Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,057
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

“RIFQY!” Julyana memanggil nama lelaki itu sambil mengekori langkah Rifqy. Sejak akhir-akhir ini dia perasan Rifqy selalu mengelak daripadanya. Padahal mereka tidak bergaduh pun. Dah kenapa lelaki itu seakan-akan mahu menjauhkan diri?

Langkah lelaki itu mati namun dia tidak menoleh.

“Kenapa awak melarikan diri dari saya?” Julyana menapak, berhadapan dengan lelaki itu.

“Saya tak lari awak la, Julyana. Saya sibuk. Itu aje. Lagipun apa awak nak?” Wajah itu masam. Tiada senyuman terukir di bibir, hanya menambahkan curiga di hati Julyana.

“Awak ni kenapa? Awak ada masalah ke?” Julyana bertanya kerana dia mengambil berat. 

Rifqy mengeluh kecil. “Kalau awak tak ada apa-apa nak dengan saya, boleh saya pergi sekarang?”

Julyana masih tidak mengerti.  Ketegangan Rifqy bukanlah sesuatu yang biasa. Ini kali pertama dia melihat wajah itu kusut. Nada suaranya juga tidak sama seperti selalunya. Lelaki itu seolah-olah memendam sesuatu.

“Awak okey ke tak ni?” Dia pula yang terlebih risau mengalahkan lelaki itu sendiri.

“Saya okey. Cuma saya sibuk. Jadi, boleh tak awak bagi saya ruang?”

“Rifqy! Awak ni kenapa?” Julyana naik geram melihatkan sikap acuh tidak acuh Rifqy. Salahkah dia bertanya? 

Rifqy menjungkit bahu sebelum melangkah pergi. Namun, Julyana tetap membuntuti langkah lelaki itu dari belakang. Sudahlah mahu bertemu susah benar, lelaki itu pula buat perangai. Hendak kata merajuk, bukan mereka berkasih pun. Persahabatan mereka baru terjalin namun sudah ada badai yang melanda.

“Rifqy, macam ni ke awak layan kawan awak?”

Rifqy menoleh pantas. “Kawan? Awak yang sibuk nak berkawan dengan saya. Saya tak minta pun awak jadi kawan saya!” tempelaknya. Sebenarnya perempuan itu tidak berbuat salah apa-apa padanya namun entah kenapa rasa marah dilempiaskan pada Julyana. Otaknya tengah berserabut. Memang salah Julyanalah menegurnya dalam keadaan dia seperti itu.

Julyana cuba menahan sabar. Dah kenapa dengan lelaki itu? Tiada ingin. Tiada rebut. Tiba-tiba hendak mengamuk. Salah siapa jadi begini? 

“Maafkan saya,” ucap Rifqy setelah menyedari wajah Julyana yang sedikit terluka. Bodohnya dia kerana terlalu menurut emosinya. Gara-gara Puan Amna, jiwanya menjadi kacau dan alih-alih Julyana pula menjadi mangsa. Padahal gadis itu langsung tiada kena-mengena dengan masalah yang ditanggungnya.

“Kalau pun awak ada masalah, janganlah marahkan saya. Saya tanya sebab saya ambil berat pasal awak. Sebab saya kawan awak. Tapi awak pula tengking saya macam tu. Kalau awak tak nak saya berkawan dengan awak, awak sepatutnya cakap awal-awal.”  Ada nada terkilan dan sedih di sebalik suara Julyana itu menyebabkan Rifqy dipagut rasa bersalah. Dia tidak patut marahkan Julyana. 

Julyana mengetap bibir. Mengapa jadi begini? Salahkah dia ingin mengambil berat akan Rifqy? Dia membalikkan tubuh, bersedia untuk meninggalkan lelaki itu. Kalau orang sudah tidak sudi, buat apa dia terus terhegeh-hegeh? Ini baru berkawan saja. Bukan bercinta tetapi rasa sakitnya sama saja. Mungkin kerana dia sayangkan lelaki itu dan Rifqy pula tidak menyedarinya.

Rifqy menarik nafas yang dalam sebelum dihelanya perlahan-lahan. Terus nama Julyana dipanggil sewaktu perempuan itu mahu pergi. Julyana tidak jadi menapak. Matanya automatik terkesan kesayuan wajah Rifqy. Dan, lelaki itu menggelengkan kepalanya berulang kali. Seakan-akan mahu dimengerti.


“MAAFKAN saya pasal tadi. Saya tak bermaksud nak marahkan awak,” ujar Rifqy dalam mengawal suaranya. 

“Awak ada masalah ke? Tak nak berkongsi dengan saya?” Julyana cuba menyelami perasaan Rifqy. Siapa tahu dia boleh menolong lelaki itu? 

Rifqy menggelengkan kepala. “Masalah saya takkan boleh senangkan hati sesiapa termasuk awak. Saya tak nak libatkan sesiapa dalam masalah saya. Sebab saya takut bila saya ingat suatu hari nanti, saya akan lupakan orang yang dekat dengan saya.”

“Ingat? Ingat apa?” Julyana tidak faham. 

“Ya. Ingat apa yang berlaku pada diri saya dua puluh tahun yang lepas.” Rifqy berterus-terang.

“Awak hilang ingatan ke?” Julyana bertanya namun entah kenapa dia merasakan dia bertanyakan soalan yang bodoh.

“Ju, diri saya yang awak nampak sekarang ni bukanlah diri saya yang sebenar.”

“Jadi siapa awak? Perdana menteri? Imam muda?” Julyana cuba berjenaka namun tiada tawa dari mulut lelaki itu.

“Maaf.” Julyana menuturkan kata maaf. Bimbang sekiranya gurauannya tidak mendatangkan senang dalam diri lelaki itu. 

“Julyana, awak adalah seseorang yang amat dekat dengan saya. Allah datangkan awak jadi sahabat saya. Awak tak sama macam Afiq. Saya boleh ketawa dengan dia. Saya boleh tersenyum dengan dia tapi dengan awak, saya tak mampu buat semua tu.” Rifqy meluahkan apa yang dirasainya. Sambungnya lagi, “Saya takut kalau suatu hari nanti awak dengan saya dah takkan jadi kawan. Awak akan lupakan saya. Awak akan anggap saya tak pernah wujud dalam hidup awak.”

“Kenapa saya nak rasa macam tu pula?” Julyana menidakkan. “Awak jadi kawan saya pun saya dah rasa sangat bersyukur. Awak lupa ke yang awak pernah temankan saya masa saya masih sedih disebabkan Aida?”

“Saya tak lupa,” sahut lelaki itu. Tidak mungkin dia lupa air mata Julyana yang mengalir di depannya kerana Aida.

“Sebab tu saya takkan mungkin lupakan awak. Saya takkan abaikan awak. Awak adalah kawan saya. Berapa banyak pun masalah awak, saya akan terus sokong awak dari belakang. Sebab awak kawan berharga saya.”

Tiada kata-kata yang terlahir dari bibir itu. Rifqy menghadiahkan senyuman dan Julyana membalasnya. Persahabatan mereka masih baru tetapi mereka seperti sudah lama mengenali.  


TANGAN Rifqy mencapai keratan akhbar dari laci meja. Dia sengaja menyimpannya kerana itu sau-satunya penemuan yang penting. Namun, keratan itu tidak cukup untuk membongkar segala-galanya. Usahkan Puan Amna mahu membuka mulut, dua kakaknya juga berdiam diri sahaja.Mereka seakan-akan tidak mahu dia bertanya. 

Pintu bilik diketuk. Rifqy menyahut dari dalam. Kemudian pintu dibuka dari luar. Terpacul wajah Arlene bersama senyuman nipis. 

“Sis, bila datang?” soal Rifqy agak hairan.

“Baru aje. Qy yang tak sedar.”

Rifqy berjeda. “Hmm.”

“Qy sibuk tak?” 

Rifqy berpaling pada Arlene yang menghampirinya. 

“Kenapa?”

“Sis nak bawa Qy ke satu tempat,” ujar Arlene seraya memaut lengan Rifqy. Keratan akhbar yang ada dalam pegangan Rifqy ditarik perlahan. “Ini. Sis nak Qy ingat.”

“Untuk apa? Supaya Qy membenci mama?”

“Sis tak nak Qy salahkan mama sepenuhnya. Salahkan sis, salahkan Adelyn juga. Kami berdua juga bersalah pada Qy. Tapi kenapa hanya mama yang Qy nampak sebagai pesalah?” Mata Arlene bergenang dengan air mata. Dia juga bersalah. Puan Amna tidak patut menjadi satu-satunya pesalah di mata Rizqy.

“Sebab Qy tak ingat apa-apa, sis. Tak ingat siapa diri Qy. Tak ingat siapa kembar Qy. Jadi Qy tak tahu siapa sebenarnya yang bersalah.”

Arlene menelan air liur yang dirasakan kelat. Mahu sahaja dia berterus-terang di depan adiknya itu namun apabila memikirkan janjinya kepada Puan Amna, dia tidak mampu membuka mulut. Rifqy hanya tahu yang dia pernah hilang ingatan kerana satu insiden tetapi dia tidak pernah memberitahu Rifqy mengapa adiknya jadi begitu. Ada sebab yang menjurus kepada hilangnya ingatan Rifqy tentang masa lalunya. Dia tidak kuat untuk mendedahkan perkara sebenar kerana ianya akan mengganggu minda Rifqy. 

Kalau adiknya tahu, dia yakin Rifqy tidak kuat untuk menghadapinya. Pilihannya adalah dengan menipu. Demi kebaikan Rifqy.

“Sis faham keadaan Qy. Sebab tu sis nak Qy ikut sis. Boleh kan?” 

Lambat-lambat Rifqy menganggukkan kepalanya setelah merenung anak mata Arlene yang berkaca itu.


ARLENE memberhentikan keretanya sebaik melewati kawasan perumahan. Matanya terarah ke luar kereta.

“Kenapa berhenti?” 

Arlene menggeleng kemudian meneruskan pemanduan sehingga memasuki kawasan taman permainan. Taman itu kelihatan sunyi sahaja. Tiada kelihatan kelibat kanak-kanak mahu pun penduduk di situ.

“Hari tu kita dah datang sini,” beritahu Rifqy hairan. Mengapa Arlene membawanya ke taman itu sedangkan seminggu yang lepas dia dan Arlene bersama anak buahnya, si Felecia telah mengunjungi taman itu.

“Ya. Tapi masa tu sis tak cakap apa-apa pasal taman ni kan?”

Rifqy membuka pintu kereta. Tubuh dibolos keluar dari perut kereta. Apa yang penting sehingga kakaknya membawa ke taman itu?

“Taman ni tempat kesukaan Qy dengan kembar Qy tahu?” 

“Qy sukakan tempat ni?”

“Haah. Qy sangat suka datang sini. Kadang-kadang Qy dengan Andre datang dengan papa …”

“Jason?” Rifqy meneka.

“Ya. Mendiang papa kita. Jason Chew.”

Rifqy menebarkan mata pada buaian di situ. Bayangan dua orang budak lelaki berumur lingkungan sembilan tahun berlegar-legar di ruang mata. Seolah-olah itulah dia dan saudara kembarnya, Andre.

Arlene memetik jari tiba-tiba di depan mata Rifqy yang sedang mengelamun jauh. Bibir Arlene tersisip dengan senyuman tawar. “Qy tak ingat semua ni? Taman ni?”

“Tak. Langsung tak. Walaupun Qy paksa otak Qy untuk ingat tapi Qy tetap tak boleh. Otak Qy ni ni memang dah tak berfungsi agaknya,” keluh Rifqy, sedikit kecewa.

Arlene mengangkat tangan, menampar lembut kepala lelaki itu menyebabkan adiknya terdorong ke depan. Kepalanya yang menjadi mangsa diusap perlahan sambil mulut sibuk mengomel entah apa-apa.

“Apa yang tak berfungsi? Fikiran Qy waras kan? Maksudnya ada fungsilah tu. Cuma nak ingat ambil masa jug. Jadi, Qy kena banyak bersabar.”

Rifqy menoleh ke sisi, merenung Arlene sedalamnya. “Sis, dulu Qy macam mana ya?” Hatinya diusik rasa ingin tahu. Mungkinkah dia seorang budak yang nakal? Atau mungkin seorang yang keras kepala? Adakah kerana perangainya Puan Amna tega tidak mahu dia ingat?

Arlene mendongak ke langit. Awan membiru menjadi persinggahan mata.

“Qy dulu budak yang pendiam. Andre nakal sikit. Tapi Qy dengan Andre ada kawan-kawan tahu?” Wajah Arlene terbias keceriaan. Mungkin Rifqy tidak berasa dirinya keseorangan jika dia tahu tentang dua orang budak yang hampir sebaya dengannya.

“Kawan? Ada ke yang sanggup jadi kawan Qy?” Rifqy dicucuk rasa tidak percaya. Bagaimana mungkin dia mampu memiliki sahabat jika dia seorang yang pendiam, yang tidak mahu bercakap? 

“Mestilah ada. Tapi sis tak tahu kat mana dua orang kawan Qy tu sekarang ni. Masing-masing dah besar kan? Tapi masa kecil-kecil dulu, kat sinilah Qy dengan Andre selalu bermain dengan dua orang budak tu,” terang Arlene mengimbau memori zaman kecil. Dia masih ingat Rifqy selalu mengajak mendiang Jason dan kadang kala juga memintanya untuk datang ke taman itu. Katanya ada kawan-kawan yang menunggu. Benar kata adiknya, ada sepasang kanak-kanak di taman itu. Seorang budak lelaki dan seorang budak perempuan yang menanti kedatangan Rifqy dengan senyuman. Yang tidak kisah akan parut atau luka yang terlukis di wajah itu. Jika kanak-kanak lain memulau Rifqy, dua kanak-kanak itu pula menjadi pelindung yang mempertahankan Rifqy.

“Mereka siapa, sis?” Dada Rifqy naik turun saat mendengarkan cerita itu. Entah kenapa dadanya terasa sesak.

“Sis tak ingatlah, Qy. Tapi dua orang kawan Qy tu orang Melayu. Seorang budak lelaki, seorang budak perempuan. Yang budak perempuan tu muda sikit dari Qy.”

“Sis tak ingat nama dia orang?” 

Tangan Rifqy melekap di dada. Perasaan aneh datang mencucuk-cucuk dirinya. Dia mula kehausan kebenaran. Kebenaran yang pastinya boleh membuka segala kisah kecilnya. Yang akan membuka pintu ke masa lampau. Jika dua orang sahabat yang diperkatakan oleh kakaknya itu masih wujud, dia bakal bertemu dengan puncak kebenaran jika ketiga-tiga mereka bertembung mata.

“Sis tak ingatlah nama dia orang.”

“Yang perempuan pun?”

Arlene menjungkit bahu. Dia tidak ingat pula nama gerangan budak perempuan yang dimaksudkannya. Namun, dia tahu budak perempuan itu menderita seperti adiknya juga. Budak perempuan itu memikul kesengsaraan yang dahsyat namun masih mampu tersenyum setiap kali dia menyapa wajah lembut itu.

“Kembar Qy macam mana?”

Arlene diam tidak tahu. Kembar adiknya itu diwujudkan hanya untuk mengelirukan Rifqy. Supaya Rifqy terus beranggapan bahawa kembarnya memang wujud walhal sebenarnya Rifqy tidak mempunyai kembar. 

“Kenapa sis diam?” Suara itu mematikan lamunan. Arlene geleng kemudian senyum dalam terpaksa. 

“Kembar Qy baik. Baik macam Qy.” Bohong. Sekali lagi lelaki yang tidak bersalah itu dibohongi!


MATA Alif terpaku lama pada sekeping gambar lama itu. Dia sudah lama tercari-cari gambar itu. Rupa-rupanya ianya tersimpan di bawah timbunan selimut lama di dalam stor. 

Jari telunjuknya memaku pada setiap wajah yang ada di gambar itu. Dia yang tersenyum di sisi seorang budak lelaki. Julyana yang berdiri sambil memaut lengan budak lelaki tersebut. 

“Andre.” Bibirnya menyebut nama itu.  

Dia dan Julyana selalu nampak Andre di satu sudut taman. Budak lelaki itu selalu memanggung kepala pada lutut. Namun, mereka takut untuk mendekati kerana wajah itu sentiasa muram. Tidak ada segaris senyuman yang terhias di bibir. Kerana desakan Julyana, dia memulakan persahabatan dengan Andre. Baik saja orangnya. Tidaklah nakal tetapi dia tidak faham mengapa ada parut di wajah dan tubuh Andre. Siapa yang menderanya? Siapa yang menjadikan dirinya begitu?

Dia mahu tahu tetapi berita kebakaran kediaman Jason telah meranapkan segala-galanya. Laporan akhbar mengatakan bahawa Andre mati.

“Andre, kat mana kau? Betul ke kau dah mati?”

Sungguh, dia tidak percaya sama sekali. Dia yakin Andre masih hidup. 



Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie