Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,044
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

PUAN ROHAYA terus merenung Julyana yang sudah nyenyak itu setelah diberikan ubat penenang oleh doktor yang merawatnya tadi. Teringat pula perbualannya dengan Doktor Asriza sebentar tadi.

“Macam mana dengan anak akak?”

“Alhamdulillah. Dia tak ada apa-apa. Mungkin dia tertekan. Tak cukup rehat. Biasalah orang muda kan? Sibuk dengan kerja sampai lupa nak rehat. Akak kena pastikan dia dapatkan rehat yang cukup. Bila dah pulih, baru benarkan dia masuk kerja,” jelas Doktor Asriza mengenai keadaan Julyana. 

Puan Rohaya menarik nafas lega dengan penjelasan Doktor Asriza. Julyana cuma tertekan. Anaknya hanya stres. Ianya tiada kena mengena dengan penyakit otak seperti yang dikhuatirkan.

“Mak, akak dah tidur?” Jihani bertanya di muka pintu. Dia tiada di rumah sewaktu Julyana meracau. Dia keluar makan dengan kawan-kawan bersempena dengan berakhirnya peperiksaan terakhirnya.

“Dah.” Jawapan Puan Rohaya pendek.

“Kesian kan akak, mak?” Jihani menitipkan pandangan sayu pada sekujur tubuh yang sedang lena di katil. 

Jihani mendekati Puan Rohaya. Bahu itu diusap-usap. Sering kali dia melawan kata Julyana. Tetapi kakaknya sentiasa memastikan keperluannya cukup. Timbul rasa bersalah kerana telah membuat kakaknya sibuk menguruskan restoran sehingga kakaknya kekurangan rehat.

“Kakak bekerja keras untuk kita. Tapi kita tak pernah tahu yang kakak juga perlukan rehat. Kita anggap kakak macam robot. Siang malam kakak bekerja tapi sikit pun Jie tak hargai pengorbanan kakak. Jie lawan cakap kakak. Bergaduh dengan kakak.” Entah kenapa Jihani berasa sebak. Melihat Julyana yang tidur dengan tenang itu menggamit rasa bersalahnya. Jika dia tidak membuat kakak tertekan, tidak mungkin Julyana akan mengalami igauan yang bukan-bukan.

Selama ini pun dia tidak pernah menyenangkan hati Julyana. Dia hanya tahu memberontak sahaja. Dia tidak pernah bertanya sama ada Julyana sihat ke tidak. Dia tidak menunjukkan kasih sayang seorang adik kepada kakaknya. 

“Dahlah, Jie. Kakak dah okey dah tu. Kakak tak ada apa-apa pun.” Puan Rohaya menenangkan Jihani yang mengesak halus.

“Kakak …” 

Di situ juga Jihani meraung. Menyesal akan perbuatannya yang selalu melawan cakap kakaknya.


RIFQY resah. Hatinya tidak sedap. Puas sudah didail nombor Julyana namun tidak mendapat apa-apa respon. Dia melemparkan telefonnya ke sofa. Tubuh disandarkan ke sofa. Lengan diletakkan ke dahi.

“Hai, Qy. Penat ke?” tegur Tuan Harun yang melabuhkan punggung di sofa. 

Rifqy menjatuhkan tangan. 

“Papa tak tidur lagi?”

“Papa perasan kamu kat sini. Tak jadilah papa nak tidur.” Selamba sahaja jawapan Tuan Harun.

“Papa perlukan rehat.”

“Tapi anak papa pun perlukan rehat juga,” bantah Tuan Harun. Dia perasan kesibukan anak lelakinya itu sehingga tiada masa untuk diri sendiri. 

Rifqy terkedu. 

“Kamu dengan mama masih tak okey ke?” Kening Tuan Harun terangkat. Dia perasan anaknya itu tidak semesra dulu dengan Puan Amna. Jika dulu anak lelakinya itu tidak pernah berenggang sedikit pun dengan Puan Amna. Boleh dikatakan Rifqy anak manja Puan Amna. Kini apabila lalu di depan isterinya, anak itu tidak menegur langsung.

“Entahlah, papa.” Rifqy menarik remote televisyen dari meja kopi. Siaran televisyen ditukar.

“Hari tu kamu cakap kamu dah maafkan mama. Tapi kenapa kamu masih layan mama macam tu?” Tuan Harun masih bertanya, tiada niat untuk menukar topik perbualan.

“Qy dah maafkan mama.” Sebaris ayat itu meluncur laju dari mulut Rifqy, cukup membuatkan Tuan Harun kelegaan. 

“Dah tu?”

Rifqy menggaru kepala dengan kedua-dua tangan. “Tak tahulah, papa.” 

“Papa tak tahu apa yang sebenarnya terjadi. Tapi papa tahu kamulah orang yang paling menderita. Jangan sampai kamu seksa hati kamu sendiri. Bersihkan hati tu. Jangan simpan marah lama-lama. Tak elok. Hari tu Ustaz Zaidi cakap apa?”

Rifqy pandang wajah Tuan Harun. Dia pernah ikut Tuan Harun menghadiri ceramah agama Ustaz Zaidi yang merupakan kenalan Tuan Harun. Ustaz berusia awal 50-an itu ada menjelaskan tentang rasa amarah itu adalah dari syaitan. Kalau tidak dikawal, syaitan yang bersorak kemenangan.  Untuk menanganinya, ambillah wuduk. Dan dia tidak lupa pesanan itu. Kalau dia marah, memang dia akan segera mengambil wuduk.  Tetapi apa yang dirasakan terhadap Puan Amna agak berbeza. Dia tidak tahu sama ada dia marah. Dia kecewa atau terkilan. Yang pasti dia tidak mahu menatap wajah itu seinci pun. Disebabkan itu, dia mengelakkan diri daripada menyakiti hati Puan Amna dengan tidak menegurnya. Jika dia melepaskan amuk di depan Puan Amna, pasti hati tua itu terasa. Dia tidak mahu menempah dosa percuma dengan menyakiti hati Puan Amna.

“Kamu masih ingat kan?”

Rifqy mengangguk. Dia tidak lupa langsung akan perkara itu dan dia juga sedang mendidik diri untuk menjadi lebih baik. Cuma, apabila nampak saja wajah Puan Amna, dia tidak boleh berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia nampak Puan Amna sebagai pesalah yang perlu dihukum. Lantas, dia menghukumnya dengan cara itu. Tidak menegur. Tidak bercakap. 

“Papa tak nak kamu masuk Islam tapi tak amalkan apa yang Islam suruh. Masa kamu berikrar untuk jadi Muslim, kamu tahu yang kamu ada kewajipan yang kamu perlu patuhi. Terutama sekali apabila kamu dengan papa dan mama.”

Bibir Rifqy kaku. Dia hanya mampu melepaskan keluhan. Dia tidak pernah berniat untuk menderhaka pada kedua-duanya. Namun, kepercayaannya terhadap Puan Amna telah robek sepenuhnya.


SUDAH seminggu dia tidak melihat kelibat Julyana di restoran. Dia bertanyakan tentang Julyana pada Saliha. Kata gadis muda itu, Julyana tidak sihat. Mendengarkan berita itu, dia pula yang terlebih bimbang. Hendak melawat, dia takut kedatangannya tidak disenangi pula. Dia pun bukannya mengenali keluarga perempuan itu dengan lebih rapat. Baru sekali saja dia bertemu dengan keluarga Julyana. Itu pun secara kebetulan dan tiba-tiba saja.

Rifqy sudah memberhentikan keretanya di depan pintu pagar rumah keluarga Julyana. Namun begitu, hatinya berdolak-dalih. Ragu-ragu pula dia. Hendak singgah atau tak? Hatinya mendesis.

Baru sahaja dia hendak beredar, cermin keretanya diketuk orang. Terus cermin diturunkan.

“Assalamualaikum, Abang Rifqy kan?” Juhanna menyapa ceria. Dia hairan apabila tersadainya kereta Rifqy di situ. Tetapi tidak pula lelaki itu melangkah keluar. Ini mesti kes segan nak masuk.

“Waalaikumussalam. Adik Julyana ke?”

“Saya Ana. Abang Rifqy nak jumpa Kak Ju ke?”

Rifqy tersenyum sumbing. Niat di hati macam itulah tetapi risau juga kalau-kalau Julyana tidak mahu berjumpa dengannya.

“Err … Kakak Ana ada ke?”

“Ada. Kakak tak pergi kerja. Dia demam. Tapi rasanya dah okey dah. Marilah masuk, Abang Rifqy.” Juhanna mempelawa. Rifqy pula serba-salah.

“Abang Rifqy rindukan kakak kan?”

Huh? Rifqy mula menggaru bahagian tubuh yang tidak gatal. Tak sangka soalan itu terbit dari seorang pelajar sekolah menengah itu. 

“Kakak Ana sihat aje kan? Dah dengar dia sihat tu dah cukuplah. Abang kirim salam aje la kat dia. Ana pesan kat dia boleh?”

“Boleh. Tapi betul ke Abang Rifqy tak nak masuk ni? Kalau dia nampak Abang Rifqy, siapa tahu demam dia terus kebah?” Juhanna cuba mendapatkan kepastian.

“Kesembuhan tu bukan datang dari manusia, Ana.”

“Yalah. Ana tahu. Kalau macam tu, Ana cakap ajel ah yang Abang Rifqy ada datang sini tapi ….”

“Eh, jangan cakap abang datang nak tengok dia ke apa. Cakap aje Ana ada bertembung dengan abang masa balik sekolah,” potong Rifqy laju. Dia tidak mahu Julyana tahu bahawa dia ada datang ke rumah. 

Juhanna tersengih. Tahu gabra. Tetapi dia tidak boleh berjanji. Mulutnya memang cepat bocor.

“Okey.” 

Rifqy menghidupkan enjin kereta. Sempat dia menghulurkan senyuman kepada gadis itu sebelum keretanya menderum pergi.

JUHANNA menerpa ke arah bilik Julyana. Pintu dibuka luas memandangkan pintu memang sudah terbuka. Terkejut beruk Julyana dengan kehadiran adiknya itu. Salam tidak diberi. Alih-alih masuk macam tu saja.

“Akak dah sihat?” Juhanna melabuhkan duduk di birai katil. Julyana yang ralit membaca novel segera mengalihkan perhatian. Helaian novel ditutup lalu diletakkan ke riba.

“Akak dah sihatlah.” 

Juhanna mengecilkan pelupuk mata. Tidak percaya. “Ye ke? Kut-kut demam rindu ke.” Dia mengusik nakal.

Terus tangan Julyana naik ke bahu adiknya itu. Tepukan lembut dihadiahkan di situ. Adiknya yang satu ini memang suka sangat bergurau dengannya. Ada sahaja ideanya hendak mengenakan kakak sendiri.

“Apalah Ana ni. Sengaja nak naikkan suhu akak ke? Demam rindu kat siapa pula ni?” Bibirnya memuncung, tidak senang hati dengan usikan adiknya itu. Demam rindulah sangat. 

“Dekat Abang Rifqy mungkin?” Juhanna mengenyitkan mata sebelum ketawa mengekek. Terhibur benar mengenakan Julyana. 

“Haish. Dia tu kawan akak aje la. Ana ni merepek yang bukan-bukan pula,” sangkal Julyana. Hairan pula dengan sikap adiknya itu. Tiba-tiba nama Rifqy dibangkitkan. Mereka berdua ada terserempak di mana-manakah?

“Kawan? Tapi tadi dia datang nak jumpa akak,” ujar Juhanna dengan ceria. 

“Huh? Datang sini?” Julyana terperanjat dengan kata-kata itu. Kalau datang, kenapa dia tidak tahu? Kalau tidak, sudah pasti Puan Rohaya memaklumkan kepadanya akan kedatangan Rifqy. 

“Yalah. Ana cakap dengan dia kat depan pagar tadi. Ana ajak masuk tapi dia tak nak. Malu kut. Haah. Dia kirim salam kat akak.” 

“Kenapa dia tak nak masuk pula?” Julyana digamit kehairanan. Tidak sangka pula lelaki itu ada sifat pemalu yang tinggi.

Julyana menolak lengan Julyana dengan bahunya sebelum bangkit.

“Alah akak ni. Buat-buat tak faham pula. Takkanlah dia nak masuk bila akak mengaku dia kawan akak aje. Lagi pun akak kan dah ada Abang Alif. Kesian dia kan, akak? Mesti dia ingat yang Alif tu kekasih akak kan?” 

Julyana menggigit bibir. Macam perli saja bunyi adiknya itu. Mereka semuanya berkawanlah. Tiada istilah kekasih pun. Rapatnya dengan Alif tidak sepatutnya mendatangkan cemburu dalam diri Rifqy begitu juga apabila dia rapat dengan Rifqy, Alif juga tidak boleh cemburu.

“Akak dengan Alif pun kawanlah. Dia takkanlah nak cemburu pula,” bantah Julyana tidak berpuas hati apabila Juhanna menyindirnya. Walau berkali-kali sudah dia menegaskan bahawa dia dan Alif hanya berkawan saja, semua orang tidak mahu percaya. Masih meraguinya.

“Ya ke?” Juhanna mencebir bibir sebelum melangkah keluar dari bilik itu.

Julyana kelu lidah. Kata-kata Juhanna kedengaran seperti dia bermain-main dengan perasaan dengan dua lelaki. Tetapi bagi dia Alif dan Rifqy adalah kawan-kawannya sahaja. Dia memperkenalkan Alif sebagai kawan biasa kepada Rifqy. Andainya lelaki itu terus melayannya dengan baik, sudah pasti Alif pula dilanda cemburu.  Tetapi Alif tidak boleh menaruh persaan cemburu itu. Ah, dia pula yang pening memikirkan kedua-duanya. Mahu menjaga hati Alif dalam masa yang sama hati dan perasaan Rifqy perlu dititikberatkan juga.


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie