Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,058
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

SEWAKTU dia tiba, tubuh Julyana sudah terpacak di tempat yang dijanjikan itu. Rifqy mengerling jam di pergelangan tangannya. Dia terlewat sepuluh minit dari waktu yang dijanjikan. Patutlah perempuan itu sudah ada di situ.

Dengan derapan perlahan, dia menghampiri batang tubuh Julyana. Julyana yang terdengar derapan kasut yang menghala ke arahnya menoleh pantas.

“Assalamualaikum,” sapa Rifqy dengan wajah ceria.

“Waalaikumussalam. Saya tidak tahu pula awak Islam,” balas Julyana agak keliru. Tengok dari wajah, semua orang akan cakap yang lelaki itu berbangsa Tionghoa. Matanya yang sedikit sepet itu tidak pula menggambarkan dirinya orang Melayu.

Rifqy senyum nipis. “Saya saudara baru, Cik Julyana. Dulu saya Liew, sekarang saya Rifqy.” Bahasa formal masih dikekalkan.

“Oh? Alhamdulilah. Jadi, macam mana kehidupan awak sekarang ni sejak memeluk agama Islam?”

“Saya rasa tenang. Tapi tujuan Cik Julyana nak jumpa dengan saya kat sini bukan pasal tu kan? Boleh saya tahu apa tujuan sebenar Cik Julyana nak jumpa dengan saya?”

Julyana menepuk dahi. Penggunaan bahasa formal lelaki itu membuat dirinya canggung pula. Dia saja yang terlebih ramah dengan lelaki itu sedangkan lelaki itu masih kekok dengannya.

“Awak tak perlu panggil saya formal macam tu. Panggil saya Ju pun dah cukup. Saya bukan klien awak sekarang ni.” Kening Julyana terangkat.

Bibir Rifqy menguntum senyum. “So, back to our discussion, apa awak yang nak?”

“Saya jumpa dengan awak sebab saya cuma perlukan teman untuk berkongsi. Saya masih ingat apa yang awak pernah cakap sebelum ni pada saya. Kalau saya ada masalah, awak sudi mendengar. Ke awak dah lupa yang awak cakap macam tu?”

“Saya tak pernah lupa, Cik Julyana. Saya masih ingat sebab saya yang cakap macam tu. Cuma saya tak sangka awak sudi cari saya. Sedangkan awak belum kenal saya sepenuhnya.” Rifqy menyeluk kedua-dua tangan ke dalam kocek seluar. Dia masih menggunakan gelaran ‘cik’ kerana beranggapan tiada sebabnya untuk dia menjadi peramah di hadapan Julyana. Bukan dia yang mencari tetapi Julyana yang menghubunginya. 

“Saya nak jadi kawan awak.” Tanpa segan silu Julyana menuturkan kata. Tiada secebis rasa canggung atau keraguan dalam dirinya saat itu. 

Jantung Rifqy seakan terhenti dengan kata-kata itu. Dia menoleh, memandang Julyana yang tersenyum itu. Semudah itu gadis itu mempercayainya?

“Saya tak kisah dengan penilaian awak terhadap saya. Saya betul-betul nak jadi kawan awak. Mungkin kita baru kenal. Tapi saya belum pernah jumpa seseorang yang berani menegur saya. Pada waktu tu saya sedar, awak hadir adalah untuk menjadi kawan saya. Ini bukan kisah dongeng. Tapi ini realiti yang saya rasakan.”

“Semudah tu awak nak jadi kawan saya? Tak logiklah.” Rifqy membantah.

“Membina persahabatan memerlukan kejujuran. Awak telah memperlihatkan kejujuran awak. Dan saya pula memerlukan seseorang seperti awak.”

“Awak kesunyian?” Rifqy menduga. Telahannya, mungkin sahaja Julyana berasa sunyi dan mahukan teman namun dengan wajah tenang Julyana menjawab dengan gelengan.

“Awak tak ada kawan yang lain? Lantaran tu awak memerlukan saya?” Rifqy masih meneka. Dia tidak yakin dengan persahabatan antara dua insan berlainan jantina. Lelaki dan perempuan. Terlalu sukar untuknya. 

“Sebab saya tahu awak juga memerlukan saya sebagai sahabat. Masakan awak mendekati saya hanya kerana saya kehilangan seorang kawan yang merupakan klien awak? Kenapa awak mengambil berat terhadap saya pada masa tu?” 

Soalan dibalas dengan soalan juga. Rifqy terkedu. Adakah gadis itu telah salah faham dengannya? Dia bukanlah mengambil berat terhadap gadis itu namun dia sekadar ingin memberi sokongan. Itulah yang dilakukan terhadap klien yang sebelum ini. 

“Saya rasa awak dah salah faham ni. Saya tak ambil berat pun pasal awal. Saya hanya mengingatkan. Tapi kalau betul awak nak kita berkawan, saya tak kisah sebenarnya. Memandangkan saya juga masih kurang tentang agama Islam, sudi tak awak menunjuk ajar saya? Menjadi guru saya?” 

Julyana diam seketika sebelum kepalanya diangguk. Jika dia diperlukan sebagai guru, bukankah itu satu usaha yang murni membantu saudara baru?

“Boleh.” 

Rifqy menggelengkan kepala. 

“Saya lebih selesa berguru dengan lelaki. Bukan dengan perempuan. Banyak batasan antara kita yang saya kena jaga. Jadi, saya tak rasa kita boleh jadi kawan.”

Julyana melepaskan keluhan. Jika itu keputusan Rifqy, siapa dia untuk memaksa?


“APALAH yang aku dah buat? Malunya!” Julyana memekup wajah dengan tapak tangannya. Sungguh dia malu dengan tindakannya. Tidak pernah lagi dia berdepan dengan seorang lelaki dan menawarkan persahabatan. Kalau diingat balik, dia akan memarahi diri sendiri kerana bertindak bodoh.

“Akak dah kenapa?” Jihani menegur kakaknya. Dia melabuhkan duduk di sofa. Matanya masih menyoroti tingkah Julyana yang diklasifikasikan sebagai pelik itu.

“Jie, akak rasa malu sangat,” luah Julyana. Dia jarang benar bercerita atau mengadu segala masalah dengan orang lain yakni keluarga sendiri. Tetapi kali ini dia terasa sangat menyesal dan perlu mencari ketenangan daripada orang lain.

Jihani mengerutkan dahi, tidak mengerti. 

“Kenapa? Apa yang akak dah buat? Akak jatuh dalam longkang? Atau akak terlanggar tiang sampai dahi akak benjol? Ke akak terpijak kulit pisang lepas tu akak jatuh macam nangka busuk?” Berbagai-bagai andaian yang diutarakan oleh Jihani. Kalau malu, sudah pasti ianya satu perkara yang di luar jangkaan. Perkara yang mampu membuatkan orang yang ternampak menghamburkan ketawa atau mungkin juga ada yang jatuh kasihan. Dia juga pernah mengalami peristiwa memalukan yang mengundang tawa kawan-kawan sekelas.

Julyana menggeleng. Kalau salah satu andaian Jihani terjadi, malunya tidaklah seberapa. 

“Bukan? Dah tu apanya?” Jihani mendesak ingin tahu.

“Akak jumpa seorang lelaki.”

“Jadi?” 

“Akak cakap akak nak jadi kawan dia. Dia reject akak. Ya Allah, malu akak.”

Jihani meletuskan tawa. Semakin menjadi-jadi pula tawanya apabila terpandangkan wajah cemberut si kakak.

“Akak, orang tu tak kenal akak. Lepas tu akak tawar diri nak jadi kawan dia? Akak rasa apa penerimaan dia? Sah-sah la dia tolak akak. Kenal akak pun tak. Macam akak ni melamar dia pula …”

Tawa Jihani akhirnya reda. Dia mengusap perut. Terlalu kuat ketawa menjadikan perutnya sakit dengan tiba-tiba.

“Yalah, akak mengaku memang salah akak.”

“Akak, akak tu tak lama lagi akan jadi tunang orang. Takkanlah akak masih nak cari kawan lelaki dalam keadaan macam ni? Cemburu bakal tunang akak nanti,” ujar Jihani mengingatkan status Julyana.

Julyana terkedu. Ada kesahihan di sebalik kata-kata adiknya itu. Tetapi selagi dia belum bertunang dan berkahwin, dia bebas untuk berkawan sesiapa sahaja asalkan dia tahu menjaga batas dalam pergaulan.

“Akak kenal lelaki yang bakal jadi tunang akak pun tak.” Julyana benar-benar terkilan.

“Tak kenal boleh kenal, akak. Tak ada masalah pun kalau akak tak kenal dia. Mak aturkan seseorang yang baik untuk akak. Kadang-kadang pilihan mak ayah ada berkatnya tahu?” 

“Kalaulah Jie ada kat tempat akak, Jie akan ikut cakap mak?” Julyana menduga, ingin tahu apakah jawapan yang bakal terbit dari mulut adiknya itu. Mereka sama-sama perempuan. Jihani mungkin memahami perasaannya.

Jihani tidak segera menjawab sebaliknya dia diam memikirkan sesuatu. Bibirnya kemudiannya bergerak-gerak, ingin menyatakan sesuatu.

“Jie?”

“Kalau Jie, Jie memang nak ikut mak. Yalah, dia kan mak kita. Apa yang dia buat dia nakkan terbaik untuk kita. Tapi kalau soal cari pasangan, Jie nak rasa cari pasangan sendiri. Sebab nanti dah kahwin, kita bukan nak jadi isteri untuk sehari dua aje. Sampai ke akhir hayat kita kut. Jadi, kita kena pilih yang betul-betul boleh jaga perkahwinan kita,” ujar Jihani dengan wajah tenang. Dia perempuan. Dia tahu apa yang dirasakan oleh Julyana. Namun, dia tahu kakaknya tidak mungkin sanggup membelakangkan keputusan Puan Rohaya. Kalau dia, sudah pasti memberontak dengan menegakkan haknya.

Julyana terpegun. Dia tidak pernah memikirkan soal itu. Selama ini dia hanya menuruti permintaan Puan Rohaya kerana tidak mahu dilabel sebagai anak derhaka. Namun, dia berhak menggapai kebahagiaan. Bagaimana nanti dia tidak bahagia apabila berkahwin dengan lelaki pilihan Puan Rohaya? Adakah dia yang akan menyesal atau Puan Rohaya?

Tidak semena-mena mata Julyana terarah pada telefonnya yang berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Dia segera mencapai telefonnya dan melihat skrin.


Assalamualaikum, Julyana. Dengan izin Allah s.w.t, saya nak berkawan dengan awak. Tadi saya hanya bergurau aje. Awak maafkanlah saya ya?


Julyana terpaku. Pandai benar lelaki ini mahu mempermainkan perasaannya. Kejap cakap A, kejap cakap B.


Waalaikumussalam, Rifqy. Saya ingat awak main-mainkan saya. Baiklah saya terima awak sebagai kawan awak. Tapi, awak jangan buat perangai macam ni lagi.


Julyana mengulum senyum. 


MATA Puan Amna tidak berganjak saat Rifqy melintasinya tanpa kata. Rifqy perasan namun saja dia buat tak tahu. Biarlah hatinya reda dulu. Barulah dia akan menjadi Rifqy yang dulu. Buat masa ini dia tiada hati untuk bercakap dengan mama. Papa ada juga menegur sekali-sekala apabila dia mengendahkan mama namun dia masih juga menangkan egonya yang tinggi melangit itu.

“Qy, mari sini kejap,” panggil Tuan Harun saat kaki Rifqy sudah mencecah tangga. Hendak tak hendak, dia akur sahaja. Ini tak lain tak bukan. Mesti papanya mahu bercakap tentang Puan Amna.

“Sampai bila Qy nak marahkan mama?” tanya Encik Harun sebaik Rifqy duduk berhadapan dengannya.

Rifqy termenung sejenak. Dia sudah agak soal mama akan menjadi topik perbincangan. “Qy tak marah mama. Cuma Qy perlukan masa.” 

“Papa tahu papa sebenarnya tak ada hak nak masuk campur dalam urusan kamu berdua tapi Qy kena ingat mama yang besarkan Qy selama ni. Semua orang buat silap dan berhak dimaafkan. Qy nak hukum mama macam ni sekali ke? Mama tegur, Qy buat tak tahu. Tak baik tahu buat mama macam tu. Qy sekarang dah beragama Islam. Seorang Muslim. Agama Islam mengajar kita untuk tak menderhaka pada ibu bapa. Qy dah lupa ke?” Tuan Harun mengambil peluang memberi ceramah pendek kepada anaknya itu. Memanglah dia bukan Islam tulen tetapi dia sering menghadiri ceramah dan kuliah di masjid terdekat. Jika ada majlis ilmu pun, dia sanggup pergi walaupun jauh. Dari situlah dia belajar tentang agama suci itu. Hendak belajar haruslah berkorban. Bukan untuk dunia sahaja, dia mengejar untuk akhirat juga.

“Tahu,” jawab Rifqy hendak tak hendak saja. Wajahnya selamba. Langsung tidak terkesan apa-apa dengan ceramah Tuan Harun.

“Mama sedih bila Qy buat tak endah kat dia. Tapi papa lagi sedih tengok anak papa ni berkelakuan macam ni. Papa tak ajar anak papa macam ni.” Suara Tuan Harun kedengaran seperti dia mengeluh.

Rifqy angkat wajah, pandang Tuan Harun lama.

“Qy dah tak marahkan mama, papa. Cuma Qy tak tahu macam mana nak berdepan dengan mama. Qy rasa Qy tak layak untuk jadi anak mama. Dan mama juga tak patut sayangkan Qy. Kenapa mama tak terus membenci Qy aje? Kenapa dia simpan Qy dalam rumah ni sedangkan pada satu masa dahulu, dia sangat membenci Qy?”

“Macam mana mama nak teruskan bencikan Qy bila Qy membesar dalam jagaan mama?” sampuk Puan Amna mula mendekat ke arah suami dan anaknya. Dia melabuhkan duduk di sofa, di sisi suaminya.

“Mama tahu mama silap. Mama yang bencikan Qy tapi Qy sikit pun tak membenci mama. Bila Qy layan mama dengan baik, baru mama sedar Qy lebih baik dari mama. Mama yang bersalah. Kematian mendiang Jason adalah disebabkan mama. Kalau mama ….”

“Mama, benda dah lepas. Qy dah tak nak kusutkan otak sebab apa pun yang mama bagitahu, satu apa pun Qy tak ingat. Jadi, janganlah serabutkan kepala Qy,” potong Rifqy tanpa menunggu Puan Amna menghabiskan kata-kata. 

Ya, memang dia tidak ingat. Walaupun dia teringin mengetahui apa yang berlaku dua puluh tahun dahulu, dia gagal menarik kembali ingatan dulu. Biarlah ianya menjadi sejarah. Sejarah yang tidak perlu dikenang jika ianya hanya mengundang rasa tidak senang di hati. 

Yang terlukanya nanti adalah dia. Bukan orang lain.


SUARA orang bercakap itu mengundang rasa pelik dalam diri. Dia langsung tidak tahu-menahu akan kedatangan orang kerana Puan Rohaya tidak memaklumkan padanya. Dia berandaian orang itu adalah kawan-kawan emak kerana emaknya memang terkenal dengan keramahan.

Langkah Julyana pegun di muka pintu rumah teres setingkat itu. Dia tidak menapak ke dalam. Hanya berdiri di luar dengan telinga dilekapkan ke dinding.

“Awak kena tolong saya, Aya. Anak saya semakin teruk. Puas saya pujuk tapi dia tetap tak ambil pusing. Saya takut dia akan buat perkara yang bukan-bukan pula.”

Julyana terkedu. Itu suara Che Alizah, rakan baik Puan Rohaya. Tetapi kenapa dia di situ? Apa tujuannya?

“Tolong macam mana? Anak saya dah cakap tak nak, saya tak boleh paksa. Kita dah bincang pasal ni. Dan kita dah setuju untuk tak memaksa anak-anak. Kenapa awak nak bangkitkan isu ni lagi?”

“Awak yang jadikan anak saya macam tu. Jangan awak cakap awak nak lepas tanggungjawab macam tu aje?” Suara Che Alizah mulai meninggi.

“Anak awak jadi macam tu pun tak ada kena mengena dengan anak saya!” Keras Puan Rohaya membantah. Ianya amat jelas di telinga Julyana yang masih tidak berganjak dari muka pintu.

“Awak yang tolak anak saya! Anak saya jadi macam tu sebab awak dah hancurkan harapan dia! Besar harapan dia nak kahwin dengan anak awak. Dia sayangkan anak awak sejak kecil. Tapi awak tak faham. Awak tak faham perasaan anak dia.” Che Alizah naik radang. 

“Mak Ju tak ada kena mengena dengan mak cik!”

Dua mata itu menoleh ke arah suara yang menerpa dengan tiba-tiba. Mata Che Alizah membulat sebaik Julyana menapak ke arahnya.

“Saya tak sangka hati mak cik busuk macam ni. Mak cik tak boleh paksa saya. Saya berhak buat keputusan saya sendiri. Kenapa? Anak mak cik jadi penjenayah? Jadi kurang siuman ke sampai mak cik nak letakkan kesalahan tu pada mak saya? Lagi pun saya tak pernah kenal dengan anak mak cik. Kenapa saya harus kahwin dengan seorang lelaki yang saya tak kenal?” Julyana mengetap bibir berulang kali. 

Bibir Che Alizah bergetar. Dia bangkit dari duduknya. Ditudingkan jari ke arah Julyana. Tepat di muka.

“Sebab perangai ni la ayah kau tinggalkan mak kau anak beranak. Kau jenis yang tak bersyukur. Orang bantu kau, tapi kau balas dengan tuba! Kawan kau sendiri kau tak kenal? Kau memang sengaja nak sakitkan hati anak aku kan?”

“Liza!” 

Puan Rohaya menengking keras. Sakit telinganya mendengar anaknya dicerca. Dulu Che Alizahlah kawan sejati, kawan yang berkongsi susah dan senang. Tetapi kini Che Alizah adalah racun. Wajah tampak manis namun bicaranya seakan bisa!

“Jangan hina keturunan saya, Liza. Ya, awak banyak tolong saya tapi sedikit pun saya tak minta dengan awak. Awak yang rela nak bantu saya selama ni. Kenapa awak nak mengungkit? Anak awak jadi penagih bukan sebab anak saya tapi sebab awak sendiri. Awak yang tak pandai mendidik dia!”

Che Alizah mendengus halus sebelum terhegeh-hegehnya berlalu dari situ. Julyana mendapatkan Puan Rohaya yang mengurut dada. Didudukkan Puan Rohaya ke sofa.

“Mak tak apa-apa ke?” Bahu Puan Rohaya diusap lembut.

“Liza betul-betul sakitkan hati mak. Sampai hati dia tuduh anak mak macam tu. Dia ingat anak dia baik sangat ke?”

“Mak, Ju sebenarnya masih tak faham. Kenapa anak Mak Cik Liza boleh jadi macam tu? Kata Mak Cik Liza, anak dia sayangkan Ju sejak kecil lagi. Mak pula cakap dia kawan Ju. Tapi siapa dia, mak? Ju langsung tak ingat apa-apa.”

“Dulu Ju selalu main dengan anak Mak Cik Liza tu. Tiap kali mak jumpa Liza, mak bawa Ju sama. Sebab tu kita orang ada berjanji nak kahwinkan Ju dengan anak dia bila dah besar. Tapi mak tak boleh paksa Ju kan? Ju sendiri yang menolak,” jelas Puan Rohaya menyingkap kisah lama.

“Ju tak ingat apa-apa. Tapi kalau betul Ju yang menyebabkan dia jadi macam tu, Ju perlu betulkan keadaan. Ju kena jumpa dia. Kena dengar dari mulut dia sendiri.” Julyana mengeluh berat.

“Ju, jangan Ju. Dia dah hilang kawalan. Ju tak mampu pujuk dia. Ju tak perlu libatkan diri dengan lelaki macam tu. Dia yang rosakkan diri sendiri. Ju tak perlu bertanggungjawab bila dia dah jadi macam tu. Mak merayu pada Ju. Jangan jumpa dia.” Puan Rohaya ternyata tidak senang dengan cadangan Julyana.

“Tapi kiranya Ju yang bersalah, mak. Dia jadi macam tu sebab Ju tolak dia.”

“Itu hak Ju untuk tolak dia!” pangkas Puan Rohaya.

“Tapi kalau Ju tak betulkan semua ni, Mak Cik Liza akan terus salahkan mak. Dan Ju tak nak seorang lelaki rosak kerana Ju.”

Puan Rohaya menyapa dahi. Entahlah. Dia sudah pening dengan masalah Che Alizah. Ditambah pula dengan kedegilan Julyana yang teus menyalahkan diri sendiri.


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie