Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
37,944
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 28

SUDAH lama benar dia tidak menjejakkan kaki ke restoran Julyana. Julyana juga sudah tidak menghubunginya. Kali ini dia tergerak hati hendak melawat Julyana di restoran perempuan itu. Tiba sahaja di situ dia agak bernasib baik kerana pelanggan tidak ramai. Senanglah untuk dia mencuri masa kerja Julyana.

Nampak sahaja wajahnya, Julyana sudah angkat tangan melambaikan ke arahnya. Rifqy senyum. Comel pula gelagat perempuan itu. Dengan tangan yang menyeluk poket seluar, dia mendekati kaunter bayaran.

“Assalamualaikum,” sapa Rifqy sebaik meletakkan tangan ke permukaan kaunter. 

“Waalaikumussalam. Lama awak tak datang sini. Dah tak nak jumpa saya ya?” Julyana mengusik nakal.

“Awak kan sibuk. Saya tak naklah kacau awak.”

Julyana tersengih. 

“Mana ada saya sibuk. Saya banyak aje masa free. Saya ada la juga tunggu panggilan awak tapi awak tak ada call saya pun. Kecik hati saya tahu?” Mimik muka Julyana seakan-akan merajuk.

“Awak ni comel la.” Terlontar pujian dari mulut Rifqy.

Julyana berpura-pura tidak dengar. Hatinya sudah kembang dengan pujian itu namun dia tidak mahu terbawa-bawa. “Apa dia? Saya tak dengarlah …”

Rifqy tayang senyuman manis. Sengajalah tu. Dia tahu sangat Julyana dapat menangkap pujiannya sebentar tadi. Perempuan itu saja hendak mengumpan dia untuk memuji sekali lagi. Dia pandang ruang restoran yang semakin lengang. Nampaknya terpaksalah dia makan di situ sahaja. Perut pun sudah berkeroncong. Lapar sangat. Semalam dia tidak menjamah apa-apa pun kerana sampai sahaja di rumah dia terus masuk bilik. Bersarapan pun tidak. Malas hendak bertemu empat mata dengan Puan Amna.

“Awak nak makan?” 

“Yalah. Takkan saya datang sini saja-saja kan? Mesti la saya lapar. Perut saya pun dah berbunyi ni. Apalah awak ni,” jawab Rifqy bersahaja. Julyana tergelak kecil. Dia menekup mulut. Rifqy yang dikenali ini sudah pandai menghiburkan hatinya dengan lagak sempoi. 

“Yalah. Awak pergilah duduk dulu. Nanti saya ambilkan order.”

“Baik, guru,” sahut Rifqy patuh. Julyana menggelengkan kepala dengan bibir terhias dengan senyumn. Ada-ada sahaja lelaki ini. 


JULYANA sudah bersedia untuk membuka pintu kereta namun satu jeritan meminta tolong menyebabkan tindakannya terbantut. Dia tercari-cari suara itu. Suara yang meraih simpati. Dia mula memanjangkan leher. Terlihat di matanya sekujur tubuh yang menggelupur di jalan. Julyana mahu mendekati tubuh itu namun entah kenapa dia berasa takut untuk berbuat demikian. Takut jika dirinya tertipu. Sudahnya dengan pantas dia mendail nombor telefon Rifqy. Harapnya lelaki masih belum pulang ke rumah. 

Lama menunggu, barulah panggilannya bersahut. 

“Assalamualaikum, Julyana. Ada apa awak call saya ni?” Rifqy terlebih dahulu memberi salam. 

“Waalaikumussalam. Awak kat mana sekarang ni?”

“Tengah kemas meja. Dah nak baliklah ni. Kenapa?”

“Datang sini kejap boleh? Ada orang cedera. Saya tak berani nak dekat,” pinta Julyan benar-benar berharap. Takkan mahu dibiarkan saja orang yang cedera parah itu? 

“Orang cedera? Kat mana tu? Saya pergi sekarang!”

Belum apa-apa talian telah diputuskan. Julyana mengeluh. Nasib baik ada Rifqy. Namun, dia risau juga kalau-kalau Rifqy mengambil masa yang lama untuk sampai ke sini. Matanya membulat saat tubuh yang menggelupur itu sudah kaku. Tangan menekup mulut. Jangan cakap tubuh itu sudah tidak bernyawa. 

Beberapa minit kemudian Rifqy tiba. Terus dia bergegas keluar dari kereta kemudian mendapatkan Julyana yang sudah tercegat di sisi tubuh yang pegun itu.

“Rifqy, dia dah tak bergerak,” adu Julyana takut-takut. 

Rifqy membongkokkan badan, bertinggung di depan tubuh itu. Pergelangan tangan dicapai. Pergerakan nadi cuba dikesan. Setelah tangan itu dijatuhkan semula kemudian dia mendongak ke arah Julyana. 

“Awak jangan risau. Dia pengsan aje ni. Sebaiknya kita bawa dia ke hospital. Lagi cepat lagi baik.”

Julyana angguk, bersetuju. Dia menyerahkan saja kepada Rifqy yang tampak berani sedangkan dia sudah kekeringan darah di muka kerana takut. Belum pernah dia berhadapan dengan situasi begini. Nak-nak lagi dia juga sebenarnya agak takutkan darah. Pandang darah saja sudah buat dia mahu termuntah. 


PENJELASAN ringkas doktor itu cukup melegakan Julyana dan juga Rifqy. Julyana meraup mukanya. Mengucap syukur kerana Allah sentiasa ada untuk setiap umat-Nya. Jika dia tidak bertindak menelefon Rifqy, apalah yang akan jadi pada lelaki tua itu.

“Awak okey?” soal Rifqy penuh keprihatinan. Julyana mendongak kemudian menganggukkan kepala. Terpaksa dia melangut kerana dia terlalu rendah. Hanya di paras bahu lelaki itu sahaja. Kalau dia pakai high heel tak adalah kena mendongak macam ini.

“Awak macam takut sangat tadi. Saya risau sangat.” 

Julyana tergamam. “Awak risaukan saya?”

“Yalah. Awak call saya dalam keadaan gelisah macam tu, mana saya tak risau? Saya takut apa-apa jadi dengan awak. Macam dulu. Awak dah lupa?” Rifqy memanggil semula kejadian yang menyaksikan Julyana hampir menjadi mangsa lelaki mabuk. Nasib baiklah dia berkebetulan melalui kawasan itu. Jika tidak, dia tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi pada Julyana.

Julyana tidak bersuara. Hatinya seakan berbunga apabila lelaki itu risaukan dia. Itu bermakna Rifqy mengambil berat terhadapnya. Namun, dia sedar lelaki itu hanya menganggapnya sebagai sahabat. Tidak lebih dari itu. Dia sendiri tidak mahu terlalu mengharap. Kelak dia juga yang kecewa.

“Awak tak perlu risaukan saya, Rifqy. Siapa saya pada awak kan? Awak kawan saya aje. Jadi, awak tak perlu terlalu menjaga saya sepanjang masa.” Julyana berkata dalam suara yang agak mendatar seakan-akan berjauh hati. Andainya Rifqy ada orang lain yang istimewa di hatinya, pastilah orang itu akan cemburu. Dia tidak mahu merosakkan hubungan sesiapa walaupun dia tidak pasti sama ada Rifqy sudah berteman atau tidak.

“Bagi saya awak bukan kawan saya semata-mata.”

“Lalu saya siapa?”

Rifqy terus mengalihkan mata. Menentang mata Julyana seketika. Setelah itu bibirnya mengukir senyum. 

“Awak perempuan yang istimewa. Istimewa sangat untuk saya.” 

Julyana pegun. Tidak berkutik. Matanya mencari kebenaran melalui mata lelaki itu. Lelaki itu tidak menipu. Kata-kata itu datang dari ketulusan hatinya sendiri. Dan jantungnya semakin berdegup dengan laju, melebihi kadar denyutan normal.

“Saya terlalu sayangkan awak, Julyana. Kalau boleh saya nak awak jadi isteri saya, yang halal untuk saya. Bukan setakat kawan aje.”

Tiada suara yang melantun dari bibir Julyana. Dia hampir ternganga mendengar luahan itu. Di hospital itu dia dilamar tiba-tiba. Dan lamaran itu adalah daripada Rifqy. Lelaki yang sentiasa ada dengannya. Yang sentiasa mendahulukannya.

Rifqy menggaru kepala. Dia sendiri tidak sedar yang dia meluahkan semua itu di hadapan Julyana. Hatinya yang menjerit-jerit ingin memiliki perempuan itu sehingga dia tidak sedar dia telah melamar Julyana secara terang-terangan. Sekarang semuanya telah terlambat. Dia tidak boleh menarik balik luahannya itu. Dan, sekarang hanya jawapan Julyana yang perlu ditagih. 

“Kalau saya jadi isteri awak, boleh ke awak sayangkan saya sepenuh hati? Boleh ke awak layan kerenah saya?”

Rifqy menjungkit bahu. Bagaimana sikap sebenar perempuan itu dia tidak tahu. Tetapi dia pasti dia mampu melindungi Julyana dengan keizinan-Nya. Dia hanya mahu menghalalkan perhubungan yang kini membatasinya. Kadang-kadang apabila Julyana dilanda kesedihan, dia mahu saja memeluk tubuh itu. Ingin menenangkan Julyana dalam dakapan hangatnya. Mujur saja dia masih sedar kedudukannya saat itu. Dia kini seorang Muslim. Menyentuh kulit yang bukan muhrimnya hanya meletakkan dirinya sebagai mualaf pada nama.

Banyak kali dia merasakan sesuatu yang aneh setiap kali bersama dengan Julyana. Cuma dia takut jika Julyana yang tidak merasai perasaan yang sama sepertinya. Dia tidak mahu dia saja yang terhegeh-hegeh sedangkan Julyana tidak rasa apa-apa. Sementelah lagi perempuan itu kini didampingi Alif. Antara dia dan Alif, lelaki itu dulu yang hadir dalam hidup Julyana. Dan pastinya Julyana lebih memihak kepada Alif yang terlebih dahulu mengenalinya.

Julyana masih dalam keadaan kaget. Terlalu terkejut dengan lamaran itu kerana dia tidak pernah menyangka Rifqy akhirnya mengatakannya dengan berani di depannya. Seperti Alif juga. Namun, dia lebih gembira apabila luahan itu terbit dari mulut Rifqy berbanding dengan Alif. Kerana perasaannya ada pada Rifqy, bukan pada Alif.

“Saya pernah cakap saya nak jaga awak. Nak lindungi awak. Kalau saya masih kawan awak, saya takkan dapat buat semua tu. Sebab antara kita ada batasan. Awak pun tahu kan?”

“Tapi awak cuma anggap saya sebagai kawan awak aje. Tak mungkin awak sayangkan saya,” tingkah Julyana dalam suara perlahan. Dia menundukkan wajah namun Rifqy menyuruhnya mendongak semula.

“Kalau saya tak sayangkan awak, takkanlah saya lamar awak? Saya bagi awak masa untuk buat keputusan. Awak jangan risau. Saya takkan paksa awak. Apa pun keputusan awak, saya terima. Tapi andai kata awak menolak pun, saya harap kita masih boleh berkawan,” ujar Rifqy.

“Rifqy, awak terlalu baik dan saya tahu ramai perempuan sukakan awak. Tapi, saya kena fikir perkara ni. Bukan saya tak suka awak. Saya suka. Cuma …”

“Ya, sebab tu saya bagi awak masa. Ambil la masa sebanyak mana yang awak nak,” pintas Rifqy langsung tidak kisah sekiranya dia terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan keputusan Julyana.

“Nanti awak dah ada jawapan, kita bincang pasal ni lagi ya?” saran Rifqy.

Julyana hanya akur. 

“Saya pergi dulu. Assamualaikum.”

Sejurus itu, Rifqy berlalu. Julyana sempat menjawab salam itu. Matanya tertancap pada langkah Rifqy sehingga menghilang di sebalik dinding. Tangannya ditekapkan ke dada. Degupan jantung masih laju. Adakah ini cinta?


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie