Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,040
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Dua puluh tahun yang lalu… Sebuah taman


 ANDRE menyapu kesan luka di lututnya dengan tangan yang kotor. Tanpa disedarinya, ada sepasang tangan menghulurkan tisu ke arahnya. Dia tidak berani mengangkat wajah, hanya terpaku memandang luka di lututnya.

“Awak luka.” 

Satu suara asing menerjah gegendang telinga. Andre tetap kaku. Langsung tidak berani untuk menyahut suara itu.

“Biar saya bersihkan luka awak,” pelawa suara itu yang kemudiannya bertinggung di depannya. Kala itu Andre mengangkat muka lambat-lambat. Dua wajah kanak-kanak sebayanya yang tidak dikenali ada di depan mata. Terus dia mengengsot namun salah seorang daripadanya menahan dengan tangan.

“Awak luka. Nanti lagi teruk kalau awak tak sapu ubat. Sapu macam tu aje takkan buat awak sembuh,” ujar kanak-kanak tersebut penuh keprihatinan. 

“Kau berdua siapa?” Andre pandang dua kanak-kanak itu silih berganti. Takut dua anak itu ada niat untuk membuat jahat terhadapnya. Sedangkan dia sendirian, tiada sesiapa yang mampu menolong jika dua anak itu mahu membulinya.

“Awak jangan takut.” Seorang budak perempuan comel yang bertudung bersuara. “Saya Julyana. Ini kawan saya, Alif.” Kanak-kanak perempuan itu memperkenalkan diri dan juga rakan di sebelahnya. Alif terangguk-angguk, mengiakan. 

“Awak luka. Dah banyak kali kami berdua nampak awak kat sini dengan papa awak tapi kali ni awak datang sorang-sorang. Awak lari dari rumah ke?” Alif menebak dengan prasangka yang bermain di fikirannya.

Andre menggeleng kepala. Dia tidak melarikan diri. Dia bukan pengecut untuk lari daripada kepayahan. Dia berdepan dengan kepayahan itu. Dan akibatnya dia mengalami luka di sebahagian tubuh badannya. Hanya bahagian lutut saja yang nampak pada penglihatan dua kanak-kanak itu sedangkan masih banyak luka yang berbirat di tubuhnya yang terlindung oleh baju-T hitam yang dipakainya.

Alif mengambil tisu dari tangan Julyana. Dihulurkan kepada Andre namun kanak-kanak itu kelihatan teragak-agak untuk menyambutnya. Sudahnya Alif melabuhkan duduk di depan Andre. Dia mengarahkan Andre meluruskan kaki dan arahannya dipatuhi Andre tanpa banyak soal. Terkulat-kulat Andre memerhatikan Alif yang membersihkan luka di lututnya dengan penuh berhati-hati.

“Kenapa awak berdua tolong saya?” Andre bertanya. Dia sebenarnya hairan dengan kehadiran dua budak itu yang datang membantunya sedangkan mereka saling tidak mengenali. Dalam masa yang sama dia terharu dengan keprihatinan dua budak itu.

“Sebab mak kita orang selalu pesan dekat kita orang supaya tolong orang yang perlukan pertolongan. Tolong kawan yang dalam kesusahan,” jawab Julyana sambil memandang wajah Andre. Matanya membulat dengan tiba-tiba. “Dahi awak pun luka ke?” Dia melontarkan pertanyaan dalam nada terkejut sebaik saja terpandangkan dahi Andre yang tercalit dengan cecair merah. Ianya terlindung di sebalik rambut hitam Andre.

“Ini?” Andre menunjukkan luka di dahinya setelah menyebak sedikit rambutnya. “Luka biasa aje ni,” bohongnya bagi menyedapkan hati Julyana. Namun, gadis kecil itu tidak mudah percaya. Wajahnya terkerut. 

“Dahi awak berdarah. Mana boleh biarkan macam tu aje. Alif, dahi dia berdarah la.” Julyana menepuk perlahan lengan Alif, mengadu pula kepada Alif yang telah menyempurnakan kerja membersihkan luka di lutut Andre. Matanya kalih pada dahi Andre. 

“Yalah, Ju. Dahi dia pun berdarah. Awak tunggu sini. Saya nak bagitahu mama. Biar mama bawa dia ke hospital!” 

Julyana menganggukkan kepala.

Tanpa membuang masa, Alif sudah berlari anak menuju ke arah mamanya. Tidak mungkin dia membiarkan Andre menanggung kesakitan sendirian. Anak itu perlu dibawa ke hospital. Kasihan sekali dia. Kalau dibiarkan, boleh terkena jangkitan kuman.

“Mama Alif akan bawa ke hospital ataupun klinik. Awak tahan sakit tu ya?” Julyana bersimpati akan keadaan Andre.

“Tak payahlah awak tolong saya. Luka ni sikit aje.” Andre menolak pertolongan itu kerana dia tidak mahu menyusahkan sesiapa. Paling penting, dia tidak mahu orang tahu. Kalau tidak, dia akan dihukum.

Dia cuba bangkit namun pantas Julyana menegah. 

“Awak luka teruk. Kena pergi hospital,” bisik Julyana. Andre menggelengkan kepala. Tidak boleh! Dia tidak boleh membiarkan orang lain tahu tentang lukanya. Dengan pantas, dia menolak Julyana yang cuba menghalangnya itu sehingga gadis kecil itu tersungkur ke tanah. 

“Maafkan saya,” ucap Andre dalam nada bersalah. Dia terpaksa menyakiti gadis kecil itu padahal dia tidak berniat sebenarnya.

Julyana tercengang. 

“Cakap dengan kawan awak Alif, terima kasih untuk tadi,” laung Andre sebelum beredar pergi dengan kekuatan yang tersisa. Julyana ingin memanggil namun dia tidak tahu nama budak itu. Sudahnya dia biarkan saja Andre berlalu dari situ. Apabila Alif dan mamanya sampai di situ, dia hanya mampu memberitahu bahawa Andre telah pun beredar.


JULYANA terbangun dari katil. Dia meraba-raba jam loceng dari meja katil. Sudah masuk waktu Subuh. Patutlah. Walau bagaimanapun, dia tidak terus turun dari katil. Mimpi tadi. Ya, mimpi itu tidak pernah datang menjengah tidurnya sebelum ini namun sejak akhir-akhir ini dia sering kali diganggu dengan mimpi yang sama. Mimpi zaman kanak-kanaknya. Mungkinkah kerana fikirannya memberatkan pasal Alif menyebabkan mimpi itu datang mengacau lenanya? Tetapi mimpi itu bukan berkisar tentang Alif semata-mata. Ada seseorang yang hadir dalam mimpi itu. Gerangannya adalah seorang kanak-kanak lelaki yang sebaya dengan Alif. 

Dia sudah ingat kini. Alif adalah rakan sepermainannya. Mereka memang selalu meluangkan masa bersama-sama. Benarlah kata Alif. Mereka memang rapat. Tetapi bagaimana pula dengan budak lelaki yang dirawati oleh Alif? Siapakah dia?

Malas memikirkan soal itu, dia turun dari katil lalu bergerak ke bilik air. Dia mahu membersihkan diri sebelum menghadap Tuhan Yang Maha Esa. 

Usai bersiap-siap, dia mula menyarungkan telekung ke kepala. Sejadah dibentangkan ke arah kiblat. Lafaz takbir diangkat. Setelah solat, dia berteleku di sejadah. Agak lama dia duduk menghadap kiblat sebelum mindanya dikejutkan dengan ketukan di pintu. Dia menyahut dari dalam mengatakan pintu tidak berkunci.

“Akak, mak nak akak tolong masak,” maklum Jihani sebaik muncul di sebalik pintu.

“Jie tak boleh nak tolong ke?” sinis Julyana. 

“Jie nak sambung tidur. Hari ni kan tak ada exam. Akak tak tahu ke yang Jie tak cukup tidur?” Jihani mencemik. 

Julyana merengus kecil. Alasan semata-mata. Macamlah dia seorang saja yang tidak cukup tidur.

“Anak dara apanya lepas Subuh tidur balik? Nanti berkarat otak tu baru tahu!” Julyana siap memerli lagi. Bukan senang mahu nampak adiknya itu di dapur. Dia hanya akan menjengah di ruang dapur sebaik makanan terhidang di atas meja. Baik punya adik. Macamlah dia tu bos.

“Akak apa tahu?” 

“Apa akak yang tak tahu? Akak pun pernah jadi pelajar tapi akak boleh aje tolong mak kat dapur.” 

Pemalas betul adiknya itu jika ingin dibandingkan dengan Juhanna. Bukan hendak masak ala hotel pun. Setakat sarapan pagi biasa saja. Kerjanya hanya melantak. Buat kerja malas. Sudah menegur tetapi Jihani tidak mahu dengar. 

“Akak, Jie datang bagitahu akak ni bukan sebab nak dengar akak membebel. Sudahlah, akak. Buang masa aje gaduh dengan akak. Sambung tidur lagi bagus!” Jihani mendengus seraya menutup pintu kasar. 

Hampir luruh jantung Julyana dikejutkan dengan bunyi pintu yang berdentum kuat itu. Dia mengurut dada. Ya Allah, apa nak jadi dengan adik aku ni? Tegur sikit dikatakan membebel? Kalau tidak mengenangkan Jihani itu adiknya, sudah lama makan penampar agaknya. Dia bukannya reti menahan sabar. Jihani tidak pernah senangkan hatinya. Dia banyak melawan dan meninggikan suara setiap kali dia menegur. Apa gunanya dia jadi kakak kalau dia tidak menegur adik sendiri? Dia menegur pun untuk kebaikan Jihani juga.


ROTI bersalut jem nanas itu disuap masuk ke dalam mulut. Bebola matanya bergerak ke kiri dan ke kanan silih berganti bagaikan sedang mengawasi orang di sekeliling. Suasana di meja makan benar-benar hening. Masing-masing sibuk menjamah sarapan pagi tanpa mengeluarkan suara.

“Apasal semua diam ni?” Akhirnya Tuan Harun memecahkan kesunyian. Dia memandang Rifqy dan Puan Amna. 

“Abang nak tambah?” Puan Amna menyuakan mangkuk berisi bihun goreng ke arah suaminya. 

Tuan Harun menolak lembut. “Saya dah kenyang.”

Puan Amna meletakkan semula mangkuk berisi itu ke meja. Dia mengerling ke arah Rifqy yang diam tidak bersuara di tempat duduknya. 

“Saya faham keluarga kita sekarang ada masalah. Tapi janganlah bermasam muka. Tak baik tu. Depan rezeki pula tu.” Tuan Harun mengeluarkan nasihat. Rifqy masih juga tidak memberi apa-apa reaksi. 

Rifqy menolak kerusi ke belakang. Hilang seleranya untuk menghabiskan sarapannya itu. 

“Qy pergi dulu, papa. Assalamualaikum.”

Tanpa menyalami tangan Tuan Harun dan Puan Amna seperti kebiasaannya, dia mengorak langkah meninggalkan ruang makan itu.

“Qy langsung tak salam dengan kita. Apa nak jadi dengan dia sekarang ni?” keluh Tuan Harun kemudian menyisip teh panas.

“Dia masih marahkan saya, abang.” Puan Amna merendahkan suara.

“Saya tak fahamlah apa nak jadi dengan keluarga kita ni.” 

Lagi sekali keluhan terbit dari mulut Tuan Harun. Puan Amna hanya membisu. Dia tahu dia yang menjadikan keluarganya berantakan.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie