Bab 13

“HANA, JOM. Turun kereta sekarang. Semua dah tunggu dekat atas.” Suara Encik Han telah menyedarkan anak saudaranya yang jauh mengelamun. Encik Han sudah keluar dari keretanya. Hanya Hana yang masih tercegat di dalam.

“Hana tak nak keluar?” Tanya Encik Han. Risau dia melihat wajah masam anak saudaranya. Encik Han tahu anak saudaranya itu masih sedih kerana Faiz balik ke Australia.

Uncle naik dululah, ya.” Encik Han melepaskan keluhan berat apabila Hana langsung tidak memberikan reaksi apa-apa kepadanya. Biarlah dia naik ke atas terlebih dahulu.

Suasana dalam rumah begitu riuh rendah sekali. Tentu Lina dan cucu saudaranya sudah sampai. Orang pertama yang dicari oleh Encik Han adalah Arissa. Rindu sungguh dia dengan cucu saudaranya itu. Arissa dengan terujanya terus memeluk atuk saudaranya.

“Eh, Han. Mana Hana?” Encik Syukri mencangak mencari kelibat anak perempuannya. Encik Han melepaskan pelukan Arissa. Arissa berlari kembali ke arah temannya.

“Masih dalam kereta. Nampak sedih betul muka dia tu. Jadi, malas saya nak kacau. Biarlah dia sekejap dekat dalam kereta tu.” Ujar Encik Han tenang.

“Sedih? Sedih pasal apa pula?” Tanya Encik Syukri. Dahinya berkerut.

“Pasal Faiz. Hari ini dia terbang ke Australia. Bila Hana tahu terus muka dia berubah. Itu yang saya biarkan saja dia di dalam kereta. Biar dia tenangkan hati dia dulu.” Kata Encik Han. Kemudian isteri Encik Han muncul. Senyuman diukir.

“Abang bila sampai? Mana Hana?” Tanya Puan Izati yang sudah sampai terlebih dahulu di rumah adik iparnya ini.

“Baru saja. Hana masih dalam kereta,”

“Itu semua siapa? Lina mana pula?” Tercari-cari dia dengan anak saudaranya yang satu lagi. Pada masa yang sama, dia mengukir senyuman kepada tetamu-tetamu yang datang.

“Lina dekat dapur. Tolong umi dia. Yang tu pula tetamu-tetamu Lina. Anak Lina dengan yang tu kawan baik.” Puan Izati menunjuk ke arah teman Arissa. Seronok sungguh mereka berdua bermain dengan anak-anak patung.

“Lagipun, Arissa yang sibuk nak bawa teman dia bercuti dekat sini. Tak sangka pula satu keluarga datang.” Tambah Puan Izati lagi.

“Kalau begitu nak kenal-kenal dululah dengan dia orang. Hana tu biarkan saja. Kalau dia dah tenang, dia keluarlah tu.” Kata Encik Han lalu membawa isterinya dan juga adik iparnya menuju ke arah tetamu-tetamu mereka.

 

“KENAPA aku rasa lain bila Faiz bagi tahu aku dia nak balik Australia?” Hana menyentuh dadanya.

“Tak mungkin aku suka dekat dia?” Fikirannya mula bercelaru. Dia tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya ini.

Kenapa aku sedih bila dia pergi? Kenapa aku boleh merajuk pula bila dia tak nak ajak aku ikut sama? Pelbagai soalan yang sedang bermain di fikirannya. Hana melentokkan kepalanya di tepi tingkap yang tertutup. Fikirannya masih kepada lelaki yang bernama Faiz Dylan. Akibat terlalu berfikir akhirnya dia terlelap di dalam kereta.

 

SEMUA sudah berkumpul diruang makan kecuali Hana. Sejak dari tadi tidak nampak batang hidung gadis itu. Hidangan semua sudah disediakan dan diletakkan di atas tikar yang ditebarkan diatas lantai. Kata Puan Hanis lebih seronok kalau ramai-ramai makan di bawah berbanding di atas meja. Puan Izati dan tetamu mereka juga setuju.

“Hanis, anak perempuan kamu yang satu lagi mana?” Sejak dari tadi lagi dia dengan yang lain tidak nampak batang hidung anak bongsu Puan Hanis itu.

“Hana? Entahlah, Ruhaina. Dari tadi tak nampak dia.” Kata Puan Hanis. Dia masih tidak biasa dengan tetamu barunya ini. Darjat mereka tidak sama. Dia dari golongan bawahan manakala Ruhaina pula berpangkat Datin. Dia masih segan untuk memanggil wanita itu dengan panggilan biasa.

“Entah-entah masih dekat dalam kereta. Sebab tadi, abang Han bagi tahu yang Hana masih dalam kereta. Katanya, biarkan Hana tenangkan diri dulu.” Celah Puan Izati.

“Tenangkan diri? Untuk apa dia tenangkan diri?” Puan Hanis rasa tidak sedap hati pula. Sudah sejam lebih dia tidak nampak batang hidung Hana.

“Abang,” Puan Hanis memanggil suaminya.

“Hana, dari tadi tak muncul-muncul. Hanis nak pergi tengok dia la.” Belum pun suaminya membuka mulut, Puan Hanis berdiri dan terus meninggalkan ruang makan. Dia turun ke bawah mendekati kereta milik abangnya.

“Mak cik, cari apa?”Terkejut Puan Hanis dengan suara garau itu.

“Aniq. Mak cik cari anak mak cik. Dari tadi mak cik tak nampak dia. Ayah dia cakap dia dekat dalam kereta. Mak cik tak sedap hati pula.” Luah Puan Hanis. Suasana di luar hanya disinari dengan cahaya lampu yang samar-samar.

“Tak apalah, mak cik. Tak usah risau. Saya dari tadi dekat sini tengok-tengokkan anak mak cik. Dia tertidur dalam kereta. Saya biarkan saja, tak nak kejutkan dia.” Beritahu Aniq. Dia ada terdengar perbualan Encik Han dan juga Encik Syukri tentang Hana. Sebab itu dia turun ke bawah melihat gadis itu. Aniq memerhatikan Hana dari jauh. Dari gadis itu mengelamun sehinggalah dia tertidur.

Puan Hanis melihat dari luar tingkap kereta. Ternyata apa yang dikatakan oleh Aniq itu betul. Lena betul anaknya tidur.  “Syukurlah dia selamat. Terima kasihlah, sebab tolong tengok-tengokkan anak mak cik tu.”

Aniq membalas dengan senyuman. Matanya dari tadi tidak lepas memandang wajah polos Hana yang sedang tidur itu. Perasaannya tenang bila melihat Hana begitu.

“Mak cik naiklah dulu. Kalau dia bangun nanti saya suruh dia naik.”

“Tak makan sekali?”

“Tak. Nanti, saya makan sekali dengan Hana bila dia dah bangun.” Ujar Aniq. Dengan hati yang lega, Puan Hanis melangkah semula masuk ke dalam rumah. Aniq hanya menghantar dengan ekor mata sahaja. 


GELAK tawa yang kuat menyedarkan Hana dari lenanya. Hana memisat-misat matanya. Dia pandang sekeliling dan baru tersedar yang dia masih berada di dalam kereta unclenya. Dia mencari arah datangnya suara gelak tersebut. Dari dalam kereta dia melihat ayah dan unclenya dengan seorang lelaki yang tidak dikenali sedang bergelak ketawa di beranda rumah.

“Siapa lelaki tu?” Tanya Hana sendirian. Dia menguap sambil menutup mulut. Baru saja dia ingin membuka pintu kereta tersebut, Faiz kembali memasuki ruangan fikirannya. Malas hendak berfikir, dia terus keluar daripada perut kereta.

“Selesa tidur dalam kereta?” Suara garau menerpa anak telinganya. Hana mencari arah suara itu dan dia amat terkejut. Mulutnya melopong. Segera dia merapati susuk tubuh itu.

“Awak!” Hana bagai hendak pengsan saja melihat lelaki itu muncul semula di depannya. Kenapa dunia ini kecil sangat? Macam mana dia ni boleh ada dekat sini?!

“Awak buat apa dekat tempat macam ni?”

“Bercutilah.” Selamba Aniq memberi jawapan. Dia berpeluk tubuh seraya menyandarkan tubuhnya pada tiang rumah.

“Bercuti apa dekat tempat macam ni? Baik awak pergi sebelum umi dengan ayah saya nampak.” Hana menghalaunya.

Aniq tersenyum. Senyumannya sungguh menggetarkan jiwa Hana. Hana masih belum tahu dia dan ahli keluarganya memang menginap di rumah gadis itu untuk beberapa hari.

“Hello, Cik Hana!” Aniq memetik jari di depan wajah gadis itu. Tersentak Hana. Dia mengetap gigi.

“Mana awak tahu nama saya?!”

“Suhana Aivy. Awak sendiri yang bagi tahu nama awak dekat saya. Takkan tak ingat?”

"Haaih... muda-muda lagi dah lupa ke?"

Kau perli aku, ya! Hana memandang tajam ke arahnya. Aniq tersenyum.

“Awak tak ingat lagi ke kejadian dekat Sunway Pyramid tu? Awak sendiri mengaku saya ni tunang dan suami awak. Awak sendiri yang beritahu nama awak dekat perempuan seksi tu.”

Hana terdiam. Hesy, macam mana aku boleh tak ingat pasal hal tu. Hana jadi malu bila mengingati kejadian itu semula. Dia mengetuk kepalanya sendiri. Tanpa disedari kelakuannya itu mengundang tawa Aniq.

Hana memandang semula Aniq dengan pandangan tajamnya. Dia masih belum puas hati. Hana baru hendak buka mulut namun Aniq cepat mencelah.

“Untuk pengetahuan Cik Hana, saya ke sini pun sebab anak buah saya cari awak. Dia nak bento yang awak buat tu. Tak salahkan kalau dia datang sini nak jumpa dengan awak?”

“Anak buah awak? Maksud awak Yana? Kawan baru Arissa tu?” Hana cuba mengingati wajah budak itu. Baru sekali mereka berjumpa.

Aniq senyum sinis. "Anak buah saya, awak ingatlah. Hal kita tu awak tak ingat pula." Sindirnya.

Hana mengetap bibir.

"Ya, Yana tu memang saya ingat. Pasal hal tu saya dah buang jauh dari kotak fikiran saya ni. Malas saya nak ambil tahu lagi pasal hal tu." Jawab Hana selamba.

"Okey, tak apa. Sekarang saya nak bagi tahu awak." Aniq melangkah maju ke hadapan. Semakin dia kedepan semakin Hana mengundur ke belakang. Semakin lebar senyuman lelaki itu pada Hana.

"Main-main pula awak ni. Kalau nak bagi tahu, cakap sajalah. Ini senyum-senyum pula. Awak ingat manis sangatlah senyuman awak tu." Hana mencebik.

"Saya tak kisah pun apa awak nak cakap pasal saya. But..." Aniq mematikan langkahnya. Dia merapatkan wajahnya pada gadis itu. Makin cuak Hana dibuatnya. 

For your information, sepanjang cuti sekolah ni saya dengan Yana akan tinggal sini. Bukan kami berdua saja tapi ada Mama saya dengan ibu bapa Yana juga dekat sini. Saya bawa mereka semua datang ke sini, bercuti di kampung ni.” Terbeliak mata Hana mendengar kenyataan Aniq itu. Hana terus menjarakkan tubuhnya pada lelaki itu.

“Awak dah gila ke bawa ahli keluarga ke sini! Ini kampung saya. Bukan tempat penginapan awak. Suka hati awak saja bawa satu keluarga bercuti di sini.” Marah Hana. Selamba saja dia melanggar bahu lelaki itu dan terus naik ke atas. Kelam kabut dia membuka kasutnya. Aniq menguntum senyuman.

Naik saja di atas, Hana terpaku. Terkejut melihat tetamu lain yang tidak dikenalinya ada di rumah itu. Encik Syukri memperkenalkan Hana kepada abang sulung Aniq. Turun naik nafas Hana dibuatnya. Mahu tidak mahu dia terpaksa melayan. Aniq yang berada dibelakangnya dikerling tajam. Entah kenapa dia rasa meluat dengan lelaki itu.

Hana melangkah masuk ke dalam. Aniq membuntuti dari belakang.

“Awak ikut saya ni kenapa?” Rimas Hana dengan kelakuan dia.

“Suka hatilah.” Jawab Aniq selamba. Bertambah geram Hana dengan lelaki itu.

Kelihatan dua orang wanita yang tidak dikenalinya sedang merenungnya dari atas ke bawah. Hana takut-takut hendak mengukir senyuman kepada dua wanita itu. Saat itu, bola matanya mencari kelibat Arissa dan juga Yana. Aniq pula sudah duduk di sebelah mamanya.

“Arissa dengan Yana dah tidur.” Beritahu Lina. Dia tahu apa yang bermain di fikiran adiknya itu.

“Hana duduk sini kejap.” Puan Hanis memanggilnya untuk duduk sekejap bersama dengan mereka yang lain. Hana bersalaman dengan dua wanita itu. Wajahnya mula berkerut. Beberapa soalan sedang bermain di fikirannya sekarang.

“Datin Ruhaina, Rafidah. Yang inilah anak perempuan kedua saya. Suhana Aivy.” Puan Hanis memperkenalkan anak perempuannya kepada dua wanita itu.

Datin?! Tak salah dengar ke aku ni? Orang kaya ada di rumah aku?! Hana teragak-agak hendak memberikan senyuman.

“Tak sangka manis orangnya.” Datin Ruhaina memujinya. Tersengih Hana dengan pujian tersebut. Matanya bertembung dengan sepasang mata milik Aniq. Cepat-cepat dia melarikan pandangan ke arah uminya.

“Maaflah, Datin. Rumah kami ni kecil saja. Takut Datin dengan sekeluarga tak selesa pula.” Ujar Hana.

“Eh, apa pula tak selesa. Kami semua selesa saja. Sebenarnya, mama yang patut minta maaf dengan kamu sebab Yana ni nak jumpa sangat dengan kamu. Apa salahnya kan, kalau kami sekeluarga pergi sini. Lagipun, Yana dengan Arissa kan tengah cuti sekolah. Mama ni pula dah lama tak tengok kampung macam ni. Tenang saja.” Kata Datin Ruhaina.

Mama? Datin tu bahaskan diri dia mama dekat aku? Biar betul! Hana senyum sengih.

“Umi, Hana nak masuk bilik kejap. Nak mandi dan solat.” Hana meminta diri.

“Pergilah. Lepas siap nanti pergi makan. Ajak Aniq ni sekali. Dia tak makan lagi tu sebab tengok-tengokkan kamu tidur dalam kereta tu.”

Hana tergamam. Lelaki yang sedangmemandangnya itu tidak dipedulikan. Hana melangkah ke biliknya.

“Pelan-pelan buka pintu tu. Arissa dengan Yana tidur dalam bilik kamu.” Hana sekadar mengangguk lalu menuju ke bilik tidur. 


SELESAI menunaikan solat, Hana mencapai tudung segeranya. Sempat dia mengucup Arissa dan juga Yana yang sudah dibuai mimpi. Tidak sangka teman baru Arissa ini sanggup datang ke kampungnya semata-mata kerana bento. Selimut yang terselak di bahagian dada Arissa dibetulkan. Puas hati dengan keadaan mereka berdua Hana melangkah perlahan keluar daripada bilik.

Perutnya kembali berkeroncong. Lapar. Hana melajukan langkah ke bahagian dapur. Suara uminya dan yang lain sedang berborak tidak diendahkan. Apa yang penting sekarang perutnya mahu meminta diisi.

Langkahnya mati. Tubuhnya kaku. Seperti terkena renjatan elektrik bila melihat susuk tubuh itu lagi. Siapa lagi kalau bukan lelaki yang bernama Aniq. Dari pintu dapur dia memerhatikan kelakuan lelaki itu yang sedang menyediakan makanan di atas meja. Dua pinggan yang berisi nasi diletakkan secara bertentangan. Semua lauk pauk sudah dipanaskan semula.

“Jom, makan.” Tanpa memandang ke arah pintu masuk dapur, dia terus mengajak Hana makan. Teragak-agak Hana hendak ke sana. Aniq memandang Hana bila gadis itu tidak berganjak dari tempat dia berdiri.

“Sini! Kita makan sama-sama.” Tegas suara Aniq menyuruh Hana ke tempatnya. Hana ikutkan saja kehendak lelaki itu. Lagipun, perutnya tengah lapar.

Sebaik sahaja membasuh tangan dia langsung menarik kerusi bertentangan dengan lelaki itu. Aniq terlebih dulu mengambil lauk yang ada di depan mereka.

“Kalau Yana nak pergi sini, dia boleh saja ikut kak Lina. Tapi kenapa sampai bawa satu keluarga ke sini pula?” Setelah lama berdiam akhirnya Hana membuka mulut. Soalan tentang lelaki itu dengan ahli keluarganya masih bermain di fikiran. Hana berpeluk tubuh, memandang tajam ke arah lelaki itu.

“Suka hati sayalah. Lagipun, dah mula cuti sekolah. Tak bolehkah saya bawa anak buah saya dengan keluarga sekali datang ke sini?” Dia pula menyoal Hana. Hana mencebik. Pinggan yang berisi nasi itu langsung tidak diusik.

“Boleh. Cuma…”

“Kalau boleh, tak ada masalah la, kan? Dah, makan. Tak baik biarkan perut tu kosong.” Aniq membantu Hana menyauk lauk ke pinggannya. Hana pelik dengan sikap lelaki itu. Dia memang begini ke?

“Saya tak suka cara awak layan saya.” Hana berterus terang.

“Layan awak macam mana?”

“Layan macam nilah. Awak memang layan perempuan semua macam ni ke? Prihatin. Baik hati. Tolong bagi lauk bagai…” Hana tidak mahu menjamu makanannya.

“Awak tak ingat lagi macam mana saya layan perempuan seksi tu tempoh hari? Awak rasa saya prihatin ke? Baik hati ke dengan perempuan seksi tu?”

Hana terkena. Dia menggigit bawah bibirnya. Geram dengan lelaki tersebut. Bunyi perut yang tengah lapar kembali berkeroncong. Hana menyentuh perutnya.

“Makan cepat.” Terkejut Hana bila Aniq menyuakan makanan dengan sudu kepadanya. Hana memalingkan wajah ke tepi. Tidak mahu lelaki itu menyuap dia.

“Cik Bento, cepat makan.” Gesa Aniq yang masih tidak berputus asa.

What?! Awak panggil saya 'Cik Bento'? Hoi, saya ada namalah! Suka hati saja bagi nama saya macam tu.” Hana betul-betul geram dengan lelaki didepannya. Aniq pula berlagak biasa sahaja.

“Saya suka nama tu. Kalau ada nama lain nanti saya ubahlah.” Balasnya. Dia kemudian menyuakan kembali sudu ke dalam mulut Hana, tetapi Hana menolak.

“Tak nak! Bagi sini.”Hana mahu mengambil sudu itu dari tangan Aniq. Namun, cepat sahaja Aniq bertindak menyuakan makanan ke dalam mulut gadis itu. Tersedak Hana dibuatnya.

“Minum ni.” Hana terus mengambil gelas yang berisi air sirap dari tangan Aniq. Dia meneguk rakus dan baru tersedar. Gelas di tepi pinggannya dengan gelas yang dipegangnya itu dipandang bersilih ganti. Wajahnya kemudian beralih kepada lelaki itu. Aniq buat muka selambanya.

Air yang diminumnya itu adalah bekas lelaki itu. Wajah Hana sudah bertukar merah. Dia berlari ke arah singki lalu memuntahkan apa yang diminumnya sebentar tadi. Aniq meneruskan suapannya. Dalam diam dia menguntum senyuman.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh