Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,037
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

HARI INI dia membantu emak menyediakan sarapan pagi. Juhanna juga ada di dapur. Menolong mana yang patut. Jihani pula asyik melayan K-pop. Macamlah K-pop boleh buat dia kenyang. Tahu makan saja. Menolongnya tidak. Julyana bagaikan mahu pelangkung saja adiknya itu. Dah besar panjang pun tiada gunanya. Menyusahkan adalah. Ikut perangai siapa, dia sendiri tidak pasti.

“Ju, mak nak tanya boleh?” Puan Rohaya meletakkan semangkuk ikan bilis goreng di atas meja.

“Hai, mak. Selama ni mak nak tanya apa pun tak ada pula mak minta izin bagai. Penting sangat ke?” Julyana agak hairan dengan Puan Rohaya yang meminta izinnya sebelum bertanya. Nak tanya apa-apa, tidak perlulah meminta izin bagai.

“Mak nak tahu.” 

“Apa yang mak nak tahu?” tanya Julyana, menantikan soalan yang bakal terluah dari mulut Puan Rohaya. 

“Lelaki Cina yang hantar Ju ke rumah tempoh hari tu kawan Ju ke?” 

Julyana tersentak.  Tangannya yang leka menghiris timun terhenti. Wajah Puan Rohaya direnung seketika sebelum tangannya kembali bergerak menyambung kerja menghiris timun. Patutlah Puan Rohaya hendak tahu sangat. Dia belum memberitahu Puan Rohaya tentang Rifqy.

“Dia mualaf, mak. Kawan Ju.” Dia berterus-terang. 

“Mualaf? Kawan biasa atau istimewa?” Puan Rohaya menebak. Dia tahu Julyana dan Alif kini hanya berteman biasa. Pada mulanya dia tidak suka apabila Julyana masih mahu memberi peluang kepada Alif. Hatinya masih terkilan dengan tuduhan melulu kawan baiknya itu. Sampai hati Che Alizah merosakkan persahabatan mereka dengan tuduhan yang tak berasas. Jika ianya senang dilupakan, dia pasti mampu memaafkan Che Alizah. Tetapi Che Alizah adalah penyebab kepada pertelingkahan mereka berdua. Perlukah dia beralah dan menutur kata maaf sebelum Che Alizah sedangkan yang nyata Che Alizah yang membuat tuduhan membabi buta terhadapnya?

Tetapi, Julyana sudah meyakinkan bahawa dia dan Alif hanya akan berkawan sahaja. Tidak akan lebih daripada itu. Sekarang, Julyana ada pula kawan lain. Mestilah dia tertanya-tanya apakah hubungan sebenar antara Julyana dan rakan baru anaknya itu.

“Kawan biasa aje, mak. Apalah mak ni …”

“Bukan special?”

“Mak …” Julyana pandang Puan Rohaya. Dia perlu berterus-terang tentang Rifqy supaya Puan Rohaya tidak bersangka yang bukan-bukan.

“Dia cuma kawan aje. Memang Ju sukakan dia. Sebab dia baik. Dia selalu ada dengan Ju. Dia berusaha untuk senangkan hati Ju. Tapi ...” Kata-kata Julyana mati di situ.

“Tapi apanya?”

“Entah la, mak. Ju rasa Ju macam sukakan dia lebih daripada kawan. Tapi Ju masih ragu-ragu dengan perasaan Ju.” Hatinya berbolak-balik memikirkan perasaannya pada Rifqy. Lelaki itu dianggap sebagai kawan sahaja tetapi entah mengapa dia merasakan dia dan Rifqy akan menghadapi pelbagai rintangan dalam mempertahankan persahabatan mereka.

“Habis tu? Dia anggap akak macam mana pula?” Juhanna mencelah. Ingatannya diterpa dengan seraut wajah yang muncul di rumah beberapa hari yang lalu.

“Kawan … mungkin.” Lambat dia memberi reaksi. 


RIFQY tidak jadi melangkah masuk apabila matanya tertangkap dua tubuh yang sedang berbual mesra di kaunter wang. Dia teragak-agak untuk masuk namun tubuhnya ditolak lembut oleh seorang lelaki muda. Dia menunduk, memohon maaf kerana telah menghalang laluan lelaki itu. 

“Kenapa tak masuk?” soal lelaki itu.

“Err … Nak masuklah ni,” jawab Rifqy seraya melangkah masuk. Saat itu juga, mata Julyana terus tertancap pada tubuh Rifqy.

“Rifqy!”

Rifqy menoleh pantas apabila namanya dilaungkan. Dia mula mendekati Julyana. Bibirnya mengukir senyuman canggung.

“Kenapa tak masuk terus tadi? Sejak bila awak jadi tak biasa ni?” sapa Julyana dengan wajah yang ceria. Dia tidak dapat menangkap apa-apa walaupun jelas Rifqy kelihatan tidak gembira. 

“Saya nampak awak bercakap dengan …” Rifqy menoleh ke arah Alif. Kedua-duanya berbalas pandangan.

Julyana berdehem. Lupa pula hendak memperkenalkan Alif pada Rifqy. 

“Alif, ini kenalkan Rifqy. Kawan mualaf yang saya selalu ceritakan kat awak.” Julyana memperkenalkan Rifqy kepada Alif. 

“Saya Alif. Kawan Ju.”

Alif menghulurkan salam. Pantas disambut mesra oleh Rifqy. Namun, pandangan Alif lain macam saja. Tangan itu dipegang kejap oleh Alif.  Dia berusaha mengawal riak dengan mengulum senyum namun dapat dirasakan pegangan itu bertambah kemas, menimbulkan rasa tidak selesa di hati Rifqy. 

“Alif …Yang awak pegang tangan dia tu tak nak lepas kenapa?” Julyana menghentikan perbuatan Alif itu apabila menyedari Rifqy tidak selesa.

Alif tersentak. Lantas, dia meleraikan pautan pada tangan Rifqy. 

“Maafkan saya,” ucapnya perlahan. Rifqy hanya mampu tersenyum tawar. 

Alif menyentuh dahi. Entah kenapa dia rasa seseuatu yang agak janggal. Ketika dia menyapa mata itu, dia seakan-akan teringatkan seorang budak lelaki sebayanya. Dia mungkin sudah tidak kenal wajah itu tetapi dia tahu sepasang mata itu benar-benar mirip dengan budak lelaki itu. Ya, sepasang mata milik Andre! Tetapi siapakah lelaki ini?

“Alif, awak kenapa?” Julyana bertanya setelah menyedari Alif berkelakuan pelik dengan kemunculan Rifqy di situ. Dia siap menggoyangkan tangan di hadapan Alif. Takkanlah kedua-duanya mengenali antara satu sama lain? 

Alif menggeleng. Matanya kembali beradu dengan sepasang mata milik Rifqy. Dia mulai merasakan keganjilan. 

“Saya macam kenal awak. Tapi mungkin saya salah orang kut,” ujar Alif saat bertatapan dengan Rifqy. Rifqy mengerutkan dahi. Kenal? Dia tidak mempunyai apa-apa memori tentang lelaki di hadapannya itu. 

“Awak baru aje kenal dia. Macam mana pula awak kenal dia? Awak ni mengarutlah, Alif.” Julyana menyangkal dakwaan Alif. 

“Tak apa la. Alif salah orang kut,” ujar Alif perlahan. Dia mengulum senyum. Matanya tidak lepas dari memandang wajah Rifqy. Pertemuannya dengan Rifqy benar-benar tidak terjangka. Mungkinkah firasatnya benar atau dia yang salah menganggap? 

Rifqy masih kebingungan dengan pandangan pelik Alif yang ditujukan ke arahnya. Ada apa dengan lelaki ini? 


RIFQY kembali semula ke pejabatnya setelah usai menikmati makanan tengah hari di situ. Tinggallah Julyana bersama Alif di meja makan yang tersisa dengan pinggan-pinggan kotor. Julyana segera mengarahkan pekerja-pekerjanya membersihkan meja tersebut. Amri yang kebetulan ada di situ segera melaksanakan arahan.

“Ju, Rifqy tu kawan baru Ju ke?”

Julyana angguk. 

“Dah lama ke Ju berkawan dengan mualaf tu?” Lagi Alif bertanya. Dia bukan hendak menyibuk. Sekadar ingin tahu sahaja kerana ada sesuatu yang mencurigakan mengenai Rifqy.

“Baru aje, Alif. Awak ni kenapa? Nampak bingung aje.” 

“Entahlah.” Alif menjungkit bahu. “Saya macam kenal dialah.” Sekejap dia berbahasa dengan nama. Sekejap ‘saya’ dan ‘awak’ pula.

“Huh?” Julyana mengerutkan dahi.

“Betul. Wajah dia tu ingatkan saya pada Andre.” Bersungguh-sungguh Alif meyakinkan Julyana.

“Andre? Siapa pula tu?” Julyana tidak pernah mendengar Alif menyebut nama itu sebelum ini. Inilah kali pertama nama itu meniti di bibir Alif.

Alif telan air liur. Patutlah Julyana tidak berasa apa-apa yang pelik. Perempuan itu langsung tidak ingat siapa Andre. Pendek kata, Julyana telah melupai segala-galanya. Termasuklah Andre. Jika dia bercerita mengenai Andre, mampukah Julyana menerimanya dengan mudah?

“Ju memang tak ingat langsung ke pasal Andre?” tekan Alif namun Julyana menjawab dengan gelengan sahaja.

“Ju ni hilang ingatan ke apa? Semua benda Ju tak ingat?” Alif berasa sangsi dengan keupayaan minda Julyana untuk mengingati sesuatu yang pernah terjadi di antara mereka.

“Ju sihatlah. Mana ada hilang ingatan ke apa. Mungkin sebab benda tu dah lama. Ju pun tak ada pula fikir pasal benda tu, jadi Ju tak ingatlah. Lagipun Alif pernah cakap yang masa tu Ju baru tujuh tahun. Sekarang Ju dah masuk 26 kut. Manalah Ju nak ingat. Lama sangat kut.”

“Maknanya Ju memang tak ingat langsung pasal Andre?” Bukan setakat dia sahaja Julyana tidak ingat malah Andre juga. Dia tidak faham mengapa sampai begitu ingatan Julyana pudar. Julyana sudah berkali-kali mengingatkan bahawa dia tidak ingat apa-apa tetapi masakan ingatannya terhadap Andre juga lupus sepenuhnya? Tidak bermaknakah memori zaman kecil mereka?

“Andre? Ju memang kenal dia ke?”

Alif mengeluh berkali-kali. “Andre tu kawan baik kita, Ju. Kawan sepermainan kita. Kan Alif pernah cakap yang kita selalu main kat taman yang Alif bawa Ju tempoh hari. Hari tu, Alif nak cakap pasal dia tapi Alif fikir kalau Alif bagitahu pun, Ju takkan ingat. Betul sangkaan Alif. Ju tak ingat Alif. Tak ingat Andre juga. Kali pertama kita jumpa dia kat taman tu la.” Dia terpaksa membuka kisah lama apabila menyedari ingatan Julyana langsung tidak ada tentang seseorang yang bernama Andre.

Julyana diam. Cuba mencerna. Cuba mengingati. Namun, otaknya seakan tepu, tidak berjalan langsung. Wajah Andre langsung tidak wujud dalam ingatannya. Alid pun dia tidak ingat, bagaimana mahu ingat Andre?

“Kenapa? Kenapa Ju tak ingat apa-apa? Ju tak ingat Alif. Tak ingat Andre. Apa yang sebenarnya dah jadi pada Ju?” Julyana meluahkan rasa kesal. Dia merasakan dia orang bodoh. Apa yang berlaku pada zaman kanak-kanaknya langsung tidak melekat di kepala. Nak kata dia hilang ingatan, Puan Rohaya tidak pernah menceritakan apa-apa padanya. Lalu, kenapa dengan dia sebenarnya?

Alif meraup wajah. Setiap kali berada dengan Julyana, dia berasa simpati. Simpati kerana Julyana tidak ingat apa-apa tentang memori kecilnya. Dia mahu menolong gadis itu namun dia sendiri tidak tahu caranya. 

ANDRE? Siapakah dia? Mengapa Alif boleh ingat? Mengapa tidak aku? Julyana berperang dengan persoalan yang bermain di kepala. Mindanya berkecamuk dengan pelbagai andaian yang berlegar di ruang kepala. 

Puan Rohaya juga tidak pernah memberitahunya apa-apa. Yakni tentang zaman kecilnya. Apa yang Puan Rohaya bagitahu hanyalah tentang persahabatannya dengan Alif. Dia tidak pula menyebut nama Andre. Jika benar Andre juga kawan, mengapa Puan Rohaya tidak pernah menimbulkan nama itu?

Julyana merebahkan kepala ke bantal. Mata dipejamkan rapat-rapat. Begitu cepat dia lena. Tanpa sedar air matanya bercucuran turun. Dalam lenanya itu, dia hanya mampu mengerdipkan mata tetapi tidak mampu membukanya. Bagaikan kedua-dua matanya dihalang oleh sesuatu.

‘Andre, awak tak mati. Awak tak mati. Awak dah janji nak datang ke taman ni. Nak bermain dengan saya dan Alif. Awak tak mati!’

‘Ju, lupakan semuanya. Lupakan kepahitan tu. Ingat kata-kata mak ni. Andre dah tak ada. Ju mesti teruskan hidup tanpa dia. Ju masih ada Alif kan?’

‘Andre menderita, mak. Kenapa dia mesti mati? Sepatutnya orang yang buat Andre mesti mati. Kenapa Andre, mak?’

‘Ju, lupakan dia. Anggap Ju tak pernah jumpa dia.’

‘Lupa?’

‘Ya. Lupakan semuanya. Lupakan Andre. Jangan ingat dia lagi ya, sayang. Mak tak nak emosi anak mak terganggu kalau Ju masih ingat kat dia.’

‘Lupa … kan … dia …’

‘Ya, sayang. Lupakan dia …’

‘Lupakan Andre …’

‘Ya … Lupakan semuanya tentang Andre …’

Air matanya semakin laju mengalir melalui lekuk pipinya. Kepalanya terteleng ke kiri dan ke kanan dalam mengusir segala memori lampau yang mendatangi mimpinya.


PUAS sudah Puan Rohaya menggoncangkan tubuh anaknya itu namun Julyana masih meracau yang bukan-bukan. Berpeluh satu tubuh itu sambil mulut tidak henti-henti menyebut nama Andre. 

“Ju, sedar Ju. Jangan macam ni, Ju.” Puan Rohaya bagaikan hilang arah. Julyana tidak pernah berkelakuan seperti ini. Inilah kali pertama Julyana meracau dalam tidur. Malah, dia juga menangis. 

“Andre … Andre, awak tak boleh tinggalkan saya. Ayah saya dah tinggalkan saya. Kenapa awak pun nak tinggalkan saya?” Julyana merintih dengan mata terpejam. Air mata semakin deras mengalir di pipi sehingga bantal yang mengalas kepalanya turut basah.

“Akak, sedarlah.” Juhanna menyentuh dahi kakaknya. Panas! Dia kemudiannya menepuk pipi kakaknya perlahan dengan harapan Julyana akan bebas daripada ‘igauan’ itu.

“Awak tak boleh tinggalkan saya. Awak dah janji nak main dengan saya sampai bila-bila. Awak nak temankan saya.” Bibir itu berbicara lagi. 

Puan Rohaya terduduk di birai katil. Terpandangkan reaksi mengejut Puan Rohaya, Juhanna terus memaut bahu itu. 

“Kenapa mak?”

Dada Puan Rohaya terasa sesak. Nama Andre yang meniti di bibir Julyana itu adalah seseorang yang amat dekat dengan Julyana. Dia tahu payahnya Julyana untuk menerima bahawa Andre meninggalkannya. Disebabkan itu dia mahu anaknya melupakan budak lelaki itu. Lupakan nama itu. Lupakan segala-galanya yang berkaitan dengan Andre. Dia tidak mahu emosi Julyana terganggu.  Dia yang meminta Julyana untuk melupakan Andre. Dia berbuat begitu kerana dia sayangkan Julyana. Demi kebaikan Julyana. Andainya dia membiarkan sahaja, sampai bila-bila Julyana dihantui oleh zaman kecilnya yang hanya penuh dengan kepahitan. Dan, sejak itu ingatan Julyana tentang Andre terus terkubur.

Tetapi kini mengapa nama itu tiba-tiba saja menjadi sebutan? Mengapa Julyana menyebut nama itu sedangkan ingatannya kepada Andre telah lupus sejak dua puluh tahun yang lalu? Mungkinkah Andre telah muncul kembali? Tapi, bukankah budak itu sudah tiada?

“Mak.” 

Lamunan Puan Rohaya mati apabila dia merasakan tepukan lembut di bahunya. Puan Rohaya terpisat-pisat. Lekas dia memalingkan wajahnya. Juhanna mengangkat kening. 

Puan Rohaya menarik tangan Juhanna. “Telefon doktor, Ana.”

“Baik, mak,” sahut Juhanna. Bergegas dia keluar dari bilik. 

“Ju, jangan ingat dia.” Puan Rohaya berbisik. 

Cukuplah sekali. Dia tidak mahu nama itu terus diulangi di bibir anaknya. Dia tidak mahu kehilangan tawa Julyana. Dia tidak mahu hati itu berdarah semula. Dia tidak mahu Julyana bersedih lagi. Dia hanya mahukan Julyana yang tersenyum seperti selalu.


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie