Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,059
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

WAJAH Jason berubah saat matanya menangkap kesan merah pada lengan Andre sewaktu anaknya itu sedang lena di katil. Dia mendekati tubuh itu, membelek lengan yang penuh dengan bekas merah itu. Dia tidak perlu mencari jawapan kerana dia sudah tahu anaknya pasti menjadi mangsa pukul isterinya. 

“Oh my God. Apa yang telah mama lakukan pada kamu ni kali ni, Andre?” Jason menggeleng kesal. Dia menarik selimut sehingga menutupi tubuh anaknya yang terdedah. Kakinya kemudian dihayunkan keluar dari kamar tidur. Saat itu juga matanya menangkap Yin yang sedang menuruni tangga.

“Yin!” panggil Jason namun Yin sengaja buat tidak endah. Menonong sahaja turun ke bawah tanpa menyahut panggilan si suami.

“Yin!” Jason memanggil lagi namun Yin tetap tidak menyahut panggilan suaminya. Di sengaja memekakkan telinga kerana dia sudah tahu mengapa Jason memanggilnya. Pasti ada kaitan dengan Andre.

“Jangan nak buat pekak telinga bila saya panggil. Sejak bila awak tidak mendengar kata saya ni?” Jason membebel saat menangkap tubuh isterinya di dapur. Yin hanya menjeling. Tidak kisah langsung dengan bebelan suaminya. Dia tahu benar pastinya Jason ingin bertanyakan tentang Andre. 

“Awak ni kenapa?”

“Saya kenapa? Sepatutnya saya yang tanya awak macam tu? Awak pukul Andre kan?” Terus dia mengeluarkan pertanyaan itu. Kalau dah ada kesan lebam pada tubuh anaknya itu sudah pasti anaknya menjadi mangsa dera. Takkan jatuh sampai lebam?  

Yin merengus halus. Gelas kosong dicapai. Jus oren sejuk dituang ke dalam gelas. Mahu dihulurkan pada Jason namun tidak jadi apabila melihat wajah suami yang seperti menahan marah itu.

“Awak pukul dia kan?” Jason mengulang soalan yang sama apabila isterinya tidak menjawab.

Jason merampas gelas dari tangan Yin sebaik menghampiri isterinya itu lalu meletakkannya di atas meja. Yin memandang tajam dengan tindakan suaminya.

“Saya tanya awak. Sejak bila awak jadi bisu ni?” jerkah Jason apabila soalannya tidak diendahkan. Kesabarannya semakin menipis dengan kerenah isterinya itu.

“Jason, anak awak tu memang layak kena pukul. Sebab dia dah pecahkan pasu mahal yang …”

“Yang awak nak sibuk sangat kenapa? Pasu tu saya yang beli. Harta saya. Kalau dia pecahkan pun, apa awak nak kisah sangat? Bukan awak yang beli pun. Bukan awak keluarkan duit sendiri untuk beli pasu tu. Barang-barang kat dalam rumah ni semuanya awak yang minta tapi yang belinya saya. Jadi, saya ada hak nak tegah bila awak pukul anak saya!” bidas Jason dengan wajah yang tegang. Selama ini dia berdiam diri bukan kerana takutkan isteri tetapi kerana mahu menjaga perasaan Yin. Yin sudah terluka saat mengetahui dirinya mempunyai perempuan simpanan malah mempunyai anak pula dengan perempuan itu. Disebabkan itu dia jarang sekali bersuara tegas di depan isterinya itu. Sayangnya, sikap isterinya nyata masih tidak berubah. Tetap sama seperti dulu.

“Oh, awak mengungkit?” Wajah Yin tergambar riak tidak puas hati. Dia mengaku semua yang ada di dalam rumah ini adalah hasil penat lelah suaminya yang menguruskan syarikat. Hendak harapkan dia? Apa yang dia ada? Sewaktu Jason melamarnya menjadi isteri dulu, dia hanyalah seorang pekerja di sebuah pusat membeli-belah. Lelaki itu tidak kisah. Tetap juga mahukan dia. Dan, sekarang dia mengungkit hanya kerana Andre?

“Saya tak mengungkit. Awak yang cabar kesabaran saya. Saya tahu awak tak sukakan Andre tapi awak kena ingat saya ada hak untuk bersuara depan awak kalau awak berkasar dengan anak-anak,” tukas Jason dalam suara yang kendur. Dia malas berlawan kata dengan isterinya kerana hatinya juga yang sakit. Jika Yin masih tidak sedar, dia tidak tahu cara apa lagi yang boleh menyedarkan isterinya.

Yin mencemik. Soal Andre adalah nombor satu sedangkan dia dan anak-anak yang lain memerlukan perhatian juga.

“Jadi, awak nak cakap Andre aje la keutamaan awak? Anak-anak kita macam mana? Arlene dengan Adelyn bukan anak orang lain. Darah daging awak juga. Kenapa awak hanya ambil berat pasal Andre?” Yin sengaja membangkitkan soal tanggungjawab Jason terhadap dua anak perempuan mereka.

“Selama ni ada ke saya abaikan awak? Abaikan anak-anak?” soal Jason pula. Yin yang pada asalnya mahu membangkang tidak mampu berbuat demikian saat mengingati pengorbanan Jason. Memang dia dan anak-anak tidak pernah diabaikan malah keperluan mereka sentiasa diutamakan walaupun Jason memiliki anak bersama perempuan lain. Tidak munasabah untuknya menafikan sedangkan Jasonlah yang menjadikan hidupnya mewah.

Jason menyapa dahinya. Memikirkan Yin hanya membuat dirinya sakit kepala. Dia banyak ‘mengajar’ Yin pun bukannya lekat di kepala isterinyapun. Alih-alih dia juga yang sakit hati. Yin mahu perasaannya dijaga kerana dia seorang perempuan. Lantas, adakah perasaannya dijaga oleh Yin? Lelaki juga punya hati dan perasaan.

“Awak buat la apa yang awak rasa betul. Tapi awak kena ingat tentang satu perkara. Jangan dera anak-anak. Sebab satu hari nanti awak juga akan menyesal kalau anak-anak tak sukakan awak. Nak mengajar anak biar kena tempatnya. Jangan sampai anak-anak yang bencikan kita pula,” ujar Jason mengalah. Jika dia berlawan kata dengan Yin, sampai ke esok pun belum tentu selesai. Banyak benar rasa tidak puas hatinya terhadap Yin yang tidak pernah disuarakan.  

“Awak rasa cara awak mengajar anak-anak betul la selama ni?” pangkas Yin sebelum sempat Jason beredar. Langkah suaminya mati.

“At least saya tak pukul anak-anak. Dia orang buat masalah pun, saya tak sampai hati nak tangankan. Cukuplah saya bagi nasihat. Tapi awak pula buat anak-anak macam punching bag!”

Yin ternganga. Sejak bila pula anak-anaknya dijadikan punching bag? Dia bukan mendera tetapi memberi pengajaran kepada mereka!


TANGISAN Andre masih bersisa saat lututnya usai disapu ubat oleh Jason. Kesakitan masih terasa namun air mata yang mengalir itu bukanlah kerana dia sakit. Dia cuma merasakan kesedihan mengenangkan nasibnya yang tidak seperti orang lain. Papalah yang berusaha memujuknya. Kala itu, papa sahajalah yang boleh dia bergantung harap. Tidak pada orang lain.

“Syy … Orang lelaki kena kuat. Tak boleh menangis,” tutur Jason sambil menggosok-gosok kepala si anak.

“Saya sedih, papa. Tapi saya bukan sedih sebab sakit. Tapi saya sedih sebab Mama Yin layan saya macam ni. Apa salah saya, papa? Hina ke saya?” Andre mengadu sebaik tangisannya mula reda.

Jason yang mendengar luahan itu terkedu lama. Jika dia menerangkan, fahamkah Andre? Andre bukanlah remaja. Dia masih budak-budak. Mana mungkin Andre mengerti jika pemikirannya masih keanak-anakan.

“Saya tahu Mama Yin tak dapat terima saya dalam rumah ni. Dan, saya tak salahkan dia, papa. Saya juga tak perlukan Mama Yin. Saya hanya mahukan mama.”

Bibir Jason bergetar. Anak sekecil itu sudah mengerti?

“Saya mahu jadi kuat, papa. Suatu hari nanti saya nak buktikan pada Mama Yin yang dia salah. Mendiang mama besarkan saya untuk jadi orang berguna, bukan sampah. Mama Yin pasti akan menyesal suatu hari nanti,” tekad Andre. Tangannya menyentuh tangan Jason yang penuh dengan urat yang timbul. Bibirnya terlukis senyuman. Jason yang memandang si anak turut mengulum senyum. 

Ya, jadilah kuat seperti mama, desis hati Jason. Dia berbangga dengan semangat dan kekentalan jiwa anaknya itu. 


ADELYN tidak kisah dengan kehadiran Andre. Dia juga bencikan budak itu tetapi si kembarnya tidak habis-habis mahu membela. Sejak bila pula kembarnya itu mempunyai hati yang murni? Padahal mereka sama-sama membesar dengan peribadi yang buruk. Disebabkan itulah dia dan Arlene sering membuat masalah di sekolah. Namun apabila di rumah, dia ditatang seperti minyak yang penuh oleh mama. 

Mata Adelyn mencari batang tubuh Andre. Ke mana menghilangnya anak itu? Sejak dia pulang dari sekolah, langsung tidak ternampak bayangan Andre. Padahal Andre tidak pergi ke sekolah pun.

“Arlene, kau ada nampak budak tu?” Adelyn bertanya pada si kembarnya yang baru menapak keluar dari bilik.

“Kenapa kau cari dia?”

“Kau ni banyak tanya. Kau tak tahu ke dia kat mana?”

Arlene gelengkan kepala. 

“Betul kau tak tahu? Jangan sampai aku tahu kau tipu, siap kau kena dengan mama!” Adelyn mengeluarkan ugutan pula.

“Yang kau sibuk-sibuk nak cari dia kenapa? Dia ada buat salah ke dengan kau sampai kau beria-ia cari dia?” Arlene menyoal tanpa gentar. Setakat ugutan mama, apalah yang dihairankan. Dia sudah banyak kali didenda oleh mama berbanding dengan kembarnya yang satu lagi itu. Boleh dikatakan dia sudah biasa dengan amarah mama.

Bibir Adelyn menjuih. Sakit pula hatinya apabila Arlene seakan-akan menyindirnya. Dia sekadar bertanya tetapi Arlene memberi bebelan pula kepadanya. Tanya pun salah ke?

“Andre tidur. Tak sihat. Dia demam. Kau jangan ganggu dia pula. Papa dah arahkan supaya jangan ganggu Andre.” Akhirnya Arlene menjelaskan hal sebenar. Demam Andre masih tidak kebah. Jika Adelyn merancang yang bukan-bukan dalam keadaan Andre sebegitu, memang sengaja hendak melawan cakap Jason. Tetapi setakat ini dia tidak nampak pula Adelyn cuba berbuat sesuatu yang buruk terhadap Andre. Adelyn lebih banyak membebel sahaja.

“Tak sihat? Demam? Teruk sangat ke?” Arlene mencebik dengan berpeluk tubuh.

“Kau risaukan Andre?”

Pantas Adelyn menggeleng. Tiada masanya untuk merisaukan orang lain. Lagi-lagi orang yang dia tak suka!

“Mama mana?” Kali ini Yin pula yang dicarinya.

“Mama keluar. Kejap lagi mama balik. Kau ni banyak tanyalah. Kau nak apa sebenarnya?” Jemu melayan Adelyn yang bertanya macam-macam itu, Arlene mengorak langkah menuju ke dapur di tingkat bawah. Adelyn membuntuti dari belakang.

“Kau ikut aku sampai sini nak buat apa?” Arlene yang berasa rimas diekori oleh Adelyn terus bertanya dengan mimik wajah kurang menyenangkan.

“Sis, masakkan untuk aku. Lapar la.” Adelyn meminta sambil menggosok perutnya.

Arlene menjeling. Sudah buang tabiat ke kembarnya itu? Sejak bila pandai memanggilnya ‘sis’? Kalau mengikut masa kelahiran, memanglah dia terlebih dahulu yang melihat dunia saat dilahirkan. Tetapi tidak pernah-pernah Adelyn memanggilnya ‘sis’ seperti tadi.

Adelyn tayang muka comel. 

“Kau nak makan apa? Kau ingat aku ni reti masak ke?” 

“Buat aje la yang mana senang. Please…”

“Yalah. Aku goreng telur aje la.” Arlene mengalah. Adelyn menepuk tangan gembira. 

“Dia yang nak makan, aku pula yang jadi mangsa,” rungut Arlene sambil mencapai dua biji telur dari peti sejuk. Dipecahkannya ke dalam mangkuk. Dikacau dengan chopstick setelah memasukkan sesudu perisa Knorr. 

“Kau tengok-tengokkan. Aku nak check Andre kejap kat bilik.”

“Huh?” Adelyn kebingungan. Manalah dia reti goreng telur. Perkara senang atau susah, dua-dua pun dia tidak reti. 

“Tuang aje la dalam kuali tu bila minyak dah panas. Bukannya susah pun.”

Sebaik Arlene berlalu dari dapur, Adelyn menggaru kepalanya. Hendak tak hendak terpaksalah dia menggoreng telur itu sendiri. Sambil itu dia merungut. Boleh pula Arlene meninggalkannya untuk menggoreng telur sendirian? Dia bukannya reti pun! Kalau dia reti tak adalah dia suruh kembarnya itu. Sambil itu dia sempat menjerang air. Teringin hendak minum milo panas.

“Masukkan telur dalam kuali ya?” Adelyn mula mencurahkan telur ke dalam kuali leper. 




Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie