Bab 14

USAI solat subuh, Hana kembali ke katilnya. Masih awal untuk dia keluar dari bilik. Hana memerhatikan dua orang budak comel itu. Yana dipandang lama. Banyak persoalan yang timbul di mindanya sekarang.

Apa angin si Aniq ni bawa semua keluarga dia ke sini? Bercuti? Tapi, percutian dia orang ke sini macam lain je. Aku tak sangka pula keluarga kaya nak bercuti dekat kampung macam ni. Setahu aku, orang-orang kaya ni suka bercuti dekat luar negara. Tidak pun, dia orang akan pergi pulau atau pun bercuti dekat resort yang mahal.

Hana membaringkan tubuhnya di sisi Arissa. Dia memintal hujung rambut budak itu seraya berfikir lagi.

Umi dengan ayah biasanya tak akan terima tetamu yang tidak dikenali. Tapi, bila fikir logik, dia orang tu tetamu kak Lina. Argh! Masalahnya kenapa kak Lina setuju dan langsung tak bagi tahu aku yang dia bawa mereka ke sini! Macam mana aku nak larikan diri dari lelaki tu kalau dia ada di sini sepanjang cuti ni… Hana tidak senang hati pula bila memikirkan banyak kemungkinan yang akan berlaku selama percutian mereka di sini.

Atau... Mereka datang sini sebab hal 'tunang' tu. Hesy, tak mungkinlah. Lagipun, buat apa lelaki tu nak cerita dekat keluarga dia tentang hal remeh macam ni. Tak pun, kak Lina ada jumpa dia tak? Lepas tu suruh selesaikan hal tu di sini. Tapi, kalau nak selesai pun takkan nak bawa sekali keluarga ke sini? Mustahil...

Fikir postif sajalah. Ya, mungkin sebab Yana. Dia kan nak bento yang aku buat. Hana terus-menerus berfikir sehingga dia terlelap semula.

 

AUNTY Aivy! Aunty Aivy! Aunty Aivy!” Arissa dan Yana menjerit sambil melompat di atas katil memanggil nama Hana. Dek suara kuat mereka membuatkan Hana terjaga dari tidurnya.

“Arissa, Yana. Kenapa bangunkan aunty ni? Aunty nak tidur lagi.” Rungut Hana. Dia mengambil bantal peluknya lalu menutup telinga. Baru saja dia hendak melelapkan mata, Arissa dan Yana kembali melompat.

Aunty bangunlah. Kami nak aunty buatkan bento untuk kami.” Pujuk Arissa.

Aunty, Yana tak puas lagilah nak makan bento. Aunty buatkanlah.” Pujuk Yana pula. Hana merengus. Kacau saja budak dua orang ni. Hana yang masih mamai itu terus bangun lalu masuk ke dalam bilik mandi yang ada di dalam bilik tidurnya. Arissa dan Yana jerit keriangan.

Setelah bersiap, Hana menyikat dan mengikat rambut panjangnya. Arissa dan Yana hanya memerhatikan sahaja kelakuan Hana. Dari cermin Hana melihat mereka berdua. Senyuman kecil terukir di wajahnya.

“Jom,” Ajak Hana kepada mereka berdua setelah dia memakai tudung bawalnya. Dengan terujanya Arissa dan Yana melompat dari atas katil. Terkejut Hana.

Korang berdua ni. Kalau patah kaki macam mana.” Hana geleng kepala bila mereka berdua membalas dengan sengihan.

“Dah, jom.” Mereka bertiga melangkah keluar daripada bilik lalu menuju ke bahagian dapur.

 

JAM menunjukkan tepat pukul 7.00 pagi. Mereka bertiga antara yang terawal bangun di rumah itu. Hana membuka peti ais lalu mengeluarkan beberapa jenis sayuran, kekacang, sosej dan juga isi ketam segera. Arissa dan Yana menjadi pemerhati Hana. Mereka berdua hendak menolongnya namun ditegah oleh Hana. Hana tidak sanggup melihat dua budak comel di depannya ini cedera.

Selesai menanak nasi, Hana memotong sayur-sayuran yang sudah di basuh seperti lobak merah, brokoli dan beberapa jenis sayuran lain mengikut bentuk yang dikehendaki. Begitu juga dengan bahan-bahan yang lain. Sesudah itu, dia memanaskan kuali dan meletakkan sedikit minyak di atas kuali tersebut. Sempat Hana mengerling Arissa dan jugaYana yang begitu tekun melihat dia membuat bento untuk mereka berdua.

Aunty Aivy. Aunty tak nak tanya kita orang ke?” Hana memandang mereka berdua dengan wajah berkerut.

“Tanya apa?”

“Ala… pasal bento la. Aunty tak tanya pun kami nak bento yang macam mana.” Arissa mengerling temannya. Yana mengangguk. Hana ketawa kecil.

“Hari ini aunty buat bento special. Bukan untuk Arissa dengan Yana saja. Siap saja bento ni, aunty akan bawa korang berdua pergi satu tempat di mana kita boleh makan bersama. Tapi bukan kita bertiga saja ada lagi yang lain.”

“Siapa? Uncle?” Tanya Yana ingin tahu.

Uncle Yana tak ada dalam senarai, okey.” Kata Hana sambil membuat muka. Mana mungkin dia mahu lelaki itu ikut sama.

“Habis, dengan siapa?” Serentak mereka berdua bertanya. Hana tersengih. Tangannya masih membuat kerja.

“Tak boleh tahu. Nanti, Arissa dengan Yana ikut saja aunty, ya?”  

Mereka berdua mengangguk lemah. Hana melepaskan keluahan kecil bila dia sedar akan reaksi anak buahnya dan juga Yana.

Korang ni. Tak sah kalau tak buat aunty rasa bersalah, kan. Yalah, yalah. Esok aunty janji akan buatkan bento yang kamu nak. Tapi, hari ini biar aunty buat bento yang aunty nak dulu. okey?” Hana menunggu reaksi dua budak comel itu. Perlahan-lahan mereka berdua mendongak lalu tersenyum gembira.

“Sebab tu Arissa sayang aunty!”

“Yana, pun!”

Hana geleng kepala. Ada-ada sahaja budak dua ‘ekor’ ni. Tanpa dia sedari ada seseorang tengah memerhatikan mereka bertiga dari jauh.

 

“BUAT apa berdiri dekat luar seorang-seorang ni?” Suara Datin Ruhaina mengejutkan Hana. Hana berpaling ke atas. Cantik berseri Datin Ruhaina pagi ini.

“Eh, Datin. Ingatkan siapa tadi. Saya tunggu Arissa dengan Yana, Datin.” Hana tersengih. Dia masih segan dengan tetamu kakaknya itu. Datin Ruhaina turun ke bawah.

“Tak payahlah ber‘Datin’ dengan mama.” Ujar Datin Ruhaina dengan senyuman manisnya. Bulat mata Hana.

“Mama?” Hana pelik. Ini kali kedua Datin Ruhaina membahaskan dirinya mama.

“Panggil saja mama.”

“Tapi, saya…”

“Panggil mama. Hana terkecuali. Kalau perempuan lain memang mama suruh panggil dengan panggilan Datin.” Datin Ruhaina ketawa kecil. Matanya kemudian melirik pada bakul kertas yang dipegang oleh Hana. Ada dua lagi bakul kertas bersaiz besar diletakkan ditepinya.

“Apa dalam bakul tu?” Lembut saja Datin Ruhaina bertanya. Dia sudah berada di depan Hana.

“Bento. Tadi, saya buat bento. Saya ada buatkan sarapan juga.” Beritahunya. Dia cuba untuk membiaskan diri dengan wanita itu.

“Banyak ni. Nak bawa kemana semua bento tu?”

“Saya nak bagi dekat budak-budak yang saya ajar dekat kampung ni.” Kata Hana.

“Budak-budak? Hana ni guru? Tapi, umi Hana cerita dekat mama yang Hana kerja dengan uncle Hana.” Rupanya ada lagi yang Datin Ruhaina tidak tahu tentang diri gadis itu.

 Semalam, dia dengan menantunya, Puan Hanis, Lina serta Puan Izati banyak berbual tentang hal keluarga masing-masing. Banyak juga yang Puan Hanis dan Puan Izati bercerita tentang Hana. Lina dengan Rafidah pula masing-masing bercerita tentang hal anak perempuan mereka.

“Ya, Hana memang kerja dekat tempat uncle Hana. Tapi kalau cuti, Hana jadi guru tuisyen dekat kampung ni.” Beritahu Hana. Kemudian suara riang Arissa dan Yana kedengaran dari dalam rumah.

“Arissa, Yana. Jangan lari-lari, bahaya!” Laung Hana dari bawah bila melihat dua orang budak comel itu berlari keluar dari rumah. Arissa dan Yana tersengih.

“Kami tak larilah aunty. Uncle Aniq ni yang kejar kami.” Kata Yana. Gugur jantungnya bila mendengar nama lelaki itu disebut. Hana mula tidak keruan. Fikirannya kembali teringat dengan situasi semalam di mana lelaki itu dengan selamba menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

“Err… Da…”

“Mama.” Datin Ruhaina membetulkan panggilan Hana kepadanya. Aniq yang sudah turun ke bawah hanya bereaksi selamba. Arissa dan juga Yana masih berada di atas.

“Cuba panggil mama dengan panggilan tu. Lagi sedapkan berbanding Datin.” Tersenyum Datin Ruhaina. Suka dia melihat wajah Hana yang sudah berubah warna.

“Ma… mama.” Hana menundukkan kepalanya. Tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu. Lagi lebar senyuman Datin Ruhaina bila Hana memanggilnya dengan panggilan mama. Aniq yang berdiri di sebelah mamanya turut tersenyum.

“Bukan senang nak ambil hati mama saya ni. Untunglah Cik bento yang dapat panggilan mesra dari mama saya ni.” Selamba sahaja Aniq berkata. Hana jadi geram pula bila mendengar ayat tersebut. Hana memandang Aniq dengan renungan tajam. Datin Ruhaina tersengih. Dia perasan akan reaksi dua pasangan di hadapannya ini.

“Kamu berdua ni tak boleh ke berbaik-baik? Ingat mama tak tahu ke yang kamu berdua ni macam anjing dengan kucing.” Geleng kepala Datin Ruhaina dengan perangai anaknya dan juga Hana.

“Mana ada kami bergaduh mama. Mama saja yang salah faham.” Aniq menafikannya. Sempat Hana menjelir lidah ke arahnya. Hana kemudian beralih pandang pada Datin Ruhaina.

“Mama, saya dengan dua orang budak tu nak minta diri dululah. Nanti, budak-budak menunggu pula. Lagipun, saya dah bagi tahu kelmarin yang saya nak jumpa mereka hari ini.”

“Yalah. Yana, Arissa.” Panggil Datin Ruhaina. Mereka berdua segera turun ke bawah.

“Kalau ikut aunty tu jangan nakal-nakal, ya. Dengar cakap dia.” Pesan Datin Ruhaina. Kedua-dua mereka mengangguk serentak kemudian menyalami Datin Ruhaina.

“Baik granny. Kami akan ikut cakap aunty Aivy.” Kata Yana. Arissa dan Yana sudah bersedia untuk bergerak. Hana menyalami wanita itu sebelum bergerak pergi.

“Hana, baik bawa Aniq sekali. Bahaya kalau korang semua perempuan.”

Hana sudah tidak senang hati bila Datin Ruhaina menyuruh dia membawa Aniq ikut bersama. Hana garu kepala yang berlapik. Mana mungkin dia mahu mengajak lelaki itu ikut sama.

“Tak apalah, mama. Hana kan orang sini. Hana dah biasa jalan-jalan seorang diri dekat kampung ni.” Hana beri alasan. Dia tidak mahu lelaki itu ikut serta dengan mereka bertiga.

“Hesy, budak ni. Biasa tak biasa kena juga bawa seorang yang boleh lindungi kamu bertiga. Mana tahu, ada orang yang tak dikenali nak culik kamu bertiga.” Sengaja Datin Ruhaina hendak menakutkan gadis itu. Hana telan liur. Ada betulnya juga cakap wanita di depannya ini.

“Tak apa, mama. Aniq akan temankan dia orang ni.” Kata Aniq. Dia sudah bersedia mahu membuka kunci keretanya. Lebih baik naik kereta daripada berjalan kaki. Arissa dan Yana dilihatnya sedang bermain di bawah pokok mangga.

“Pergilah. Hati-hati, ya.” Pesan Datin Ruhaina sekali lagi. Hana memuncungkan mulutnya. Terpaksa juga dia membawa lelaki itu ikut bersamanya. Pintu kereta sudah dibuka untuk mereka. Hana mendengus. Tidak mahu dia naik kereta lelaki itu. Hana terus melangkah ke depan dengan bakul-bakul kertas yang diletakkan di tepinya itu.

“Jalan kaki! Tak payah nak bazir minyak kereta dekat kampung ni.” Hana menyindir Aniq.

Hana sudah jauh ke depan membawa Arissa dan juga Yana. Aniq memandang mamanya. Datin Ruhaina hanya ketawa kecil. Dia kemudian menggunakan isyarat mata menyuruh anaknya mengejar gadis tersebut.

 

“SEDAP bau nasi lemak pagi ni. Umi yang masak?” Lina yang baru muncul di muka pintu dapur terus menegur uminya yang sedang berbual dengan Datin Ruhaina.

“Bukan umi yang masaklah. Adik kamu yang masak. Panggil yang lain, suruh sarapan.”

“Hana? Tapi, mana Hana? Tak nampak pun dia. Arissa dengan Yana pun Lina tak nampak.” Bangun sahaja dari tidur Lina terus mencari anak perempuannya. Sewaktu dia membuka bilik tidur adiknya, bilik itu kosong. Lina ada bertanya dengan Rafidah yang kebetulan baru keluar daripada bilik tetamu tentang anak mereka. Namun, Rafidah juga tidak tahu. Tertanya-tanya juga dia ke mana mereka bertiga menghilang.

“Hana dengan budak-budak tu jumpa dengan budak-budak kampung ni. Aniq ikut sekali.” Beritahu Datin Ruhaina.

“Budak-budak kampung?” Lina diam. Berfikir tentang sesuatu.

“Oh, budak-budak yang dia ajar dekat kampung ni ke?”

“Yalah. Budak-budak mana lagi. Dah. Kamu pergi panggil yang lain suruh sarapan cepat. Kalau sejuk nanti tak sedap pula nak makan.” Lina tersengih lalu meninggalkan mereka berdua yang masih rancak berbual.

“Hanis, lepas sarapan ni kita bincang lebih dalam lagi tentang perkara tu, ya.” Wajah teruja Datin Ruhaina itu tidak dapat disorokkan lagi. Puan Hanis hanya membalas dengan senyuman sahaja. 

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh