Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,049
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

SEMENJAK ketiadaan Aida di sisi, Julyana mula berasa sunyi. Selalunya dengan temannya itu dia berkongsi semua perkara dan setiap kali dia didatangi masalah pastinya Aida yang akan memberi jalan keluar untuknya. Tanpa Aida sebagai penyokong, dia berasa dirinya keseorangan. Berasa kesunyian.

Julyana mengeluh perlahan. Matanya tidak lepas memandang langit yang membiru tetapi tampak gelap kerana kesuraman malam. Terasa tenang dengan suasana itu.

“Ju, tengok apa tu?” 

Suara Puan Rohaya menegur Julyana. Julyana memalingkan wajah. Senyuman yang terukir di bibir cukup hambar.

“Kenapa mak tak tidur lagi?” soal Julyana sebaik Puan Rohaya melabuhkan punggung di sisinya. Sama-sama menikmati angin malam di buaian besi.

“Macam mana mak nak tidur bila anak sulung mak ni masih ada kat luar? Mak risau sebab mak tak tahu apa yang Ju sedang fikirkan. Ju macam susah hati. Kenapa Ju? Masih fikirkan pasal Aida ke?”

Julyana sekadar mengulum senyum. Dia kelihatan susah hati? Ya, dia mengakuinya. Dia rindukan Aida. Aida yang selalu ada dengannya. Tapi kali ini dia takkan mampu berkongsi apa-apa lagi dengan Aida. Sewaku dia melawat Aida, Aida semakin lupa akan dirinya. Dia bertanya berkali-kali siapakah dirinya. Ternyata, Aida semakin hilang memori gara-gara terlalu dikuasai emosi yang tidak stabil. 

“Ida dah tak ingat semua orang.  Dia asyik ulang soalan yang sama. Siapa kau? Siapa aku? Ju tak sangka sampai macam tu sekali nasib Ida. Tapi Ju kesal sangat sebab saat Ida perlukan Ju, Ju tak ada kat tempat dia. Kalaulah Ju ada dengan dia, dia takkan bertindak macam tu. Semua ni berpunca dari Ju, mak. Kalaulah Ju ada dengan dia pada masa tu,” luah Julyana dalam suara yang lirih. Baginya, apa yang berlaku adalah berpunca darinya. Jika dia ada dengan Aida pada hari kejadian, tidak mungkin begini akhirnya. Tindakan Aida mungkin boleh ditegah. Pastinya dia mampu menghalang Aida daripada berjumpa dengan Aidil.

Tangan Puan Rohaya melekap di bahu Julyana. Digosok bahu itu dengan sentuhan lembut.

“Benda dah nak jadi, Ju. Ju tak salah dalam perkara ni. Kalau Ida tahu, dia mesti tak suka Ju salahkan diri sendiri. Selama ni pun Ju selalu ada dengan Ida cuma kali ni, mungkin Ida tak nak susahkan Ju. Tak nak bebankan Ju. Ju kena faham. Tak semua orang sanggup menempuh susah payah bersama-sama. Ida sayangkan kawan dia. Dia tak nak Ju menderita sama. 

Mungkin bagi Ju, semua ni salah. Ida patut berkongsi dengan Ju kesusahan dia tapi mungkin pada Ida, mengheret Ju sama ke dalam masalahnya bukanlah satu langkah yang baik sebab Ju akan terbias sama dengan akibatnya. Kan Ju ada bagitahu mak, arwah Aidil ada datang Ju kat restoran dan hampir mencederakan Ju? Cuba Ju bayangkan betapa bahayanya tindakan arwah? Tapi tak perlulah dikenangkan. Semuanya yang berlaku ada sebab.”

Sebaris ayat terakhir yang terluah dari mulut Puan Rohaya itu menarik perhatian Julyana. Semacam pernah mendengar ayat itu dari seseorang. Namun, dia sudah lupa siapakah gerangannya yang menuturkan ayat yang sama seperti Puan Rohaya. 

“Ni sampai bila nak duduk kat luar? Sejuk ni. Nanti boleh demam pula.” Puan Rohaya mengingatkan.

Julyana senyum segaris.

“Mak masuk dululah. Kejap lagi Ju masuk.”

Puan Rohaya mengangguk. Dibiarkan sahaja anak sulungnya itu di situ. Adakalanya Julyana juga memerlukan masa untuk bersendirian.


RIUH-RENDAH suasana dalam banglo dua tingkat itu. Rifqy pula yang rimas dengan keadaan yang hingar-bingar itu. Dengan anak-anak saudaranya yang banyak mulut ditambah pula dengan celoteh dua kakak kembarnya yang tidak pernah habis. Mungkin sudah lama tidak bersua menyebabkan dua kakaknya itu mengatur sambutan hari lahir serentak di rumah papa dan mama.

Rifqy mengambil peluang menyelinap ke ruang stor. Malas melibatkan diri dengan suasana yang gamat itu. Di dalam stor dia menyelongkar segala yang ternampak dek mata. Banyak juga simpanan yang dimuatkan di situ. Dia jarang menyelongkar barang-barang yang tersimpan di situ kerana tiada apa yang menarik untuk dilihat.

“Bersepahnya. Dah namanya pun stor,” bicara Rifqy seorang diri. Tangannya membelek-belek album lama yang ditarik dari rak di satu sudut. Semuanya penuh dengan gambar papa dan mama versi muda. Gambar Adelyn dan Arlene juga tidak ketinggalan. Dua kakaknya itu sememangnya memiliki kecantikan yang diwarisi oleh mama sejak kecil lagi. Maka tidak hairan Adelyn dan Arlene masih cantik menawan walaupun sudah memiliki anak masing-masing.

“Qy!”

Terperanjat dengan panggilan namanya, Rifqy tanpa sengaja merempuh rak di sebelahnya. Beberapa akhbar lama jatuh ke lantai. Rifqy pantas mencapai akhbar tersebut dan meletakkan ke rak asal. Namun, tangannya tiba-tiba kaku saat matanya terpandangkan wajah seseorang di ruangan akhbar. Mulutnya membaca sebaris ayat yang tertera di situ sebelum dia terduduk. Nafasnya mula turun naik. Serentak pintu stor dibuka dari luar. Mata Rifqy kalih ke arah itu.  

“Qy, buat apa kat sini?” soal Arlene hairan apabila mendapati adiknya ada di situ. Patutlah cari punya cari tak ada. Kat situ rupanya adiknya bersembunyi.

“Siapa Jason, sis?” Matanya berpadu dengan mata Arlene.

Soalan itu membuatkan wajah Arlene berubah. 


RIFQY melontarkan pandangan ke luar balkoni. Sengaja dia menyepikan diri di dalam bilik usai menunaikan solat Isyak. Sambil itu dia beristighfar di dalam hati. Kala itu hanya Dia sahaja yang berada dalam ingatan. 

Ketukan pada pintu bilik menyentakkan Rifqy namun dia tiada hati untuk membukanya. Pintu tidak berkunci pun. Boleh saja dibuka dari luar.

“Qy?” Kepala Arlene terjengul. Rifqy menoleh. Tiada segaris senyuman di bibir walaupun Arlene menyapa dengan senyuman. Hatinya tawar untuk beramah mesra dengan orang. Nak-nak lagi apabila ada yang menyimpan sesuatu daripada pengetahuannya.

“Jom turun makan. Qy tak makan apa-apa pun sejak tadi. Ke nak sis bawakan untuk Qy?” Arlene menawarkan diri. Sejak dari petang tadi lagi adiknya itu tidak menyentuh apa-apa. Hendak kata sakit, tak nampak pula sakitnya. 

“Qy tak lapar. Tapi Qy nak penjelasan. Siapa Jason Chew? Dan siapa Andre Chew? Kenapa wajah Qy hampir sama dengan wajah Andre?”

Arlene terdiam. Dia menapak masuk. Masih mencuba untuk memujuk adiknya itu. Soalan adiknya tadi tidak berjawab. Dan sekarang adiknya masih mahu mengasaknya untuk menjawab soalan itu. 

“Sampai bila nak sembunyikan perkara sebenar kalau sis tahu? Kenapa sis tak bagitahu Qy? Susah sangat ke soalan Qy?”

“Qy, sis….”

“Qy memang tak tahu apa-apa pasal ni, sis. Tapi Qy berhak tahu kebenaran! Kat mana salahnya Qy sampai semua orang sanggup rahsiakan perkara sebenar dari Qy? Mama, papa pun!”

“Apa yang kecoh-kecoh ni?” Tuan Harun menyerbu masuk ke dalam bilik setelah telinganya menangkap bunyi bising di tingkat atas. Puan Amna juga turut menyertai. 

“Pa ...” Arlene pandang Tuan Harun. Dia mulai serba-salah. Kerana hanya Tuan Harun seorang sahaja yang tidak tahu apa-apa.

“Qy, kenapa ni?” Dengan lembut, Puan Amna bertanya.

Rifqy tersenyum jengkel. Kelembutan Puan Amna tidak terkesan langsung di hatinya. “Kenapa masih nak berpura-pura? Kenapa masih nak tunjuk yang mama sayangkan Qy? Kenapa tak bagitahu satu dunia ni yang Qy bukan anak keluarga ni?”

Puan Amna terpempan. Kenyataan anaknya itu adalah satu perkara di luar jangkaan.

“Apa Qy cakap ni?”

“Ini!” Rifqy menarik keratan akhbar dari poket seluarnya lalu dilayangkan ke arah Puan Amna yang kemudiannya jatuh ke lantai. Tangan Puan Amna terketar-ketar saat mencapai keratan itu.

“Siapa lelaki tu?”

Puan Amna menggeleng kepalanya berulang kali. Matanya tidak lepas memandang wajah dalam keratan akhbar itu. Sebolehnya dia mahu melupakan wajah itu namun kenapa Rifqy perlu mengingatkannya pada wajah itu? Pada peristiwa itu?

“Ini bukan ...”

“Jangan cuba berbohong, mama. Mama dah masuk Islam. Bohong bukan amalan orang Islam,” pintas Rifqy sambil memeluk tubuh.

“Qy, papa tak tahu apa yang Qy cuba nak cakap tapi bagi peluang pada papa dan mama untuk menjelaskan pada Qy. Papa tak faham apa yang Qy dah jumpa. Papa …”

“Keratan tu untuk apa? Kalau tak penting kenapa mama simpan? Dan kenapa ada gambar orang yang sama dengan muka Qy?”

“Qy ingat apa-apa ke?” Puan Amna menyoal perlahan. Mustahil untuk Rifqy ingat apa yang telah berlaku dengan tiba-tiba sahaja. Lagi pula doktor juga ada mengatakan bahawa anaknya itu mungkin tidak akan ingat sampai bila-bila kerana terdapat masalah pada otaknya kesan daripada insiden kebakaran yang berlaku dua puluh tahun lalu. Walaupun tidak mengalami kecederaan yang parah namun Rifqy mengalami tekanan dan trauma yang berpanjangan sehingga terpaksa menjalani sesi terapi beberapa kali. Kini keadaan Rifqy semakin stabil namun ingatannya tentang peristiwa dua puluh tahun lalu tetap tidak menerjah di minda. Itu bermakna Rifqy masih tidak ingat apa-apa. 

Rifqy menggeleng. Ingatannya masih tidak dapat mencerna apa-apa tentang memori kecilnya. Namun, hatinya kuat mengatakan keratan itu ada kena mengena dengan dirinya. Jika bukan kerana dia tidak terjumpa akhbar lama di stor, sampai bila-bila pun dia tidak tahu. Dia tidak kenal wajah yang ada pada keratan akhbar yang diambilnya itu. Dia juga lupa wajah kanak-kanaknya. Tetapi kalau tidak berkaitan dengannya, masakan mama menyimpan keratan itu? Untuk apa? Gambar kanak-kanak yang terpapar pada keratan itu pula seiras dengannya walaupun dia tidak berapa pasti bagaimana rupanya sewaktu kecil. Nalurinya saja kuat mengatakan gambar itu adalah miliknya.

“Andre Chew tu siapa? Jason Chew tu ayah Andre Chew ke?”

Jantung Puan Amna bagai mahu luruh saat nama itu disebut. Nama itu sudah lupus dari ingatannya namun kerana mulut Rifqy, mindanya kembali memutar ingatan terhadap nama itu. Sebolehnya dia mahu melupakan peristiwa itu. Peristiwa itu menyebabkan dia kehilangan insan tercinta. Dan dia juga tidak mahu terus dibayangi dengan imej seorang kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa tangannya.

“Apa yang Qy mengarut ni? Bagaimana Qy boleh ada kaitan dengan keratan tu?” Tuan Harun mula bingung. Tidak mengerti apa-apa. Sepatah haram pun dia tidak faham apa yang sedang dikatakan oleh anaknya itu. Siapa pula Andre Chew dan Jason Chew?

“Qy tak mengarut, papa. Qy cuma nak penjelasan. Kenapa gambar tu sama dengan wajah Qy? Kalau bukan Qy, siapa papa? Takkan ada orang lain yang sama mukanya dengan Qy?” Rifqy terus mendesak dengan pelbagai pertanyaan. Dia mahukan jawapan. Mahukan penjelasan.

Tuan Harun pula membisu. Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Dia berkahwin dengan Puan Amna sewaktu isterinya itu bergelar janda. Dan dia tahu Puan Amna pada masa itu mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki. Namun, dia tidak pernah tahu apa yang berlaku dua puluh tahun yang lepas seperti yang tertera di keratan akhbar itu. Dan isterinya juga tidak pernah menyebut peristiwa itu di depannya.

“Fine! Semua orang buat tak tahu. Tapi Qy takkan diam pasal ni. Qy akan bongkarkan kebenaran ni. Qy berhak tahu! Sebab itu mungkin wajah Qy! Atau itu bukan wajah Qy tapi yang ada dalam gambar ni memang Qy!” 

“Qy …” Puan Amna cuba menyentuh lengan Rifqy yang menapak melintasinya namun lelaki itu pantas mengelak.

“Qy?” Arlene tersentak. Tidak pernah pula Rifqy mempersoalkan tentang perkara itu sebelum ini. Kerana keratan akhbar lama itu, adiknya mula diusik syak wasangka. Jika ingatan adiknya itu telah kembali, itu bermakna Rifqy telah menyedari apa yang berlaku dua puluh tahun lepas. Dan pastinya dia dan Adelyn tidak akan terlepas dari mata Rifqy kerana dia dan kembarnya tahu segala-galanya. Dia dan Adelyn menjadi saksi. Saksi kepada penderitaan anak kecil bernama Andre. Tetapi dia tidak berani membuka mulut kerana dia telah berjanji pada mama untuk menyimpan rahsia itu sampai bila-bila. Dia tidak mahu merosakkan kehidupan Rifqy yang sudah bahagia.

“Qy tak tahu apa-apa. Tapi naluri Qy takkan pernah tipu Qy. Entah kenapa Qy rasa semua ni ada kaitan dengan Qy. Dengan semua orang dalam rumah ni.”

Jawapan itu cukup membuat Puan Amna gelisah tidak tentu arah. Apatah lagi pandangan Tuan Harun yang menikam matanya seolah-olah memohon penjelasan.

TUAN HARUN hanya mampu menekur memandang lantai. Pengakuan isterinya masih terngiang-ngiang di telinga. Patutlah Puan Amna tidak pernah membuka kisah silamnya. Bimbang rahsia yang disimpan kemas terbongkar ke pengetahuan orang lain. Dia pula mudah disogok dengan cerita palsu sehingga dia mempercayai bulat-bulat apa yang telah diberitahu oleh isterinya. Sedikit pun tiada keraguan yang timbul. 

Tetapi isterinya telah insaf. Dia tidak boleh meletakkan seratus-peratus kesalahan ke atas pundak isterinya walaupun perbuatan isterinya tidak meletakkan dirinya sebagai seorang ibu yang sepatutnya menyayangi dan menyokong anak-anak. Namun begitu, sedikit sebanyak dia tetap berasa terkilan dengan isterinya. Perkara yang dirahsiakan itu tidak harus terus menjadi rahsia yang tidak terungkai. Mahu tidak mahu isterinya harus berterus-terang dengan Rifqy dan mendapatkan kemaafan daripada anak muda itu. 

Dia melihat Rifqy seperti anak sendiri sewaktu anak kecil itu mula menjadi sebahagian daripada keluarganya. Anak kecil itu selalu datang kepadanya jika ditimpa masalah. Rifqy membesar di depan matanya. Anak itu tahu ketawa, tahu tersenyum namun dia tidak menyangka di sebalik senyuman bahagia itu ada penderitaan dan sengsara yang ditanggung oleh anak itu. Namun tidak pernah terluah di hati.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie