Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,031
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

TELEFON berbunyi menandakan panggilan masuk. Rifqy yang masih berteleku di tikar sejadah segera mendapatkan telefonnya di sofa. Nama Julyana tertera di skrin. Tersungging senyuman kecil di bibirnya.

“Assalamualaikum, Rifqy.” Di hujung talian, Julyana memberi salam.

Rifqy menarik nafas kelegaan setelah mendengar suara yang kedengaran ceria itu. Itu bermakna Julyana sudah sihat seperti sediakala.

“Waalaikumussalam. Awak macam mana? Dah sihat?”

“Dah. Tapi macam mana awak tahu saya tak sihat?” 

Rifqy menggaru kepala. Tergagap-gagap pula dia mahu menjawab soalan itu.

“Err … Saya tanya pekerja awak,” ujarnya berterus-terang. Takkan mahu menipu pula sedangkan terang-terangan dia pergi ke restoran perempuan itu untuk mencarinya.

“Rifqy, tadi awak ada datang rumah ya?” Sengaja Julyana ingin mengenakan lelaki itu. Kalau Rifqy ada di hadapannya saat ini, dia sudah dapat mengagak ekspresi wajah yang akan dipamerkan oleh lelaki itu.

“Ah. Eh, macam mana awak tahu?” Rifqy mula menggelabah. Takkanlah Juhanna yang bagitahu pula? Tadi elok saja budak itu berjanji dengannya.

“Adik saya yang cakap.”

“Huh? Tadi dia dah janji dengan saya. Bocor juga nampaknya.” Rifqy mengeluh di hujungnya tetapi ketawa selepas itu.

“Aik, kenapa awak ketawa?” soal Julyana hairan pula apabila Rifqy menyambut kata-katanya dengan tawa.

“Tak adalah. Adik awak tu bukan main nak kenakan saya. Berjanji dengan saya tapi alih-alih dia bagitahu juga kat awak.” Rifqy menjelaskan. Julyana angguk walaupun Rifqy tidak nampak anggukannya. Adiknya memang tidak pandai simpan rahsia langsung. Silap besarlah kalau sesiapa menceritakan perkara penting padanya. Mulutnya tidak akan pernah diam.

“Tapi kenapa awak tak nak masuk?” Soalan yang bermain di minda sejak petang tadi dilontarkan jua. Kalau dah datang, sepatutnya masuk sajalah. Bukannya tiada orang di rumah. Puan Rohaya dan adik-adiknya ada. Lainlah kalau dia bersendirian, sudah pasti lelaki itu tidak diajak masuk ke dalam rumah.

“Oh. Tu sebab saya tak nak mengganggu awak. Kut-kut ada orang lain yang ada dalam rumah tu,” jawab Rifqy bersahaja.

Kerut terlukis di dahi Julyana. “Maksud awak siapa?”

Rifqy berdehem. “Alif kut.” Dia hanya membuat andaian saja. Tidak tahu betul atau tidak.

Berderau darah Julyana apabila nama itu disebut. Cara lelaki itu bercakap seolah-olah lelaki itu cemburu. 

“Kenapa awak fikir macam tu pula?”

“Sebab saya tahu dia pandang awak dengan cara istimewa. Dialah lelaki yang saya nampak dengan awak kat taman tu kan? Tak mustahil kalau awak dengan dia apa-apa. Lagi-lagi bila awak sakit, mesti la dia orang pertama yang awak akan bagitahu selepas keluarga awak.” Rifqy terus membuat andaian yang logik. Dia perasan pandangan Alif pada Julyana. Lelaki itu kelihatan bahagia apabila bersama dengan Julyana. Seperti tempoh hari sewaktu dia dan Alif menjamu selera bertemankan Julyana pada pertemuan pertama mereka. Bukan main suka Alif apabila Julyana memujinya. Mata pula tidak lepas dari menatap wajah perempuan itu. Dia juga lelaki. Dia tahu benar maksud pandangan Alif terhadap Julyana. Bohonglah kalau lelaki itu tidak berasa apa-apa.

“Rifqy, cara awak cakap ni lain macam aje. Alif tu kawan sepermainan saya. Tapi bukan kekasih saya pun.” Julyana menerangkan keadaan sebenar. Agaknya berkali-kali dia menegaskan bahawa dia dan Alif hanya berkawan, Rifqy masih menganggap dia dan lelaki itu mempunyai hubungan yang istimewa. Kalaulah dia bercinta dengan Alif, takkanlah dia berkawan dengan Rifqy pula.

“Ya ke?” Rifqy menduga.

“Awak cemburu?” Laju Julyana meneka. 

Uhuk. Uhuk. Rifqy terbatuk kecil.

“Ju, awak kawan saya. Saya sentiasa mendoakan kebahagiaan untuk awak. Siapa pun pilihan awak, saya terima aje. Jadi kenapa saya nak cemburu pula?” Rifqy masih menafikan walaupun dia sendiri sedar bukan itu yang sepatutnya dikatakan pada Julyana. Kalau betul dia nakkan perempuan itu, dia seharusnya mengaku. Bukan terus menidakkan. Bab hati dan perasaan, dia memang gagal.

Julyana diam. Ada nada sedih di hujung kata lelaki itu. Tetapi kenapa? Adakah lelaki itu kecewa? 

“Awak okey ke tak ni?”

Rifqy tergelak kecil. Sengaja tidak mahu Julyana bersangka yang bukan-bukan. Tak pasal-pasal demam Julyana melarat pula gara-gara dia.

“Awak tu yang kurang sihat, Ju. Dahlah. Awak rehatlah. Saya pun ada kerja yang nak kena siapkan ni,” ujar Rifqy mahu menamatkan perbualan. Dia tidak sanggup pula mendengar apa-apa tentang Alif. Seolah-olah hatinya terluka. Dia takut lelaki itu punya tempat istimewa di hati Julyana. Sudah pasti dia akan diabaikan di kemudian hari.

“Rifqy…”

Talian dimatikan. Telefon dicampak ke sofa. Dia menunduk, meraup muka. Kenapa hati ini terlalu berat untuk menelan segala-galanya dengan mudah? Mengapa begitu sukar hati ini untuk terus berbohong?

Dia sayangkan Julyana. Ya, sayangnya pada perempuan itu sama seperti Alif menyayangi Julyana. Tetapi dia sedar dia tidak ada tempat di hati Julyana. Julyana menganggap dirinya sebagai kawan. Dan selamanya dia terpaksa menganggap Julyana itu adalah guru yang mengajarnya tentang Islam dan hanya sekadar sahabat. Sepatutnya dia sudah menjangka tentang itu. Tidak mungkin Julyana akan menyukainya. Tidak mungkin Julyana akan menganggapnya lebih dari seorang teman. Tidak mungkin Julyana akan berpaling tadah dari Alif. Kerana antara dia dan Alif, Alif terlebih dahulu datang dalam hidup perempuan itu.

 

ADELYN menyisip jus oren itu sebelum meletakkan semula ke meja. Matanya tepat menuntas wajah Arlene. Entah apalah tujuan perjumpaan itu sedangkan mereka bukannya baik sejak kecil lagi. Mereka mungkin kembar tetapi perangai seperti langit dan bumi. Tidak pernah sehaluan.

“Kenapa kau beria-ia sangat nak jumpa aku ni?” Adelyn terlebih dahulu menyingkap kesepian yang membaluti kedua-duanya sejak dari tadi. Rasa canggung dengan pertemuan itu walaupun mereka adalah kembar seiras.

“Adelyn, kau seolah-olah tak kisah pasal mama kan?”

Adelyn sentap. Tuduhan itu ditujukan kepadanya? Tetapi atas alasan apa? Hanya kerana dia jarang melawat Puan Amna, dia dituduh sebagai anak yang tidak pedulikan ibu sendiri? 

“Arlene, kau ni kenapa nak tuduh aku yang bukan-bukan?” tempelak Adelyn. Terguris hatinya dengan tuduhan yang dilemparkan oleh kembarnya itu sendiri.

“Mama tengah gelisah. Mama tengah susah hati. Tapi sedikit pun kau tak ambil tahu kan?”

“Wait. Mama gelisah? Mama susah hati? Kenapa mama rasa macam tu? Mama rasa macam tu sebab mama tu pesalah. Orang yang musnahkan hidup seorang budak lelaki yang tak berdosa. So, apa kaitannya dengan aku?” Lantang Adelyn berkata. Kenapa dia pula yang perlu berasa bersalah?

“Adelyn! Sampai hati kau cakap macam tu kat mama? Kau tak tahu ke apa penderitaan yang mama lalui?” Keras suara Arlene memangkah kata-kata kembarnya itu. 

“Dan apa yang adik kita lalui tu bukan penderitaan? Kau jangan nak berlagak baik depan aku ya. Kau tak ingat mata siapa yang jadi saksi tengok budak tu kena pukul? Kau yang jadi saksi! Sekarang kau nak salahkan aku pula? Macamlah aku yang pukul budak tu!” Adelyn melenting marah. Dia yang tidak ambil tahu pula dipersalahkan. Memang dia tahu Andre selalu menjadi mangsa pukul Puan Amna dahulu. Hampir setiap hari tetapi dia lebih ‘suci’ daripada Arlene yang menyaksikan semuanya tetapi tidak berbuat apa-apa. Sejujurnya, dia memang membenci Andre. Dia memang tidak suka kehadiran anak itu dulu. Tetapi dia bukan bodoh untuk melibatkan diri dalam kekejaman Puan Amna. Buat tidak tahu lebih baik daripada menjadi saksi. Sekurang-kurangnya dia tidak dipersalahkan. 

Arlene menjatuhkan pandangannya ke bawah. Tidak sanggup bertentang mata dengan kembarnya itu. Dia berasa malu. Malu dengan kembarnya itu. Kata-kata Adelyn itu menyentapnya kerana itulah kebenaran. Dia hanya melihat dan tidak melakukan apa-apa. 

“Sekarang kau nak aku buat apa? Tenangkan hati mama? Mama jadi macam tu sebab dosa mama pada Andre. Walaupun aku dah tak seagama dengan mama, aku tahu manusia ni ada buat dosa. Semua buat silap. Dalam hal ni, mama rasa bersalah. Sebab tu hati mama tak tenang. Kau pun tahu kenapa mama rasa macam tu kan? Jadi, kenapa kau pula yang susah hati? Kau takut Andre juga bencikan kau?”

“Tapi mama dah insaf, Adelyn. Mama dah berubah. Kau sanggup ke nak tengok mama dibenci Qy?” Sayu suara Arlene begitu juga dengan wajahnya. Jus epal dipandang sepi. Masih tidak luak.

“Itu semua bergantung pada Andre. Bukan pada Qy. Kalau Andre membenci, maka Qy juga akan membenci. Sebab jiwa Andre ada dalam diri Qy. Sekarang ni Qy tak ingat apa-apa. Kau dengan mama suap cerita palsu kat dia dan dia masih percaya sebab dia belum ingat apa-apa. Bila dia dah tahu, bila ingatan dia dah pulih kau tengoklah apa yang jadi nanti. Kau ingat bila mama tipu, dia takkan bencikan mama? Kita tengok selama mana kau dengan mama boleh hidup dalam penipuan yang kau orang reka sendiri.” 

Kerongkong Arlene bagaikan tersekat untuk melontarkan kata-kata seterusnya. Rasa takutnya mula datang. Jika Rifqy tahu perkara sebenar, akan bertunaskah rasa benci anak muda itu terhadap dia dan Puan Amna? Apa lagi selama ini mereka berdua menyogok Rifqy dengan cerita palsu.


“HAI, Qy. Kau dengan Cik Julyana tu rapat semacam aje. Ada apa-apa ke dengan dia?” Afiq menyiku lengan Rifqy yang sedang membaca akhbar di sofa. Rifqy mengerling kawannya itu. Ada-ada saja. Memang inilah perangai manusia. Bila rapat, disangkanya ada apa-apa. Bila berenggang, disangkanya putus pula.

“Mana ada. Kita orang kawan aje. Kau tu yang fikir bukan-bukan,” sanggah Rifqy bersungguh-sungguh. 

“Kawan aje? Ye ke? Bunyinya macam tipu aje.” Afiq tidak percaya. Tengok wajah kawannya saja dia sudah tahu yang Rifqy menaruh perasaan pada Julyana. Dulu dia yang beria-ia mahu berkawan dengan perempuan itu tetapi Rifqy menuduhnya lelaki gatal pula. Sekarang ini siapa pula yang terhegeh-hegeh pada Julyana kalau bukan Rifqy?

“Betullah. Kau ni. Macamlah kau tak pernah ada kawan perempuan.” Rifqy masih menafikan.

“Kawan perempuan aku memang ramai tapi tak adalah istimewa macam kau dengan Cik Julyana tu,” balas Afiq dengan sengihan nakalnya.

“Dia dah ada yang istimewa la. Aku tak kacau hak orang lain ni,” selar Rifqy sengaja membuka cerita. Lagi dia terus berdalih, lagilah Afiq menuduhnya yang bukan-bukan. Walaupun tuduhan itu ada benarnya. Perasaannya pada Julyana bukan lagi sekadar seorang sahabat.

“La, ya ke? Melepaslah kau!” Afiq tolak bahu Rifqy perlahan. Niat ingin bergurau. Rifqy tidak ambil kisah pun. Dia sudah terbiasa dengan gurauan Afiq yang kadang-kadang melampaui batas.

“Melepas apanya? Memang dari awal lagi aku anggap dia kawan ajelah. Aku dengan dia pun bukannya lama kenal. Baru aje. Takkanlah aku nak rasa apa-apa kat dia. Dia tu cikgu aku tahu?”

“Yalah. Cikgulah sangat. Entah-entah kau ada hati dengan dia. Tapi kau fikir pasal orang lain sampai kau tak kisah kalau kau kehilangan dia. Kalau kau nak dia, fight for her. Siapa pun lawan kau, kau kena pastikan Cik Julyana tu jadi milik kau.” 

Selamba badak saja Afiq menolak bahu lelaki di sebelahnya sekali lagi menyebabkan wajah Rifqy berubah kelat. Menentang Alif untuk merebut Julyana daripada lelaki itu? Sama sahaja seperti dia merosakkan persahabatannya dengan Julyana.

“Tak betul apa yang aku cakap?” Afiq mengusik nakal. Tahu-tahu saja tubuhnya sudah tergolek ke lantai terkena penangan Rifqy yang sudah tidak tahan dengan sindiran kawannya itu. Afiq mengaduh sakit. Dalam sejarah kali pertama dia kena tolak oleh kawan sendiri. Terbongkang dekat lantai pula tu. Buat malu dengan Lai dan Celine saja. Bila dia angkat muka, kedua-duanya sedang menutup mulut menahan gelak. Macam kecil saja dia tengok dua manusia itu.

“Malas nak layan kau, Fiq.” Rifqy segera angkat punggung. Tidak betah rasanya duduk di situ lama-lama apabila topik tentang Julyana pula menjadi bahan usikan Afiq walaupun dia tahu Afiq mahu menyalurkan sokongan untuknya.

“Fiq … Fiq… Kau ni memang layak kena macam tu. Yang kau duk sibuk pasal dia tu apa hal? Biarkanlah dia …” Celine menegur dengan senyuman yang tidak tertahan. Rasa mahu gelak sepuasnya tetapi memikirkan wajah mencuka Afiq, dia tidak jadi ketawa.

“Hish …Qy tu nak emotional sangat kenapa?” 

Bibir Afiq memuncung sedepa. Dia bagi dorongan saja pun. Kenapa Rifqy hendak naik angin pula? Nampak sangat dia sukakan Julyana tetapi dia memilih untuk berada dalam zon persahabatan sampai bila-bila. 

Celine mengangkat bahunya. Urusan Rifqy dan kawan-kawan sekerja yang lain, dia memang tidak mahu masuk campur. Nanti dicop penyibuk pula.


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie