Bab 22

USAI solat subuh Hana menyiapkan diri untuk keluar mengambil angin. Ternyata malam semalam Arissa dan Yana tidak ada bersamanya. Mungkin mereka tidur di resort kerana dia sudah berpesan dengan mereka berdua sebelum mereka keluar semalam. Hana tidak risau selagi Aniq ada bersama dengan mereka berdua. Hana mencapai telefonnya lalu keluar dan mengunci bilik.

Hana menyusuri pantai melayan perasaan. Tiupan angin yang menampar lembut  kulitnya terasa nyaman dan menyegarkan. Terasa hilang segala penat yang dirasakannya semenjak membuat aktiviti kelmarin.

Hana memandang sekeliling. Dia kemudian mengeluarkan telefon dari poket kardigannya. Tersenyum sendiri Hana. Memandangkan hanya dia sahaja di tepi pantai awal pagi itu, dia mengambil peluang untuk dirinya berselfie. Bermacam-macam gaya yang dibuat dan semuanya memuaskan hati. Cuma gambar terakhir yang diambil olehnya agak pelik sedikit. Hana zoom gambar tersebut. Dia ternganga.

Hana berpaling ke belakang. Aniq dengan pantas mengambil telefon dari tangannya. Hana mengetap bibir.

Give me back that phone!” Hilang terus ketenangan yang dirasakannya sebentar tadi.

Nope.” Aniq meninggalkan Hana yang masih berada di belakang. Dia mengambil telefon lalu gambar-gambar Hana yang diambil sebentar tadi di Bluetooth ke telefonnya. Dia kemudian memeriksa semula nombor telefonnya di dalam telefon Hana. Aniq senyum sendiri. Hana masih tidak mengubah nama panggilan tersebut.

“Rafisqy! bagilah telefon saya tu. Apa yang awak sibuk sangat nak usik telefon tu?” Geram Hana dengan kelakuan Aniq.

Aniq memandangnya dengan senyuman menggoda. Hana telan liur.

Kenapa pula dengan dia ni? Senyuman dia tu nampak pelik saja aku tengok, kata Hana dalam hati.

"Suha, panggil apa tadi?"

"Panggil apa?" Tanya Hana acuh tak acuh.

"Suha panggil nama kedua saya, kan?"

Hana tertunduk. Aniq masih dengan senyuman menggodanya itu.

"Tapi, panjang sangat nama tu. Cuba Suha pendekkan. Panggil saya Rafi atau Isqy. Tak pun Ishq?"

Hana diam. Dia tahu apa yang dimaksudkan dengan perkataan yang terakhir itu.

"Dalam mimpi awak sajalah. Daripada saya panggil awak Ishq baik saya panggil fish cake. Lagi sedap nama tu, kan?" Hana menahan tawanya apabila Aniq mempamerkan wajah cemberutnya.

Hana meliarkan pandangannya. Dia baru perasan ada sesuatu yang hilang. Dia mula dipagut risau.

“Arissa dengan Yana mana?” Tanya Hana. Hatinya tidak tenang saat itu.

“Dalam kereta masih tidur. Saya tak nak kejutkan mereka berdua. So,I sendiri datang bangunkan you. Tapi, nampaknya you dah bangun dan dah bersiap, pun.” Beritahu Aniq dengan nada geram. Suka hati saja Hana memberi gelaran kepadanya. Aniq memberikan semula telefon itu kepada Hana.

“Jangan tukar.” Seperti biasa Aniq akan beri amaran. Hana geram.

Suka hati dia je menukar wallpaper telefon aku! Gambar yang tidak sengaja diambil sebentar tadi di mana Aniq membuat muka ingin mencium kepala Hana yang berlapik itu menjadi penghias dinding screen telefonnya.

“Saya tak suka! Saya nak tukar juga. Tak cantik!” Marah Hana. Aniq memandangnya. Senyuman nakal menghiasi wajah lelaki itu. Hana cuak.

Apa pula kali ni? Tanya Hana dalam hati.

“Tak cantik? Meh, sini abang bagi cantik.” Aniq merampas semula telefon Hana. Dengan selamba Aniq merapatkan tubuhnya pada gadis itu. Hana terkejut dengan perlakuan tunangnya.

Tunang tak semestinya boleh bersentuhan lagi. Ini masih dikira haram! Aku tak suka! Bentak Hana dalam hati.

“Eee… apa ni?! Lepaskanlah! Ber‘abang’ pula dia ni! Lepaslah!” Hana meronta-ronta mahu minta dilepaskan.

"Suka hati awak saja nak peluk-peluk orang! Sedar sikit yang awak tu bukan muhrim saya! Marah Hana.

"Saya memang sedar pun. Tapi, kita akan kahwin tak lama lagi, kan?" Aniq masih meneruskan niatnya untuk mengambil gambar.

“Mulai dari sekarang Cik Bento kena panggil saya, abang. Okey?”

“Tak nak! Rafisqy, lepaskanlah saya.” Hana tidak suka diperlakukan sebegitu. Mereka bukan pasangan yang sah lagi.

“Abang tak nak lepas. Suha cakap wallpaper tu tak cantik. So, kita bagi cantik sikit. Cepat.” Aniq membetulkan posisinya. Hana makin rimas. Tidak suka dia dibuat begitu.

“Senyum sikit.” Arah Aniq. Hana tidak mahu. Aniq memaksanya juga kalau tidak pelukan itu tidak dilepaskannya.

Nice! I like it!” Aniq melepaskan pelukan. Dia kemudian menjauh sedikit dari Hana.

Hana mendengus. Dia merapikan pakaiannya.  

“Awak buat apa lagi tu?!” Geram betul Hana dengan lelaki itu. Tidak habis-habis buat perangai.

Bluetooth.” Jawabnya bersahaja. Selesai menghantar gambar ke telefonnya dan menukar screen wallpaper, Aniq memberikan semula telefon itu kepada Hana.

“Tengok ni. Cantikkan, abang ambil.”

Hana tercengang. Kedua-dua screen telefon milik mereka berdua sudah ditukar dengan gambar yang sama yang diambil sebentar tadi. Gambar Aniq mengenyitkan matanya dan juga senyuman paksa dari Hana.

“Awak tukar balik gambar tu!” Hana mahu merampas telefon milik Aniq itu tapi, tangan lelaki itu laju menyimpan telefonnya di dalam poket seluar.

Don’t change it, okay. Kalau you tukar wallpaper ni siap you!” Aniq memberi amaran.

Hana menghentakkan kakinya. Masih tidak berpuas hati.

 “Jom, kita pergi sarapan lepas tu jalan-jalan keliling Langkawi ni.” Aniq kembali ke topik utama.

 “Awak tukar dulu. Kalau tak…”

“Jalan cepat!” Laju Aniq memotong kata Hana. Wajahnya bertukar serius. Renungan tajam dihadiahkan kepada tunangnya yang agak degil itu.

“Hesy, tak payahlah serius sangat. Saya tahulah!” Hana menjelingnya. Dengan perasaan geram dia melangkah masuk ke dalam hotel. Nak marah-marah dekat orang ni pun tak ada gunanya!

“Nak ke mana?” Tanya Aniq bila langkah Hana menyimpang dari tempat dia memarkirkan kereta.

“Atas. Ambil beg.”

“Tak payah. Abang dah ambil.” Hana tercengang. Laju kakinya melangkah semula ke arah lelaki itu.

“Beg Suha dalam kereta. Abang minta pekerja hotel tolong bukakan pintu bilik Suha tadi.” Beritahu Aniq dengan bersahaja. Lalu melangkah ke tempat dia memarkirkan kereta.

“Awak ni main redah aje. Nasib baik saya dah keluar. Kalau tak memang siaplah awak saya kerjakan nanti!”

Langkahnya mati. Aniq berpaling ke belakang dengan senyuman nakal. Perlahan-lahan dia melangkah maju ke depan. Hana cuak bila melihat wajah Aniq. Aku salah cakap lagi ke? Fikir Hana.

“Kalau Cik Bento dalam bilik dan masih…” Aniq pandang dari atas ke bawah. Hana dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh Aniq. Dia laju menyilangkan tangannya ke dada. Seram. Aniq mentertawakannya. Suka Aniq melihat pipi merah gadis itu.

“Abang tak kisah. Lagipun, lepas ni kita kahwin, kan?” Aniq mengenyitkan matanya. Dia meneruskan langkahnya ke tempat parkir kereta. Jeritan Hana tidak diendahkannya.

“Siaplah kau!” Hana berlari laju. Bila dia semakin hampir dengan lelaki itu, Hana terus menarik kuat rambut Aniq. Aniq mengadu kesakitan. Hana melarikan diri.

Padan muka! Balasan sebab suka hati pegang-pegang aku! Suka hati mengugut aku! Hana senyum sinis.

“Suha!” Aniq geram. Laju dia mengejar Hana yang sudah ke depan. Dalam diam hatinya berbunga-bunga dengan gurauan tunangnya.

 

“KENAPA kita ke sini?” Tanya Hana cuak. Berderet-deret kedai souvenir yang mereka lalu tadi, tapi satu kedai pun Aniq tidak mahu mereka masuk. Aniq terus ke tujuan utamanya dan sekarang mereka berdiri di depan kaunter tiket untuk membeli tiket kereta kabel.

You’re so funny. Kita nak naik kereta kabellah. Takkan Cik Bento tak nak tengok pemandangan dari atas? Rugi tau.”

“Naik tu… tin... tinggi ke?”

Aniq angkat kening. Dia mengerling ke sebelah. Reaksi Hana bertukar.

“Kenapa ni? Muka tu nampak buruk.” Aniq mengejeknya.

“Awak bawa je la mereka berdua ni. Saya pusing-pusing dekat sini saja. Malas nak naik kereta kabel.” Hana beri alasan. Kalau boleh sekarang juga dia mahu melarikan diri. Arissa dan Yana masing-masing teruja dan sibuk berbual sesama sendiri.

No. You mesti ikut sama.” Aniq berubah serius. Hana ketap bibir.

“Rafisqy… please. Awak bawalah dia orang ni saja. Saya tak nak ikut.” Rayu Hana. Dia betul-betul tidak mahu naik kereta kabel itu.

“Tak apa kalau Suha takut. Saya ada.” Kata Aniq. Dia dapat menghidu bau ketakutan gadis disebelahnya itu.

“Saya tetap tak nak! Saya nak stay dekat sini saja.” Hana tetap tidak mahu menaiki kereta kabel tersebut. Aniq menjegilkan matanya. Geram pula dia tengok gadis itu.

You naik kapal terbang tak takut pula. Ini setakat naik kereta kabel je, pun. Cuba buang sikit perasaan gayat tu!” Hana hampir hendak menangis bila Aniq meninggikan suaranya. Hana tidak mahu berdalih lagi lantas dia berlari meninggalkan mereka. Aniq tergamam.

Uncle,” panggil Arissa. Aniq memandangnya.

“Kalau aunty ke luar negara tak pernah seorang-seorang tau. Dia mesti pergi dengan atuk Han. Aunty memang gayat. Takut tinggi. Tapi, atuk Han yang selalu tenangkan dia kalau mereka pergi berurusan di luar negara.” Beritahu Arissa. Aniq jadi serba salah pula meninggikan suara depan gadis itu.

Aunty gayat dengan ketinggian pun sebab dia pernah jatuh dari atas bumbung rumah dekat kampung. Tiada siapa yang nak baiki atap bumbung masa tu, jadi aunty yang pergi baiki. Tapi, aunty silap langkah. Lepas tu jatuh. Masuk hospital.” Arissa buka cerita. Aniq terkesima. Dia rasa bersalah pula bila mendengar cerita Arissa itu.

“Dah, jom kita cari aunty Aivy.” Aniq membawa mereka berdua meninggalkan kawasan kaunter tiket dan mencari Hana.

 

HANA menangis sepuas-puasnya di dalam tandas awam itu. Biarlah pengunjung yang masuk ke dalam kawasan tersebut melihat tangisan dia. Sakit hatinya dengan lelaki yang bernama Aniq Rafisqy itu. Langsung tidak faham dengan perasaannya. Suka memaksanya buat sesuatu yang dia tidak suka. Apalah sangat dengan kereta kabel tu. Naik atas tengok pemandangan saja. Kalau nak naik pun, tak payahlah bawa aku sekali! Hana melepaskan geram.

“Bilalah nak pulang ni?” Mahu saja Hana pulang hari ini. Tidak sanggup dia tinggal lama di Pulau Langkawi ini. Dari awal pertemuan sampai sekarang tidak pernah ada satu pun kelakuan lelaki itu menyenangkan hatinya. Kalau masa boleh berputar kembali, tidak akan dia mempergunakan lelaki itu untuk membohongi Faiz dan juga perempuan seksi itu.

“Puan Suhana Aivy?” Seorang wanita menegurnya. Hana mendongak.

Puan? Aku tak kahwin lagi, dia dah panggil aku puan?

“Macam mana tahu nama saya?” Tanya Hana sambil mengesat air matanya. Wanita di depannya langsung tidak dikenali. Wanita itu mengukir senyuman.

“Sebenarnya, Encik Aniq yang suruh saya panggil puan. Dia risaukan puan sebab puan tak keluar-keluar lagi dari tempat ni. Anak-anak puan pun risaukan puan.” Beritahu wanita itu.

Hana diam. Tidak suka pula dia mendengar nama ‘puan’ itu.

“Puan menangis ni ada sebab apa-apa ke? Bergaduh dengan suami?” Tanya wanita itu, prihatin. Laju Hana geleng kepala. Wanita itu senyum semula.

“Tak baik gaduh-gaduh tempat awam macam ni. Lagipun, saya tengok suami puan okey saja. Bergaduh ditempat awam, tempat terbuka macam ni tak baik sebenarnya, puan. Nanti, mendatangkan salah sangka kepada orang-orang sekliling kita ni. Silap-silap nanti boleh jadi tular dekat media sosial tau,”

“Kalau ada masalah sekalipun cuba bawa berbincang baik-baik. Berbincang di tempat yang tertutup.” Nasihat wanita itu pula. Hana sekadar membalas dengan senyuman. Dia tidak terfikir pula tentang hal tersebut. Orang-orang zaman sekarang ni suka ambil gambar dan juga video yang bukan-bukan. Lepas tu letak dalam media sosial jadi tular. Hana bangun lalu merapikan pakaiannya sebelum keluar dari tempat tersebut. Wanita itu memanggilnya semula.

“Puan beruntung dapat suami baik macam dia tu. Puan dengan suami nampak sangat sepadan. Kalau puan sayangkan keluarga puan, berbincanglah elok-elok dengan suami, ya. Apa yang berlaku itu semua ada hikmahnya.”

Hana hanya mengiakan saja kata-kata dan nasihat wanita itu. Wanita itu mengukir senyuman sebelum menghilangkan diri masuk ke dalam tandas. Hana membalas dengan senyuman hambar sebelum keluar daripada tempat tersebut.

Di luar tandas, Hana tercari-cari kelibat mereka bertiga. Hana berpaling bila ada suara memanggil namanya tidak jauh dari tempat dia berdiri. Hana melangkah ke arah mereka. Kata-kata wanita itu masih terngiang-ngiang di mindanya. Aku belum kahwin dah kena ceramah. Hana mengeluh.

Hana memandang Aniq dengan riak sayu. Dia memang kacak dan bergaya. Maklumlah, anak orang kaya mestilah kacak. Tapi, sesuai ke dengan aku? Tertanya-tanya juga Hana.

“Suha, abang minta maaf pasal hal tadi.” Aniq meminta maaf sebaik sahaja Hana berdiri di depannya.

“Abang tak patut tinggikan suara dekat Suha tadi. Maafkan abang.” Sekali lagi dia meminta maaf. Hana menghalau dua orang itu dari tempat duduk mereka. Arissa dengan Yana mencebik. Hana duduk di sebelah Aniq.

“Awak yang minta perempuan tu suruh saya keluar dari tandas tu ke? Mana awak tahu saya dekat sana?” Soal Hana. Dia cuba untuk bertenang.

“Yana nak ke tandas tadi. Dia nampak Suha dalam tandas tapi Yana tak berani nak tegur dalam keadaan Suha yang macam tu.” Tenang Aniq menjawab.

“Sebab tu abang minta perempuan tadi tolong tegur Suha.” Tambahnya lagi.

Hana mengeluh. Dia menarik nafas panjang sebelum mengeluarkan kata. Dia jadi serba salah pula dengan lelaki di depannya ini. Ini semua gara-gara wanita di dalam tandas awam tadi!

“Rafisqy…” Hana menundukkan kepalanya. Tidak mahu bertentang mata dengan Aniq.

“Maaf sebab tak berterus terang dengan awak. Saya sebenarnya gayat. Takut tempat yang tinggi.” Luah Hana dan disebabkan itu juga dia menolak pelawaan Faiz tempoh hari semasa mereka berada di Menara Alor Setar. Dia tidak boleh memandang kawasan yang terlalu tinggi kerana traumanya itu masih ada.

Aniq menguntum senyuman kecil. Mahu sahaja dia memeluk gadis itu namun memikirkan status mereka, nampaknya masih belum boleh.

“Tak apa. Arissa dah ceritakan dengan abang. Kalau macam tu, kita jalan-jalan dekat sini sajalah. Beli souvenir lepas tu kita pergi tempat lain.”

“Eh, tak apalah. Awak bawa saja dia orang berdua ni naik kereta kabel tu. Saya tunggu dekat sini.” Hana jadi serba salah. Kasihan Arissa dengan Yana yang teruja sangat hendak naik kereta kabel.

“Lain kali sajalah kita naik. Bila Suha dah tak gayat lagi.” Senyuman manis Aniq itu sungguh mencairkan hatinya.

“Tak apa, aunty. Kami tak kisah pun kalau tak dapat naik kereta kabel. Yang penting dapat jalan-jalan dengan aunty.” Kata Yana. Arissa mengangguk sama. Hana senyum nipis.

So, jom. Kita cari souvenir untuk kawan-kawan Yana dengan Arissa, nak?” Aniq angkat punggung. Yana dan Arissa serentak menjerit kesukaan. Hana hanya menurutinya.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh