Bab 51

“HANA, janganlah gerak. Nanti, tak cantik inai awak ni.” Ujar Tiana, sepupu sebelah ayahnya itu. Hana tersengih. Inai putih yang melekat di tangannya diperhatikan. Halus dan cantik hasil kerja sepupunya ini.

“Hana, untunglah kau dapat kahwin dengan orang kaya. Aku pun nak juga jodoh macam kau.”

“Kalau kau nak jodoh orang kaya macam aku, kau pergilah cari sendiri.” Hana ketawa mengejek. Tiana mencebik.

“Aku tak suruh pun kau carikan untuk aku. Wekk!” Tiana menjelirkan lidahnya.

“Aku bagi rosak inai ni baru kau tau.” Tiana geram bila Hana tidak berhenti mentertawakannya.

“Ala, itupun kau nak marah. Aku gurau je la. Sudahlah, cepat siapkan inai ni.” Arah Hana dengan senyuman yang dibuat-buatnya.

 

HANA duduk di dalam bilik sementara menunggu inainya kering. Sepupunya yang lain sudah pun keluar dari biliknya. Pintu bilik dibiarkan terbuka. Tidak lama kemudian Arissa dan Yana masuk ke dalam bilik Hana. Mereka berdua laju mengunci bilik tersebut. Terkejut Hana bila mereka berdua terjerit-jerit di dalam bilik.

“Dah kenapa korang berdua ni?” Tanya Hana. Berhenti terus jeritan dua orang budak comel itu.

“Kami rindu auntylah!” Laju mereka berdua memeluk Hana. Pelukan mereka kejap.

“Eh, jaga sikit. Kena inai aunty ni!” Hana memberi amaran. Mereka berdua meleraikan pelukan. Sejak kebelakangan ini Hana memang jarang meluangkan masa dengan mereka berdua kerana sibuk dengan persiapan perkahwinannya. Arissa dan Yana juga sibuk dengan kerja sekolah mereka. Mujurlah, majlis perkahwinannya itu diadakan esok, hari minggu.

Aunty Mitsuha mana?” Tanya Hana.

“Dekat bawah. Sibuk berinai.” Beritahu Arissa. Dia duduk di bahagian sofa. Yana duduk disebelah Hana.

Aunty Mitsuha berinai?”

Serentak mereka berdua mengangguk.

“Ala, baru nak suruh korang berdua panggil dia.” Hana membuat mulut itik. Tersengih mereka berdua melihat wajah aunty mereka. Sama macam rupa itik sebenar.

Aunty Aivy tak rindu uncle Aniq?” Soal Yana tiba-tiba. Hana hanya tersengih.

Rindu? Hari tu sampai hari ni lelaki itu masih tidak menghubunginya. Mama dia cakap yang dia ke luar negara. Ada urusan kerja katanya. Tapi… perasaan rindu tu…

Aunty Aivy!” Pekik Arissa menyedarkan Hana dari lamunannya.

“Hesy, aunty ni asyik mengelamun saja. Aunty tak rindu uncle ke? Kasihan uncle seorang-seorang dekat sana, tau.” Yana mengembungkan pipinya. Geram Hana melihat pipi gebu Yana itu. Mahu saja dia mencubit pipi Yana. Nasib baik tangannya tengah berinai.

“Mestilah rindu. Uncle korang tu kenapa tak telefon aunty, huh?”

Arissa terkekek. Begitu juga dengan Yana.

Korang berdua ni terkekek-kekek ni kenapa?” Pelik Hana dengan kelakuan mereka berdua.

“Kalau aunty rindu uncle kenapa aunty tak telefon saja uncle.” Tersentak Hana dengan kata-kata Arissa. Ada betulnya juga kata-kata anak buahnya itu. Dia sendiri tidak terfikir akan hal tersebut.

“Nanti sajalah. Aunty Malas nak telefon dia.” Alasan Hana. Arissa dan Yana jungkit bahu.

“Kejap ya, aunty Aivy.”

Hana mengerutkan dahi. Entah apa saja yang mereka berdua lakukan di belakangnya. Hana mengintip mereka. Hana nampak Yana mengeluarkan telefon dari dalam poketnya dan kemudian menyuruh Arissa meletakkan telefon itu di atas bantal. Hana pelik tapi dibiarkan sahaja kelakuan mereka berdua.

“Apa yang korang buat tu?” Tanya Hana. Mereka berdua tersengih-sengih, tidak mahu memberitahu Hana tentang apa yang mereka buat.

Aunty Aivy, sekarang hanya kita bertiga saja dalam bilik ni dan aunty mesti jujur dengan kami berdua, tau.” Arissa merenung tajam auntynya. Hana mencebik.

“Kamu nak aunty jujur pasal apa ni?”

Arissa dan Yana saling berpandangan. Mereka ketawa kecil lalu memandang wajah Hana semula.

“Kami soal dan aunty mesti jawab jujur, okey?”

Hana sekadar mengangguk. Di layan saja perangai pelik dua orang budak ini.

Aunty suka uncle Aniq tak?” Tanya Yana. Tersedak Hana dengan soalan Yana.

Aunty jawablah. Aunty mesti jujur, tau.” Kata Arissa. Hana mengetap bibir. Jawapan apa yang harus dia bagi kepada budak dua orang ni.

“Sukalah.” Acuh tak acuh dia menjawab.

“Kenapa aunty suka uncle Aniq?” Tanya Yana lagi.

“Mesti kena bagi tahu sebabnya ke?” Mereka berdua angguk serentak. Hana mengeluh. Ini yang Hana malas kalau melayan perangai pelik budak-budak ni.

“Sebab…” Hana berfikir.

“Dia baik. Memahami aunty. Dia pelindung aunty. Prihatin. Tak kedekut. Cuma aunty tak suka tengok kalau uncle korang tu serius. Buat aunty sakit hati saja.”

Arissa dan Yana terangguk-angguk mendengar jawapan Hana. 

Aunty sayang uncle tak?” Giliran Arissa bertanya.

“Sayang? Suka dengan sayang bukan sama ke?”

“Ye ke? Jadi kalau aunty suka maksudnya aunty pun sayang dengan uncle la, kan?” Yana membuat andaian. Hana melopong. Ikut sedap mulut mereka berdua sahaja nak bercakap.

“Entahlah. Lain soalan.” Hana malas hendak berlama-lama dengan soalan itu.

“Soalan lain? Hmmm…” Yana memandang Arissa meminta bantuan daripada temannya itu. Arissa garu kepala.

“Dahlah. Malas aunty nak layan korang.” Hana berdiri lalu menuju ke arah meja soleknya. Dia menyuruh Arissa membuka telefonnya.

Aunty! Bila masa aunty dengan uncle bergambar ni?!” Terkejut Arissa bila melihat wallpaper telefon auntynya. Yana laju ke tempat Arissa. Mereka berdua meneliti gambar Hana dan Aniq yang menjadi penghias dinding screen telefon.

“Comelnya aunty dengan uncle. Kami suka! Kami suka!” Yana mengajuk suara Mei Mei dalam cerita Upin Ipin.

“Dah. Tak payah tengok screen tu. Malu Aunty tau. Nanti, aunty tukar wallpaper tu, baru tau.”

Mereka berdua tersengih.

“Puji sikit pun aunty nak marah.” Arissa menjuih bibir. Hana buat tak tahu. Hana kemudian menyuruh Arissa membuka salah satu aplikasinya di dalam telefon.

Yana menjadi pemerhati. Telefon yang berada di atas bantal itu diperhatikan sekejap.

Aunty nak dengar lagu apa?” Tanya Arissa bila auntynya menyuruh masuk ke bahagian fail muzik. Bunyi telefon itu telah pun disambungkan dengan speaker kecil yang terletak di meja sudut.

“Tekan lagu tu. Aunty nak hiburkan korang berdua dengan lagu yang aunty suka. Lepas ni, korang berdua tak dapat lagi nak dengar aunty menyanyi.” Hana ketawa kecil bila mereka berdua membuat muka.

“Janganlah buat muka macam tu. Tak comel.”

Arissa dan Yana senyum senget.

“Cepatlah aunty nyanyi. Kami nak dengar.” Gesa Yana.

“Okey. Okey. Aunty nak mula nyanyilah ni.” Hana berdeham, membetulkan kotak suaranya sebelum memulakan nyanyian. Dia memberi isyarat. Arissa menekan butang mula pada muzik yang dipilih. Bunyi melodi berkumandang di ruang bilik tersebut. Teruja Arissa dan Yana mahu mendengar aunty mereka bernyanyi.

Suara merdu Hana itu membuatkan mereka terbuai seketika. Yana dan Arissa saling berpandangan. Mereka berdua tersenyum sendiri. Telefon yang diletakkan di atas bantal diambil oleh Yana. Hana tidak tahu yang sebenarnya mereka berdua ada membuat sesuatu tanpa pengetahuannya. 

Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh