Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,048
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

“AWAK biar betul ni, Aya? Saya tak boleh terima keputusan awak ni. Kita dah berjanji dulu, kenapa nak batalkan pula?” Suara Che Alizah sedikit meninggi apabila rancangan yang telah lama dirangka akhirnya musnah dalam sekelip mata kerana permintaan Puan Rohaya yang terbit sebentar tadi.   

Puan Rohaya menunduk seketika sebelum kembali mendongak menentang mata Che Alizah. Dari nada suara itu dia sudah dapat mengagak bahawa Che Alizah tidak berpuas hati dengan keputusannya. 

“Kita anggap tak pernah ada perjanjian antara kita. Saya tak nak musnahkan hidup anak saya …”

“Apa awak cakap, Aya? Kita dah lama kenal. Dah lama berkawan. Anak-anak kita pun bukannya kenal sehari dua. Dari kecil lagi dia orang berkawan. Tak mungkin saya nak musnahkan hidup anak awak. Kita buat perjanjian tu demi kebaikan anak-anak kita juga. Anak awak dan anak saya. Boleh pula awak cakap kat saya macam tu?” Nada Che Alizah semakin meninggi. Tidak sangka kata-kata itu akan terluah dari bibir sahabat lamanya itu.

Keluhan terluah dari mulut Puan Rohaya. Dia sudah berjanji pada Julyana. Mana mungkin dia melanggari janji yang dibuat itu. Jika dia ingin melihat senyuman Julyana, itu yang harus dilakukan walaupun Che Alizah tidak bersetuju. Tiada seorang emak yang mahu melihat anaknya tidak bahagia. Dan itulah yang cuba dia lakukan untuk memastikan Julyana bahagia dengan pilihan sendiri.

“Apa yang kita buat dulu adalah satu kesilapan. Kita cagarkan masa depan anak-anak kita sendiri. Sedangkan kita tak pernah tahu apa yang ada dalam hati anak kita. Dulu mereka kecil dan tak tahu apa-apa. Tapi sekarang masing-masing dah besar. Mereka dah tahu erti perasaan. Dah tahu apa yang hati mereka nak. Mereka berhak cari pasangan mereka sendiri,” tegas Puan Rohaya menuturkan kata.

“Baru sekarang awak nak cakap pasal ni? Kenapa dulu awak setuju bila saya usul cadangan untuk berbesan?” protes Che Alizah. Matanya menjeling geram.

Tiada suara kedengaran. Hanya keluhan dan rengusan yang berpadu.

“Cakaplah. Kenapa baru sekarang awak rasa semua tu tak betul? Adakah awak dah tak sayangkan persahabatan kita?” Che Alizah bertanya sambil menggoncangkan bahu Puan Rohaya, memohon jawapan yang jelas.

Puan Rohaya menolak perlahan tangan Che Alizah dari bahunya kemudian mencapai dan menggenggam tangan itu dengan erat. Bibirnya tersenyum. Persahabatan yang terjalin sekian lama tidak akan pernah dilupakan. Malah, keputusannya dulu juga adalah demi menjaga ikatan itu. Kini dia sedar dia telah mempertaruhkan hati dan perasaan Julyana. Dia tidak berada di tempat anaknya. Jadi, dia tidak tahu apa yang dirasakannya. Tetapi Julyana sendiri telah mengaku bahawa sukar sekali untuk dia menerima orang yang dia tidak kenal dalam hidupnya.

“Bukan saya tak sayangkan persahabatan kita. Saya nak anak saya bahagia. Awak akan faham suatu hari nanti. Andai kata mereka tak saling menyayangi, bahagiakah mereka berdua? Jiwa mereka akan merana. Saya tak nak anak awak dan anak saya kecewa,” ujar Puan Rohaya dalam nada yang lembut. Itu yang bermain di fikirannya sewaktu Julyana meminta untuk membatalkan pertunangan. Dia takut dirinya yang akan dipersalahkan jika hati anaknya terluka. Dan apabila difikirkan balik, keputusannya sebenarnya tidak adil untuk Julyana.

Che Alizah termangu seketika. Tangan yang berada dalam genggaman ditarik perlahan. Jika itu yang diinginkan oleh Puan Rohaya, maka dia menurut saja. Dia tidak mampu menghalang lagi kerana itu juga adalah permintaan Julyana sendiri. Jika dia terlalu memaksa, mungkin kerisauan Puan Rohaya akan menjadi kenyataan. Bukan setakat jiwa Julyana yang terseksa, anak lelakinya juga akan turut merana.

“Baiklah. Jika itu yang awak nak, saya dah tak boleh cakap apa-apa. Mungkin betul kata awak. Kita yang salah. saya tak salahkan awak sebab awak ada alasan yang kukuh untuk melupakan perjanjian tu. Lagi pun, kita tak ada sign kontrak apa-apa. Saya hanya boleh mengalah dan terima keputusan awak. Walaupun saya teringin benar untuk awak jadi besan saya,” putus Che Alizah akhirnya mengalah. Masih ada sekelumit rasa kecewa dengan keputusan itu namun apakan daya, dia tidak mampu meneruskannya lagi. Puan Rohaya melakukannya demi kebahagiaan anak-anak mereka. 

“Terima kasih, Liza.”

Genggaman tangan terjalin sekali lagi. Senyuman terukir di bibir masing-masing. Biarlah anak-anak menentukan sendiri masa depan mereka. Mereka hanya boleh mendoakan sahaja apa yang terbaik untuk kedua-duanya.

KEHADIRAN Aidil di restorannya tidak pernah terjangka di minda. Setelah mengugutnya tempoh hari, boleh pula dia menjejakkan kaki di restoran itu. Nasib baik beberapa orang pelanggannya telah beredar. Jika tidak, bagaimana harus dia tangani gangguan Aidil di depan para pelanggan yang selama ini mempercayainya?

“Apa hal kau datang sini?” Dalam nada berani Julyana bertanya. Dia mengerling Saliha yang sedang mengelap meja di satu sudut. Dia sempat menghantar arahan melalui ekor mata supaya Saliha segera berganjak dari situ. Gadis itu akur dan segera beredar ke dapur dengan langkah tergesa-gesa.

“Aku nak makanlah. Kau ingat aku nak buat apa?” jawab Aidil sinis. Dia menarik rakus kerusi lalu duduk dengan kasar. Tapak tangan dihentak kasar ke meja.

“Ambilkan order aku.”

Julyana mengetap bibir menahan geram. Jika lelaki itu sengaja hendak membuat kacau, dia memang tidak boleh bersabar.

“Kau jangan buat onar kat sini. Nanti customer aku tak berani datang sini lagi. Tolong keluar kalau kau datang sini setakat nak cari gaduh dengan aku. Aku tak ada masa nak layan orang macam kau.” Julyana memohon lembut. Jika diikutkan emosinya, mahu sahaja lelaki itu dihalaunya secara paksa. Jika dia berkasar sekalipun, Aidil mungkin juga tidak akan mengalah dengan mudah.

Mata Aidil terjegil dengan permintaan itu. 

“Apa kau cakap? Ini ke cara kau layan customer kau?” jerkah Aidil dengan wajah menyinga. 

Julyana mundur setapak setelah merasakan dia bakal menempah bala pada diri sendiri. 

“Aku cakap keluar sebelum aku panggil polis.” Julyana memberi amaran sambil menudingkan jarinya ke luar restoran, meminta Aidil supaya terus berganjak dari situ.

“Kalau aku tak nak?” duga Aidil dengan bibir yang sengaja diketap. Setakat amaran itu, apa dia takut? 

“Aku cakap aku akan lapor polis. Kau jangan cabar aku,” ugut Julyana sambil mundur ke belakang. Tangannya sudah bersedia untuk menarik keluar telefon dari poket seluar slacknya.

“Kalau kau nak aku berambus, janji dengan aku kau takkan masuk campur dalam urusan aku dengan Aida!”

 Tengkingan itu cukup menggegarkan pendengaran Julyana. Beberapa orang pekerjanya yang menonton perbalahan itu di sudut yang tersembunyi juga terkejut dengan nada suara yang tinggi itu. 

“Aku cakap keluar!” Kali ini Julyana menghalau dengan suara yang tinggi. Keberaniannya untuk terus memprovok Aidil masih ada. Dia tidak mudah gentar dengan lelaki seperti itu kerana dia sudah terbiasa dengan lelaki yang membuat onar terhadapnya. 

“Shit!”

Wajah Aidil berubah merah. Laju tangannya mencapai bekas kaca berisi garam dan gula yang ada di meja tersebut lalu dibalingkan ke arah Julyana. Balingan itu hampir mengenai kaki Julyana namun pantas Julyana mengangkat sebelah kakinya, mengelak daripada balingan itu. Tindakan yang drastik itu menyelamatkan dia daripada menjadi mangsa bekas kaca itu.

“Huh! Kau jangan berani sangat. Ni baru sikit. Kalau kau memandai masuk campur dalam urusan aku lagi, siap kau. Lagi teruk kau kena. Ingat tu!”

Aidil mendengus kasar sebelum bangkit dari duduk. Kerusi yang menjadi alas punggungnya sebentar tadi ditolak kasar sehingga terperosok ke satu sudut. Tindakan itu menyentakkan Julyana yang masih pegun. Tangannya sejuk bagaikan membeku seperti ais. 

Cepat-cepat Saliha dan dua lagi rakan sekerjanya mendapatkan Julyana yang masih berada dalam keadaan terkejut. 

“Akak tak apa-apa?” soal Saliha risau apabila Julyana tidak bereaksi. Wajahnya juga pucat tidak berdarah.

“Kau bawa Kak Ju ke hospital,” arah Amri yang turut menonton kekecohan yang berlaku tadi.

“Akak okey.” Julyana bersuara akhirnya. “Akak tak ada apa-apa. Akak cuma terkejut aje,” jelasnya dalam usaha untuk menenangkan hatinya sendiri dan juga hati pekerja-pekerjanya.

“Betul ke ni, Kak Ju? Orang tadi dah gila kut. Ada ke patut dia baling bekas kaca kat akak. Kalau akak tak mengelak tadi, memang berdarah kaki Kak Ju tahu?” Amri meminta kepastian. Sesiapa pun akan terkejut jika insiden seperti tadi berlaku di luar jangkaan. Di depan mata pula tu. Dia hendak menolong tetapi melihatkan kemarahan Aidil, dia tahu jika dia masuk campur dia hanya mengeruhkan keadaan. Entah apa lagi yang akan dilakukan oleh lelaki itu.

“Ya. Akak okey. Korang boleh sambung kerja. Kaca-kaca tu biar akak yang bersihkan.”

“Biar saya bersihkan, akak. Akak kan bos kat sini,” tawar Amri yang merasakan itu tugasnya sebagai pekerja di situ. Masakan mahu membiarkan majikan pula membuat kerja pula? Apa gunanya dia dibayar gaji jika dia tidak membuat kerja?

“Terima kasih. Akak nak keluar kejap.”

Julyana mengumpul kekuatan untuk menapak. Masih terasa kakinya yang menggeletar namun diendahkan saja. Dia perlu berjumpa seseorang.


JULYANA menolak perlahan daun pintu pejabat itu. Matanya mencari Rifqy. Dan kala itu lelaki itu sedang menghadap komputer. Setelah menyedari ketibaan Julyana, dia menangguhkan kerjanya buat seketika kerana dia tahu Julyana pasti punya sebab untuk berkunjung ke pejabat itu.

“Cik Julyana, boleh saya bantu?” Celine yang menyedari kelibat Julyana segera mendekati. Menjadi tugasnya sebagai pembantu untuk melayan klien yang tiba.

“Saya nak jumpa dengan encik,” balas Julyana tidak teragak-agak.

“Encik mana, Cik Julyana?”

Mata Julyana terarah pada Rifqy. Celine mengangguk tanda faham. Dia segera mengundur diri bagi memberi ruang kepada gadis itu.

Rifqy mengangkat punggung dari kerusi. 

“Shall we?” soalnya sambil menghalakan tapak tangan ke arah sebuah bilik perbincangan.

Julyana menggeleng. “Ini bukan pasal kawan saya.”

Kening Rifqy terangkat. “Then, pasal apa?”


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie