Bab 37

BUNYI hon kereta di luar mengejutkan semua orang di dalam rumah. Hana yang baru sahaja selesai menyiapkan bentonya juga terkejut dengan bunyi hon tersebut. Laju mereka semua berlari keluar melihat kereta tersebut.

“Ya Allah, Aniq. Kenapa kejutkan kami awal-awal pagi ni.” Encik Syukri keluar rumah lalu membuka pagar rumah untuk bakal menantunya itu. Aniq tersengih.

“Maaflah, ayah. Aniq sengaja buat macam tu. Sengaja nak bagi Hana dengar.” Ujar Aniq tanpa berselindung. Sejak dia rapat dengan keluarga bakal mertuanya ini, panggilan untuk kedua orang tua Hana itu juga sudah bertukar. Aniq sudah biasa memanggil orang tua Hana dengan panggilan umi dan juga ayah.

Encik Syukri geleng kepala. Ada-ada saja perangai bakal menantunya ini.

“Sudah sarapan?” Tanya Encik Syukri. Aniq senyum sambil geleng kepala.

“Masuklah. Kita sarapan sama-sama. Hana ada buat sarapan tu.” Encik Syukri mengajak bakal menantunya masuk ke dalam rumah.

Aniq mencari kelibat tunangnya sebaik sahaja dia dengan bakal ayah mertuanya masuk ke dalam rumah. Hana tidak ada di ruang tamu. Hanya kelibat Arissa sahaja yang sedang menonton rancangan televisyen di situ. Arissa bangun lalu menyalami Aniq. Encik Syukri naik ke biliknya sekejap.

Uncle, kenapa Yana tak ikut sekali?” Arissa memuncungkan mulutnya. Sedih kerana Yana tidak ikut sekali ke sini. Aniq mencubit manja pipi gebu Arissa.

“Yana tak ikut sebab uncle kerja. Uncle datang sini pun nak ambil aunty Aivy je. Nanti, kalau ada masa uncle bawa Yana jumpa Arissa, okey?”

Arissa angguk lemah.

“Eh, Aniq. Kenapa tak duduk sana. Mari, kita sarapan sama-sama.” Puan Hanis yang baru muncul itu terus mengajak bakal menantunya ke bahagian ruang makan. Arissa yang berada di belakang terus berlari anak menuju ke arah meja.

Semua sudah berkumpul di meja makan. Cuma Hana lagi yang belum munculkan dirinya di situ. Aniq meliau mencari kelibat gadis itu. Bunyi tapak kaki dari arah belakangnya meyakinkan yang itu adalah Hana. Aniq berpaling. Dia menghadiahkan senyuman buat gadis tersebut. Hana menjulingkan matanya ke atas. Meluat dengan wajah lelaki itu.

“Hah, kamu tak nak ikut makan sekali ke?” Puan Izati menegur Hana apabila anak saudaranya itu lalu ditepinya.

“Hana dah makan tadi.” Jawab Hana. Dia mengambil bakul kertas yang diletakkan di atas bar dapur lalu dibawa ke ruang tamu. Biarlah dia tunggu Aniq di sana saja.

Selesai bersarapan, mereka berdua terus bergerak meninggalkan kawasan perumahan. Aniq mengerling ke sebelah. Sejak dari tadi tunangnya asyik mendiamkan diri. Bila disoal, sepatah tunangnya menjawab.

Aniq tersenyum-senyum apabila melihat bakul kertas di riba tunangnya. Dia tahu isi di dalam bakul kertas tersebut.

“Apa dalam bakul kertas tu?” Saja Aniq bertanya.

“Bento awaklah.” Jawab Hana malas. Dia membuang pandang ke luar tingkap.

“Marah abang lagi?” Tanya Aniq lagi. Dia tidak boleh pandang lama tunangnya yang duduk di sebelahnya kerana dia lagi sedang memandu.

Hana diam. Tidak menggeleng. Tidak juga mengangguk. Pandangan tetap dihalakan ke luar tingkap.

“Suha merajuk dengan abang ke? Sebab abang tak layan Suha kelmarin? Atau sebab hari tu?” Bermacam-macam andaian dia berikan kepada tunangnya. Hana tetap membisu. Aniq akhirnya berputus asa. Dia meneruskan pemanduannya ke tempat kerja.

Laju Aniq membuka pintu penumpang di sebelah. Dia mengharapkan ada reaksi yang diberikan oleh Hana. Tapi, usahanya sia-sia sahaja apabila Hana tetap berlagak dingin kepadanya.

Mereka melangkah masuk ke dalam bangunan Iris Star Holding. Beberapa pekerja tersenyum melihat pasangan yang bakal berkahwin itu. Aniq dan Hana menuju ke tempat lif. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam apabila pintu lif terbuka.

“Tunggu!” Jerit satu suara. Aniq laju menghalang pintu lif daripada tertutup rapat. Lebar senyuman Aniq apabila melihat wanita itu. Hana yang berada di belakang hanya mendiamkan diri. Sakit hati memang terasa. Cuma dia biarkan sahaja.

“Eh, Aniq. Awal awak datang kerja?” Tercungap-cungap Chinta masuk ke dalam lif. Aniq membalas dengan senyuman. Hanya mereka bertiga sahaja di dalam lif tersebut. Aniq terus menekan tingkat paling atas. Baru sahaja dia hendak tolong tekan butang lif untuk Chinta, wanita itu segera menghalang.

“Kenapa?” Tanya Aniq. Chinta tersengih.

“Saya nak ke bilik pejabat awak dulu. Saya nak bincang pasal dokumen ni pula.” Kata Chinta. Aniq terangguk-angguk sambil ketawa. Sepanjang lif naik ke atas, mereka berdua asyik berbual mesra sehingga orang di belakang mereka langsung tidak di perasan.

Pintu lif terbuka. Aniq dan Chinta melangkah keluar dari lif tersebut dan terus menuju ke bilik pejabat. Hana mengetap gigi. Menahan marah.

"Aku ni langsung dia tak nampak. Dia langsung tak kenalkan aku dengan wanita tu! Berbual mesra sampai lupa tunang ada dekat belakang dia ni?! Eee… Tunang jenis apa dia tu, hah?! Geram betul aku dengan mereka berdua." Bentak Hana.

Dengan perasaan sebal bercampur geram, Hana terus menekan butang lif untuk turun ke bawah. Malas dia hendak ikut lelaki itu. Silap aku menilai perempuan tu. Gedik! Minta perhatian! Tak tahu malu! Marah Hana pada wanita yang bersama dengan Aniq tadi.

Hana menuju ke kafe yang berada di lobi dengan langkah yang lemah. Dia duduk di hujung kafe itu. Matanya diliarkan di sekitar kawasan tersebut. Beberapa pekerja di situ ralit memerhatikan Hana. Hana membiarkan sahaja mereka memerhatikannya. Dia lagi sakit hati memikirkan kemesraan dua manusia itu.

Telefonnya berbunyi. Aniq menelefonnya. Hana tidak mahu mengangkat panggilan tersebut. Dibiarkan sahaja bunyi deringan itu. Sekali lagi telefonnya berdering. Dia melihat screen telefon. Kali ini dari Mitsuha. Lambat-lambat dia menjawab panggilan tersebut.

“Hai, Mitsuha.” Mendatar suaranya menyapa teman di hujun talian.

“Kenapa dengan suara Hana? Sedih saja saya dengar.” Mitsuha terasa pelik mendengar nada suara temannya itu.

“Tak adalah. Biasa saja ni. Kenapa telefon? Awak nak ajak saya keluar ke?”

Mitsuha ketawa.

“Yup. Jom, keluar.”

Hana mengerling jam yang melekat di pergelangan tangannya. Dia senyum segaris.

“Okey. Nanti, saya ke sana.” Ujar Hana sebelum menamatkan panggilan.

Baru dia hendak berdiri, seseorang terlebih dulu menghalang pergerakannya. Hana mengetap bibir. Siapa lagi kalau bukan tunangnya. Hana berpeluk tubuh. Dia memandang ke tempat lain. Aniq menghenyakkan punggung di sebelahnya.

“Kenapa tak jawab panggilan abang ni?” Marah Aniq. Dia ada menelefon sebentar tadi dan Hana langsung tidak menjawabnya.

“Suha tau tak yang Suha dah buat abang risau?” Ekspresi wajah berubah. Hana mengerling sekilas.

Masuk dalam bilik pejabat tadi, Aniq terus panik. Hana tidak bersamanya. Bila ditanya dengan Chinta, gadis itu tidak tahu pula. Disebabkan risau, Aniq terus meninggalkan Chinta yang terpinga-pinga di situ.

Turun di lobi, Aniq bertanya pula dengan pekerja-pekerjanya jika mereka ada melihat Hana. Nasibnya baik kerana salah seorang dari mereka ternampak Hana sedang duduk termenung di kafe. Aniq melepaskan kelegaan bila wajah tunangnya ada di depan mata.

“Kenapa dengan Suha ni?” Risau Aniq bila tunangnya tidak mahu bercakap dengannya.

“Nah,” Hana memberikan bakul kertas yang berisi bento itu kepada Aniq. Malas dia hendak menjawab soalan tersebut. Dia pun tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya. Cepat sangat dia sakit hati bila perempuan lain berdampingan dengan tunangnya itu. Tapi, kenapa dia tidak sakit hati pula bila Edine yang terhegeh-hegeh mahukan tunangnya?

Aniq menyambut bakul kertas yang diberikan oleh Hana kepadanya. Bento dikeluarkan dari dalam bakul tersebut. Aniq membuka penutup bekas makanan itu. Dia tergamam melihat cara Hana menyusun nasi dan juga lauk pauk di dalam bekas berbentuk segi empat itu. Berseni. Sungguh menarik perhatian. Yang membuatkan dia terkesima apabila ada kata maaf diukir menggunakan lobah merah. Sangat comel!

“Wow! Cantik!”

Serentak Hana dan Aniq berpaling. Hana memandang wajah Aniq yang sudah tersenyum lebar. Makin dia bertambah sakit hati. Boleh masuk hospital ni kalau hati aku tak berhenti-henti sakit tengok perempuan macam ni. Hana merengus.

“Awak buat apa dekat sini, Chinta?” Tanya Aniq.

Cinta?! Dalam diam Hana tersenyum sinis.

Tak habis-habis nak mengacau Aniq aku! Kalau kerja buatlah cara orang bekerja. Jangan nak bergurau senda, berbual mesra di tempat kerja macam ni. Turun naik nafas Hana dibuatnya.

“Kelakarlah awak ni Aniq. Saya nak beli makananlah. Lapar.” Dia menggosok-gosok bahagian perutnya sambil membuat muka manja. Aniq layan sahaja karenah perempuan itu.

“Aniq, boleh tak saya rasa makanan ni? Terliur saya tengok makanan ni tau.”

Aniq memandang Hana. Wajah Hana kelihatan tegang. Dia berpaling semula ke arah Chinta dengan sengihan.

"Eh, makanan awak siap ada kata 'maaf' lagi. So sweet." Tersenyum lebar Chinta melihat makanan itu.

Hana meluat melihat perangai gedik perempuan itu. Baru sahaja tangan perempuan itu mendarat di makanan tersebut, Hana laju menutupnya semula. Chinta tergamam. Begitu juga dengan Aniq.

“Suha, kenapa buat macam tu?” Suara Aniq sedikit keras. Chinta pula diam memandang Hana. Dia baru perasan perempuan itu ada bersama dengan Aniq.

Hana berdiri dan memandang tajam pada perempuan itu.

“Makanan ni untuk dia dan bukannya untuk awak. Apa-apa yang saya buat hanya untuk dia dan saya tak nak dia kongsi dengan siapa-siapa termasuk awak.” Keras bunyinya. Hana terus meninggalkan Aniq dengan perempuan itu. Marahnya masih bersisa. Dia tidak kisah kalau Aniq memarahinya selepas ini.

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh