Bab 48

BERITA tentang perkahwinannya sudah diketahui oleh keluarga masing-masing termasuklah pekerja-pekerja di Syarikat Iris Star Holding dan juga teman baik Hana. Wajah kegembiraan dan keterujaan jelas terpamer di wajah masing-masing. Lagi-lagi Arissa dan juga Yana. Dari tadi asyik bersorak nama aunty dan uncle mereka berdua. Siap menyanyikan lagi lagu untuk Hana dan juga Aniq.

Dalam kegembiraan mereka, Hana tetap risau. Dia takut sekiranya Edine akan buat lebih teruk daripada kejadian dua hari lepas. Dia pasti kejadian tempoh hari mesti kerja Edine. Siapa lagi yang berani buat begitu selain perempuan seksi itu. Ugutan Edine meyakinkannya bahawa dialah dalang di sebalik penculikan itu.

“Hana, esok ikut akak.” Tegur Lina. Mereka berada jauh dari ahli-ahli keluarga yang lain.

“Pergi mana?”

“Kita pergi spa.” Ringkas jawapannya. Hana mengerutkan dahi.

“Mama pun ikut sama.” Sampuk Datin Ruhaina yang baru muncul. Dia menghadiahkan senyuman buat mereka berdua.

“Jangan risau, Hana. Semua ni Aniq yang tanggung. Hana tak perlu keluarkan duit.” Datin Ruhaina senyum.

“Tapi, barang-barang perkahwinan…”

Hana masih tidak tahu akan hal yang berlaku di belakangnya sebelum ini.

“Tak payah risau adik ku. Semuanya sudah settle. Tinggal tunggu keputusan Hana saja untuk bersetuju. Yang lain dah ada semua.” Laju Lina memotong kata adiknya.

“Semua?!” Bulat mata Hana.

Lina dan juga Datin Ruhaina mengangguk.

“Sejak bila semua barang-barang perkahwinan dah ada? Kami…”

“Tak perasan lagi ke? Hana tahu tak umi dengan ayah ada dekat rumah ni untuk apa?”

Hana geleng kepala. “Lepak? Berbual-bual mesra?” Itu apa yang difikirkan olehnya. Lina mengetuk dahi Hana. Lembab juga otak adiknya ini.

“Hana pasang telinga betul-betul. Ingat tak masa mula-mula dia orang datang di kampung?”

Laju Hana mengangguk. Cincin tunang yang tersarung di jari manisnya itu dikerling.

“Hana tahu apa jadi masa Hana dengan yang lain tak ada?”

Hana geleng kepala.

“Masa Hana, Aniq dengan budak-budak tu pergi jumpa budak-budak kampung, Kami semua dah bincang pasal hal ni. Keluarga Aniq merisik sekali dengan meminang. Kami-kami saja masa tu.”

Hana tercengang.

“Sepatutnya mama yang bagi cincin tunang tu dekat Hana, tapi mama minta kakak kamu tolong berikan dekat kamu.” Celah Datin Ruhaina pula.

“Waktu kamu pergi bercuti tu, kami semua dah sibuk cari barang-barang perkahwin kamu. Ini semua Aniq yang minta. Kalau boleh dia mahu terus berkahwin bila cuti sekolah dah habis. Tapi, tak sangka pula Hana dengan dia ada masalah.”

Hana diam. Segala perasaan bercampur aduk. Dia tidak sangka Aniq seserius begini. Lelaki itu menguruskan semua hal perkahwinan mereka tanpa pengetahuannya. Dalam keadaan marah dia terharu. Bila dia terharu, dia terasa sebak pula.

“Pelamin, tetamu, baju pengantin semua dah sedia. Hana jangan risaulah. Apa yang penting sekarang diri Hana. Hana kena pergi spa dulu. Lepas tu, kita ada majlis berinai nanti.” Kata Lina.

Datin Ruhaina perasan riak wajah bakal menantunya itu. “Hana diam saja ni kenapa?” Tanya Datin Ruhaina.

“Mama, kak Lina…” Hana menarik nafas panjang sebelum meneruskan kata.

“Terima kasih untuk semua ni. Hana tak tahu nak balas macam mana. Hana rasa bersalah pula dengan mama, kak Lina dan juga yang lain. Lagi-lagi dengan Aniq. Hana tak tahu pula dia serius mahu Hana jadi isteri dia.” Air mata yang mahu jatuh cuba ditahannya.

“Aniq terlalu yakin dengan kata-kata dia. Tapi, mama bersyukur kamu berdua berjodoh. Mama tahu Aniq tak pernah buat salah dalam membuat sesuatu pilihan dan juga keputusannya. Mama harap lepas ni, Hana kena jaga suami Hana elok-elok. Ada masalah, selesaikan dengan cara baik. Kami semua ada bila Hana perlukan pertolongan.” Datin Ruhaina berpesan sebelum anak dara di depannya ini melangkah ke alam perkahwinan.

“Mama, terima kasih sebab terima Hana seadanya dalam keluarga mama ni.” Hana memeluk wanita yang sebaya dengan uminya itu.

"Mama lagi berterima kasih dengan Hana sebab dah berjaya curi hati anak mama tu. Kalau tak sampai ke tualah dia membujang." Meletus tawa mereka bertiga.

"Bersyukurlah Hana selamat daripada kejadian tempoh hari. Kami semua bukan main risau lagi bila tahu Hana diculik." Datin Ruhaina tersenyum nipis. Hana dan Lina turut sama tersenyum.

 

MALAM itu Hana bersendirian di dalam biliknya. Selesai solat dia membaca beberapa surah daripada ayat-ayat suci al-Quran. Hatinya tenang selepas membaca ayat-ayat suci tersebut. Kitab suci itu dipeluk erat. Dia menutup matanya.

“Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk menempuh segala ujian yang Engkau berikan kepada ku. Ya Allah, Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Pengasih, sesungguhnya Engkau tahu apa yang terbaik dan buruk bagi diriku. Sekiranya dia adalah jodoh yang Engkau tentukan untuk ku, maka perkenanlah kiranya Engkau memberikan aku kelembutan hati untuk menerima dia di dalam hidupku. Ya Allah, ikhlaskanlah hati ku untuk mencintai dan memilikinya.”

Previous: Bab 47
Next: Bab 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh