Bab 56

HANA tersedar dari lenanya. Terasa ada tangan yang melingkari di bahagian pinggangnya. Hana mengerling ke sebelah. Terkejut melihat Aniq tidur di sebelah sambil memeluk erat pinggangnya.

Hana baru teringat sesuatu. Laju dia meraba-raba kepalanya. Tiada?! Hana menjerit. Jeritannya bergema di segenap ruang. Jeritannya membuatkan suaminya tersedar. Aniq memisat-misat matanya.

“Kenapa dear terjerit-jerit ni?”

Hana diam. Suara serak basah itu menggetarkan jiwanya. Hana mula tidak keruan. Pantas dia bangun dari tidurnya. Begitu juga dengan Aniq.

“Apa dah terjadi ni? Kenapa saya ada dekat dalam bilik? Awak… awak buka tudung saya ke?”

Aniq mencubit hidung isterinya.

“Jangan nak tuduh abang yang buka tudung Suha tu. Suha sendiri yang tidur dekat sofa tanpa tudung,”

“Abang yang angkat Suha ke sini. Abang kesian tengok Suha tidur dekat bawah.” Sambungnya lagi.

Hana termalu sendiri. Suaminya sudah melihat auratnya.

Hana memandang semula suaminya dengan riak geram. Penat dia buat semua kejutan untuk memujuk suaminya itu. Tapi, suaminya langsung tidak munculkan diri sehingga dia tertidur di ruang tamu.

Hana mahu berdiri tapi tangan Aniq cepat menyambar tubuh genit itu. Hana terbaring menghadap suami. Kedua-dua tangan Aniq mengunci tubuh isterinya. Pandangan mereka bertaut untuk seketika.

Aniq berdeham apabila isterinya masih tidak mahu melepaskan pandangan. Lagi sekali Hana termalu sendiri. Laju dia memandang ke tempat lain. Aniq ketawa kecil. Dia mengelus lembut pipi gebu isterinya. Hana membatu.

Apa yang aku patut buat ni? Bisik Hana dalam hati. Kelakuan Aniq sudah tidak terkawal. Dari pipi jatuh ke bibirnya. Aniq mengusap lembut bibir Hana dengan ibu jarinya. Kemudian rambut Hana dibelai manja. Hana makin tidak keruan. Debaran jantung jangan ditanya. Elektrokardiograf pun tidak dapat mencatat kelajuan jantungnya yang berdegup pantas sekarang ni. Tak boleh jadi ni!

“Rafisqy!” Hana meninggikan suara. Aniq tersedar dengan kelakuannya. Hana laju menjarakkan tubuhnya dengan Aniq.

“Awak jangan macam-macam dengan saya. Sekarang ni saya tak boleh tau!” Amaran Hana. Berkerut dahi Aniq. Dia cuba mencerna ayat tersebut. Tidak lama kemudian dia ketawa. Baru dia faham.

“Kenapa awak ketawa?” Pelik Hana. Suaminya tiba-tiba saja ketawa tidak tentu pasal. Aniq bangkit lalu mendekati Hana.

“Apa awak nak buat ni?” Hana cuak. Senyuman itu membuatkan Hana jadi seram. Aniq terus mendekatinya bila isterinya cuba berundur ke belakang.

“Rafisqy, saya kata jangan. Saya memang tak boleh layan awak tau.” Hana menyilangkan tangannya ke dada. Takut dia kalau terjadi apa-apa kepadanya. Aniq makin galak mempamerkan senyuman misterinya.

Suara azan subuh berkumandang di dalam telefon milik Hana. Hana melepaskan kelegaan. Dia membalas pandangan suami.

“Awak pergi mandi. Pergi solat, cepat.” Hana menghalaunya. Namun, tiada sebarang reaksi dari suaminya. Cepat tangan Aniq menangkap tubuh Hana. Pinggangnya dipeluk erat. Hana terkejut dengan tindakan suaminya itu.

“Apa awak buat ni? Lepaskan saya.” Hana geram. Dia meronta mahu diminta lepas. Aniq tidak melepaskannya tapi memperkemaskan lagi pelukan tersebut. Tersembam wajah Hana ke dada suami.

“Suha bagi abang peluk kejap je. Boleh?”

“Tapi…”

Please…?”

Hana diam. Akhirnya, diturutkan saja kata suami. Dia membiarkan dirinya berada di dalam pelukan Aniq. Pelukannya kejap.

“Abang minta maaf buat Suha tertunggu-tunggu semalam.” Aniq membuka mulut setelah beberapa minit berdiam.

Laju Hana mendongak melihat wajah suami. Memang dia marah sebab kejutannya hanya sia-sia sahaja. Hana mengetap bibir. Aniq senyum nipis. Dahi Hana menjadi mangsa kucupannya. Hana terpana. Dia menjatuhkan semula wajahnya. Tersenyum-senyum Aniq melihat isterinya yang sudah malu itu. Dieratkan lagi pelukan tersebut.

“Suha jangan marah abang. Abang tak nak Suha marah abang lagi. Abang dah makan bento yang Suha buat semalam. Walaupun hidangan tu dah sejuk tapi rasanya tetap sedap. Abang terharu bila tengok Suha minta maaf dengan cara tu. You’re so cute.” Aniq masih ingat tiga perkataan yang diukir dengan Nori itu.

Hana jadi malu dipuji oleh suami sendiri. Itu cara terbaik yang dia fikir untuk memujuk suaminya. Dia tidak suka suaminya terus memarahinya disebabkan hal tempoh hari.

“Dia marah kita boleh pula.” Laju mulut mungilnya membalas. Aniq angkat kening.

“Mestilah abang marah. Sebab Suha mesej Faiz tanpa pengetahuan abang. Faiz tu lelaki, sayang. Sudah tentu mendatangkan rasa cemburu abang. Sudahlah Suha tak telefon abang sepanjang abang ke luar negara. Abang tertunggu-tunggu juga panggilan dari sayang abang ni tau.” Hidung Hana dicuit. Ubun-ubun kepala si isteri dicium. Hana pula hanya membiarkan sahaja perlakuan suaminya itu. Entah kenapa dia suka pula cara suaminya melayan dia.

“Dah lah. Lepaskan, saya. Awak pergi mandi, solat.” Suaranya bertukar lembut. Aniq suka dengan perangai baru isterinya ini. Aniq melepaskan pelukan. Sempat dia mencium pipi Hana sebelum berlalu ke bilik air.

 

HANA menyediakan sarapan pagi untuk mereka berdua. Bento sebagai bekalan untuk suaminya di tempat kerja juga sudah disiapkan dan dimasukkan ke dalam bakul kertas. Suaminya masih berada di atas. Hana saja melarikan diri turun ke dapur. Dia masih malu dengan apa yang terjadi subuh tadi.

Aniq turun dengan berpakaian formal. Dari jauh dia melihat isterinya sibuk menyediakan sarapan untuknya. Aniq melebarkan senyuman. Dia menuju ke meja makan.

Hana melihat penampilan suaminya yang berpakaian formal itu. Tetap segak dan bergaya. Aniq duduk di bahagian kepala meja. Hana datang membawa kopi panas untuk suami.

“Sedap sandwich dear ni.” Puji Aniq. Separuh sandwich tuna sudah digigit dan dikunyah. Hana sekadar senyum. Kopi yang dihulurkan oleh si isteri diteguknya perlahan. Separuh sandwich itu disumbatkan ke dalam mulut Hana. Hana terkejut dengan perbuatan suaminya. Dia geram. Aniq tersengih.

Sorry, dear. Terima kasih untuk sarapan ni. Abang sebenarnya dah lambat. Abang nak gerak dulu.” Pipi Hana menjadi mangsanya. Hana tidak sempat berbuat apa, pipinya terus disambar oleh Aniq. Berkali-kali dia malu. Hana menghantar dengan ekor matanya sahaja. Dia perasan panggilan Aniq kepadanya juga sudah bertukar.

Hana masuk semula ke ruang dapur. Buntang matanya melihat bakul kertas masih berada di atas bar dapur. Hana mengetuk kepala. “Apa pasal aku lupa bagi dia.”

Meja makan dibersihkan dan dia terus naik ke atas untuk bersiap. Hana perlu menghantar bento itu kepada suaminya. Dia keluar dan mengunci pintu utama rumah. Bakul kertas berada dalam pegangannya.

Hana mengeluh. Dia mengetuk kepala sendiri. Macam mana dia hendak ke pejabat Aniq sedangkan keretanya tiada. Kereta kesayangannya sudah lama tersadai di kampung. Terpaksalah Hana berjalan kaki menuju ke stesen bas.

 

SAMPAI di kawasan bangunan Syarikat Iris Star Holding, Hana terus meminta kebenaran pengawal untuk memasuki bangunan tersebut. Setelah mendapat kebenaran, Hana langsung menuju ke pintu masuk utama.

Dia menghentikan langkahnya apabila terlihat kelibat suami dengan perempuan lain. Hana rimas melihat kemesraan mereka berdua. Perempuan itu ketawa sambil memukul lembut lengan suaminya. Hana dipagut rasa cemburu. Dia rasa tercabar dengan perempuan gedik itu.

"Bukan main lagi masa majlis resepsi tu dia kata dia tu kawan suami aku. Hubungan setakat kawan? Hah?! Cakap sajalah yang kau tu suka suami aku!" Geram sungguh Hana.

“Cik Aivy.” Muaz terkejut dengan kehadiran Hana di situ. Keluar sahaja dari bangunan Iris Star Holding, Muaz ternampak Hana sedang berdiri tidak jauh darinya. Laju Muaz menghampiri Hana.

“Cik Aivy tak apa-apa ke?” Tanya Muaz bila melihat air muka Hana berubah.

“Encik Muaz, apa masalah perempuan gedik tu dengan suami saya, hah?! Kata kawan tapi yang tu apa pula?!” Geram Hana melihat kemesraan mereka berdua. Sudah tahu Aniq itu berkahwin, dia masih nak mengedik dengan suaminya.

“Maksud Cik Aivy apa?” Muaz tidak faham. Dia perasan mata Hana memandang ke arah lain. Muaz cari arah pandangan tersebut dan tergamam.

“Err… Cik Aivy dah salah faham tu.”

“Encik Muaz hantar saya pulang sekarang!” Arah Hana. Muaz laju menurut kata. Bakul kertas yang berisi bento itu dilemparkan ke dalam tong sampah.

“Encik Muaz kenal siapa Chinta Amani tu?” Tanya Hana setelah lama mendiamkan diri. Muaz fokus dengan pemanduannya.

“Mestilah kenal Cik Aivy. Dia kawan Tuan Aniq sejak di universiti lagi.” Beritahunya.

Bulat mata Hana mendengar kenyataan dari mulut Muaz. Patutlah mesra semacam saja. Rupanya mereka dah kenal lama.

“Cik Chinta tu dah ada boyfriend?” Tanya Hana lagi. Dia cuba bertenang.

“Tak ada, Cik Aivy.” Jawab Muaz jujur. sekejap-kejap matanya mengerling Hana yang duduk di belakang.

Hana mengerutkan dahi. Kenapa perempuan tu masih bujang? Tak ada perasaan nak kahwin ke? Geramnya masih bersisa.

“Encik Muaz nak ke mana lepas ni?” Hana ubah topik. Malas dia hendak fikir hal tersebut.

“Err… saya nak jumpa…”

“Mitsuha ke? Saya nak ikut. Saya rindu pula dekat dia.” Hana terus berubah mood. Muaz tersengih. Pelik.

Previous: Bab 55
Next: Bab 57

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh