Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,039
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

JULYANA tetap mahu ke restorannya walaupun ditegah berkali-kali oleh Puan Rohaya. Sudahnya Puan Rohaya mengalah sahaja. Dia tahu sangat dengan kedegilan anak sulungnya itu. Kalau dia cakap ‘A’, memang tidak akan jadi ‘B’.

“Mak, Ju dah okey sekarang ni. Mak tak payah risaulah. Semalam tu ada orang mabuk nak apa-apakan Ju. Tapi nasib baik ada Rifqy, mak.” Julyana berusaha untuk menghilangkan kerisauan di hati Puan Rohaya. Kejadian semalam memang tidak terjangka dan dia juga masih diburu rasa takut yang menggila. Siapa tahu kejadian itu kembali berulang? Tetapi, dia tidak cepat melatah. Kali ini, dia akan lebih berhati-hati. 

“Ju ni memang tak serik ya?” Puan Rohaya kedengaran kecewa. Dia hanya bimbangkan keadaan anaknya sahaja. Hati ibu mana yang tidak risau sekiranya anak sendiri hampir menjadi mangsa orang jahat? Kalau berlaku apa-apa pada anak-anaknya, dia boleh menjadi gila. Sewaktu suaminya meninggalkan dia, dia juga hampir hilang kewarasan akal. Nasib baik dia kuat dengan ada anak-anak di sisi. Kalaulah suaminya membawa anak-anak mereka bersama, boleh meroyan dia jawabnya.

Bibir Julyana teroles dengan senyuman. Dia menghargai kebimbangan Puan Rohaya terhadapnya. 

“Kalau Ju buat takut, tak keluar rumahlah Ju nampaknya. Restoran Ju tu siapa nak uruskan kalau bukan Ju? Mak nak Ju jadi hilang semangat?” Orang nampak kaum perempuan itu lemah tetapi dia masih mampu berlagak kuat kerana dia tahu Dia sentiasa bersama dengan hamba-Nya.

“Yalah. Ju ni memang suka bantah cakap mak. Apa mak cakap, Ju tak nak dengar. Mak ni seorang ibu. Hati seorang ibu ni sentiasa risaukan anak-anak.” Puan Rohaya mengusap ubun-ubun kepala anaknya.

Julyana tersentuh dengan tindakan itu. Dia kemudiannya mencuit hidung Puan Rohaya. 

“Mak ni terlebih risaulah. Kan Ju dah tak ada apa-apa.” Sekali lagi hidung Puan Rohaya dicuitnya menyebabkan Puan Rohaya menjeling manja. Mudah terpujuk katakan. 

“Ju pergi dulu, mak.” Tangan tua Puan Rohaya disalami.

“Pergi naik apa ni?”

“Teksi la, mak. Kereta Ju kan kat sana.”

“Kenapa tak minta tolong kawan yang semalam?”

“Dia dah tolong hantar Ju kat rumah semalam pun dah cukup baik. Takkan nak minta lebih kan?” Mana mungkin dia sanggup meminta tolong daripada Rifqy kerana dia muncul pada saat dia memerlukan semalam sudah cukup baik. Andainya Allah S.W.T tidak datangkan Rifqy padanya, entah apa yang akan terjadi padanya.

“Yalah. Hati-hati,” pesan Puan Rohaya. Masih terbiasa kerisauan di wajahnya itu. Bukan dia tidak kenal anaknya itu. Dia berusaha benar untuk membuatkan orang lain tidak merisaui dia.

“Baik, mak. In shaa Allah,” sahut Julyana. 

Puan Rohaya menghantar Julyana dengan pandangan penuh kerisauan. Dia tahu Julyana seorang yang kuat semangat. Mungkin kerana dia anak sulung jadi dia berfikir dia perlu menjadi kuat untuk adik-adiknya. Namun bagi dia Julyana tetap jua seorang perempuan yang lemah.


RIFQY datang lagi ke restorannya. Bukan mahu menjamu selera di situ tetapi untuk memastikan Julyana tiada di situ. Malangnya Julyana sudah terpacak di tempat kaunter wang.

“Kenapa awak datang? Awak kan tak sihat. Sepatutnya rehat aje la kat rumah,” bebel Rifqy yang tidak berpuas hati dengan kedegilan Julyana. Sudah dipesan untuk tidak datang tetapi perempuan itu berdegil pula mahu datang. Sebenarnya dia sengaja tidak mahu Julyana masuk kerja kerana khuatir Julyana akan diganggu sekali lagi. Semalam dia tahu ada seseorang yang mengekori Julyana namun dia sengaja berbohong, menafikan apabila Julyana memberitahunya. Dia berbuat begitu supaya Julyana tidak berasa susah hati. Tidak berasa takut atau risau.

“Saya sihatlah Rifqy. Kenapa saya harus tak datang? Saya kan kerja.” Selamba Julyana menjawab. Tangan sibuk mengira keuntungan di buku kecil.

“Okey. Kerja separuh hari. Boleh?” 

“Eh, kenapa pula?” Dahi Julyana mencipta kerutan. Sejak bila Rifqy menjadi possseive terhadapnya?

“Balik awal la. Kalau kena macam semalam macam mana?” Gaya Rifqy yang risaukan dia itu mengingatkan dia akan babak drama pula. Si hero yang risaukan heroin sehinggakan sanggup berbuat apa saja demi heroin.

“Semalam kan awak sendiri cakap tak ada siapa pun kejar saya. Jadi, tak ada apa-apalah kan? In shaa Allah tak ada apa-apalah. Awak jangan risau.” Julyana cuba berlagak selamba walaupun dia tahu dia hampir menjadi mangsa orang mabuk semalam. Lalu, mengapa Rifqy berpura-pura tidak nampak orang mabuk itu? Dia tak nak buat aku takut kut, telah hatinya.

“Saya ni risaukan awak.” Jujur lelaki itu berkata. Julyana pandang wajah itu. Rasa macam tidak percaya pula lelaki ini berkata demikian. Ikhlas ke tidak? Bolehkah dia percaya lelaki ini memang risaukan dia?

“Risau? Kenapa awak nak risau pula? Saya bukannya tunang awak. Bukan isteri awak pun,” tukas Julyana dalam masa yang sama ingin tahu juga apakah jawapan yang bakal diberikan oleh lelaki itu.

“Tapi awak kawan saya. Mestilah saya risau.”

Julyana tersenyum tawar. Jawapan itu sedikit menghampakan dia. Mungkinkah dia terlalu mengharapkan perhatian Rifqy lebih daripada sahabat? Ya Allah, apa aku fikir ni? Aku ni kawan dia aje. Kau jangan nak perasan yang dia sukakan kau. Julyana menempelak diri sendiri di dalam hati.

“Awak tak perlu risaukan saya sampai macam tu sekali. Tapi untuk semalam tu saya nak ucap terima kasih kat awak sebab datang tepat pada waktunya. Semalam saya hanya ingat Allah, ingat awak. Dan Allah datangkan awak. Tapi saya tak nak terus awak protect saya sebab saya bukannya seseorang yang perlu awak lindungi.”

“Awak pernah berharap seseorang untuk melindungi awak kan selain Allah?”

Julyana ketawa kecil. “Tak semudah tu,” selanya bersahaja.

“Jadi, persahabatan kita ni pun tak semudah tu tahu? Awak yang datang pada saya. Awak yang nak jadi kawan saya. Pada mulanya saya tak terima awak tapi sebab saya juga nak kenal hati budi awak, saya terima awak juga. Dan sebagai kawan awak, saya perlu melindungi awak juga, bukan?”

Julyana membisu lama. Tiada kata-kata yang mampu diungkap. Rifqy berdiri teguh di sisinya hanya kerana mahu melindunginya? Tetapi kenapa? Adakah di mata lelaki itu dia kelihatan lemah? Tidak boleh melindungi diri sendiri?


RASA marahnya, rasa terkilannya masih berbekas di hati walaupun mulut sudah memaafkan. Terasa dirinya patung di mata mama. Di mata kakak-kakaknya. Kerana dia tidak tahu apa-apa bagaikan orang bodoh. Ingatannya masih kabur tentang peristiwa yang menyaksikan Jason terkorban. Namun, dia tahu benar jika ingatannya kembali pulih Puan Amnalah orang pertama yang akan diletakkan kesalahan seratus peratus. Ini kerana Puan Amna yang menjadi penyebab dia kehilangan sebuah keluarga! 

Puan Amna telah menceritakan semuanya, mengaku dia tidak lagi menyembunyikan apa-apa. Tetapi mengapa hatinya kuat mengatakan apa yang diceritakan Puan Amna tidak betul sama sekali dan masih ada kurangnya. Andre adalah kembarnya. Itu kata Puan Amna sendiri. Jika Andre adalah kembarnya, mengapa nasibnya tidak sama seperti saudara kembarnya? Mengapa dia terselamat dalam kebakaran itu dan Andre terkorban? Lalu di manakah dirinya saat itu? Mengapa dia tidak menolong Andre? Mengapa Andre yang terkorban? Terlalu banyak persoalan yang bermain di mindanya. Dia yakin Puan Amna masih menyembunyikan sesuatu daripadanya.

Rifqy menjeling Puan Amna yang berkebetulan sedang membantu bibik memasak hidangan tengah hari. Hari ini dia bercuti. Puan Amna juga tidak mengunjungi spa yang selalu dikunjuginya. Tuan Harun pula keluar bermain golf dengan Uncle Rusman. Hajat di hati hendak ikut Tuan Harun namun Tuan Harun menegah. Disuruh temankan Puan Amna pula di rumah. Macamlah Puan Amna tinggal bersendirian. Bibik kan ada.

“Qy,” panggil Puan Amna yang menyedari kelibat anaknya di dapur. Rifqy yang mahu membuka peti sejuk tidak jadi pula. Dia melangkah, meninggalkan Puan Amna tanpa menyahut panggilan itu.

“Qy!” Puan Amna memanggil lagi namun menonong sahaja anak bujangnya itu berlalu ke ruang tamu.

“Kenapa dengan Rifqy tu, puan? Sejak akhir-akhir ni dia nampak berubah. Puan tegur pun dia tak jawab.” Bibik yang sudah lama bekerja dengan keluarga itu bertanya. Sejak kebelakangan ini dia perasan Rifqy bukan lagi Rifqy yang dulu. Yang gembira dan sentiasa tersenyum. Tetapi kini anak muda itu kelihatan payah sekali untuk senyum terutamanya di depan Puan Amna. Ada masalahkah dua beranak ini?

Puan Amna yang menelan komen itu mengulum senyum pahit. Jika bibik tahu, dia pasti bibik juga akan memandang serong terhadapnya. Sudah pasti bibik juga akan menyebelahi Rifqy kerana yang nyata Rifqy adalah mangsa dan dia adalah pelakunya.

“Saya sebenarnya tak mahu masuk campur dalam urusan keluarga puan tapi pada perkiraan saya, tak baik anak puan bersikap macam tu kat puan. Puan pun tahu kan dalam Islam anak-anak harus hormatkan ibu bapa?” 

“Bibik, terima kasih atas perhatian tu. Tapi kalau saya yang buat silap, dia berhak marahkan saya.”

“Yalah. Marah-marah macam mana pun dia kena ingat yang puan lahirkan dia dan jaga dia sampai dia besar,” ujar bibik sambil mengacau kari di dalam periuk.

Puan Amna diam. Lahirkan Rifqy? Tidak. Bukan dia yang mengandungkan dan melahirkan anak bujangnya itu. Rifqy bukan datang dari rahimnya. Rifqy adalah anak perempuan lain. Anak perempuan yang dikatakan merampas suaminya. Kerana bencikan perempuan itu, dia turut membenci Rifqy. Diseksa anak kecil itu suatu ketika dahulu tanpa sedikit belas. Dan kini dia seolah-olah dihukum oleh Allah S.W.T. Rifqy membencinya. Walaupun perkataan itu tidak pernah meniti di bibir anak lelakinya itu, namun di sudut hati dia tahu bahawa Rifqy mengecopnya sebagai perempuan yang patut dibenci dan tak patut dimaafkan sama sekali!

“Bibik, siapkan semua ni ya? Saya nak cakap dengan Qy kejap.” 

Bibik mengangguk. “Baik, puan. Nanti bila semuanya dah siap, saya hidangkan.”

Puan Amna senyum. Tanpa berlengah, dia mengatur langkah ke ruang. Matanya meliar ke sekeliling kerana tubuh Rifqy tiada di sofa. Dipanjangkan langkahnya sehingga ke luar rumah. Matanya terpandangkan susuk tubuh yang sedang bermain-main dengan kucing parsi bernama Mello di wakaf taman keluarga. Nama Mello adalah pilihan Rifqy sendiri yang meminati anime Jepun berjudul Death Note. Dan nama Mello adalah salah satu watak yang ada dalam anime tersebut.

“Qy.”

Rifqy mengangkat wajah. Wajah Puan Amna terpampang di ruang mata. Dia berura-ura mahu berganjak dari situ namun kakinya seakan kaku pula. Kejung di situ juga. 

“Qy masih marahkan mama?” 

Rifqy masih melayan Mello yang sibuk mahu mencakar wajahnya, langsung menghiraukan Puan Amna. Boleh tahan garang juga kucing kesayangannya itu. 

“Kalau Qy nak membenci mama ….”

“Qy tak bencikan mama,” pintas Rifqy. Fokusnya tetap pada Mello yang mengiau comel itu. Dipeluk kuat badan Mello apabila kucing itu mahu turun dari ribaannya. Kucing itu mengiau marah.  

“Mama yang silap. Mama yang bersalah…..”

“Cukup mama. Mama nak Qy ulang benda yang sama ke?” Ekspresi wajah itu berubah. Telinganya mula bosan dijamu dengan kata-kata yang sama. Kemaafan itu bukanlah satu benda yang murah. 

“Sampai bila mama nak cakap benda yang sama? Qy tak bencikan mama. Qy cuma perlukan waktu untuk faham semua tu. Kenapa mama tak boleh nak faham Qy? Kenapa letakkan Qy dalam situasi yang Qy tak boleh nak fikir apa-apa?” 

“Maksud Qy?”

“Qy cuba nak ingat siapa Qy sebelum ni. Qy nak ingat papa kandung Qy. Qy nak ingat wajah mama kandung Qy. Qy nak ingat Andre. Kata mama, dia kembar Qy. Tapi kenapa Qy tak boleh ingat langsung?”

“Mama dah ceritakan semuanya pada Qy. Mama tak sembunyikan apa-apa lagi. Itu tak cukup ke?” Puan Amna memandang Rifqy. Bibirnya bergetar hebat. Dia telah membohongi anak lelakinya itu sekali lagi. Sebenarnya, masih banyak yang belum diberitahu kepada anaknya itu. 

“Mama bencikan Qy. Tapi kenapa? Kenapa mama tak boleh terima Qy dengan Andre dulu?” Rifqy separa menjerit. Si comel Mello yang terkejut dengan jeritan itu segera turun dari ribaannya dan berlari masuk ke dalam rumah.

“Qy, semua tu dah berlalu ….”

“Disebabkan semuanya dah berlalu, mama pekakkan telinga buat tak tahu. Tapi Qy tak bodoh mama. Qy tahu mama sengaja tak nak bagitahu semuanya pasal papa. Pasal apa yang berlaku pada papa. Mama cuma cakap mama pukul Qy, pukul Andre. Mama dera Qy dengan kembar Qy. Tapi mama tak pernah sentuh pasal mama kandung Qy! Mama sengaja nak dera Qy ke? Hati ni dah rasa sakit sangat dengan pembohongan mama.” 

Rifqy menyentuh dada yang terasa sebak. Sampai sekarang mama tetap mahu berselindung daripadanya. Dan dia pula bagaikan orang bodoh yang tak tahu dan tak ingat apa-apa!

Puan Amna mengangkat tangan. Bahu Rifqy mahu disentuh namun anak lelakinya itu terus bangkit dari duduk, mengelak daripada sentuhannya. 

“Qy mungkin tak ingat apa-apa. Tapi Qy tak bodoh, mama. Sakit kepala yang Qy tanggung mama tak pernah ambil tahu. Qy yang tanggungnya sorang-sorang. Apa mama fikir kata maaf tu sudah cukup memadai?” sinis Rifqy sambil menudingkan jari telunjuk ke kepalanya. Dan kala itu Puan Amna hanya mampu mengalirkan air mata.

“Qy tertanya-tanya hina sangat ke saya pada mata mama?” 

Puan Amna menafikan dengan gelengan. 

“Bukan macam tu, sayang. Mama sayangkan Qy sepenuh hati mama. Qy tak hina pada mata mama ….”

“Habis tu, kenapa mama dera Qy dulu? Kenapa? Sebab dulu mama benci dan sekarang mama nak tebus salah mama dengan menyayangi Qy.” Dia yang menyoal, dia juga yang menjawab.

Puan Amna tidak jadi bersuara kerana itulah kenyataannya.


Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie