Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,032
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 26

RIFQY membuka mata. Sakit kepala yang mencucuk menyebabkan dia terjaga. Kedua-dua tangan mencengkam kuat rambutnya bagi mengatasi rasa sakit itu. Sakit itu memang lain macam. Tidak pernah sekali pun dia mengalaminya setelah berjaya memulihkan diri sendiri. Namun, sejak akhir-akhir ini kesakitan itu kembali hadir menemani tidurnya. Kepalanya sering berasa berat dan rasa sakit itu datang tanpa amaran. Kepalanya seperti dihentak dengan benda yang keras. Dan, dia juga nampak wajah seseorang. Wajah seorang lelaki dewasa. Tetapi wajah itu dihiasi dengan senyuman. Wajah yang terlalu asing.

“Ya Allah.” Dia menyebut kalimah itu. Dia mula mengerengkot saat sakitnya semakin menjadi-jadi. Sudah bertahun-tahun lamanya rasa sakit seperti ini hilang, mengapa ianya datang kembali bersama bayangan seseorang?

“Sakitnya, Ya Tuhanku. Tolong aku. Ya Allah.” Dia mengadu lemah. Sudah puas dia menukar posisi tidur namun kesakitan kian mencucuk-cucuk. Bibirnya diketap kuat dalam menahan kesakitan. Tangan menggagau meja katil, mencari sesuatu untuk menyokongnya bangkit dari katil. 

Dengan kesakitan yang masih tersisa, dia melangkah turun dari katil. Kakinya diatur ke arah bilik air. Sebaik pintu bilik air dikuak, kakinya tidak mampu lagi menampung tubuh. Di situ juga dia tersungkur seperti nangka busuk. Tanpa disedarinya, air mata mengalir perlahan melalui celah mata yang terpejam.


PINTU bilik itu diketuk sekali lagi apabila tiada sahutan dari dalam. Ketukan pertama tidak bersahut. Ketukan kedua juga memberi jawapan yang sama. Bibik berkali-kali memanggil nama itu namun tetap jua tiada balasan. Sudahnya dia memulas tombol. Hairan pula pintu bilik itu tidak berkunci.

“Qy …” 

Dia menolak perlahan daun pintu. Matanya tertancap pada katil yang berselerak. Dengan selimut yang terjatuh di lantai. Bantal tercampak ke bawah katil. Sakit matanya menengok keadaan bilik itu. 

“Ya Allah. Macam apa dah bilik ni. Hai, anak muda memang macam ni la.” Bibik mengeluh. 

Selalunya bilik anak bujang Puan Amna kemas. Tak macam yang ni. Dia kenal sikap Rifqy yang agak pengemas. Jarang sekali anak muda itu meninggalkan bilik dalam keadaan tunggang-langgang.

“Qy! Bibik masuk ni.” 

Bibik melangkah dengan perlahan. Takut mengganggu Rifqy. Mungkin anak muda itu berada di dalam bilik air.

“Ya Allah!” 

Bibik menutup mulut saat matanya menangkap sekujur tubuh yang terkulai di lantai depan bilik air. 

“Puan! Tuan!”

Bagai orang sasau, bibik berlari keluar dari bilik itu dengan jeritan memanggil Puan Amna dan Tuan Harun. 


PERLAHAN-LAHAN kelopak matanya dibuka. Terdengarkan suara orang sayup-sayup di telinganya memaksa dia membuka mata yang masih terasa kelat.

“Qy.” Wajah Puan Amna menyapa.

Rifqy pandang sekeliling. Cuba mengamati di mana dia berada saat itu. 

“Qy kat mana ni?” 

“Qy kat rumahlah.” Puan Amna menjawab senang. Lega melihat anak lelakinya itu telah sedar. Hati ibunya menjadi risau apabila Rifqy ditemui pengsan dalam keadaan terbaring di lantai depan bilik air.

“Kenapa Qy ada kat katil?”

“Qy pengsan.” Arlene menjawab lega. Lega adiknya telah sedar. Bagai hendak tercabut jantungnya apabila mendapat tahu adiknya itu pengsan tidak sedarkan diri.

“Agaknya Qy pengsan sebab mama kut?” Adelyn yang berdiri sambil memeluk tubuh di dinding mencelah. Berkali-kali dia menjeling mama. Ketidakpuasan hatinya masih tidak hilang. Tuduhan Arlene tempoh hari masih berbekas di hati.

“Apa yang kamu cakap ni?” Tuan Harun menegur anaknya itu. Adelyn tayang pula wajah kelat.

“Tak betul ke apa yang saya cakap papa? Mama ni …”

Mulut Adelyn ditekup kasar oleh tangan Arlene. Lekas dia menarik tangan Adelyn agar berlalu dari bilik itu dengan segera. Terjerit-jerit ibu kepada dua orang anak itu apabila dirinya diheret keluar. Mulutnya menyumpah Arlene dalam bahasa ibunda. Namun, Arlene buat tidak tahu.

“Apa maksud sis tadi, mama?” Rifqy bersuara lemah. Dia cuba bangun dengan bantuan Tuan Harun.

“Ah. Tak ada apa-apalah. Adelyn memang macam tu.” 

“Apa-apa ajelah.” Rifqy kembali berbaring. Mata dipejam rapat. Tidak jadi hendak bangun. Apa lagi kepalanya masih terasa berat.

“Apa maksud Adelyn tadi?” 

Kali ini Tuan Harun pula yang bertanya. Puan Amna yang menyangkakan ianya telah berakhir di situ agak terkejut dengan soalan yang sama itu. 


“APA yang kau cuba nak bagitahu Qy tadi hah? Kau sengaja nak bagi hubungan mama dengan Qy retak ya?”

Adelyn menolak tangan Arlene dari lengannya. Tidak suka Arlene menyentuhnya dengan kasar.

“Memang mama yang jadikan Qy macam tu!” Adelyn bersuara keras. Selama ini pun dia diam saja. Tetapi melihat Rifqy yang tertipu itu cukup membuatkan dia semakin geram terhadap Puan Amna dan Arlene yang bertindak merahsiakan perkara sebenar daripada Rifqy.

“Mama tak bersalah!” Arlene menjerit kuat.

“Mama tak bersalah?” Adelyn mengecilkan pelupuk mata. Tidak sangka Arlene akan berkata begitu sedangkan kembarnya itu tahu segala-galanya. Hebat benar permainan dua beranak ini. Dia bagaikan mahu ketawa mengejek.

“Ya, mama dah berubah. Jadi, mama dah tak bersalah.” Arlene merendahkan suara. Meyakinkan Adelyn bahawa Puan Amna memang sudah berubah.

“Tapi mama tetap Yin! Tak ada siapa pun yang menafikan siapa diri mama yang sebenarnya. Kau pun tahu siapa mama. Kau jangan nak buat tak tahu. Kalau Qy jadi macam tu pun, kau pun tahu siapa penyebabnya!” Kemarahan Adelyn mulai mendidih. Kedua-dua lengan naik ke dada, memeluk tubuh.

Arlene meraup wajah. Tidak sanggup terus bertikam lidah dengan Adelyn kerana dia tahu Adelyn tetap akan menyalahkan Puan Amna dan dia.

“Sampai bila kau dengan mama nak menipu Qy? Aku memang tak suka Qy sejak kecil lagi tapi aku tak sekejam kau bersubahat dengan mama tipu Qy yang hilang ingatan tu! Aku akan berdoa pada Tuhan supaya semua ni akan terbongkar suatu hari nanti!”

“Adelyn!” 

Tangan Arlene hampir naik ke pipi Adelyn. Walau bagaimanapun, Adelyn tetap mempamerkan riak wajah yang selamba. Terus tindakan Arlene mati. Tangan diturunkan ke bawah. Dia menghela nafas panjang. Mujur dia masih mampu mengawal diri. Bergaduh dengan kembarnya tidak akan membawa apa-apa faedah. Dia juga yang sakit hati.

“Kau kena ingat, Arlene. Mama adalah Yin. Kalau kau dengan mama nak tebus rasa bersalah, bukan dengan cara menipu Qy. Kau tahu kan apa perasaan Qy kalau dia dapat tahu yang orang selama ni dia percaya dah tipu dia hidup-hidup? Bukan sekali tapi dua kali!”

Tubuh tinggi lampai itu terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Arlene melurut ke bawah. 

“Kalau semuanya terbongkar mama akan kehilangan Qy. Mama tak boleh kehilangan Qy. Tak boleh. Nanti mama sedih. Nanti mama tertekan …” Arlene bermonolog sendirian. Kepalanya digeleng ke kiri dan ke kanan silih berganti.

‘Tapi betul cakap Adelyn tu. Kau dengan mama yang jadikan Qy macam tu.’ Suara hatinya mengejek.

Arlene menggeleng lagi, menafikan. Tidak. Dia tidak menjadikan Rifqy merintih dalam sengsara. Dia tidak pernah menjadikan Rifqy sebagai mangsa. Puan Amna yang menjadi watak utama dalam penderitaan Rifqy. Bukan dia.


RIFQY kembali masuk pejabat seperti biasa. Dia tidak boleh lama-lama di rumah. Terasa sesak hatinya menghadap Puan Amnah sepanjang masa. Dia tidak boleh memandang wajah itu lama-lama. Ianya boleh menimbulkan satu perasaan yang kurang senang. Satu perasaan yang boleh bertunas menjadi geram dan benci. Untuk mengelakkan kebencian itu bersubur, dia perlu menjauhkan diri dari mama. Jika tidak dia pasti akan mengusutkan kepala Puan Amnah pula. 

Bahu Rifqy ditepuk keras. Menyeringai lelaki itu kerana perit. Dia mengusap bahunya. Menentang Afiq dengan pandangan tajam.

“Tak boleh ke kau bagi salam? Main tepuk macam ni kau ingat tak sakit?” Rifqy meleter.

Afiq menggaru lehernya. Bahu Rifqy terus dipaut. Sekadar bergurau, apa salahnya? Lagipun sudah lama Rifqy tidak lepak dengannya. Dia rindu saat mereka bersama. Bergurau senda dan lepak bersama.

“Kau ni emotional sekarang ni. Macam orang tengah bercinta. Taman kat hati sedang berbunga ke kawan?” Afiq mengusik namun dibalas dengan jelingan Rifqy. Bahu Afiq dipukul keras. Balas balik.

“Pandailah kau. Bab kembang setaman tu kaulah champion. Dah berapa kali taman kau berbunga kembang mewangi tu?” ejek Rifqy mengenakan Afiq pula.

Afiq gelak besar. Mengganggu Lai dan Celine yang sedang menghadap kerja masing-masing di meja. Kedua-duanya menghantar jelingan sinis ke arah Afiq menyebabkan tawa lelaki itu terus terbantut. Tangan diangkat, disatukan kedua-duanya tapaknya tanda meminta maaf.

“Pekerja cemerlang,” getus Afiq menunjukkan Lai yang masih memandangnya dengan tajam.

“Kau jangan layan lelaki tu, Qy. Buang masa aje.” 

Afiq mencemikkan wajahnya. “Ish … Sibuklah mamat ni. Ikut suka hati akulah. Aku nak bermesra dengan kawan sendiri apa salahnya? Si Qy ni dah jarang lepak dengan aku. Kau apa tahu? Asyik keluar dating dengan Celine aje!”

Celine terbatuk. Dia mengangkat wajah. Afiq memang bermulut tempayan betul. Tak pandai simpan rahsia. 

“Laa … korang berdua dah jadi couple ke? Official ke ni?” Rifqy pandang kedua-duanya memohon penjelasan. Tidak tahu pula Lai dan Celine rupa-rupanya bercinta dalam diam. Patutlah sejak akhir-akhir ini selalu keluar makan berdua. Layanan Celine pada Lai pula semakin sweet.

Lai berdehem. Celine jeling Lai. Kedua-duanya berbicara melalui mata.

“Korang ni. Tahulah tengah bercinta tapi tak payahlah nak main mata dalam ofis ni. Takkan keluar dating hari-hari tak cukup sampai nak main mata dalam ofis pula? Meluatlah aku dengan korang berdua ni.” Afiq tayang cebikan, mengejek Lai dan Celine.

“Ikut suka hatilah. Kau jangan nak jealous!” 

Lai membaling pen ke arah Afiq tetapi mengenai dada Rifqy. Nasib baik pen itu bertutup. Jika tidak terpalit dakwatlah di baju T yang tersarung di tubuhnya.

Rifqy gelengkan kepala. Dengan perangai budak-budak Afiq dan Lai, memang menghiburkan dirinya. Ringan sikit kepalanya. Hari-hari kalau macam ni senanglah hatinya. Tidak terbeban dengan persoalan di minda. Tidak berpeluang untuk memikirkan masalah yang mendatang. Tidak perlu memberatkan kepala tentang mama. Sungguh bersama dengan rakan sekerja bagaikan berada di syurga tetapi berada di rumah, terasa berbeza benar.


Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie