Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,050
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Dua puluh tahun yang lalu … Kediaman Jason 


“MEMANG saya tak dapat terima dia sebagai anak saya! Apa yang awak buat tak mudah saya maafkan. Awak bawa anak awak tu keluar dari sini kalau awak masih nak saya jadi isteri awak. Kalau tak, saya dengan anak-anak akan pergi dari rumah ni!”

Jason menggeleng. Tidak masuk akal sungguh permintaan isterinya itu. Anaknya tetap anaknya. Tidak boleh sesuka hati dihalau keluar. Yang bersalahnya dia, bukan anaknya. Kenapa kesalahan yang dilakukan harus terpalit sama pada anak yang tidak mengerti apa-apa? Bukan setakat itu saja, isterinya sanggup mengugutnya demi kepentingan diri!

“Ini anak saya juga, Yin. Walaupun bukan lahir dari rahim awak, dia tetap anak saya sebab saya ayah dia. Awak tak boleh sesuka hati buat syarat mengarut macam tu!” Jason masih cuba bertoleransi. Dia tidak mahu bergaduh dengan isterinya. Bimbang isterinya bertindak yang bukan-bukan pada anak-anak yang lain. Dibawa lari lagi dua anak kembarnya, tidak ke naya namanya?

“Anak dengan perempuan simpanan awak nak saya jadikan anak saya? Apa awak betul ke tak? Saya takkan terima status dia dalam rumah ni. Anak saya cuma dua orang. Arlene dan Adelyn. Awak boleh bawa keluar anak awak ni sebab saya tak terima dia dan tak perlukan dia,” ujar Yin dengan angkuhnya. Hendak memandang budak lelaki yang berdiri di sisi suaminya pun tidak berkeinginan apatah lagi mahu menerima kehadiran anak kecil itu sebagai anak. 

Telinga Jason berdesing apabila perkataan ‘perempuan simpanan’ singgah di telinganya. 

“Ini rumah saya, Yin. Awak jangan cabar saya. Kalau awak tak nak hidup susah macam dulu, baik awak ikut cakap saya. Anak saya tetap akan tinggal kat sini walaupun awak tak suka. Kalau awak tak suka dengan cara saya, awak boleh keluar tapi jangan bawa anak-anak saya sama.”

“Awak ugut saya sebab budak ni?” Mata Yin mencerlang ke arah anak kecil yang lari bersembunyi di belakang Jason. Mungkin gerun akan wajah Yin yang garang seperti mahu menerkamnya hidup-hidup.

“Saya bukan ugut awak. Saya nak bagi awak sedar sikit. Kemewahan yang awak nikmati sekarang ni semuanya adalah daripada hasil titik peluh saya jadi awak kena reti menghargai. Jangan sampai saya halau awak keluar sebab perangai awak ni!” Dada Jason turun naik, menahan rasa marah yang meluap-luap. Yin benar-benar telah mencabar kesabarannya.

Yin mencebir bibir. Tidak hairanlah dia dengan ugutan itu. Macamlah Jason sanggup berpisah dengannya. Bukankah dulu lelaki itu yang terkejar-kejar meraih cintanya? Siapa yang beria-ia melamarnya?

“Satu lagi saya nak ingatkan awak. Ini anak saya. Awak kena layan Andre dengan baik. Kalau saya tahu awak tangankan dia, siap awak. Saya tahu saya akan sibuk, tak ada masa kat rumah untuk tengokkan anak-anak tapi awak jangan fikir nak ambil kesempatan pula. Saya akan perhatikan awak. Ingat tu!” Jason melaungkan amaran keras. Yin kena ingat bahawa dia lelaki. Dia boleh berbuat apa saja. 

“Whatever!” 

Yin berlalu pergi, masih dengan angkuhnya.


ANDRE membuka mata. Entah kenapa dia tidak boleh tidur. Jika mendiang mamanya masih ada, tidak perlulah dia tinggal di rumah ini. Tidak perlu dia mendengar pertengkaran papanya dengan Yin. Tidak perlu menghadap kakaknya, Adelyn yang selalu memandangnya dengan sinis. Tiada sesiapa yang menyukai kehadirannya di dalam rumah ini. Mengapa Jason membawanya untuk tinggal bersama mereka yang jelas membencinya?

“Andre, masih tak tidur ke? Dah lewat malam ni,” tegur Jason yang perasan anaknya bangkit dari pembaringan. Dia menanggalkan kaca mata lalu diletakkan di sisi laptop. Kemudian, dia melangkah ke arah katil. 

“Papa, kenapa saya mesti tinggal kat sini? Kenapa mesti mama tinggalkan kita? Kita tak boleh ke tinggal kat sana terus?” Suara kecil yang seakan berbisik itu menggamit kesayuan Jason. Dia memeluk tubuh kecil Andre. Diusap-usap ubun-ubun anaknya itu dengan penuh kasih. Setelah kematian Hudson, tanggungjawab memberi kasih sayang yang secukupnya berada di pundaknya. Andre adalah amanah mendiang Hudson. Dia akan menjaga Andre seperti mana yang dipertanggungjawabkan oleh mendiang isterinya.

“Mama tak tinggalkan kita. Dia ada dengan kamu. Kat sini,” balas Jason seraya melekapkan tapak tangannya ke dada Andre. Andre mendongak, memandang Jason kemudian menggelengkan kepalanya. Jason tersenyum. Mengerti anak kecil itu tidak faham apa yang dimaksudkannya.   

“Tak mengapa. Suatu hari nanti kamu akan faham.”

“Kenapa Mama Yin tak sukakan saya, papa? Saya ada buat salah ke? Apa yang saya dah buat?” 

Jason diam seketika. Namun, bibirnya tetap merekah dengan senyuman. Kenapa kamu dibenci? Kerana kamu bukan anak dia, Andre. Kamu anak mama. Hanya hatinya sahaja yang berani berkata-kata begitu. Untuk menjelaskan kepada anak itu, mana mungkin anak itu faham. Anak itu masih kecil, masih tidak mengerti apa-apa. Suatu hari nanti dia harap Andre akan faham dengan sendiri.

“Kalau mama masih ada, saya takkan datang sini. Saya rela tinggal dalam rumah kecil dengan mama. Janji papa selalu datang tengokkan saya dengan mama. Itu dah cukup bagi saya, papa,” ujar si kecil itu lagi. Sebelum ini pun hidup dia dan mendiang mama tetap bahagia walaupun papa tidak memberi kemewahan seperti yang diberikan kepada Yin. 

“Andre, mama dah tak ada. Andre tak boleh tinggal kat situ lagi sebab papa tak boleh tengokkan kamu. Tapi kamu masih ada papa kat sini. Papa akan lindungi kamu seperti mana papa lindungi mama.” Jason cuba menyedapkan hati si anak yang galau itu. Itu janjinya kepada mendiang Hudson sebelum kekasihnya itu meninggal dunia.

Andre tersenyum comel. Dia merebahkan kepalanya pada bahu Jason. Lega hatinya apabila papanya berkata begitu. Dia tidak lagi risau kerana dia tahu papa sayangkan dia. Papa akan melindunginya. Biar Yin membencinya, asalkan papa sayangkan dirinya sepenuh hati. 


JERITAN Andre masih tidak berhenti. Namun, Yin sekadar buat tidak dengar. Anak itu harus diajar agar tahu untuk menjaga kelakuan di dalam kediaman itu. Tidak kisah siapa dirinya. Yang bersalah tetap harus dihukum.

“Jangan, Mama Yin! Sakit!” Andre meraih simpati namun rotan kayu masih hinggap ditubuh kecilnya. Rayuannya langsung tidak terkesan pada Yin.

“Oh, kamu sakit? Kamu tahu tak pasu yang kamu pecahkan tu bukan seringgit dua? Kamu tahu tak pasu tu kesayangan mama?” 

“Mama, sudahlah mama. Kesian dia.” Saat itu Arlene datang menegah Yin. Matanya dijamu simpati melihat tangisan Andre yang tidak henti-henti itu. Tentu anak kecil itu sakit yang amat.

“Kenapa nak bela dia, Arlene?” soal Yin dengan mata membuntang. Tidak sangka Arlene mempunyai perasaan belas kasihan terhadap Andre.

“Saya tak bela dia, mama. Tapi dia masih kecil. Kalau dia buat salah pun, mama tak perlu pukul dia sampai macam tu sekali. Kalau papa tahu, mama juga yang kena nanti,” jelas Arlene cuba memujuk Yin. Dia kenal baran Yin malah dia sendiri juga pernah dipukul apabila melakukan kesalahan. Namun, ianya tidaklah seteruk itu. Mungkin kerana Andre bukan anak kandung Yin, status anak kecil itu dibezakan.

Yin mendengus keras. Rotan di tangan dihempas ke lantai. Tubuh kecil Andre dibiarkan tanpa belas. Laju sahaja dia meninggalkan Andre dalam keadaan begitu. Arlene yang masih tidak berganjak memerhatikan mamanya berlalu dengan ekor mata. Sebaik kelibat Yin hilang dari pandangan, Arlene segera mendapatkan Andre yang terkulai lemah itu. 

“Andre, kamu boleh bangun? Sis bawakan ubat ya?” Arlene cuba membantu Andre untuk berdiri.

Andre pandang Arlene. Kemudian, dia mengukir senyum seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Terima kasih, sis. Tapi saya tak perlukan ubat. Saya yang bersalah. Sudah pasti saya akan dihukum. Kalau sis bantu saya, sis akan kena dengan Mama Yin. Saya tak nak sis kena marah dengan Mama Yin.”

Arlene tertunduk. Matang benar pemikiran adiknya itu. Padahal baru berumur lapan tahun. Sedangkan dia yang sudah menginjak usia sebelas tahun masih bersikap kebudak-budakan. Anak kecil ini menangis dalam kesakitan namun tidak kisah tentang lukanya. Malah, sanggup pula menahan sakit dengan ketapan bibir.

“Maafkan sis. Maafkan mama sebab pukul kamu. Sis tak mampu nak halang mama.” Suara kendur Arlene menyapa telinga Andre. Namun, senyumannya tetap tidak lekang dari bibie. Tangan Arlene dicapai lalu digenggam erat.

“Sis tak bersalah.”

Arlene bagai mahu menangis di situ juga. Mengapa anak sekecil itu lebih mengerti kehidupan berbanding dirinya?


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie