlalu muda untuk ditamatkan meskipun jam sudah mencecah pukul 10:30 malam. Perut Akmal yang masih belum menikmati makanan malam sedang mendendangkan irama keroncong. Laparnya semakin keterlaluan sehinggakan dia tidak dapat menumpukan perhatian pada ulangkajinya walau lima minit sekalipun.

            “Jayme, jom pergi makan kat luar”, pelawa Akmal kepada Jamal.

            “Aku taklah lapar sangat. Tapi kalau kau belanja, aku on je”, balas Jamal semborono.

            Tanpa berfikir panjang, Akmal menunjukkan isyarat setuju lalu berkata, “Mamak Barra. Rasa nak makan nasi kandar. Kita naik motor.”

            Begitulah hari-hari mereka di unversiti. Jamal mempunyai sebuah motorsikal manakala Akmal membawa  kereta milik abangnya dari kampung. Mereka saling bergiliran dengan kenderaan masing-masing ketika berkuliah, bersiar-siar dan membeli-belah. Tiada sistem penggiliran yang tetap, hanya sekadar mereka saling memahami dan bertolak ansur.

            “Kau rasa Ridwan boleh berjaya ke?” cetus Jamal di kala dia sedang memasukkan kunci ke motorsikal. Peristiwa tadi masih menghantui Jamal.

            “Depends”, balas Akmal ringkas. “Kalau sabar, semua jadi.”

            Motorsikal dihidupkan dan terus menuju keluar kampus semata-mata untuk menikmati sepinggan nasi di restoran mamak. Berbagai-bagai persoalan bermain-main di minda Jamal. Namun Akmal tetap bersahaja sambil menghirup udara malam yang menyegarkan.

 

Restoran Barra

Seksyen 7, Shah Alam

 

Jamal menongkatkan motorsikalnya betul-betul di hadapan tangga restoran. Tindakannya itu sedikit sebanyak menyukarkan pekerja di restoran itu untuk menghantar hidangan kepada pelanggan yang berada di bahu jalan. Namun tiada keluhan yang dikeluarkan oleh mamak-mamak sekalian tentang kesulitan itu. Maklum sahajalah, para pelanggan itu selalu betul.

            “Jayme, naik tingkat ataslah. Kat bawah macam dah penuh. Bising sangat”, kata Akmal sambil membuat beberapa isyarat tangan supaya pesanannya dapat disampaikan di dalam suasana hiruk-pikuk itu.

            Jamal tidak menjawab kerana mengetahui bahawa suaranya akan menjadi sia-sia. Dia hanya menuruti Akmal yang berjalan di hadapannya. Ternyata di ruang tingkat dua restoran itu lebih senyap dan nyaman dilengkapi dengan kipas kabus yang segar tanpa udara dari gorengan mamak yang agak menusuk di hidung

            “Apasal ramai sangat orang kat mamak malam ni. Dah pukul sebelas dah. Pergilah tidur”, Jamal membebel seorang diri.

            “Cis! Cakap orang, kita pun sama”, balas Akmal sambil meletakkan beg galas berisi nota-nota ringkas dan topi keledar di atas kerusi yang kosong.

            Jamal menawarkan diri untuk mengambil makanan di kaunter bawah manakala Akmal tetap berada di meja supaya tidak diduduki orang lain. Mata Akmal melilau melihat di sekeliling kalau-kalau ada kawan-kawan yang lain juga sedang makan di situ. Firasat Akmal tepat. Sekujur tubuh kurus sedang menikmati mi goreng di ruang sudut yang agak dalam. Telinganya ditutupi fon kepala manakala sebelah tangannya sedang membelek-belek sebuah buku.

            “Eeh! Budak ni. Macam ada jodoh pula dengan aku”, bisik Akmal di dalam hati.

            Akmal memerhatikan perempuan itu dengan penuh perhatian sementara menunggu air minuman dan makanan yang masih belum tiba. Rupa paras perempuan itu lama-kelamaan berjaya dinukilkan oleh Akmal di dalam fikirannya. Adakala perempuan itu menurunkan kaca mata yang besar itu untuk menggosok matanya yang keletihan.

            “Cantik juga. Spoil lah cerman mata besar dia tu. Kalau buang, lepas tu kasi pakai tudung sama dia... Pergh! Satu fakulti terbeliak wa cakap lu”, borak Akmal di dalam hati juga.

            “Tak sangka pula dia makan kat kedai mamak. Selalunya perempuan mana ada standard makan kedai mamak. Gelilah, kotorlah, busuklah...”, Akmal terus bermonolog sambil meniru aksi gadis-gadis.

            Tiba-tiba Jamal muncul di hadapannya lantaran menghalang pandangan Akmal. Dua pinggan nasi kandar dihidangkan oleh Jamal disusuri air limau ais dan sirap bandung oleh seorang pelayan yang mengikutinya di belakang. Jamal lantas menghirup air sirap bandung itu kerana kehausan.

            “Tepilah sikit!”, bentak Akmal dan menolak pipi Jamal ke arah kirinya.

            Jamal menoleh ke belakang untuk memerhatikansuasana apakah yang telah mencuri perhatian Akmal. Setelah lama barulah Jamal mendapati kehadiran seorang perempuan di hujung meja itu, lalu terpacul keluar dari mulut Jamal.

            “Itukan Nur...”

            “Nur? Nur apa? Nur Atikah? Nora? Elinur?” Akmal cuba berteka-teki di dalam kepalanya sambil menanti ayat seterusnya yang keluar dari bibir Jamal yang sedang mengulum penghirup minuman itu.

Previous: Ep. 007
Next: Ep. 009

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree