Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,028
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 25

KELIHATAN Alif sudah menunggu di depan restoran. Memang hajat di hati hendak mengajak Julyana makan bersama-sama. Makan dengan kawan lelaki sudah biasa sangat. Hendak juga keluar berdua dengan Julyana seperti tempoh hari. Namun, setiap kali dia mengajak pasti perempuan itu menolak. Alasan yang selalu diberikan pula sibuk. 

Julyana perasan kehadiran Alif yang berdiri tegak di luar restoran itu. Dia mendekati lelaki itu dengan rasa serba-salah. Dia pasti lelaki itu mahu mengajaknya keluar. 

“Alif, buat apa kat sini?” soal Julyana bersahaja. Di tangannya ada tuala kecil. Itu bermakna dia sedang membersihkan restoran. Sekali-sekala dia memang tidak kisah melakukan kerja di restoran sendiri. 

Alif membalikkan tubuh. Kedua-dua tangan sudah diseluk ke dalam poket seluar slacknya. Sekali tengok memang hensem lelaki ini. Penampilannya sentiasa kemas memandangkan dia memegang jawatan yang penting di syarikat pengiklanan. Tetapi kenapa hatinya payah juga untuk berkenan dengan lelaki itu? Mungkin kerana dia sudah menganggap lelaki itu sekadar kawan. Dan jika dia memilih Alif sekali pun, Puan Rohaya pula tidak berkenan lantaran kesilapan lelaki itu sebelum ini.

“Ju busy ke sekarang ni?”

Julyana tunjuk tuala di tangannya. “Sibuklah. Saya ada kerjalah kat dalam ni. Apa awak nak?”

“Tak boleh tangguh kerja Ju tu?”

“Tak kut. Sebab saya ni jenis yang tak suka bertangguh.” Bermacam-macam alasan yang terbit dari mulut Julyana. 

“Kenapa Ju macam nak mengelak dari Alif ni? Sebab Ju lebih sukakan Rifqy daripada Alif?” Alif bertanya. Pertanyaan yang lebih kepada tuduhan. Bukan dia tidak tahu perasaan Julyana. Dari sikapnya itu dia sudah dapat mengagak Julyana masih tidak sukakannya. Berapa kali pun dia mencuba, hati perempuan itu nampaknya sudah dirantai oleh Rifqy.

“Kenapa awak tuduh saya macam tu?” Soalan dibalas dengan soalan juga.

“Yalah. Dengan Alif semuanya tak boleh. Dengan lelaki tu Ju tak kisah pula,” sinis Alif dalam nada keras. 

“Dua-duanya kawan saya! Saya tak bezakan sesiapa pun!” bidas Julyana dalam menahan marah. Kesabarannya semakin tipis gara-gara Alif menuduhnya sedemikian. 

“Ju lebih pentingkan dia dari Alif.”

“Alif dan Rifqy. Dua-duanya kawan saya, Alif. Kenapa saya nak bezakan awak dengan dia pula?” Julyana kembali berlembut. Memikirkan mereka berdua berdiri di depan restoran, reputasinya sebagai pemilik harus dijaga. 

“Tak betul apa yang saya cakap? Dulu awak bezakan saya dengan Andre. Dan, sekarang saya dengan Rifqy pula!” Alif sudah berbahasa saya dan awak. Tiada lagi kelembutan dalam nada suaranya. Dia paling tidak suka apabila Julyana menafikan. 

“Andre lagi?” Julyana tidak sangka nama itu timbul sekali lagi. Nama yang agak asing baginya.

“Ya, Andre. Kawan kita masa kecil. Tapi Alif sangat bersyukur kalau Andre betul- betul dah mati sebab kalau dia hidup pun …”

Pang! 

“Awak memang suka kawan awak mati? Kawan jenis apa awak ni?”

Alif meraba pipinya yang dihadiahkan tamparan oleh perempuan yang berdiri di depannya. Pipinya terasa pijar. Dan pastinya rasa malunya membahang. Apa lagi ada mata yang memandang.

Julyana angkat tangan. Memandang lama tangannya yang melekap di pipi Alif sebentar tadi. Mengapa dia bertindak begitu dia tidak pasti. Entah kenapa dia rasa marah yang amat apabila lelaki itu menghina Andre. Biar pun dia tidak kenal siapa itu Andre namun tidak wajar bagi lelaki itu untuk menghina seseorang yang sudah tiada di dunia.

“Sebab saya tahu kalau dia masih hidup, orang pertama yang awak akan cari adalah dia. Saya ni cuma nombor dua kan? Sampai bila-bila pun saya hanya orang kedua!” Suara Alif agak meninggi. Dadanya turun naik menahan rasa marah dan terkilan. Apa yang terlafaz dari mulutnya adalah satu kebenaran. Julyana mungkin menidakkan kerana dia tidak ingat siapa Andre. Andainya dia tidak lupa gerangan itu dan Andre masih hidup, dia yakin benar bahawa Julyana akan memilih lelaki itu. Jika dulu dia terpaksa bersaing dengan Andre, mengapa kini dia harus bersaing dengan Rifqy pula? Adakah dia selama-lamanya akan menjadi loser?

“Pergi dari sini, Alif. Saya tak kuasa nak layan awak. Kalau macam ni la perangai awak, patutnya awal-awal lagi saya tak terima awak sebagai kawan. Sudahlah Alif. Anggap aje saya tak pernah terima awak. Awak nak rosakkan diri awak kan? Pergilah. Saya dengan awak dah berakhir kat sini. Persahabatan kita putus!” Julyana membuat keputusan tanpa sedikit keraguan. Jika ini adalah jalan terbaik, buat apa dia terus menjaga hati Alif yang langsung tidak mahu menjaga hatinya?

Alif tergamam. Pantas dia menangkap lengan Julyana yang mahu melangkah. Sepantas kilat, Julyana merentap kasar. Pantang benar lelaki menyentuhnya dengan sengaja walaupun berlapik.

“Ju, saya masih kawan awak kan?” tanya Alif dengan wajah bersalah. 

“Kawan? Sebagai seorang kawan sepatutnya awak percayakan saya. Saya bagi awak peluang, awak persiakan. Saya dah tak larat nak layan awak lagi. Anggaplah kita tak pernah jumpa kalau macam ni perangai awak. Sakit hati saya awak tak tahu tapi awak tuduh saya macam-macam,” ujar Julyana nekad. Dia sudah tidak tahan dengan perangai Alif yang suka menuduhnya yang bukan-bukan. Peluang sudah diberi namun nampaknya peluang itu telah dipersiakan oleh lelaki itu. Dan, dia bukanlah seorang perempuan yang boleh diperkotak-katikkan sesuka hati. Dia manusia. Ada hati dan perasaan. Bukan robot. Dia nak berkawan dengan siapa pun, itu haknya. Tiada sesiapa pun yang boleh mengawal kehidupannya. Alif sudah melebih-lebih dalam persahabatan. Kononnya mahu diberi peluang tetapi mengapa perlu adanya sifat cemburu dalam dirinya itu?

Dia bukan milik Alif pun!

Alif menggeleng. Tidak percaya Julyana membuat keputusan mendadak seperti itu. Baru dua bulan dia kembali bersama dengan Julyana setelah berbelas-belas tahun berpisah, mengapa begitu cepat sekali dirinya dibuang? Murah sangatkah nilai persahabatan mereka?

“Ju,” panggil Alif lagi. 

Julyana terus pergi tanpa menoleh lagi. Hatinya sudah tepu. Biarkan lelaki itu. Tahulah dia berfikir sendiri. Tahulah dia memberi peluang pada dirinya untuk berubah. Jika dia menyokong pun, lelaki itu masih Alif yang dulu. 

Kalau Andre ada, dia pasti memilih lelaki itu. Itu kata Alif. Malangnya siapa lelaki itu? Dia selalu didatangi mimpi. Mimpi yang mana dia berkejar-kejaran dengan dua orang budak lelaki. Seorang daripadanya mungkin Alif. Apakah mungkin seorang lagi itu Andre?

Wajarkah Alif membangkitkan nama orang yang sudah tiada hanya kerana dia cemburu?


HABIS berterabur barang-barang di lantai bilik tidurnya. Dia mencari-cari sesuatu. Sudah puas dia menggeledah namun tiada apa-apa yang ditemukan. Barang-barang masa dia kecil tidak mungkin Puan Rohaya tidak menyimpannya. Atau mungkin saja kesemuanya telah dilupuskan?

“Ju, buat apa tu?” Puan Rohaya menegur di sebalik pintu bilik yang terbuka. Hairan juga apabila anak daranya itu sibuk menggeledah bilik sendiri.

Julyana menggaru kepala. “Barang Ju, mak,” jawabnya pendek. Saat itu Puan Rohaya sudah masuk. Mahu menolong anaknya itu.

“Barang apa, Ju? Penting sangat ke?” Puan Rohaya berkira-kira hendak menolong sekiranya Julyana benar-benar terdesak mahukan barang yang dimaksudkannya itu.

“Barang Ju masa Ju kecil. Macam …. Macam album gambar.”

Wajah Puan Rohaya berubah kelat. Mengapa anaknya itu mahukan album zaman kecilnya?

“Kenapa Ju nak album gambar lama? Bukannya penting pun.”

“Ju nak tahu siapa Andre. Mungkin ada gambar dia yang Ju pernah simpan.”

Seluruh tubuh Puan Rohaya mulai menggeletar. Saat nama itu disebut, jantungnya berdetak dengan kelajuan yang luar biasa. Mengapa Julyana perlu menyebut nama itu sedangkan dia tidak mahu anaknya mengingati apa-apa tentang Andre?

“Mak, kenapa ni?” Mata Julyana terarah pada wajah Puan Rohaya yang sedikit pucat. Tadi okey saja. Tahu-tahu saja wajah itu berubah pucat. 

“Tak ada apa-apa. Mak okey aje. Cuma mak tak dapat nak menolong Ju sebab album gambar masa Ju kecil mak dah lupa simpan kat mana,” balas Puan Rohaya berdalih. Sebenarnya album yang dimaksudkan anaknya itu ada dalam simpanannya. Dia tidak mahu album itu jatuh ke tangan Julyana. Kerana dalam album itu penuh gambar Julyana yang ditangkap bersama Andre. Dia yakin bahawa Julyana akan mempersoalkan dirinya tentang Andre jika album itu diserahkan kepada anaknya itu. 

“Kenapa Ju boleh ingat Alif dengan cepat tapi kenapa Ju tak boleh ingat Andre? Mak, mak pasti tahu sesuatu kan? Mak tahu pasal Andre kan?” Julyana mengasak Puan Rohaya dengan soalan. 

“Huh? Mak tak tahu pasal Andre. Mak cuma tahu pasal Alif aje.” Lagi dia berbohong. Cukuplah sekali Julyana menangisi Andre. Dia tidak mahu anaknya tertekan seperti dulu. Dia tidak mahu sejarah kembali berulang. Biarlah Julyana hidup dalam ketenangan tanpa bayangan seorang budak bernama Andre.

“Tapi kenapa Alif selalu cakap Andre tu kawan Ju?”

“Mak … Mak tak tahu, Ju. Ju tak payahlah risaukan pasal tu.” Puan Rohaya cuba berlagak tenang walaupun dia tidak dapat menyembunyikan getaran di sebalik suaranya.

“Macam mana Ju tak risau?” Julyana melabuhkan duduknya di birai katil. “Alif selalu sebut nama tu. Maknanya Andre tu orang yang dekat dengan Ju. Alif boleh ingat Andre. Sebab itu kawan dia. Kalau dia kawan Alif, maknanya dia kawan Ju juga. Tapi kenapa Ju aje tak boleh ingat? Dan, mak mesti tahu pasal dia kan?” 

Puan Rohaya masih tidak berganjak. Kakinya terasa berat untuk menerpa ke arah anaknya. Terasa digam di lantai sehingga melekat. Sesalan datang bertimpa-timpa. Salahkah dia menyembunyikan perkara sebenar daripada Julyana? 

“Ju nak tahu siapa Andre. Tapi kenapa Ju tak boleh ingat langsung siapa dia?” 

“Ju ...”

“Mak tentu tahu sesuatu kan?” Julyana pandang Puan Rohaya yang tidak berkutik itu. Dia yakin Puan Rohaya ada menyembunyikan sesuatu daripadanya tetapi memilih untuk berdiam diri.

“Ju, kan mak dah cakap. Mak tak tahu apa-apa.” Puan Rohaya bertegas.

Tanpa dipinta, manik-manik halus luruh di pipi. Tatkala melihat air mata di pipi anaknya, Puan Rohaya terus meluru ke arah anaknya. Tubuh Julyana didakap erat. Dia tidak mahu menyeksa Julyana. Tetapi dia terpaksa. 

‘Sebab Ju akan jadi macam ni kalau mak bagitahu Ju pasal Andre. Mak tak nak Ju menangis macam dulu. Mak tak sanggup tengok anak mak jadi macam tu.’ Suara hati Puan Rohaya berbisik.


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie