Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,061
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

MENGIKUT seperti yang dirancangkan, Julyana memberanikan diri untuk berdepan dengan anak Che Alizah. Jika dia terus mengelak, masalah tidak akan selesai. Sangkanya apabila dia menolak untuk dijodohkan dengan Alif, lelaki itu boleh menerima dengan hati yang terbuka. Nampaknya dia silap. Alif seolah-olah terlalu obses padanya.

Wajah Alif kelihatan cengkung saat Julyana menghampiri. Kata Puan Rohaya, Alif masih belum terlibat dengan dadah sepenuhnya. Lelaki itu hanya menghidu gam bagi melepaskan tekanan. Itu bermakna Alif masih boleh diselamatkan. 

“Assalamualaikum, Encik Alif,” sapa Julyana membahasakan lelaki itu dengan panggilan encik. Walaupun menurut kenyataan Puan Rohaya, dia dan Alif adalah rakan sepermainan namun tidak logiklah baginya untuk bercakap tidak formal dengan lelaki itu kerana sudah bertahun-tahun lamanya mereka tidak bersua. 

Alif mengerdipkan matanya berkali-kali. Seakan-akan tidak percaya Julyana berdiri di depannya. Apabila mama memberitahu bahawa Julyana ingin berjumpa dengannya, dia seolah-olah tidak percaya. Mana mungkin Julyana sanggup menemuinya setelah tahu perkara yang sebenar. Namun, lihatlah kini. Julyana betul-betul ada di depan matanya!

“Waalaikumussalam, Ju,” balas lelaki itu dengan senyuman. Julyana turut membalas senyuman yang dilemparkan kepadanya itu. Nampak normal saja mamat ni. Tak macam penagih pun aku tengok. Tapi pipi tu boleh nampaklah cengkung. Hatinya berbicara.

“Ju sihat?” Lelaki itu bertanya dengan penuh kelembutan. Sepasang matanya tidak habis-habis merenung wajah yang dirindui. Sudah lama tidak bersua, ternyata Julyana semakin cantik malah realitinya lebih baik daripada sekeping gambar.

“Alhamdulillah, encik. Saya sihat.”

Kerutan tercipta di dahi Alif. Dia tidak menyenangi panggilan ‘encik’ terhadapnya. Kerana panggilan itu, dia berasa canggung. Ada jurang di antara mereka berdua.

“Kenapa panggil saya encik, Ju? Panggillah saya Alif seperti dulu,” ujarnya dalam nada terkilan. 

Julyana agak keberatan untuk memanggil sedemikian kerana dia tidak ingat siapa lelaki itu.

“Macam mana saya nak panggil encik dengan nama sedangkan ini first time kita jumpa kan?”

“Tapi kita dah lama kenal, Ju. Sejak dari kecil lagi. Takkan Ju tak ingat yang kita pernah main sama-sama dulu?”

“Memori masa saya kecil dah tak sama dengan yang sekarang. Saya bukan Ju yang awak kenal dulu. Kalau awak nak cakap pasal masa silam, sejujurnya saya tak ingat apa-apa,” ujar Julyana sedikit hampa. Hampa kerana lelaki itu jelas mahu memaksanya.

“Tapi boleh tak Ju panggil saya Alif?” pinta lelaki itu tidak kisah. Redup matanya seolah-olah memohon pengertian.

“Perlu ke?”

“Ju dah tolak saya tapi tak bermakna kita tak boleh jadi kawan macam dulu kan?” Kening Alif naik.

“Baiklah. Saya akan panggil awak Alif seperti yang awak minta.” Julyana beralah. Jika dia terus melayan dingin, tak pasal-pasal si Alif mengamuk di depannya. Kecoh pula hendak menyelamatkan situasi dalam keadaan demikian. Tambahan lagi mereka berada di dalam restoran, bukan di tempat yang tersembunyi.

“Ju, Alif minta maaf sebab dah susahkan Ju. Dan Alif minta maaf juga pasal mama. Mama tak patut serang …”

“Alif, saya tak nak cakap pasal tu,” potong Julyana kemudian menyambung, “saya nak cakap pasal awak.”

“Pasal saya?” Alif berpura-pura tidak mengerti. Matanya terus menikam wajah Julyana. Menatap wajah itu memberi semangat baru dalam dirinya. 

“Alif, awak terjebak dengan benda yang tak elok kan? Tolonglah berhenti. Kesiankan mama awak. Saya bercakap ni atas dasar sahabat. Kalau betul saya ni rakan sepermainan awak, boleh tak awak tunaikan permintaan saya ni?”

“Ju yang reject Alif. Ju tahu tak Alif bagai nak gila bila mama cakap Ju tak nak kahwin dengan Alif? Alif cuba nak jumpa Ju tapi mama tak bagi. Dia suruh Alif hormat keputusan Ju. Tapi tak semudah tu, Ju. Alif sayangkan Ju sangat-sangat. Bila mama cakap nak jodohkan Alif dengan Ju, Alif bahagia. Tapi sampai hati Ju buat Alif macam ni.” Suara itu kedengaran kendur. Tersingkap rasa simpati di hati Julyana.

“Saya tak ingat siapa awak, Alif. Lagi pun mak saya tak pernah bagitahu pun yang awak kawan saya masa kecil. Kita tak pernah jumpa pun. Tahu-tahu aje mak saya nak jodohkan awak dengan saya. Awak expect saya boleh terima dengan mudah? Semua ni melibatkan masa depan saya. Kebahagiaan saya. Kalau saya kahwin dengan awak dalam keadaan saya tak rela, awak rasa saya boleh hidup bahagia? Macam mana pula dengan awak? Boleh ke awak bertahan di sisi seorang isteri yang tak pernah cintakan awak?”

Alif terdiam. Cuba mencerna apa yang diberitahu oleh Julyana itu. 

“Cuba la faham perasaan saya dan juga perasaan awak. Mungkin antara awak dan saya, kita hanya mampu jadi kawan aje.”

“Jadi, Alif memang dah tak berpeluang?”

Julyana tarik nafas dalam-dalam. Memberi peluang bermakna dia memberi harapan pula. Jika dia tetap tidak merasakan apa-apa terhadap Alif, lelaki itu pula akan mensia-siakan masanya bersama seorang perempuan yang tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya.   

“Saya tak ingat macam mana hubungan kita dulu. Tapi, kalau awak masih nak berkawan dengan saya, saya okey aje asalkan awak jangan lagi timbulkan soal perasaan antara kita.”

Mata kuyu Alif bersinar cerah. “Maksud Ju?”

“Saya akan terima awak sebagai kawan kalau itu yang awak nak, bukan sebagai pasangan hidup. Boleh ke awak berhenti buat apa yang awak buat selama ni demi saya? Demi persahabatan kita?” 

Pantas Alif mengangguk. Hatinya melonjak gembira. Jika itu yang dimahukan Julyana, dia sanggup menurutinya kerana tiada apa-apa yang lebih berharga daripada sebuah persahabatan yang pernah terjalin di antara mereka. Biarlah Julyana tidak mengingati kisah kecil mereka asalkan Julyana sudi ada di sisinya.

“Tapi kita tak boleh berjumpa dengan kerap. Ini permintaan saya. Boleh kan?”

Alif mengeluh dalam kehampaan. Namun, dia tetap menghormati keputusan perempuan itu. 


JULYANA cuba menarik senyum seikhlas mungkin sebaik Alif menghampirinya. Seperti yang dijanjikan, Alif tidak lagi mengambil bahan terlarang. Malah dia kelihatan lebih ceria. Namun begitu, hati Julyana masih berada di ambang keraguan. Penerimaan Alif masih belum dimaklumkan pada Puan Rohaya. Sudikah Puan Rohaya menerima Alif setelah berlakunya pertengkaran mulut antara dia dengan mama lelaki itu? 

Dia sengaja tidak memberitahu Puan Rohaya buat masa sekarang kerana bimbang dengan kesihatan emak. Hari itu bergaduh punya pasal dengan Che Alizah, tekanan darah emak naik mendadak. Inikan pula hendak bagitahu tentang Alif.

“Assalamualaikum, Ju,” ucap Alif ceria. Wajahnya kelihatan kemas. Tidak seperti pertemuan tempoh hari. 

“Waalaikumussalam, Alif. Alif dah masuk kerja ke?” soal Julyana sambil berjalan beriringan dengan lelaki itu. Lelaki itu yang mahu berjumpa dengannya untuk berbincang sesuatu. Bukan dia yang meminta. Tetapi kerana sudah mengikrarkan janji, dia tidak boleh berpatah balik lagi.

“Dah. Nasib baik bos tak marah. Alif sangat berterima kasih pada Ju. Disebabkan Ju, Alif dah bersemangat semula nak masuk kerja,” jawab Alif dengan senyuman.

Julyana turut senang hati mendengarnya. 

“Baguslah. Alif dah tak ambil kan benda tu?” Keningnya terangkat. Mana tahu lelaki itu masih bergelumang dengan ‘benda’ itu.

Alif geleng kepala, menidakkan. Dia sudah mendapat kepercayaan Julyana, untuk apa lagi benda yang hanya mampu memusnahkan otaknya itu? Lagi pula dia sudah berjanji dengan perempuan kesayangannya itu dengan kerelaan hatinya sendiri untuk meninggalkan benda terlarang.

“Alhamdulillah. Lega hati saya dengar macam tu. Alif mesti pegang janji Alif tahu?”

“Ya, Ju. Alif janji.”

“Alif, apa yang awak nak bincang sampai tak menyempat-nyempat nak jumpa saya?” Padahal lelaki itu baru menghubunginya dua hari yang lalu. Rindukah lelaki itu kepadanya? Kawan saja kut.

“Rindukan Ju.”

Erk. Julyana tutup wajah sendiri dengan tapak tangan. Aduhai, Alif ni memang sengaja nak bagi jantungnya tercabut terus barangkali. Dia macam tahu-tahu aje apa yang aku fikir, desisnya.

“Alif, awak jangan bergurau.” Julyana tidak senang hati dengan gurauan Alif itu.

“Maaf, Ju. Tapi tak ada salahnya seorang sahabat merindui sahabatnya yang lain. Lagi pula dah lama kita terputus hubungan. Dan, sekarang ni Ju langsung tak ingat kenangan zaman kecil kita.”

Kata-kata itu membuatkan Julyana terkedu. 


MEREKA akhirnya tiba di sebuah taman. Alif memarkirkan kereta Honda Citynya di tempat letak kereta. Sengaja dia membawa Julyana ke situ kerana mahu berbincang dalam suasana yang tenang.

“Ju,” panggil lelaki itu saat Julyana menapak turun dari kereta. Julyana berpaling. “Alif, kenapa kat sini?”

“Maafkan Alif sebab bawa Ju ke tempat macam ni.”

“Tak. Maksud saya, kenapa tempat macam ni? Penting sangat ke perkara yang awak nak bincang dengan saya?”

“Di sinilah kita selalu jumpa dulu. Masa tu Ju baru tujuh tahun. Comel Ju masa tu tahu? Montel aja Alif tengok. Rasa nak cubit pipi Ju tapi Ju tak kasi. Alih-alih Ju merajuk dengan Alif.”

“Ya ke? Tapi Ju tak ingatlah. Terlalu lama.”

“Tak apalah Ju. Ju tak ingat pun, Alif tetap sayangkan Ju macam dulu.”

Julyana mengeluh perlahan. Tidak tahu harus bagaimana bereaksi. Kata-kata lelaki itu benar-benar datang dari hati lelaki itu. Nampak sangat Alif masih berharap padanya. Tidak cukupkah mereka berkawan saja?

“Macam mana persahabatan kita dulu?” Tergerak hati Julyana untuk bertanya. 

“Okey aje tapi …” Alif tidak menghabiskan ayatnya saat mindanya diterpa oleh bayangan Andre. 

“Tapi apa?”

Alif segera menggelengkan kepala, menimbulkan rasa curiga dalam diri Julyana. 


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie