Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,045
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

BUNYI siren polis dan ambulan saling bersabung. Aida telah dibawa pergi ke balai polis untuk siasatan. Saat mata Julyana menyapa mata Aida yang sembab kerana terlalu kuat menangis, hati Julyana seakan sakit dan pedih. Tindakan Aida terlalu pantas. Dan dia tidak sempat menghalangnya.

Melihat Aida yang digari menerbitkan rasa pilu. Bagaimana agaknya penerimaan Rosella sekiranya Aida benar-benar bersalah? Sudahlah anak sulung telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Sekarang anak keduanya pula dimasukkan ke penjara gara-gara membunuh. Jika dibicarakan di mahkamah sekali pun, bukti sudah cukup jelas menunjukkan Aida pelakunya.

Air mata Julyana jatuh membasahi pipi. Dia menyekanya perlahan. Namun semakin diseka, semakin tidak tertahan air matanya itu. Dia kehilangan kawan baik dalam sekelip mata. Seperti mana dia kehilangan seorang lelaki bernama ayah.

“Cik Julyana.”

Julyana tidak memalingkan wajah. Dia tidak sanggup menunjukkan wajahnya yang basah dengan air mata di hadapan Rifqy.

“Biarkan saya sendiri,” pinta Julyana separuh merayu. Tidak sanggup rasanya menangis di depan orang yang sekadar mampu memandang.

“Okey,” sahut Rifqy mengalah. Dia ingin berlalu namun kakinya seakan kaku di situ. Mendengar dengan jelas esakan dari perempuan itu menahan langkahnya untuk pergi. Dia akhirnya turut bersandar pada kereta Vios hitam milik gadis itu. Tangannya disilangkan ke dada.

Julyana yang perasan lelaki itu tidak berganjak menoleh lambat-lambat.

“Kenapa tak pergi?”

Rifqy menjungkit kedua bahunya. “I don’t know.”

Julyana mendongak ke langit. 

“Encik sanggup ada kat sini semata-mata nak temankan saya? Sedangkan encik tak ada kena-mengena pun dengan saya. Encik tak kenal saya. Saya tak kenal encik. Jadi tak perlulah encik ada kat sini, temankan saya.”

“Tak salah kalau kita cuba berkawan kan? Anggaplah saya ni kawan awak,” jawab Rifqy tanpa berselindung.

Kepalanya ditundukkan. Pandangannya dikalihkan ke arah Rifqy. Siapa lelaki itu dia tidak tahu. Dan lelaki itu juga tidak pernah tahu siapa dirinya. Hanya nama saja yang boleh menjadi pemula kepada persahabatan itu.


JULYANA menghempaskan tubuhnya ke katil. Terasa penat menjalar ke seluruh anggota badan. Dari petang sampai ke malam dia berada di rumah Rosella bagi membantu menguruskan majlis tahlil untuk arwah Aidil. Puan Rohaya turut menghulurkan tangan membantu apa-apa yang patut. Puan Rohaya sendiri tidak menyangka Aida sanggup bertindak di luar kewarasan akal. Kerana hasutan syaitan laknatullah, Aida tegar membunuh abangnya sendiri. Walaupun ia dilakukannya tanpa niat, Aida tetap bersalah kerana terdapat cap jari pada objek yang digunakan terhadap arwah Aidil.

Aida tidak boleh dijamin kerana undang-undang telah meletakkan syarat tertentu bagi setiap jaminan yang ditawarkan. Bagi kesalahan membunuh, tawaran jaminan tidak dibenarkan melainkan atas budi bicara mahkamah dengan sebab-sebab yang dirasakan munasabah. Lantaran itu, Aida perlu menunggu untuk dibicarakan sehinggalah urusan perbicaraan selesai. Jika dirinya didapati bersalah, maka Aida terpaksa menjalani hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Ya Allah.” Julyana bangkit dari pembaringan. Wajahnya ditekup. Dia masih sukar menerima semua itu. Terasa ianya bagai sebuah mimpi. Aida yang ceria, yang ketawa riang kini bakal menamatkan kehidupannya di tirai besi. Pada saat ini dia tahu tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan kerana Aida yang memilih jalan sedemikian.

“Kenapa awak buat semua ni Ida? Kenapa?” Julyana merintih. Sungguh hatinya masih gagal untuk menerima hakikat itu. Hakikat bahawa dia akan kehilangan seorang rakan yang selama ini bergelak ketawa dengannya dan banyak membantunya ketika dia dilanda kesusahan. Lalu, di mana harus dia mencari kawan seperti Aida?

Lelaki itu? Mungkinkah dia ikhlas nak berkawan dengan aku? Hatinya berbisik halus.


SUASANA restoran kembali lengang setelah beberapa orang pelanggan telah beredar. Julyana mengambil tempat di sebuah meja yang berada di sisi kedai. Pandangannya dilemparkan ke luar restoran. Dari dinding kaca dia melayan pergerakan orang yang lalu-lalang melintasi restorannya. 

Segelas air disua ke arahnya. Julyana memandang sekilas. Rupanya Saliha yang membawakan air untuknya. 

“Minumlah akak.” Saliha mempelawa setelah melabuhkan punggung di hadapan Julyana. Dulang kosong diletakkan ke meja. 

“Terima kasih, Saliha,” ucap Julyana bersama senyuman.

“Akak ada masalah ke?”

Julyana geleng. Air yang dihidangkan Saliha untuknya disisip sedikit mengurangkan kekeringan tekaknya. Mungkin kerana cuaca yang agak panas semenjak kebelakangan ini.

“Tapi wajah akak cakap ya.”

“Ya ke?” Julyana mencari kepastian.

“Ya sangat, kak. Macam muka orang mati suami,” komen Saliha sengaja bergurau. Dengan harapan dapat mengembalikan senyuman Julyana.

Julyana akhirnya meletuskan tawa halus.

“Awak tak ada kerja ke kat dapur?” perli Julyana bagi mengenakan Saliha yang sering kali mencuri tulang.

“Sebab tak ada kerja, saya temankan akak kat sini. Nampak akak down sangat. Jadi, saya tak sampai hati tengok wajah akak yang tak happy ni. Selalunya akak senyum aje. Ini tak. Masam mencuka aje. Yang lain nak tegur pun tak berani.” Bibir Saliha memuncung ke arah wajah Julyana.

Julyana menyentuh pipinya. Ditepuk-tepuk perlahan.

“Kenapa akak tepuk pipi tu?” tegah Saliha menyebabkan tindakan Julyana terhenti serta-merta.

Julyana terseyum kemudiannya. Dia sengaja berbuat begitu agar Saliha tidak terlebih risau terhadapnya.

“Akak okey kan? Sebab tu akak tepuk pipi akak. Kalau akak down, akak dah tak layan awak ni,” ujar Julyana.

Saliha mengangkat ibu jari. “Good! Inilah majikan yang saya kenal.”

“Saliha, akak nak tanya pendapat awak boleh?”

Saliha pantas mengangguk. Tiada yang ‘tidak boleh’ untuk majikannya itu. Selama ini pun kebajikannya dan rakan-rakan sekerja tidak pernah diabaikan oleh majikannya itu. Maka dia tidak kisah untuk menunaikan apa saja permintaan Julyana selagi termampu.

“Awak rasa akak ni orang yang lonely ke?” soal Julyana ingin tahu. 

“Apa akak tanya ni? Akak ada family. So, akak bukan orang yang sunyi. Akak mungkin terlampau sibuk kut sampai akak rasa akak kesunyian sebab akak jarang spend masa dengan family, dengan kawan-kawan,” balas Saliha.

Keluhan terluah dari mulut Julyana. 

“Akak ada family. Itu yang akak tak boleh nafikan. Tapi kenapa akak rasa hidup akak kosong? Akak ada emak, ada adik-adik, ada kawa. Tapi akak tetap rasa sunyi sangat. Akak fikir akak pernah kehilangan sesuatu atau mungkin seseorang yang dekat dengan akak. Dan, akak tak pasti sama ada apa yang akak rasa ni betul atau tak.”

“Akak, saya faham keadaan akak. Akak dah tak ada ayah. Kawan akak pula dah tak ada kat sisi akak. Akak rasa akak tak ada tempat bergantung sebab emak dan adik akak pun bergantung pada akak. Dan akak juga perlukan orang yang boleh akak bergantung. Saya mengerti kenapa akak cakap akak sunyi. Tapi akak tak perlu risau. Allah ada dengan akak. Maka akak tak perlu rasa sunyi sebab akak boleh bergantung pada Allah,” ujar Saliha dengan senyuman yang tidak lekang di bibir merahnya.

Julyana mengiakan melalui anggukan. Mungkin benar kata-kata itu. Dia kesunyian kerana masanya terlalu banyak dihabiskan di restoran dan jarang masanya diluangkan bersama-sama Puan Rohaya dan adik-adik. Tambahan pula dia sering merindui ayah. Ayah yang telah meninggalkan keluarga kerana perempuan lain. Dan sehingga sekarang rasa rindu itu tidak hilang meski pun dia tahu dia tidak perlu berasa rindu terhadap lelaki bernama ayah itu kerana perbuatannya sudah cukup melukakan hati Puan Rohaya.

Dalam masa yang sama, dia seakan-akan menantikan seseorang. Sayangnya, dia tidak tahu siapakah gerangan itu.


JULYANA tidak mengunjungi restorannya pada kali ini. Dia hanya duduk di rumah sahaja memandangkan dia tiada mood untuk ke sana. Nasib baik ada Saliha untuk menguruskan semuanya. Dia lebih selesa pula menjadi teman mengemas dan memasak Puan Rohaya. Sudah sekian lama dia tidak membantu Puan Rohaya memasak kerana kesibukannya di restoran. Dia juga sudah mula merindui masakan emak.

Tangan Julyana mengeluarkan serbuk dadih dari peti sejuk. Dia mahu menyediakan dadih buatan sendiri untuk Juhanna dan Jihani. Adik-adiknya itu begitu menggemari dadih. Tidak salah jika menyediakannya untuk mereka berdua.

“Ju, nak masak apa tu?” tegur Puan Rohaya tatkala mendekati anak dara sulungnya itu.

“Ju nak buat dadih, mak. Jihani suka dadih kan? Ana pun suka. Tu yang Ju nak buat dadih ni,” balas Julyana ceria. Bukan senang hendak mencari masa berada di dapur rumah sendiri kerana kesibukannya. Maka dia tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada.

“Hmm. Ni tak nak masuk kerja ke hari ni?”

Julyana senyum kemudian menggelengkan kepalanya.

“Hari ni Ju nak duduk kat rumah aje. Tak nak keluar mana-mana pun. Tunggu Jie dan Ana balik dari sekolah dan tolong mak sediakan makan tengah hari dan makan malam. Dah lama Ju tak tolong mak kat dapur. Asal Ju balik rumah, makanan dah tersedia. Ju naklah juga sekali-sekala masak untuk mak, untuk Jie dan Ana,” jelas Julyana mula ligat menyediakan dadih. Senang sahaja membuat dadih itu. Tidak menjadi masalah baginya menyediakannya secara bersendirian.

Puan Rohaya menepuk bahu Julyana perlahan sebelum beredar dari dapur. Jika anaknya itu berasa demikian, dia juga berasa seperti itu juga. Dia selalu merindui Julyana yang sibuk memanjang. Walaupun tinggal sebumbung, seolah-olah tinggal berasingan. Julyana dengan tugasnya di restoran. Jihani pula sibuk dengan persediaan peperiksaan sebelum tamatnya tingkatan enam. Juhanna pula sibuk dengan aktiviti kelab yang disertainya apatah lagi memangku tugas sebagai pengerusi.  Sudah pastilah Juhanna perlu menghadiri sekolah setiap kali mesyuarat kelab dijalankan. Disebabkan itu dia tiada kesempatan untuk meluangkan masa bersama anak-anak.

Hati seorang ibu juga mengidamkan masa lapang yang boleh diisi bersama dengan anak-anak namun dia juga mengerti tanggungjawab anak-anak masing-masing. Maka, dia tidak mahu memaksa. Selagi anak-anak ada di depan matanya, dia tidak perlu berasa risau. Namun suatu saat nanti dia yakin ketiga-tiga anak perempuannya itu akan meninggalkannya jua saat bergelar isteri orang. 


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie