Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,041
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

SEPERTI yang dikatakan, Rifqy pulang jua ke rumah malam itu. Sebaik mencecahkan kaki ke ruang tamu, matanya perasan ada Puan Amna dan Tuan Harun di situ. Dia mengambl keputusan untuk mendekati kedua-duanya. Melihat si anak yang muncul di depannya, Puan Amna segera mengukir senyum. Mungkin berasa lega dengan kepulangan anak itu. 

“Alhamdulillah. Qy dah balik pun. Mama dengan papa risau tahu bila Qy dah dua hari tak balik rumah. Qy menginap kat mana?” Puan Amna meluahkan rasa lega dan syukur namun sedikit pun Rifqy tidak terharu dengan keprihatinan itu.

“Qy, kamu masih marahkan mama?” Kali ini Tuan Harun pula bersuara apabila anaknya tidak menjawab pertanyaan isterinya. Rifqy diam sahaja. Menggeleng tidak. Mengangguk pun tidak. Punggung dilabuhkan ke sofa dengan pandangan kosong.

“Betul ke mama risaukan saya?” Rifqy membuka mulut.

Puan Amna mengangguk. Dia tahu anaknya itu masih marahkannya kerana setelah kejadian tempoh hari, anaknya itu lebih selesa berbahasa ‘saya’ dengannya. Itu menjadikan hubungan mereka agak berjarak. Tiada lagi kemesraan seperti dulu. Dia bimbang jika ini satu petanda Rifqy mahu menjauhinya.

“Saya cuma nak tahu siapa saya yang sebenarnya. Kenapa dalam keratan akhbar lama tu ada gambar saya? Saya mungkin tak tahu perkara sebenar tapi gambar tu sama dengan muka saya. Tapi kenapa bukan nama saya yang tertulis kat situ? Dan kenapa wajah mama juga ada kat dalam tu? Kebakaran tu berlaku di kediaman Jason kan? Siapa Jason?”

Puan Amna bertukar pandangan dengan Tuan Harun. Saat itu suaminya mengangguk. Puan Amna menghela nafas panjang. Mengumpul kekuatan untuk memberitahu rahsia yang selama hanya diketahui oleh dia dan dua anak kembarnya.

Rifqy menatap wajah Puan Amna, menantikan respon yang diharapkan.

Bibir Puan Amna bergerak menuturkan sesuatu. “Jason mendiang papa kamu, Qy. Dan Andre tu adalah kembar Qy.”

Rifqy ketap bibir perlahan.

“Maksudnya saya ada kembar? Dan gambar tu bukan saya?”

“Jadi, siapa saya yang sebenarnya? Macam mana saya boleh ada dalam keluarga ni?” Rifqy terus mengasak Puan Amna dengan soalan kerana dia perlu merungkai misteri itu. Dia perlu tahu kedudukannya yang sebenar dalam keluarga itu. 

Puan Amna datang dekat dengannya. Tangan Rifqy dicapai.

“Maafkan mama. Qy dengan Andre bukan anak kandung mama. Kamu berdua hanyalah anak tiri mama. Tapi mama tetap sayangkan Qy dengan kembar Qy sama seperti anak mama sendiri.” 

Lalu diceritakan segala apa yang terjadi dua puluh tahun yang lalu. Kala itu Rifqy hanya mampu mendengar. Hendak marah tiada gunanya lagi kerana kemarahan pada Puan Amna tidak akan mengembalikan mendiang Jason. Tetapi dia tidak dapat menghilangkan rasa benci yang mula bertandang dalam diri. Dia bencikan Puan Amna. Wanita itulah yang menjadikan dia dan kembarnya begitu. Patutlah dia berasa kesunyian. Dia sunyi walaupun berada dalam sebuah keluarga yang lengkap. Semuanya bersebab. Ada sesuatu yang disimpan daripada radar pengetahuannya semata-mata untuk melindungi perbuatan kejam Puan Amna. 

“Kenapa mama rahsiakan semua ni dari saya? Rahsia tentang diri saya, tentang kembar saya?”

“Kalau mama bagitahu pun, Qy tetap takkan ingat apa yang dah berlaku dua puluh tahun yang lepas. Qy tak sedarkan diri selama tiga minggu selepas kejadian tu. Bila Qy sedar Qy dah tak ingat sesiapa. Mama terpaksa jaga Qy walaupun pada masa tu mama masih tak boleh terima Qy. Mama nak lupakan semuanya sebab pada mama Qy tak perlu ingat siapa Qy yang sebenarnya. Mama tak nak Qy sedih kalau Qy ingat Andre,” ujar Puan Amna tidak berselindung lagi. Kali ini dia mahu Rifqy tahu segala-galanya biarpun anak lelakinya itu mungkin akan menyimpan kebencian terhadapnya.

Rifqy melepaskan keluhan. Jari-jemari bermain-main sesama sendiri. Dia masih gagal untuk mengingati apa yang telah diberitahu oleh mama. Dia langsung lupa akan sejarah itu. Melupai layanan buruk Puan Amna terhadap dia dan Andre. 

“Terima kasih mama. Qy tak ingat apa-apa, thanks to you. Tapi Qy takkan lupa macam ni aje. Jadi, Qy dah tahu belang sebenar mama. Mama pernah bencikan Qy. Mama pernah pukul Qy dengan Andre. Tubuh kami berdua …” Rifqy berjeda sejenak sebelum menyambung bicara. “Rupanya tubuh kami sangat menjijikkan di mata mama!” Suaranya berubah keras. 

“Qy, janganlah cakap macam tu. Mama tahu mama salah. Mama pukul Qy malah mama juga pernah berharap Qy dengan kembar Qy mati dalam kebakaran. Tapi itu dulu, Qy. Sekarang mama sayang sangat pada Qy. Mama menyesal dengan kesilapan mama. Maafkan mama, Qy,” bicara Puan Amna penuh penyesalan. Memang silapnya yang menjadikan Rifqy seperti itu. Namun ,dia telah berubah. Dia telah menyesali kekejaman yang dilakukan terhadap Rifqy. Jika anaknya tetap mahu membencinya, dia tidak mampu menghalang kebencian itu. Dia yang bersalah. Memang patut pun Rifqy membencinya.

Wajah Rifqy tunduk memandang permaidani. Tersiat hatinya apabila memikirkan Puan Amna yang menjaganya dengan penuh kasih sayang selama ini adalah wanita yang tidak pernah menerima kehadirannya suatu ketika dahulu. Bukan setakat dibenci malah tubuhnya turut menjadi mangsa pukulan. Apa sekarang dia perlu membenci? Membenci wanita itu sedangkan wanita itu yang membesarkannya selama ini?

Rifqy meraup rambut ke belakang sambil melepaskan keluhan. Lambat-lambat dia bangkit dari sofa buatan Itali itu. Kakinya menghayun ke arah tangga. Anak tangga didaki satu-persatu.

Puan Amna hanya mampu memandang sayu. Jika Rifqy tidak mahu memaafkannya, dia mengerti. Barangkali inilah karma atas perbuatannya dahulu.

“Dan Andre benar-benar mati. Mama puas hati pisahkan Qy dengan kembar Qy sendiri?”

Tiada lagi suara yang bersambung. Puan Amna tidak sanggup lagi untuk terus mengatakan kepalsuan dalam kebenaran itu. Biarlah begitu. Biarlah Rifqy terus menyangka Andre adalah kembarnya. Dengan itu Rifqy tidak akan mengalami gangguan jika anaknya terus tidak ingat perkara yang sebenar. Dia terpaksa menipu. Berbohong sekali lagi demi kesihatan Rifqy. Dia tidak mahu kehilangan Rifqy.


RIFQY melancarkan perang dingin terhadap Puan Amna. Dia tidak lagi menegur Puan Amna malah apabila wanita itu bertanya, dia langsung tidak memberi reaksi. Hatinya masih tidak dapat menerima kekejaman Puan Amna terhadapnya. Kalau Puan Amna menginginkan dia mati, kenapa mama tidak membunuhnya saja sejak dari dulu lagi? Kenapa perlu memeliharanya sedangkan kehadiran dirinya hanya membuatkan mata Puan Amna sakit? Dua kakaknya pun! Mengapa mereka turut berdiam diri seolah-olah tiada apa yang berlaku?

Kerana mahukan ketenangan, dia sengaja menyibukkan diri dengan kerja penyiasatan di pejabat. Nasib baik juga kes semakin banyak yang diusulkan oleh klien di unit penyisatan. Maka sudah pasti dia akan menjadi sibuk. Lalu sudah pasti fikirannya tidak dibebani dengan kebenaran yang terungkai itu.

Dia membenci Puan Amna? Itulah soalan yang mengasak benaknya. Pada perkiraannya memang patut pun dia membenci wanita itu. Semua yang berlaku berpunca dari Puan Amna sendiri. Wanita yang selama ini dianggap mama yang terbaik hanyalah sekadar palsu. Dan, dia tertipu! Tuan Harun pula? Tuan Harun tiada kaitan dengan rahsia isterinya. Maka dia tidak boleh membenci lelaki berpangkat papa itu. Pada mulanya hatinya terguris dengan tindakan Tuan Harun yang tega mendiamkan diri namun sekarang dia baru tahu yang lelaki itu langsung tiada kena-mengena dengan apa yang telah berlaku. Tuan Harun hanya hadir pada saat yang salah. Dan dia juga turut tertipu sepertinya!

Jadi, wajah yang ada dalam keratan akhbar lama yang tersimpan di stor rumah adalah kembarnya yang terkorban dalam kebakaran bersama dengan Jason. Patutlah mama menyimpan keratan itu. Memang ada kena-mengena dengan dirinya.


USAI menunaikan solat Isyak, Julyana merebahkan badan di pembaringan. Tubuhnya dijalari kepenatan kerana seharian berada restoran dek bilangan pelanggan yang terlalu ramai. Tidak terkecuali juga pelanggan yang dikenali di pejabat penyiasatan yang dikunjungi sebelum ini. Lelaki itu datang bersendirian. Hanya memesan minuman sahaja. 

Tingkah Rifqy membuatkan hati Julyana berasa curiga. Jangankan hendak minum bersendirian di restorannya malah mengunjunginya bersendirian tanpa kawan juga tidak pernah. Tiba-tiba wajah itu terpacul di restorannya. Pelik!


TELEFON berdering tiba-tiba. Rifqy menarik telefon dari kocek seluar. Menilik nama si pemanggil. Matanya bulat memandang nombor itu. Julyana menelefonnya? Rasanya tiada lagi urusan antara mereka sejak kes Aida telah selesai. Tetapi mengapa pula dia yang dicari?

“Assalamualaikum,” ucap Rifqy penuh debar.

“Err… Waalaikumussalam,” balas si pemanggil.

“Ada apa-apa ke yang saya boleh bantu Cik Julyana?” Rifqy berbahasa formal.

“Boleh saya jumpa awak?”

“Huh?”

Apa kena dengan perempuan ini? Tiba-tiba nak jumpa aku? Rifqy didatangi rasa hairan dan penuh syak.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie