Bab 40

PERLAHAN-LAHAN Hana membuka mata dan melihat sekeliling. Segar terus matanya bila mendapati ruangan tersebut bukan di biliknya. Hana meraba-raba dirinya dan menghela nafas. Syukur kerana dirinya masih menutup aurat. Hana ingin bangun tapi peningnya datang kembali. Dia terduduk di birai katil.

“Macam mana aku boleh ada dalam bilik tetamu ni? Siapa yang bawa aku ke sini?” Kepalanya terasa berat.

Daun pintu ditolak perlahan dari luar bilik. Lina tersenyum melihat adiknya yang sudah sedarkan diri itu. Dia menghampiri Hana.

“Dah okey?” Tanya Lina.

“Okey, tapi masih pening. Kak Lina apa yang dah terjadi masa saya pengsan tadi?” Hana masih ingat akan kejadian di jambatan Putrajaya tadi tapi dia sudah tidak tahu apa yang terjadi selepas dia pengsan. Lina menghenyakkan punggung dekat dengan adiknya.

“Mana akak tahu apa yang jadi dekat kamu. Tahu-tahu saja si Aniq dah bawa kamu ke sini dalam keadaan pengsan.” Lina ketawa kecil. Dia saja hendak melihat reaksi adiknya itu. Ternyata Hana terkejut dengan kata-katanya.

“Err... Siapa yang angkat Hana sampai ke bilik ni?” Malunya aku kalau si Rafisqy tu yang angkat aku. Lina jungkit bahu.

“Hana,” Lina mahu menukar topik lain. Malas dia hendak menjawab soalan adiknya itu.

“Akak tak sangka Faiz macam itu. Umi lagilah. Kecewa sangat dia dengan perangai Faiz.” Lina kembali serius. Hana tercengang mendengar cerita dari mulut kakaknya.

“Umi tahu?! Yang lain?” Kalut Hana bertanya. Habislah dia kena dengan tunangnya nanti.

Lina angguk perlahan. Bulat mata Hana bila kakaknya mengiakan pertanyaannya. “Mereka semua dah tahu. Keluarga bakal mentua dan ipar Hana pun tahu. Waktu Hana pengsan, Aniq la yang bawa Hana ke sini.”

“Rafisqy?!” Hana mula tidak keruan. Marahkah lelaki itu padanya?

“Ya, saya. Kenapa panggil nama saya ni?”

Hana terkejut. Aniq muncul di depan mata dengan senyuman manis yang terukir di wajah kacak itu. Aniq memberi isyarat agar Lina memberikan ruang untuk mereka berdua berbicara. Lina yang mengerti kehendak bakal adik iparnya itu segera berdiri dan meninggalkan mereka berdua.

Pintu bilik dibiarkan terbuka luas. Aniq menghenyakkan punggung di atas sofa. Dia meminta Hana supaya duduk di tepinya. Hana menurut kata. Dia bangun tetapi duduk semula. Peningnya masih terasa. Aniq berdiri menarik kerusi lalu duduk menghadap Hana.

“Masih pening?” Soal Aniq. Dia duduk sambil berpeluk tubuh.

Hana angguk.

“Maafkan abang.”

Laju Hana memandangnya. “Kenapa pula?” Ingatkan dia nak marahkan aku. Kenapa dia tiba-tiba nak minta maaf pula?

“Kita kahwin dulu baru abang bagi jawapannya.” Aniq sudah mula dengan perangainya yang satu ini. Hana mengeluh.

“Boleh tak kalau kita bincang hal ni lain hari.”

“Tak. Abang tak boleh tunggu. Sampai bila abang nak bagi Suha masa berfikir? Kan, tak baik lambatkan pertunangan ni. Suha kata nak kenal abang lebih. So, kahwin dulu baru boleh kenal lebih.”

Hendak terkeluar biji mata Hana mendengar ayat tersebut. Aniq dengar semua apa yang aku cakap dekat jambatan tadi ke? Hana terasa malu tapi dia harus buangnya jauh dulu.

“Rafisqy, awak tahukan…” Hana tidak dapat meneruskan katanya. Kepalanya terasa berat dan peningnya semakin menjadi-jadi pula. Aniq dipagut risau.

“Saya nak tidur sekejap, boleh? Kepala saya terasa berat lagi.”

Aniq jadi rasa bersalah bila melihat keadaan tunangnya itu.

“Yalah. Tidurlah.” Balas Aniq prihatin. Hana merebahkan semula tubuhnya di atas tilam. Aniq mengorak langkah keluar daripada bilik tersebut namun sempat dihalang oleh Hana. Dia berpaling semula.

“Rafisqy, macam mana awak tahu saya ada dekat sana?” Soalan itu membuatkan Aniq tersenyum kecil.

“Suha tidurlah dulu.”

Hana mencebik.

“Awak ni! Takkan soalan macam tu pun awak tak nak jawab.” Dalam keadaan Hana yang macam itu pun sempat juga dia buat muka.

“Apa jadi lepas saya pengsan? Faiz? Lana?” Tanya Hana lagi. Dia masih tidak berpuas hati.

Suara keluhan kecil jelas kedengaran dari mulut Aniq. Tidak sampai hati pula dia kalau tidak memberitahu perkara sebenar. “Mereka okey. Faiz dah minta maaf. Dia tak akan ganggu Suha lagi. Dia dengan tunang dia akan balik ke Australia.”

“Habis, kafe Faiz macam mana?” Hana masih mahu bertanya.

“Tak payahlah fikir pasal tu dulu. Suha, rehat. Kalau nakkan jawapannya juga…”

“Kahwin dengan awak, kan?” Hana menjeling lalu membelakangi Aniq. Aniq ketawa kecil. Hana sudah tahu jawapannya.

Hana menutup matanya dan Aniq membantu menarik selimut hingga menutupi dada gadis itu. Dia duduk semula di tempatnya dan tidak jadi untuk berganjak dari situ.

 

HANA beristighfar. Dia sudah terlepas asarnya. Bila dia bangun Aniq sudah berdiri didepannya dengan pakaian baju melayu. Hana memandang pelik. Dia bangun dari perbaringannya. Peningnya sudah hilang.

“Awak buat apa lagi dalam bilik ni?” Dari atas ke bawah Hana meneliti lelaki itu. Dia cair melihat Aniq yang kacak memakai baju melayu.

“Suha,”

“Ya, saya!” Hana tersedar dari lamunannya. Dia malu sendiri bila Aniq mentertawakannya.

“Pergi bersihkan diri Suha dulu. Bakul kertas ni ada pakaian Suha. Umi Suha yang bawa tadi.” Lembut bicara Aniq membuat hatinya bergetar. Hana mengerling sekilas bakul yang ada di birai katil.

“Pergi mandi. Siap-siap. Lepas tu, turun. Kita semua akan solat berjemaah sama-sama.” Kata Aniq lalu keluar daripada bilik tersebut.

Sebaik sahaja pintu bertutup Hana duduk semula di birai katil. Hatinya terasa lain sangat bila Aniq membawanya solat berjemaah dengan yang lain. Ada satu rasa lain yang timbul di benak hatinya. Tapi, dia tidak tahu apakah perasaan itu.

Selesai mandi dan bersiap, Hana terus memakai telekung lalu membawa sejadah ke tingkat bawah. Hana melangkah menuruni anak-anak tangga. Dari jauh dia memandang ahli keluarganya dengan keluarga Aniq yang sudah siap bersedia di sana.

 

“RUHAINA, dah lewat ni. Kami nak minta diri dululah.” Ujar Puan Hanis.

“Yalah. Hati-hati balik tu.” Pesan Datin Ruhaina sambil berpelukan dengan bakal besannya.

“Eh, Hana mana pula?” Tercari-cari Lina dengan adiknya.

 

“ALA… mana pula buku tu hilang? Habislah kalau Mitsuha merajuk nanti. Buku tu hadiah daripada dia.” Hana duduk di birai katil. Dia cuba ingat semula. Setahunya, dia tidak pernah keluarkan buku itu daripada beg tangan ini. Dia akan buka buku itu jika ada kelapangan waktu dan bila selesai dia akan meletakkan semula ke dalam beg tangannya.

Hana laju membuka pintu bila mendengar namanya dipanggil. Kakaknya berdiri bercekak pinggang di depannya.

“Nak balik ke tak nak ni?”

Hana tersengih. Dia kembali semula ke birai katil lalu mengemaskan barang-barang dalam beg tangan yang sudah bersepah di atas tilam.

“Jom, kak.” Hana menarik tangan kakaknya selepas dia menutup pintu bilik tersebut. Fikirannya masih lagi dengan buku yang dihadiahkan oleh Mitsuha kepadanya. Bunyi mesej masuk. Dia meminta kakaknya terlebih dahulu turun ke bawah. Laju Hana membuka dan membacanya.  

Abang bagi Cik Bento masa sehari untuk berfikir sama ada nak kahwin atau… ~ Aniq

“Atau apa?! Suka betul bagi orang geram tau.” Hana mengetap bibir.

“Atau biarkan buku ni ada dengan abang.” Terkejut Hana. Suara Aniq begitu dekat dengannya. Hana undur ke belakang. Matanya bulat memandang buku, hadiah dari teman baiknya yang ada di tangan lelaki itu.

“Bagi balik buku tu!” Hana cuba merampas bukunya kembali namun Aniq cepat mengangkat tinggi buku tersebut. Hana menghentak kaki. Malu dan marah dalam satu.

“Pergi balik. Abang bagi Suha fikir dalam sehari ni. Nak kahwin dengan abang atau tak nak buku ni? Kalau kahwin dengan abang, Suha akan dapat balik buku ni. Kalau tak, jawabnya buku ni selama-lamalah dengan abang.” Aniq angkat kening.

“Abanglah sangat! Belum kahwin dah nak menggatal. Kalau nak menggatal sangat pergilah dekat cinta awak tu!” Marah Hana. Belum sempat Aniq membuka mulut Hana mencelah lagi.

“Cinta, cinta, cinta! Geli telinga ni dengar awak panggil perempuan tu cinta tau! Nak kahwin dengan saya tapi panggil perempuan tu dengan panggilan cinta pula.” Terkeluar terus rasa tidak puas hatinya pada tunang. Masih segar lagi ingatan Hana tentang kemesraan Aniq dengan wanita yang dipanggilnya cinta semasa dia di tempat kerja Aniq. Dia baru nak berlembut hati dengan tunangnya tapi lelaki itu dah bagi sakit hati pula. Hana mendengus lalu menuruni anak tangga dengan langkah yang kasar.

“Cinta… Cin...ta, Chinta?” Aniq baru sedar. Kini dia faham kenapa Hana bersikap pelik dengannya di pejabat. Dia ketawa sendirian. Aniq memandang Hana yang sedang menuju ke pintu utama. Buku milik Hana yang ada di tangan dikerling sekejap dan kemudian berlalu ke biliknya semula.

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh