Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,032
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 27

Dua puluh tahun yang lalu … Sebuah taman


ANDRE merapatkan lutut lalu dinaikkan. Dia merangkul erat lututnya. Mendengar dengan kusyuk cerita dongeng yang disampaikan oleh Julyana. Julyana pula seakan tidak jemu untuk membacakannya untuk Andre. Sesekali kedua-duanya melepaskan tawa. Ada perkara lucu yang dikongsi.

“Saya bagi buku ni kat awak.” Tangan Julyana menghulur buku ke arah Andre setelah dia menamatkan pembacaan. Mata bulatnya menikam anak mata Andre itu.

Andre teragak-agak untuk menyambut huluran itu. Buku itu milik Julyana. Kenapa pula dia perlu mengambil hak orang lain? Tidak sayangkah Julyana akan buku itu? Papa cakap dia tidak boleh mengambil hak orang sesuka hati.

“Ambillah. Memang saya nak bagi kat awak pun. Nanti awak boleh baca kalau awak sunyi,” ujar Julyana kemudian mengangguk beberapa kali. Buku itu salah satu hadiah kesayangannya namun dia tidak kisah jika ianya bertukar tangan jika Andre yang bakal memilikinya. Sekurang-kurangnya kalau dia dan Andre ditakdirkan tidak bertemu suatu hari nanti, buku itu boleh menyimpan memori Andre bersamanya. Dengan itu Andre tidak akan melupainya.

“Ini awak punya, Ju. Saya tak boleh ambil awak punya. Papa saya cakap hak orang jangan ambil,” tolak Andre dengan lembut.

Julyana menarik muka. Berpura-pura merajuk. “Terimalah buku ni. Saya memang nak bagi kat awak. Sebagai hadiah. Bukannya awak yang minta kan? Bila saya bagi kat awak, buku ni dah jadi hak awak. Awak dah tak nak berkawan dengan saya ke?” Julyana menarik wajah.

Andre serba-salah melihatkan wajah yang merajuk itu. Lambat-lambat tangannya menyambut huluran itu. Wajah Julyana kembali terhias dengan senyuman saat hulurannya bersambut. 

“Terima kasih, Ju.” Andre tersenyum. Dia akan menjaga buku itu dengan sebaik mungkin memandangkan Julyana menghadiahkan kepadanya.

“Sama-sama. Buku ni dah jadi hak awak. Jadi, awak tak payah risau. Saya takkan ambil balik. Mak saya cakap kalau ambil balik barang yang kita bagi kat orang, buruk siku namanya,” celoteh Yana.

Andre membelek helaian buku itu. Dia mengukir senyuman. Rasanya sudah lama dia tidak diberikan buku cerita sejak mendiang mama pergi. Selalunya mamalah yang membacakan untuknya. Papa pula sekali-sekala ada juga membelikannya buku namun apa gunanya papa beli apabila Adelyn yang merampas.  

Hati Julyana digeletek gembira melihat hadiah yang tidak seberapa itu mampu membuat Andre tersenyum.

“Awak suka?” 

Andre segera mengangguk. Pemberian yang kecil tetapi terlalu besar baginya.

“Suka sangat. Saya akan jaga buku ni baik-baik,” janjinya. “Tapi kenapa awak tak bagi pada Alif aje?”

Meleret senyuman Julyana dengan soalan itu. “Kat rumah dia dah berlambak dengan buku. Kenapa saya nak bagi kat dia pula?”

“Nanti dia cemburu pula.” Andre sebolehnya tidak tahu mewujudkan jurang di antara Julyana dan Alif hanya kerana Julyana sering memberi perhatian yang lebih terhadapnya.

“Alif tu baik. Dia bukan macam tu. Awak janganlah risau.”

Andre mengangguk, mengiakan saja kata-kata gadis kecil itu. Bibir tersungging dengan senyuman. Buku itu dilekapkan ke dada. Dipeluk dengan erat. Hadiah itu tampak kecil, tampak biasa namun besar maknanya pada dia yang memiliki kerana Julyana yang menghadiahkan.


“BARU ingat nak balik? Kau ke mana tadi?” 

Jerkahan keras itu membuatkan perut Andre kecut. Buku yang ada di pegangan disorokkan di belakang. Tidak mahu dirampas untuk diberikan kepada Adelyn. Kalau buku lain dia tidak kisah jika Adelyn mahu. Tetapi ini pemberian Julyana. Dia tidak boleh membiarkan Adelyn merampasnya.

“Saya pergi ke taman, Mama Yin,” jawab Andre dengan wajah takut-takut. Dia tahu benar Yin paling pantang jika dia menghilang dari rumah.

Yin mendengus keras. “Yang kau sorok kat belakang tu apa?” Dia menyedari anak kecil itu menyembunyikan sesuatu.

Andre menggelengkan kepalanya. “Tak ada apa-apa, Mama Yin.” Dia berdalih.

“Bagi aku tengok,” pinta Yin cuba membalikkan tubuh kecil itu. Andre menjerit tidak mahu. Janganlah dirampas bukunya yang satu ini. Itu pemberian Julyana. Dia sudah berjanji untuk menjaganya dengan baik.

“Bagilah aku tengok. Kau ni bukan boleh percaya sangat. Entah-entah bawa masuk dadah dalam rumah ni. Aku tak nak masuk penjara!” Yin menarik kasar lengan Andre menyebabkan buku yang dipegang oleh Andre terlepas jatuh ke lantai. Yin pandang buku itu dengan cemikan. Hanya sekadar buku. Ingatkan apa. 

“Buku? Siapa yang bagi ni? Kau curi ya?” Yin mula menuduh yang bukan-bukan dan Andre menjawab dengan gelengan. Apabila dia tidak bersuara, Yin memulas cuping telinga anak kecil itu sehingga menghasilkan jeritan meminta simpati.

“Kalau aku tanya kau jawab. Jangan jadi budak bendul. Kau dengan mama kau sama aje! Dua-dua menyusahkan! Kalau kau mati, lagi baguslah!” Lagi Andre meraih simpati lagi dia mendurjanakan anak itu. Kali ini tangannya mencubit kuat lengan Andre.

“Sakit, Mama Yin.” Andre merintih pilu. Lengannya terasa pedih dengan cubitan itu. Berkali-kali dia menahan sakit yang menghentam dengan mengetap gigi. Namun, hatinya lebih sakit apabila mendiang mamanya dihina.

“Sakit? Habis kau ingat aku tak sakit hati menghadap kau dalam rumah ni? Kalau bukan sebab Jason memang dah lama dah aku halau kau!” tempik Yin sepuas hati. Sakit matanya memandang wajah naif itu. 

Andre menangis. Telinganya mula memerah hasil daripada pulasan tangan Yin yang rakus itu. Dia cuba menolak tangan Yin dari telinganya namun usahanya langsung tidak berhasil. Sehinggalah dia dikejutkan dengan sergahan kuat yang datang dari arah belakangnya. Barulah pegangan terlerai.

“Apa yang awak buat ni?” marah Jason. Andre segera mengutip buku yang jatuh tadi kemudian menerpa dalam keadaan tergesa-gesa ke arah Jason. Pinggang Jason dirangkul dengan erat. Tangisan mendayu-dayu memohon perlindungan papanya.

Yin merengus geram. Baru saja dia hendak berseronok mendera budak itu, Jason pula pulang. Kacau line betullah, getusnya.

“Anak awak ini merayap entah ke mana. Baru ingat nak balik. Apa dia ingat ini hotel? Sesuka hati dia aje nak balik bila. Nak keluar bila,” ujar Yin menunjukkan ke arah Andre yang menangis teresak-esak dalam pelukan Jason. 

“Awak memang tak ada hati perut, Yin. Saya sangat menyesal.”

“Menyesal? Menyesal sebab apa?”

“Menyesal beristerikan orang macam awak. Awak memang kejam, Yin. Orang macam awak ni tak patut dijadikan isteri.” Jason menghamburkan marah. Sudah banyak kali dia bersabar dengan perangai isterinya itu. Sudah banyak kali dia menyimpan amarah di hati. Tidak mahu bergaduh dengan Yin. Namun, nampaknya isterinya semakin naik lemak.

Yin terkedu. Menyesal? Bukan dia yang mengejar Jason. Lelaki itu yang sibuk mencarinya. Sibuk meluahkan kata cinta. Dan, sekarang dengan mudahnya Jason mengatakan kesalan mengambilnya sebagai isteri. Mana pergi sumpah cintanya yang selalu meniti di bibir lelaki itu? Murah sangat cinta lelaki itu padanya rupa-rupanya. 

“Menyesal? Awak menyesal kahwin dengan saya? Sebab tu la awak cari orang lain kan? Sebab tu awak pilih perempuan tu? Tapi siapa yang cari siapa sebenarnya? Awak yang terhegeh-hegeh nakkan saya dulu!” bidas Yin, mengungkit kisah lama.

“Masa tu saya bodoh. Saya tak tahu perangai sebenar awak. Sekarang saya dah buka mata saya luas-luas. Awak memang tak layak jadi isteri saya. Sebab awak kejam. Saya yakin awak adalah perempuan yang boleh bagi kasih sayang pada Andre walaupun dia cuma anak tiri awak. Tapi saya silap. Awak memang tak berhati perut, Yin!”

Yin terjelepuk ke lantai apabila Jason melangkah bersama dengan Andre. Dia mencengkam tangan sendiri. Masih dia kurang percaya dengan kata-kata Jason tadi. Sekelip mata sahaja Jason membuangnya. Dia mengetap bibir geram. Ini semua disebabkan budak itu. Semuanya kerana kehadiran Andre. Jika tidak Jason pasti tidak berpaling tadah darinya. Kebencian terhadap Andre semakin membara.

“Semuanya sebab kau, Andre. Aku benci kau. Aku benci kau sampai bila-bila. Kau tunggulah apa yang akan jadi pada kau. Aku jamin kau takkan terlepas lepas ni.” Yin menggumam dalam geram. Tangan dikepal kemas. Kalau ada wajah Andre di depan matanya sekarang sudah lama kepalan tangan itu mendarat di wajah Andre.


ALIF memerhatikan Andre dan Julyana yang sedang bergelak ketawa di buaian besi. Dia sengaja berlindung di sebalik pokok, mengintai kedua-duanya. Timbul perasaan iri hati dengan kemesraan dua kanak-kanak itu. Sejak Andre hadir, Andre sajalah keutamaan Julyana. Julyana seolah-olah sudah lupa akan dirinya. Lupa akan persahabatan mereka. Dia yang terlebih dahulu hadir dalam hidup Julyana namun mengapa Andre pula yang istimewa di mata Julyana? Apa yang istimewanya budak lelaki bermata sedikit sepet itu di mata Julyana?

Tubuh dibalikkan. Tidak betah memandang lagi. Alif kini bersandar pada pokok. Perlahan-lahan dia melurut ke bawah. Ranting kayu dikutip lalu dipatah-patahkan sehingga menjadi puntung pendek.

“Alif!”

Sekonyong-konyong Alif bangkit. Dia menepuk belakang track suitnya. Menghilangkan debu tanah yang melekat di situ. Dengan wajah yang dimaniskan dia menapak dari tempat tersorok itu. Nampak saja dirinya, tangan Julyana sudah melambai-lambai ke arahnya.

“Alif! Awak ke mana? Dah lama saya tunggu awak tahu?” Julyana mula mengomel. Pipi sengaja dikembungkan. Tangan sudah bercekak pinggang. Kononnya marah namun Alif senyum sahaja. 

“Andre kan ada.” Alif menjuihkan bibir ke arah Andre yang berdiri di sebelah Julyana. 

“Mana boleh. Kita bertiga mesti bersama. Awak sendiri yang cakap sebelum ni. Ju ni kawan pertama awak.” Andre menyampuk. Tidak bersetuju dengan kata-kata Alif itu. Sebenarnya dia dapat menangkap apa maksud di sebalik kata itu. Dia yakin Alif berasa dirinya tidak diperlukan. Disisihkan oleh Julyana. Disebabkan itu dia perlu menyuburkan persahabatan kedua-duanya seperti dulu, sewaktu dia belum hadir di antara mereka. Antara dia dan Alif, Julyana terlebih dahulu kenal Alif. Dia tidak sekejam itu untuk merampas Julyana dari Alif. Dia sedar siapa dirinya. 

Julyana terangguk-angguk, menyokong kata-kata Andre. “Betul. Mana boleh macam tu. Takkan sebab Andre ada dengan saya, awak dah tak nak kawan dengan saya? Kita semua kan kawan.” Dia menarik wajah masam bersama bibir yang memuncung.

Alif geleng. Bukan itu maksudnya. Tidak terlintas di hatinya untuk memutuskan persahabatan dengan Julyana.

“Saya minta maaf, Ju. Saya tak ada niat macam tu. Awak dengan Andre kawan saya. Kalau saya tak berkawan dengan awak berdua, saya dah tak ada kawan lain,” ujar Alif. Julyana dan Andre menguntum senyum. Tahu pun.

“Nah.”

Dahi Andre terkerut apabila Alif menghulurkan sebatang lolipop kepadanya. Dia memandang Alif dengan ragu-ragu. Dia baru sahaja diberikan buku oleh Julyana kelmarin. Sekarang Alif pula mahu memberikannya sebatang lolipop.

“Ambillah,” gesa Julyana apabila Andre hanya kaku. Tiada tanda-tanda untuk menyambut huluran itu.

“Kenapa tak bagi kat Ju? Ju kan suka yang manis-manis.” Andre berpaling pada Julyana. 

“Saya belikan untuk awak, Andre. Ju dah selalu makan. Nanti gigi rongak,” balas Alif seraya memasukkan lolipop itu ke dalam poket kemeja Andre. Andre ternganga dengan tindakan itu. Alif dan Julyana terlalu baik terhadapnya. Bagaimana entah harus dia membalas kebaikan mereka berdua itu?

“Jom main kejar-kejar,” ajak Julyana dengan ceria. Dia menarik tangan Andre dan Alif serentak. Kedua-duanya akur sahaja. Tahu benar Julyana itu memang aktif budaknya walaupun dia perempuan.


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie