Home Novel Cinta Izinkan Aku Rawat Lukamu
Izinkan Aku Rawat Lukamu
Hasz Ninie
1/12/2018 12:07:07
38,043
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

“ARLENE!”

Bergegar telinga Arlene saat namanya dipanggil kuat. Dia bergegas turun ke dapur untuk mendapatkan Adelyn yang ditinggalkan sendirian di dapur.

“Oh my God! Apa dah jadi?”

Api yang dilihat dengan dua matanya itu semakin marak. Dia cepat-cepat menarik tangan Adelyn agar segera menjauhi dapur. Patutlah dia tercium bau yang pelik dari tingkat atas. Rupa-rupanya, dapur sudah dijilat api! Asap berkepul-kepul menerwang ke ruang udara. 

“Call bomba! Call mama! Call papa!” jerit Arlene bagai hendak gila. Dia hilang arah, tidak tahu hendak buat apa dalam keadaan cemas itu. Dia terbatuk-batuk dalam usaha untuk menyelinap keluar dari ruang yang dibaluti asap tebal itu.

Adelyn segera mencapai telefon dari poket seluarnya. Nombor mama dan papa didail. Sambil itu, Arlene masih menggelabah kerana tidak tahu berbuat apa-apa. Keadaan begitu menyebabkan dia langsung terlupa akan Andre yang masih tidur dengan nyenyak di tingkat atas. 

 

JASON mengeluh lega saat melihat dua anak kembarnya selamat. Biarlah rumahnya diratah api tetapi nyawa anak-anak tidak mungkin boleh diganti. Namun, saat matanya terpandangkan Arlene, dia tiba-tiba teringat sesuatu. Pagi tadi dia telah memberi peringatan kepada anak sulungnya itu untuk menengokkan Andre yang diserang demam. Tetapi saat dia tiba, Andre tiada bersama anak-anak yang lain. 

“Andre! Mana Andre?” Jason dirasuk amuk apabila menyedari Andre tiada bersama. Saat itu juga Arlene teringatkan sesuatu. Andre!

“Adik ada kat dalam, papa! Saya lupa adik tidur kat atas!” Arlene menjerit risau. Bagaimanalah dia boleh lupa adiknya yang demam itu sedangkan dia yang menjaga Andre? Kali ini dia menggelabah sekali lagi. Bagaimana dia boleh terlupa perkara sepenting ini? 

“Tadi isteri encik cakap tak ada sesiapa lagi kat dalam tu!” 

Seorang ahli bomba menjerit dari jauh. Dalam keadaan api yang besar itu tidak mungkin dia boleh masuk sekali lagi untuk mencari Andre yang dimaksudkan oleh Jason.

“Anak aku kat dalam! Anak lelaki aku ada kat dalam!” Jason meraung sambil berlari menuju ke dalam rumah. Dia cuba dihalang oleh beberapa ahli bomba yang mengawal keadaan namun tidak diendahkan. Malah ditolaknya tubuh mereka yang cuba menghalang langkahnya.

“Jason! Awak dah gila ke?” Dari jauh Yin menjerit. Masakan suaminya mahu mati sia-sia hanya kerana seorang budak? Seorang budak yang tiada nilainya?

“Papa!” Adelyn dan Arlene juga memanggil Jason namun batang tubuh Jason telah hilang dari pandangan akibat dilitupi oleh asap tebal.

“Papa!”

“Jason, awak memang dah gila!” Yin menyumpah geram. Kerana Andre, nyawa suamianya pula berada dalam bahaya. Dia sengaja berbohong mengatakan tiada sesiapa selain dia dan anak-anak di dalam rumah kerana dia tidak mahu suaminya membuat tindakan gila. Namun, hasrat hatinya lebih kepada untuk melihat Andre maut dalam kebakaran itu! Mudah hidupnya jika Andre mati. 

Sementara itu Jason yang berjaya masuk merempuh tangga yang mulai hangus. Dia mengorak anak tangga dengan langkah yang lemah. Pernafasannya menjadi perlahan gara-gara terhidu bau asap dan udara kotor. Sesekali dia terbatuk-batuk apabila tersedut asap kebakaran. Namun begitu, langkahnya tetap tidak mati. Dia tetap menerukan langkah sehingga berjaya sampai ke tingkat atas. Ada nyawa yang perlu diselamatkan. Mendiang Hudson telah mengamanahkan dia untuk menjaga Andre. Jika dia gagal, mendiang pasti kecewa dengannya.

“Andre! Mana kamu, sayang? Papa ni!” Dia memanggil dengan suara yang kuat bagi membolehkan Andre mendengar dan menyahut panggilanya. Dia yakin anaknya masih bernyawa. Tinggal untuk dia mencari tubuh itu sahaja.

Jason menolak rakus pintu biliknya. Kosong! Matanya meliar ke sekeliling, memastikan dia tidak terlepas pandang.

“Pa ….pa …..” 

Baru sahaja dia mahu membalikkan tubuh, suara kecil yang kedengaran lemah itu bergema. Pantas dia menoleh. Tidak jadi berlalu dari situ. 

“Kamu kat mana, sayang?” 

Saat itu, Andre membuka pintu almari pakaian. Jason membuntangkan matanya kemudian menerpa laju ke arah almari itu. Ternyata Andre masih bernyawa. Namun, badannya kelihatan sangat lemah. Mungkin kerana terhidu asap tebal.

“Kita kena keluar dari sini sekarang juga. Papa takkan biarkan kamu mati!” Jason mengusap pipi Andre yang diselaputi debu hitam. 

“Papa. Mama nak ….” Andre bagaikan mahu menangis. Sangkanya dia akan mati di situ juga jika Jason tidak datang mencarinya. Dia sudah bersedia untuk meninggalkan dunia ini jika itu yang terjadi. Dia akan menemui mendiang Hudson yang sedang menunggunya. Kemunculan Jason menyuburkan kembali harapannya untuk hidup.

“Ya, sayang. Papa tahu. Kita kena keluar dari sini.” 

Cepat-cepat Jason mencempung tubuh kecil Andre dan menapak keluar sebelum api merebak ke bilik itu. Dengan bersusah payah dia menuruni tangga yang mula meruntuh sedikit demi sedikit. Saat kakinya mencecah tangga yang terakhir, secara tiba-tiba tubuhnya dihempap sesuatu. Tubuh Andre tercampak jauh darinya. Mata Jason mula kabur. Bayangan Andre seakan-akan hilang dari pandangan. Hanya kedengaran suara-suara yang cemas yang mula mengerumuninya.

“Papa!”


“PAPA!”

Serentak, Rifqy terjaga dari tidurnya. Dia membuka mata seluasnya. Disentuh kepalanya sebaik bangkit dari pembaringan. Mata yang kelat dipaksa buka dengan lebih luas. Setelah itu, dia beristighfar panjang.

“Cuma mimpi. Cuma mimpi,” keluh Rifqy menarik nafas lega. Jantungnya yang berdebar-debar kembali stabil. 

Matanya dipejamkan seketika sebelum kakinya dicecahkan ke lantai. Dia menapak menuju ke bilik air. Pili air dibuka dan wajahnya dibasahkan.

“Aku tak pernah mimpi macam ni. Kenapa dengan aku ni? Takkanlah sakit kepala tu nak datang lagi? Tapi tadi aku mimpi, bukan kepala aku yang sakit.” Rifqy mengangkat tangan, menepuk-nepuk kedua-dua belah pipinya. Tidak pernah dia didatangkan dengan mimpi sedemikian. Inilah kali pertama dia dijengah mimpi sebegitu. Masih jelas dalam mimpi itu gambaran seorang lelaki mengendong seorang anak kecil sebelum lelaki terbabit dihempap sesuatu yang berat. Dan hanya kedengaran suara anak kecil yang memanggil lelaki itu dengan panggilan ‘papa’. Mungkinkah anak kecil itu itu adalah dirinya? Hatinya mula tertanya-tanya.


DIA sengaja tidak pulang ke rumah kerana hatinya masih tidak tenang selagi Puan Amna tidak bercerita perkara yang sebenar kepadanya. Selagi mama tidak membuka mulut, selagi itulah dia tidak akan balik. 

Nasib baik ada Afiq yang sudi menumpangkannya. Jika tidak, terpaksalah dia bermalam di hotel buat sementara waktu. Pakaian harian dan pakaian masuk kerja juga dipinjam daripada kawannya itu. Tetapi dia bercadang mahu membelikan pakaian yang baru buat Afiq bagi menggantikan baju dan seluar yang dipakainya sepanjang dia menumpang di rumah kawannya itu. Kata Afiq, dia sudah tidak mahu mengenakan baju dan seluar yang telah digunakan oleh orang lain. Entah kenapa dia berkata begitu. Rifqy berpendapat mungkin Afiq tidak selesa berkongsi pakaian dengan orang lain.

Hari ini Afiq mengajaknya menikmati makan tengah hari di restoran Julyana. Rifqy membantah pada mulanya kerana baginya makan di mana-mana sahaja pun sama. Apa agenda Afiq sehinggakan sanggup memaksanya mengunjungi restoran Selera Kita sedangkan di bawah pejabat mereka juga ada restoran.

Mata Afiq mula meliar ke sekeliling. Mencari Julyana barangkali apabila perempuan itu tidak muncul-muncul.

“Kau cari siapa, Fiq?”

Afiq tersengih, menayangkan giginya yang tersusun itu. 

“Tak nampak pula Cik Julyana hari ni.” Jujur Afiq menjawab.

Rifqy mencebir bibir. Kan dah kata? Kalau bukan kerana Julyana, jangan haraplah Afiq menjadi sesanggup ini untuk datang ke restoran milik perempuan itu. Ada hati yang tertambat dengan cinta nampaknya.

“Kau dah jatuh cinta dengan dia ke?”

Afiq menggeleng, menafikan.

“Cakap baik-baik sikit. Cari tak bermakna aku dah jatuh hati ke apa. Aku nak berkawan aja. Salah ke?”

Rifqy menjungkit bahu. Salah ke tidak bergantung pada niat masing-masing. Kalau benar Afiq mahu berkawan dengan Julyana, biarlah pada landasan yang betul. Tidak mengambil kesempatan apabila berpeluang. Itulah kejujuran dalam persahabatan. Tetapi Afiq, bolehkah dipercayai dengan perangai mata keranjangnya? Semua perempuan nak sapu!

“Order?” Saliha datang melayan dua pelanggan itu. Terus Afiq menutup perbualan tentang Julyana. Bimbang Saliha salah faham pula.

“Bagi nasi goreng USA dan milo ais,” celah Rifqy. Saliha mengangguk sambil mencatat pesanan itu di buku kecil.

“Bagi nasi goreng udang dengan sirap limau ais.” Afiq juga membuat pesanan.

“Baik, encik.” Saliha cepat-cepat beredar ke dapur bagi menghantar pesanan dua jejaka itu. 

“Qy, sampai bila kau nak merajuk dengan mama kau ni?” Tiba-tiba sahaja Afiq membuka topik lain. Waktu itu wajah Rifqy mula berubah. Tidak sangka Afiq menimbulkan topik tentang Puan Amna.

“Aku tak merajuklah. Aku cuma geram. Sakit hati sebab ada rahsia yang dia orang simpan tapi tak pernah bagitahu aku.Aku rasa tertipu dengan dia orang.”

“Rahsia apa?” Kening Afiq terangkat. Dia tidak berniat ingin mencampuri urusan orang lain namun sekadar bertanya tidak salah rasanya. Siapa tahu dia boleh menolong?

“Entahlah, Fiq. Aku sendiri pun tak pasti. Malaslah aku nak fikir. Semakkan otak aku aje. Aku dah tak nak tambah sakit kepala aku. Lagi aku fikir, lagi aku rasa sakit.” 

Afiq mengangguk. Patutlah mood Rifqy sejak kebelakangan ini agak tidak ceria. Hendak senyum pun payah. Padahal sebelum ini lelaki itu sering sahaja tertawa apabila dia membuat lawak. 

Rupa-rupanya ada yang tidak kena. Kasihan juga melihat kecelaruan yang dialami oleh Rifqy tetapi apa yang dia boleh buat? Rahsia mana boleh sesuka hati didedahkan kepada sesiapa. 

“So, kiranya selagi mama kau tak berterus-terang dengan kau, kau akan stay kat rumah akulah?”

“Tak. Aku akan balik ke rumah juga. Tak selamanya aku boleh melarikan diri, Fiq. Kalau aku terus melarikan diri, sampai bila-bila pun aku takkan tahu perkara yang sebenar. Kau tak payah risaulah. Aku akan balik rumah hari ni. So, kau dah boleh enjoy dalam rumah kau nanti,” balas Rifqy.

Afiq terangguk-angguk. Sebenarnya dia bukanlah kisah sangat pun kalau Rifqy masih mahu menginap di rumahnya. Lagipun ada kawannya itu tak adalah dia sunyi sangat memandangkan dia tinggal seorang diri. Namun, dia juga sedar Rifqy masih punya keluarga. Tidak boleh sesuka hati mengabaikan mereka.

Asyik dengan perbualan mereka berdua, hidangan yang dipesan akhirnya tiba di meja makan. Afiq yang sememangnya sudah tidak tahan menahan kebulur terus menerkam nasi goreng udangnya. Namun belum pun masuk nasi ke dalam mulutnya, dia terlebih dahulu ditegah oleh Rifqy. Tangannya yang memegang sudu kaku seketika sambil memandang lelaki itu dengan terkebil-kebil.

“Baca Bismillah dulu. Kau ni gelojohlah,” pesan Rifqy dalam nada yang lembut.

Afiq tersenyum. Lupa pula akan hal itu. Lagi pula selama ini pun dia tidak pernah membaca doa makan atau mengucapkan Bismillah sebelum makan. Dia sememangnya masih jahil dalam agama. Solat pun masih tinggal. Terasa malu pula dengan Rifqy yang baru memeluk Islam tetapi lebih berpengetahuan dalam agama berbanding dengannya.



Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie