Bab 18

USAI solat subuh, Hana terus menyiapkan dirinya. Dia hanya berpakaian kasual yang sopan dan memakai selendang biru muda. Hana tidak mahu bermake up tebal. Dia lebih suka natural. Puas hati dengan dirinya, Hana pun keluar dari bilik lalu ke bahagian dapur. Walaupun Hana masih marah dengan apa yang terjadi, dia tetap menyiapkan bekalan seperti yang diarahkan oleh lelaki itu a.k.a tunangnya.

Nice,” Suara garau menyapa telinganya. Berderau darahnya bila melihat Aniq ada di depan mata dengan pakaian kasual. Hana cuba berlagak biasa. Tidak mahu merosakkan moodnya di awal pagi.

“Nak saya tolong?” Lembut sahaja bicara lelaki itu. Hana jadi tidak keruan pula bila mendengar suara Aniq sebegitu. Hana geleng kepala tanpa memandangnya.

You still angry, huh?”

Dia sudah mula buat perangai. Hana buat tidak tahu. Malas dia hendak layan karenah lelaki itu sekarang. Baik dia siapkan apa yang patut.

“Suha,”

Laju Hana memandang.

“Awak ni kenapa, huh? Sekejap Cik Bento sekejap Suha.” Kembang kempis hidungnya menahan geram. Aniq pula tenang sahaja.

 “Suka hati I la. You Suha dan you juga Cik Bento. Lagipun I suka. I tak nak orang lain panggil you Suha atau Cik Bento selain I, okey?” Aniq mengenyitkan mata lalu melangkah ke arah meja.

Hana mengajuk katanya. Bukan main lagi ber‘I’, ber‘you’ dengan aku. Sekejap normal, sekejap tidak. Semalam bukan main serius lagi dengan aku. Sekarang nak main-main dengan aku pula. Hesy! Aku tak sukalah!

Hana menarik nafas panjang, mahu menenangkan semula perasaannya. Tidak mahu merosakkan mood memasaknya.

Aniq duduk berdepan dengan Hana sambil memerhatikan tunangnya membuat kerja. Sempat dia melirik mata pada jari Hana yang sudah tersemat dengan cincin emas putih bertatahkan batu berlian itu. Hana tidak menghiraukan pandangan lelaki di hadapannya. Sekejap Hana ke sana dan sekejap ke sini. Dia langsung tidak mahu duduk mahupun bercakap dengan lelaki itu. Aniq hanya membiarkan sahaja. Sekejap matanya memandang telefon dan sekejap memandang Hana yang serius menyiapkan bekalan mereka.

Sekali sekala Aniq mengusik alatan bento yang ada di atas meja. Hana menggeram. Matanya tajam merenung Aniq yang suka hati menyentuh alatan bento itu. Aniq angkat tangan kemudian tersenyum kepadanya. Hana buat tidak tahu. Malas hendak membalas senyuman itu. Siap sahaja, Hana terus ke singki membasuh tangannya. Aniq terpegun melihat bento Hana yang pelbagai bentuk dan warna.

Bento terakhir dimasukkan ke dalam bakul kertas. Hana kemudian membersihkan meja makan yang bersepah dengan bahan-bahan bentonya. Jam di tangannya dikerling sekilas pandang. Masih awal untuk mereka bertolak. Hana kemudiannya membuatkan sarapan untuk orang rumah.

“Nak sarapan apa?” Acuh tak acuh Hana bertanya pada Aniq.

“Apa saja yang Cik Bento masak saya makan.” Balas Aniq. Matanya tidak memandang Hana. Dia sibuk memeriksa mesej yang masuk dari pembantunya, Muaz.

“Apa saja? Kalau saya masak makanan kampung, awak suka?”

“Tak kisah. Asalkan Suha masak.” Dia mengenyitkan mata lalu fokus kembali pada mesej di telefonnya.

Mahu sahaja Hana mengetuk kepala lelaki itu dengan senduk yang dipeganggnya. Sekejap Cik Bento. Sekejap Suha. Sabar sajalah Hana… Jangan rosakkan mood memasak kau. Hana mengusap dadanya. Dia meneruskan semula kerja memasaknya.

Hana mengambil belacan yang diletakkan dalam laci peti sejuk dan mengambil udang kering, empat cili merah serta beberapa batang kacang panjang. Udang kering direndamnya terlebih dahulu. Kacang panjang dipotong kecil. Belacan pula dibakar sekejap.

Selepas itu, Hana mengembur nasi sejuk. Selesai mengembur nasi, Hana mengambil bawang merah dan sehelai daun limau purut. Dikupas dan dibasuh dengan daun limau purut sekali kemudian dihiris halus. Udang kering yang sudah direndam itu dicuci semula lalu di tumbuk dengan belacan dan juga cili merah.

Hana memanaskan minyak lalu menumis bawang merah. Nampak saja keperangan, Hana terus mengalihkan bawang tersebut ke tepi kuali. Dia kemudian memasukkan bahan-bahan yang telah ditumbuk dan dikacau sehingga wangi. Nasi sejuk yang sudah di gembur dimasukkan bersama dengan daun limau purut serta kacang panjang. Lalu digaul dengan bawang goreng dan juga bahan-bahan lain. Akhir sekali Hana meletakkan perasa. Bau masakan memenuhi ruang dapur itu. Sempat mata Hana mengerling ke arah Aniq. Sibuk betul dia melayan telefonnya. Langsung tidak menghiraukan Hana yang sedang membuat kerja dapur.

Menu pertama nasi goreng sambal belacan sudah pun siap. Hana kemudian mengeluarkan lagi bahan lain untuk membuat resepi seterusnya. Roti Baguette yang dibelinya diambil dari rak biskut. Dia memotong bahagian atas roti tersebut lalu mengorek semua isi di dalam. Serbuk roti yang lain dimasukkan pula ke dalam mangkuk besar lalu ditambah dengan segelas susu segar, bawang yang dicincang halus, secubit garam,serbuk lada hitam, buah pala yang ditumbuk halus dan sebiji telur. Hana mengaul rata bahan-bahan tersebut lalu memasukkan lagi daging cincang ke dalam mangkuk tersebut dan mengaul rata.

Roti Baguette yang sudah dibuang isi di dalam diambil semula. Beberapa hirisan tomato diletakkan di dalam sebelum memasukkan bahan-bahan yang digaul sebentar tadi. Hana meratakan bahan-bahan yang sudah dimasukkan ke dalam roti tersebut. Di atasnya pula diletakkan sos cili dan hirisan keju kemudian dibakar selama 30 minit dalam suhu 200 darjah celcius.

Dua menu selesai. Sementara menunggu rotinya masak Hana membuat dua jenis minuman panas kopi dan juga milo. Hana tidak mahu Arissa dan Yana meminum kopi dalam umur mereka yang masih muda itu. Bunyi oven menandakan menu keduanya itu sudah pun masak sepenuhnya. Hana membuka dan mengambil roti yang sudah masak itu lalu diletakkan di tengah meja. Begitu juga dengan nasi goreng sambal belacan dan minuman panasnya. Hana kemudian mengambil beberapa piring di atas rak piring. Tetapi, tidak cukup. Mana pergi piring yang lain?

“Saya dah tolong ambilkan. Saya naik atas dulu panggil yang lain.” Ujar Aniq lalu meninggalkan Hana yang terpinga-pinga di tempat dia berdiri. Matanya beralih pada meja makan. Sudu dan gelas juga ada di atas meja itu. Entah bila masa lelaki itu menolongnya mengangkat benda-benda itu semua.

Semua memuji masakan Hana. Tidak sangka gadis di depan mereka ini pandai masak bermacam-macam jenis masakan. Apa tidaknya, dia selalu sahaja mengikut unclenya ke luar negara dan dia juga belajar beberapa jenis masakan di negara-negera tersebut.

Hana mengerling Aniq yang masih mengunyah roti bakar yang dibuat olehnya. Hairan. Lelaki itu tidak menyentuh pun nasi goreng yang dimasaknya. Datin Ruhaina yang perasan akan pandangan Hana pada anak terunanya itu mencuit bahu Hana. Hana memandang ke tepi.

“Aniq tu tak suka makan makanan yang bercampur dengan belacan.” Beritahu Datin Ruhaina. Hana mengerutkan dahi. Pelik orang macam dia ni tak makan belacan.

“Tapi, kenapa pula?” Tanya Hana ingin tahu.

“Mama pun tak tahu. Katanya tak sedap.” Datin Ruhaina beralih pandang dan menyambung semula perbualannya dengan Puan Hanis dan juga Puan Izati.

Hana tersengih. Tadi cakap tak kisah kalau aku masak apa saja masakan. Nasib baik, aku buat roti ni. Kalau tak, kebulurlah dia. Hana ketawa kecil. Kemudian pinggangnya dicuit oleh Arissa yang duduk di tepi kirinya.

“Kenapa?” Tanya Hana sambil mengelap kotoran yang ada di tepi mulut budak itu.

Aunty bau makananlah.  Aunty Aivy tak nak tukar pakaian ke?” Tanya Arissa.

“Malas aunty nak tukar.” Jawabnya bersahaja.

 

Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Mereka perlu bertolak sekarang. Masing-masing bersalaman. Aniq sudah selesai memasukkan semua bagasi mereka dan meloloskan diri ke dalam perut kereta lalu memanaskan enjin kereta. Arissa dan Yana sudah berlari masuk ke dalam kereta.

Hana masih tidak berganjak dari tempatnya. Beberapa minit yang lalu dia bergaduh kecil dengan umi dan juga auntynya. Dia tidak suka dengan apa yang mereka sudah buat kepadanya semalam. Secepat ini, dia sudah menjadi tunangan orang.

“Aik, kenapa tak pergi lagi?” Hairan Puan Hanis.

“Umi, kenapa umi dengan yang lain beria sangat nak suruh Hana pergi melancong dengan dia orang tu?” Tanya Hana ingin tahu.

“Tak payah nak tahu. Hana pergi saja bercuti dengan dia orang. Jangan risaukan kami dekat sini.” Datin Ruhaina mencelah. Hana menghela nafas berat.

“Hana jaga kelakuan. Jangan buat yang bukan-bukan di tempat lain. Jaga tunang kamu. Jaga Arissa dengan Yana.” Pesan Puan Izati. Kaum lelaki tidak pula kelihatan bersama dengan mereka. Agaknya mereka masih di atas lagi.

Hana mengeluh panjang. Ke mana mereka akan bercuti pun dia tidak tahu. Hana memberi salam lalu menuju ke arah kereta lelaki itu dengan langkah yang lemah.

“Masam je muka tu. Cubalah ceria sikit.”

“Awak diam boleh tak. Saya malas nak layan awak dengan budak dua orang ni.” Hana menarik seat belt. Aniq jungkit bahu. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dia memandang Hana semula.

“Cik Bento ada bawa balang kaca tu? Benda yang saya bagi hari tu?”

“Balang kaca berisi kertas-kertas kecil yang bergulung tu? Kenapa nak bawa?” Pelik lelaki ni. Takkan nak pergi melancong pun kena bawa benda itu juga.

“Sebab saya suruh bawalah.”

“Saya tak nak bawa. Biar benda tu duduk dalam bilik je.” Jawab Hana bersahaja. Bulat mata Aniq dengan kata-kata selamba Hana itu.

“Pergi ambil. Saya tunggu sini. Cepat!” Arah Aniq. Hana merengus.

“Tak nak! Jalan je la. Bukan hilang juga benda tu. Dalam bilik saya juga, kan.”

No! Pergi ambil sekarang. Mana-mana you pergi mesti bawa balang kaca tu, faham?”

“Eee… dia ni! Jangan paksa saya boleh tak?” Geram Hana bila lelaki itu memaksanya. Arissa dan Yana pula buat hal masing-masing. Malas hendak campur hal orang dewasa.

“Saya akan paksa juga. Benda tu penting tau. I know you tak buka lagi kertas-kertas kecil tu, kan?” Duga Aniq. Hana mengetap bibirnya. Dia membuka semula seat belt. Kasar dia membuka pintu kereta milik Aniq itu lalu masuk semula ke dalam rumah. Pandangan umi dengan yang lain dia tidak hiraukan.

Beberapa minit kemudian Hana datang semula. Aniq tersenyum. Puas hati kerana Hana membawa balang kaca itu bersamanya. Hana mencampakkan balang kaca itu ke dalam beg tangannya. Dia menjeling tajam ke arah Aniq. Aniq pula membalas dengan senyuman manisnya sebelum bergerak meninggalkan kawasan perkampungan.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh