Bab 5

SELESAI makan malam, Aniq dan yang lain berkumpul di ruang tamu sambil menonton rancangan. Rafidah dan seorang lagi pembantu rumah datang dengan membawa dulang yang berisi teh panas untuk mereka serta pencuci mulut yang dibuatnya petang tadi.

Granny, tadi kan Yana jumpa dengan tunang uncle Aniq. Cantik. Comel orangnya. Dia pakai tudung.” Tersedak Aniq bila anak buahnya membuka cerita tentang hal tengah hari tadi. Semua mata memandang ke arahnya.

“Tunang? Tunang dengan siapa pula ni? Bila masa pula kamu bertunang ni Aniq?” Soal Datin Ruhaina tanpa ada titik noktah. Rasa hendak tercabut sahaja jantung bila mendengar ayat tersebut. Setahu dia, anak teruna dia yang satu ini tidak pernah menyembunyikan apa-apa daripadanya.

Harith dan juga isterinya turut terkesima. Hanya Yana sahaja yang masih tersenyum seorang diri. Berfikir tentang bento agaknya.

“Mana ada Aniq bertunang. Budak ni main-main saja.” Mahu saja Aniq mencubit mulut Yana yang pandai-pandai membuka cerita hal sekolah tadi.

Yana perasan dengan renungan tajam unclenya. Laju dia berlari menyembunyikan diri di belakang neneknya.

“Cakap betul-betul dengan mama. Mama tahu cucu mama ni tak pandai menipu.” Datin Ruhaina mengusap lembut kepala cucunya itu.

“Betulkan,Yana? Yana tak tipu granny, kan?” Laju cucunya mengangguk. Datin Ruhaina merenung anak terunanya itu dengan renungan yang tajam.

“Yana tak tipu. Uncle sendiri yang kata aunty Aivy tu tunang dia.”

Aniq tercengang.Tak pandai tutup mulut Yana ni!

“Bagi tahu saja kita orang, Aniq. Jujur dengan kami. Cerita apa betul dan apa yang tak betulnya. Kamu tahukan tunang-tunang ni mana boleh main-main.” Kata Rafidah. Dalam kelembutan bicara ada juga tegasnya.

Harith angguk menyokong kata si isteri. Mereka berdua tidak marah tapi lebih kepada keterujaan untuk tahu siapakah gadis bertuah itu.

“Sebelum ni, tak mahulah sangat kahwin, Bertunang pun tak nak. Tapi, diam-diam ada pula.” Sempat Harith menyindir Aniq.

“Habis, Edine tu bukan calon menantulah?” Rafidah minta kepastian.

“Edine dangan Aniq kawan je lah. Tak lebih dari itu pun.”

“Dah, cepat cerita. Mama nak dengar ni.” Gesa Datin Ruhaina membuatkan anaknya itu naik rimas.

“Cerita apa?” Aniq buat tidak tahu. Datin Ruhaina memukul kepala anak terunanya dengan bantal kecil di tepi. Aniq tersengih.

“Main-main dengan mama. Cepat cerita!” Arah Datin Ruhaina.

“Yalah. Yalah. Aniq nak ceritalah ni.” Dia membetulkan posisi duduknya sebelum membuka cerita.

 

“YANG kamu gatal sangat cakap dia tu suami kamu apa pasal? Lepas tu boleh pula cakap yang dia tu tunang kamu?” Geram betul Lina dengan adiknya ini. Tak pandai jaga mulut langsung. Nasib baik anak perempuannya itu buka cerita. Kalau tidak mana dia nak tahu apa yang berlaku dekat adik dia ni.

“Hana mana sengaja. Lagipun, Hana geram dengan lelaki tu. Hana langsung tak tahu siapa lelaki tu. Tiba-tiba saja kacau Hana. Perempuan tu pun sama! Ingat dia tu cantik sangatlah! Sebab tu Hana gunakan uncle kawan Arissa tu. Tapi, tak sangka pula kami berjumpa lagi.” Hana berpeluk tubuh dengan mulut muncungnya.

Lina geleng kepala. Geramnya masih bersisa.

"Hana tahu tak, secara tak sedar Hana ni dah jadi tunangan orang. Hana dah jadi tunang lelaki tu." Lina meninggikan sedikit suaranya.

"Akak ni serius sangat kenapa? Kami tak tunanglah. Lagipun, Hana yang cakap dulu dia tu tunang Hana."

"Habis, lelaki tu?!"

"Dia... dia pun ada sebut pasal tu. Dia sendiri cakap yang saya ni tunang dia dan kami dah bertunang."

"Dan Hana setuju saja, kan?"

Hana menundukkan kepala. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Lina menggeram.

"Maknanya, Hana dengan dia tu sudah berstatus tunangan tau tak."

"Tak! Mana ada!" Hana menafikannya.

"Hana... Hana..." Lina geleng kepala. Dia mengeluarkan telefonnya dan kemudian mencari sesuatu.

"Dengar sini baik-baik."

"Apa?"

"Akak nak bagi tahulah ni. Tunang tanpa sedar? dari, Utusan Online. Mengikut perspektif dan hukum fikah, pinang bermaksud apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada pihak perempuan. Sekiranya pihak perempuan setuju kepada hasrat lelaki tersebut, maka jadilah perempuan itu tunang lelaki tersebut.

Peminangan boleh berlaku sama ada melalui panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas(SMS) atau apa-apa rangkaian teknologi sedia ada dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini.

Apabila seseorang wanita itu memberikan jawapan sebagai tanda dia suka dan bersetuju kepada hasrat tersebut, wanita itu telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut.

Dalam hal itu, mana-mana lelaki lain yang tahu akan perkara tersebut dan masuk meminang selepas berlaku ‘perjanjian’ itu, hukumnya adalah haram.

Ramai juga beranggapan dan mempertikaikan status tunang boleh berlaku dalam keadaan semudah itu kerana mereka berpendapat, selagi kedua-dua pasangan itu tidak dimaklumkan kepada kedua-dua ibu bapanya, maka pertunangan tidak boleh terjadi.

Pandangan sebegitu adalah tidak benar. Hal ini demikian kerana, walaupun tanpa pengetahuan kedua-dua ibu bapa wanita itu atau tidak ada sebarang ‘tanda ikatan’, seperti cincin dan sebagainya termasuk rombongan dan hantaran meminang, status pasangan tersebut sudah pun bertukar kepada tunangan orang..."

"Akak, sudahlah tu. Hana tahu itu salah Hana. Nanti, Hana jumpalah lelaki tu." Akhirnya Hana mengaku kesilapannya. Nampaknya, dia kena jumpa juga dengan lelaki tu.

Sedang dia sibuk melayan perasaan, telefonnya berbunyi mahu diminta angkat.

“Siapa?”

Uncle Han.”

“Jawab. Jawab.” Lina menyuruh adiknya segera menjawab panggilan tersebut.

“Assalamualaikum, uncle Han. Ada apa telefon Hana?”

Waalaikumussalam, Hana. Uncle sebenarnya nak suruh kamu balik sini. Kalau boleh esok atau dalam minggu ni sebab uncle kena flight ke Jepun minggu depan.” Beritahu Encik Han.

“Esok? Uncle buat apa dekat sana? Ada kursus?” Tanya Hana. Sekejap-kejap dia mengerling ke arah kakaknya.

“Macam biasalah. So, uncle mahu kamu ada di sini. Urus kafe ni. Pekerja-pekerja dekat sini mana boleh percaya. Kamu saja harapan uncle sekarang.”

Uncle, kalau Hana ikut uncle…”

No. Kali ini kamu kena jaga kafe. Uncle pergi dengan aunty kamu.” Tersengih Encik Han memberitahunya. Hana menjuih bibir.

“Alaa… Hana tak naklah jaga kafe.” Hana merajuk.

“Hesy, budak ni. Bagi chance la uncle dengan aunty kamu pula. Dah lama uncle tak bawa aunty kamu ni cuti-cuti.”

Hana melopong kemudian dia tersengih. “Uncle nak honeymoon dengan aunty ke?” Usik Hana membuatkan Encik Han berdeham berkali-kali.

“Dah. Dah. Jangan nak merepek. Ingat, balik jaga kafe ni. Kamu saja yang boleh diharap.” Sekali lagi Encik Han mengingatkan gadis itu.

“Yalah. Esok Hana pulang.” Beritahu Hana. Lina tercengang mendengar jawapan adiknya.

“Okeylah. Hati-hati masa balik nanti. Jangan lupa kirim salam dekat Lina dengan cucu uncle tu. Dah lama uncle tak tengok si Arissa tu.” Kedengaran tawa di hujung talian. Hana juga turut tersenyum.

“Yalah. Nanti, Hana sampaikan.” Kata Hana sebelum menamatkan panggilannya. Dia meletakkan kembali telefonnya di atas meja.

Uncle Han suruh pulang. Hana tak habis cuti lagi, uncle dah panggil suruh pulang.” Hana merungut.

“Nak buat macam mana. Uncle Han hanya harapkan kamu seorang saja. Nak suruh akak yang uruskan memang taklah. Mana lagi nak urus kafe tu, Arissa lagi, rumah lagi. Nasib baiklah akak ada perniagaan online dengan jualan makanan yang akak jual dekat depan rumah ni. Dapat juga akak urus Arissa dengan rumah.”

“Lagipun, uncle Hantu bukan siapa-siapa dengan kita. Uncle Han tu bapa saudara kita juga, kan. Wajarlah, dia suruh Hana yang uruskan kafe tu. Takkanlah tak biasa.” Tambah si kakak.

“Kak, Hana kasihan tengok uncle Han tu. Dia sudah lama kahwin tapi sampai sekarang masih tak ada anak.”

“Bersyukurlah kita sebab uncle Han dah anggap kita berdua ni macam anak dia sendiri.” Lina senyum. Hana membalasnya.

“Rindu pula dengan umi dengan abah. Tak sabar nak jumpa dia orang esok.” Luah Hana.

"Akak, uncle Han kirim salam dekat akak dengan Arissa. Dia cakap rindu sebab lama tak tengok cucu dia ni." Beritahunya. Hampir dia terlupa dengan pesanan unclenya itu.

Waalaikummussalam. Nanti kirim salam dekat uncle dengan yang lain. Bagi tahu yang akak balik bila ada cuti sekolah.” Pesan Lina.

"Jangan lupa sebelum balik esok, jumpa lelaki tu dulu. Selesaikan apa yang patut sebelum gerak balik kampung." Sempat lagi Lina mengingatkan adiknya tentang masalah tunang itu. Hana mencebik.

“Tengoklah." Kata Hana sepatah.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh