Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,028
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

“HAI, kak. Siapa mamat hensem tu? Taste akak orang Cina ya?” Saliha datang menempel sebaik Rifqy berlalu pergi. 

Dah agak dah. Saliha mesti mahu tahu. Dia sudah kenal dengan perangai Saliha yang suka menyibuk itu. Julyana tayang senyum sumbing. Tak layan kang budak ni tuduh sembarangan pulak.

“Itu kawan akaklah, Saliha,” balas Julyana sambil mengelap meja yang penuh dengan sisa makanan dengan tuala lembab.

“Kawan? Wow! Kawan akak orang Cina ya? Lelaki pula tu!”

Lain macam saja Julyana tengok pekerjanya yang satu itu. Satu kebanggaan ke berkawan dengan orang Cina? Ramai saja kat luar sana yang mempunyai kawan berlainan bangsa. Dah namanya Malaysia. Negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Biasalah kalau ada kawan berbangsa lain. 

“Dia tu saudara baru. Rifqy namanya. Enam bulan lepas baru masuk Islam. Kenapa? Saliha berminat ke?” Julyana mengangkat kening menantikan respon gadis itu. Nama Rifqy pula dipromosi sedangkan lelaki itu tidak tahu apa-apa.

Saliha menampar bahu Julyana. Sempat lagi tu. Bibirnya merekah dengan senyuman manis.

“Tapi Saliha nampak mamat tu macam nakkan akak aje. Takkanlah nak promote dia dekat Saliha pulak? Akak ambil aje la dia.” Bibir Saliha memuncung.

“Eh, kenapa pula? Akak dengan dia kawan aje la. Kalau akak nak, akak takkan offer pada awaklah.”

“Eh, akak ni,” gerutu Saliha perlahan. “Dia tu bukan baranglah, akak. Ada ke nak main bagi main ambil macam tu? Kalau dia dengar akak cakap macam ni, kecil hati dia tahu?” 

Kata-kata itu bagaikan terkena batang hidung sendiri. Julyana menepuk dahi. Betullah kata Saliha itu. Rifqy bukan barang. Lagi pun dia hanya bergurau sahaja dengan Saliha. Tidak tahu pula gadis itu ambil serius dengan gurauannya. 

Usai habis mengemas mana yang patut, Julyana sudah bersedia untuk pulang. Restoran diserahkan kepada Saliha untuk ditutup. Kunci restoran sememangnya dipertanggungjwabkan kepada Saliha kerana dia menaruh kepercayaan kepada gadis muda itu. Selama ini pun tiada apa-apa yang hilang. Elok saja restorannya. Tiada kehilangan duit. Tiada kehilangan barang-barang di dalam restoran itu.

“Akak balik dulu,” ujar Julyana kepada pekerja-pekerjanya yang masih ada di restoran itu. 

“Ya, akak. Hati-hati!” Amri mengangkat tangan tinggi ke udara. Julyana melemparkan senyum.

Suasana malam memanglah mengerikan. Gelap saja. Tambah pula dengan sunyi. Namun, Julyana sudah biasa dengan keadaan itu. Selama ini dia berjalan dalam gelap, memandu dalam gelap tiada apa pun yang menghadangnya. Hantu? Memanglah ada tetapi itu semua syaitan yang sengaja mahu menakutkan anak-anak Adam. 

“Hai cik adik.”

Meremang bulu romanya saat ditegur. Julyana mempercepatkan langkah. Tas tangan dikepit kemas. Jantung pula berdebar ke tahap paling tinggi. 

“Laju nampak. Nak ke mana?”

Suara itu lagi. Aduhai. Julyana cuba berlari anak. Inilah kejadahnya parking kereta jauh-jauh.

“Nak saya temankan?” 

“Tak nak!” Julyana menjawab tanpa sedar. Matanya hanya fokus ke depan. Tidak sanggup menoleh ke belakang kerana dia tahu dirinya sedang diekori. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa agar dirinya dikaburkan dari pandangan.

“Sombongnya awak.”

“Rifqy…” Julyana menyebut nama itu. Teringat pesan lelaki itu tadi. Nampaknya ada sebabnya mengapa lelaki itu berpesan padanya tadi.

“Argh!”

Tubuh Julyana terasa melayang ke belakang. Pautan yang kejap pada lehernya menyebabkan dia gagal mengawal tubuh. Tersungkur dia di tar dengan alunan doa yang tak putus-putus meniti di bibir. 

“Kesian dia. Jatuh pula. Mari saya bantu.” 

Julyana mengangkat wajah. Dapat dilihat dengan jelas wajah itu. Wajah yang penuh dengan jambang dan bibirnya menyeringai senyum. Julyana tahu dia dalam bahaya. Namun dia bukanlah seorang yang kuat untuk melawan. Apa sangatlah kekuatan seorang perempuan jika ingin dibandingkan dengan kaum lelaki.

Wajah itu semakin mendekat namun Julyana berusaha juga untuk menepis. Tas tangan dilibas ke wajah itu menyebabkan lelaki itu menjerit sakit.

“Kau memang nak kena dengan aku kan?” 

Lelaki itu mahu merentap tudung yang melilit kemas di kepala Julyana. Julyana mencengkam kuat lengan lelaki itu dengan sepenuh tenaga yang ada bagi menghalang tindakan lelaki mabuk itu.

“Pergilah kau! Dasar orang mabuk!” Julyana menolak kasar lengan itu. Dia segera bangun dan berlari sepantas mungkin. Dan saat itu kakinya mula lemah tiba-tiba. Tubuhnya terdorong ke depan, hampir menyembah tar namun ada tangan yang menyokong tubuhnya daripada jatuh tersembam. 

“Rifqy!” Julyana bagai mahu menangis dengan kemunculan lelaki itu. Dari mana datangnya entah dia tidak tahu. Lelaki itu akan hadir apabila dia memerlukan. Walaupun kedatangannya agak tiba-tiba, Julyana tetap berasa bersyukur. Allah S.W.T masih mendengar rintihan dan doanya. 

“Kenapa ni?” soal Rifqy hairan melihat perempuan itu berlari-lari sedangkan tiada sesiapa yang mengejarnya. Nasib baik dia menyentuh Julyana dengan beralaskan jaket kulitnya. Jika tidak menempah dosa percumalah jawabnya.

“Tadi … ada orang kejar …saya ….” Julyana termengah-mengah dalam menjawab. 

“Tak ada pun,” sanggah Rifqy.

“Ada. Dia kejar saya tadi. Saya takut sangat,” adu Julyana masih dalam ketakutan yang belum hilang. Jejak lelaki yang mengejarnya telah hilang namun Tubuhnya terasa menggeletar hebat.

“Awak parking kereta kat mana?”

“Depan BSN.”

“Kenapa letak jauh sangat? Boleh drive ke tak ni?”

Dengan muka yang pucat lesi tidak berdarah Julyana menggelengkan kepalanya. 

“Saya hantarkan awak. Esok awak tak payahlah pergi kerja,” saran Rifqy sambil membantu Julyana berdiri tegak. Tidak mahu menyentuh perempuan itu tetapi dalam keadaan begitu dia terpaksa jua. Itu pun nasib baik berlapik.


TERKEJUT Puan Rohaya melihatkan anaknya yang lemah tidak bermaya. Wajah pula usah cakap. Pucat macam mayat. Lagi terkejut dengan kehadiran seorang anak muda yang menghantar Julyana ke rumah. 

“Anak ni siapa?” Puan Rohaya tertanya-tanya. Wajah memang tak nampak kemelayuan langsung. 

“Maaf mengganggu. Saya Rifqy, puan. Kawan Julyana.” Rifqy memperkenalkan diri.

“Kawan? Mak cik tak tahu pula Ju ada kawan bangsa lain. Dah lama ke berkawan?”

Rifqy menudingkan jari ke arah Julyana yang duduk di sofa. “Utamakan Julyana dulu, puan. Dia masih dalam shock tu.” 

“Terima kasihlah tolong hantarkan anak mak cik, Rifqy.”

Rifqy mengangguk kemudian meminta diri. Sempat meminta Puan Rohaya untuk berpesan pada Julyana agar tidak masuk kerja esok.

“Ju, kenapa ni?” Puan Rohaya menyentuh dahi Julyana. Tak panas pun. Tetapi tubuh itu menggigil. Sebolehnya dia mahu menyoal anak gadisnya tentang lelaki Cina yang sudah beredar itu namun melihatkan kedaan Julyana, persoalan yang bermain di fikiran dilupakan dulu. Esok-esok boleh je dia bertanya.

“Akak, kenapa ni?” Kali ini Jihani pula bertanya. Julyana menjawab dengan gelengan lemah. 

“Dah pucat macam ni takkan la tak ada apa-apa?” Puan Rohaya menduga. Risau melihat keadaan anaknya itu. Nasib baiklah ada Rifqy. Kalau tidak, apalah yang akan terjadi pada anaknya itu.

“Bawa kakak kamu ke bilik. Bagi dia rehat,” arah Puan Rohaya kepada dua anak gadisnya yang tercegat di situ. Jihani dan Juhanna menurut saja. Dipapah tubuh lesu Julyana ke bilik. 

Puan Rohaya termangu di sofa. Entah apalah yang terjadi kepada anaknya itu sampai Julyana tidak mampu mengeluarkan suara.


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie