Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,042
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

RIFQY terus memerhatikan pasangan itu dengan ekor mata. Tidak sangka dia boleh terserempak dengan Julyana di situ. Tatkala dia mahu mendekati, baru dia sedar perempuan itu bersama lelaki lain. Pada telahanannya, mungkin kekasih perempuan itu. Entah kenapa hatinya sedikit terluka saat melihat kemesraan pasangan itu. Bagaikan ditoreh dengan pisau. 

Kenapa aku nak cemburu pula? Dia cuma kawan aku aje. Bodoh la kau, Rifqy. Dia memarahi diri sendiri kerana tidak tetap dengan pendiriannya.

“Tengok apa tu, Qy?” 

Arlene yang hairan dengan kelakuan Rifqy mulai memanjangkan leher. Kut-kut ada seseorang yang penting kepada adiknya di situ. Dengan mata adiknya yang tidak berkelip-kelip dia mula didatangi syak.

“Nothing, sis. Jom makan aiskrim. Qy belanja,” usul Rifqy mahu segera beredar dari situ. Ditarik tangan si kecil Felicia agar membontotinya. Terkedek-kedek anak kecil itu mengikut langkah bapa saudaranya.

“Yummy. I want a choco ice cream, uncle!” Suara si kecil merengek manja. 

“Baby nak apa-apa aje, uncle belikan.” Rifqy memang tidak lokek dengan anak saudaranya itu. Kalau ada anak sendiri, dia yakin dia akan memanjakan anak-anak. 

“Really? Mummy, come on. Uncle nak belanja macam-macam!” 

Riuh suara Felicia memanggil Arlene yang masih tercegat di situ sedangkan langkah anak dan adiknya semakin jauh.

“Qy, tunggu!” Arlene cepat-cepat mengejar langkah Rifqy. Dia sempat menoleh ke belakang. Matanya tertancap pada seorang lelaki dan seorang perempuan tidak jauh dari situ. Dia yakin Rifqy memandang ke arah pasangan itu tadi.

‘Kekasih dia ke? Takkan la …’

Arlene mengangkat bahu, malas memikirkan yang bukan-bukan. Bukan penting pun. Kalau betullah Rifqy sudah mempunyai teman istimewa, sudah pasti adiknya itu membawa teman itu bertemu dengan Tuan Harun dan Puan Amna. Tak ada pula dia nampak adiknya serius dengan mana-mana perempuan. 

DIA sudah ada kekasih. Tetapi, kenapa dia mendekati aku? Kenapa dia mahu aku menjadi sahabatnya sedangkan sejak dia mengatakannya tempoh hari, dia langsung tidak menghubungiku? 

Rifqy menepuk dahi. Gelagat pasangan tadi masih terlayar di ruang mata. Dia tidak nampak kemesraan yang dipamerkan namun dia nampak perempuan itu kelihatan selesa dengan lelaki itu.

“Ya Allah, apa yang aku harapkan ni? Sejak dia cakap dia nak jadi kawan aku, aku rasa bahagia sangat. Tapi kenapa saat aku tengok dia tadi, hati aku jadi macam ni? Aku cemburu ke?” Rifqy mengetuk perlahan kepalanya. 

Dia bangkit dari sofa. Ingin melangkah ke bilik air namun telefonnya tiba-tiba berbunyi menandakan ada panggilan yang menanti. Dia pandang telefon itu seketika sebelum berlalu ke bilik air. Sekembalinya dari bilik air, laju tangan mencapai telefon dari meja di sisi katil.

“Julyana?” 

Dia berkira-kira mahu mendail nombor milik gadis itu. Tangannya hampir sahaja menekan butang dial. 

Rifqy mencampakkan telefon itu ke katil. Dia tiada mood untuk bercakap dengan sesiapa buat masa ini. Walaupun dia sebenarnya ternanti-nantikan panggilan seterusnya dari Julyana. Tetapi apabila teringatkan perempuan itu bersama lelaki lain petang tadi, dia mula tidak senang hati. 

Hati oh hati … mudah benar diserbu rasa aneh.


RIFQY datang ke restoran Julyana bertemankan Celine. Afiq dan Lai tidak ikut sama kerana kedua-duanya mahu menjamu selera di restoran seafood kegemaran mereka. Mahu tukar selera pula kata mereka.

“Hai. Eh, awak Cik Julyana kan?” Celine menegur Julyana yang mengambil pesanan. Dia tidak lupa wajah lembut itu.

“Hai. Ya, saya. Cik Celine kan?” Julyana mengiyakan. Dia tahu itu kali pertama Celine datang ke situ. Sebab itu perempuan Cina yang cantik itu tidak tahu tentang restorannya. Sedangkan Rifqy sudah kerap kali datang menjamu selera di situ. Kadang-kadang ditemani Afiq dan Lai. Tak pun datang sendirian. Dan, dialah yang selalu melayan.

“Hari tu aku ada cakap kan dengan kau.” Rifqy menyampuk. Sekilas senyuman dilontarkan kepada Julyana. Julyana turut senyum.

“Aku lupalah. Cik Julyana, kawan awak macam mana?”

Tiada angin. Tiada ribut. Tiba-tiba Celine melontarkan soalan tentang Aida. Namun Julyana tetap memaniskan muka. Bersangka baik dengan perempuan muda itu.

“Celine.” Rifqy bersuara. 

“Maaf.” Celine menundukkan wajah.

“Eh, tak apa. Kawan saya okey aje tapi ingatan dia makin teruk. Saya dah lama tak lawat dia sebab dia sendiri tak nak jumpa saya,” ujar Julyana mahu menyedapkan hati Celine yang tampak bersalah. 

“Family dia macam mana?” Celine bertanya.

“Family dia okey. Dah tak ada gangguan. Tapi itulah saya tetap kasihan tengok anak dia. Dia masih kecil tapi mama dia pula dalam penjara.”

“Saya harap keluarga dia tabah.”

Julyana angguk. Kalau Celine tidak bertanyakan tentang Aida, sudah pasti ingatannya pada Aida terus hilang. Dengan kesibukannya di restoran, dengan Alif, dia tiada masa untuk menjenguk Aida. Menjenguk keluarga Aida. Sekali-sekala dia menelefon Rosella bagi bertanyakan khabar Ayesha. Anak tunggal Aida itu kini semakin membesar. Si kecil itu tidak lagi bertanya tentang Aida. Seolah-olah tidak pernah wujudnya seorang perempuan bernama Aida. Namun, dia percaya jauh di sudut hati Ayesha merindui belaian seorang mama.

“Awak kuat, Cik Julyana. Saya yakin awak mampu hadapinya. Apa yang berlaku ada sebabnya.”

“Terima kasih atas dorongan cik.” 

Celine tersenyum manis. Dia melakukan selayaknya seorang manusia yang mempunyai belas kasihan. 


“HARI tu saya ternampak awak dengan seorang lelaki. Kekasih awak ke?”

Julyana terbatuk kecil mendengarkan soalan itu. Terkantoi sudah. Tetapi mengapa harus dia menggelabah? Bukan dia buat benda tidak elok pun dengan Alif.  Dia dan lelaki itu sekadar berkawan sahaja, tidak melampaui batasan pergaulan pun. 

“Saya tak ada kekasih la. Dia bukan kekasih saya pun. Kita orang kawan biasa aje.” Julyana menafikan untuk membuat Rifqy faham bahawa antara dia dan Alif, tiada apa-apa perasaan yang mengikat mereka. Alif mungkin mencintainya tetapi dia tiada perasaan untuk lelaki itu.

“Betul ke? Cara dia pandang awak macam lain aje. Macam dia sukakan awak aje?” tebak Rifqy yang masih tidak berpuas hati dengan jawapan Julyana itu. Entah kenapa dirinya tidak senang apabila melihat Julyana bersama orang lain. Dia cemburu.

“Ya ke? Tapi kenapa awak tanya pasal tu?” Kali ini Julyana pula yang meluncurkan pertanyaan.

Rifqy tatap wajah Julyana seketika sebelum pandangan ditebarkan ke arah lain. 

“Tengok awak dengan dia buat saya tak sedap hati pula.”

Pula dah? Kenapa pula dengan mamat ni? Cemburu? Mustahil! Baru kenal. Bercinta pun tak. Nak cemburu tak tentu pasal apa kes? Julyana meramas tangannya tanpa sedar. 

“Tak sedap hati? Sebabnya?”

“Yalah. Awak guru saya. Kalau awak kahwin nanti, saya dah kehilangan guru yang boleh ajar saya.” Selamba sahaja jawapan lelaki itu membuatkan Julyana sedikit terkilan. Dirinya diperlukan hanya untuk menjadi guru kepada lelaki itu. 

“Guru boleh dicari. Bukannya saya seorang guru awak. Berguru dengan yang lebih tahu lagi baik,” cadang Julyana. 

“Oh, maknanya memang awak nak kahwinlah dengan lelaki tu?” 

Cepat sahaja Julyana menggelengkan kepala. Soal kahwin masih jauh. Dia juga malas hendak memikirkannya. Bukan terdesak sangat pun hendak bersuami. 

“Kalau nak kahwin pun, tak semestinya lelaki yang awak nampak tu. Saya belum ready nak jadi isteri orang. Macam awak cakap tadi. Kalau saya kahwin, tak bolehlah saya nak mengajar awak pasal Islam. Lagipun masih banyak yang saya kena belajar sebelum jadi isteri orang. Kahwin bukan untuk sehari aje.”

“Kan bagus kalau awak jadi isteri saya.” Rifqy berkata dalam nada berbisik. Entahkan dengar atau tidak di telinga Julyana itu. Sengaja dia ingin mengusik, ingin tahu reaksi yang akan dipamerkan oleh perempuan itu.

“Huh?” Kening Julyana terjongket. 

Riak wajah Rifqy tenang seperti selalunya.

“Tak ada apa-apa. Awak kerja sampai bila ni?” Subjek perbualan berubah tiba-tiba. 

“Sampai 12 malam. Selalunya pukul 10.30 tapi awak faham-fahamlah kan saya ni tak cukup pekerja. Jadi, saya kena tolong juga mana yang patut.” Julyana melirik ke arah Saliha yang sibuk mencuri pandang ke arahnya. Adalah gosip dari si mulut murai itu nanti. Sudah pasti gadis muda itu akan bertanyakan macam-macam padanya nanti. Jenuhlah dia hendak mencari jawapan.

“Okay then. Saya balik office dulu. Awak balik nanti hati-hati tahu? Malam-malam drive sorang-sorang bahaya.” Sempat Rifqy mengingatkan Julyana. Apabila melibatkan Julyana, dia memang tidak boleh duduk diam. 

“Ya. Awak pun sama.” 

Julyana memerhatikan lelaki itu melangkah keluar sehinggalah susuk tubuh Rifqy hilang dari pandangan.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie