Bab 53

“AKU terima nikahnya Suhana Aivy binti Syukri dengan mas kahwinya RM300 ringgit tunai.” Dengan sekali lafaz sahaja Aniq Rafisqy sah menjadi suami kepada Suhana Aivy.

Jantung Hana luruh mendengar lafaz akad nikah tersebut. Hana memejam matanya buat seketika. Dia sudah bergelar seorang isteri sekarang. Semua mengucapkan syukur ke atas mereka berdua. Aniq menghampiri Hana yang duduk tidak jauh dari belakangnya.

Jantung Hana semakin kencang berdegup apabila Aniq yang sudah sah menjadi suaminya itu semakin menghampiri dia. Aniq menarik tangan Hana. Seperti terkena renjatan elektrik saja Hana merasakan sentuhan tersebut. Ini kali pertama Aniq menyentuh kulitnya.

Aniq menyarungkan cincin ke jari manisnya. Hana teragak-agak hendak mencium tangan si suami. Hana terpana bila dahinya dikucup lembut. Lama. Bagai ada satu perasaan yang timbul ke hatinya. Kerdipan lampu kamera di sekeliling mereka membuatkan Hana bertambah malu.

“Hana, lepas ni jaga suami kamu elok-elok.” Pesan Puan Hanis. Air mata Hana bergenang di tubir mata. Laju Puan Hanis menyeka air mata anaknya.

“Jangan nangis. Nanti tak cantik anak umi ni.” Kata Puan Hanis dengan ketawa kecilnya. Hana senyum lalu memeluk Puan Hanis. Pelukan mereka kejap.

“Aniq, sekarang anak umi dah jadi tanggungjawab Aniq. Umi harap Aniq dapat jaga anak umi ni baik-baik seperti mana umi jaga dia.” Pesan Puan Hanis yang masih memeluk erat anak bongsunya.

Insya-Allah, umi. Aniq akan jaga dia baik-baik.” Aniq menguntum senyuman. Puan Hanis meleraikan pelukan mereka. Tersenyum melihat dua pasangan mempelai itu.

Aunty nampak cantiklah! Nak selfie!” Jerit Arissa. Yana, Haikal dan Leong juga ada bersama dengan anak buahnya itu. Hana kembali tersenyum.

“Jom Selfie!” Ajak Hana. Aniq pula sudah ditolak ke tepi.

Uncle ke tepi. Kami nak bergambar dengan aunty!” Arissa, Yana dan yang lain berebut-rebut mahu mengambil gambar bersama dengan pengantin perempuan. Mitsuha dan kaum hawa yang lain juga turut sama menyertai sesi bergambar. Aniq geleng kepala melihat telatah mereka.

Hana penat melayan tetamu. Aniq pula hilang dari pandangan mata. Hana malas hendak berfikir keberadaan suaminya itu. Dia menghayunkan kaki menuju ke biliknya. Dia perlu rehat sebelum majlis persepsinya dengan Aniq malam ini.

Hana memulas tombol pintu. Dia terkejut melihat Aniq yang baru keluar dari bilik air. Aniq lengkap berpakaian baju melayu bewarna biru muda.

“Awak buat apa dekat dalam bilik saya ni?” Laju Hana menutup daun pintu biliknya.

Aniq memandang pelik. Selamba saja dia menggunakan tuala milik Hana itu untuk mengelap rambutnya yang masih basah.

“Bilik Suha bilik abang jugalah. Dah pergi mandi. Lepas tu, kita solat asar berjemaah.”

“Man…di?” Hana jadi tidak keruan. Dia menggelabah bila mendengar perkataan tersebut. Fikirannya ke arah negatif.

“Awak keluar dulu. Nanti, lepas siap mandi baru saya panggil awak masuk balik.” Hana menghalau suaminya keluar dari bilik. Aniq perasan wajah isterinya bertukar. Dia senyum segaris. Lirik mata yang nakal itu meneliti setiap anggota badan Hana.

Berderau darah si isteri bila si suami semakin rapat. Hana boleh merasakan hembusan nafas Aniq pada wajahnya. Hana jadi tidak keruan. Dia mahu lari tapi kakinya berat hendak melangkah. Seperti ada magnet yang menahannya di situ. Rasa hendak tercabut jantungnya. Hana menutup mata, rapat.

Aniq meneliti wajah Hana. Kulit wajahnya halus dan bersih. Tiada bekas luka mahupun parut. Apatah lagi jerawat mahupun jeragat. Pipi gebu itu sudah bertukar warna. Aniq suka melihatnya.

Satu kucupan hangat singgah ke dahi si isteri. Hana terpana. Matanya terbuka luas. Wajah mereka terlalu rapat. Laju Hana pandang ke tempat lain. Aniq tersenyum-senyum melihat isterinya yang malu.

“Suka abang tak?” Soalan Aniq membuatkan jantung Hana berdegup pantas.

“Tak!” Laju Hana membalas.

“Kenapa tak suka?” Suara gemersik itu menggetarkan jiwa Hana.

“Sebab saya tak sukalah. Awak tepilah.” Hana menolak Aniq jauh darinya. Aniq ketawa kecil.

“Suha tipu abang. Hari tu bukan main lagi kata suka abang.”

Hana ternganga. “Bila masa pula ni?”

“Malam hari tu. Suha cakap abang ni pelindung Suha, kan? Abang ni memahami Suha. Lepas tu siap nyanyi lagi.”

Bulat mata Hana. “Macam mana…” Dia tidak meneruskan ayatnya.

Hana baru teringat. Malam tu, Arissa dan Yana pergi bilik dia. Memang dia pelik dengan kelakuan mereka berdua kerana tiba-tiba saja tanya dia tentang lelaki ni dan dia nampak Yana keluarkan… telefon? Laju Hana memandang Aniq.

“Awak yang suruh budak dua ‘ekor’ tu tanya saya ke?”

Aniq mengangguk. Hana jadi malu. Dia mahu melarikan diri tapi Aniq cepat memaut pinggangnya.

“Abang tak tahu pun yang Suha ni rindu dekat abang.”

“Ri…rindu? Mana ada saya rindu awak.” Hana menafikannya. Wajahnya dipalingkan ke tempat lain. Aniq tersenyum. Dia mengeratkan lagi pelukan. Hana jadi tidak keruan.

“Kenapa Suha malu ni? Sebelum kahwin Suha bukan macam ni pun. Garang. Siap melawan cakap abang lagi. Tapi, sekarang kenapa malu pula, huh?” Suara seksi Aniq menggetarkan iman Hana. Hana ketap bibir. Dia pandang semula suaminya.

“Awak tolonglah keluar. Saya nak tukar pakaian ni.” Rayu Hana.

“Tak nak. Abang malas nak keluar.” Alasan Aniq.

“Awak, please…” Pujuk Hana.

“Abang nak tidur sekejap. Suha buatlah apa yang Suha nak buat sementara abang tidur. Don’t worry, sayang. Not today.” Aniq melepaskan pelukan. Dia menuju ke sofa dan terus membaringkan tubuhnya di situ. Aniq memejam mata.

Hana menghela nafas bila melihat suaminya tidur di sofa.

“Awak janganlah tidur dekat sana. Tidur dekat tilam tu.” Suara Hana kembali lembut. Tidak suka dia melihat orang tidur di atas sofanya melainkan dia. Aniq membuka matanya dan tersenyum kepada isterinya.

“Tak apa. Abang tidur sekejap je.” Kata Aniq.

“Tapi, jangan dekat sofa. Awak tidur dekat tilam.” Arah Hana lagi. Aniq jungkit kening sebelum menuju ke arah katil. Suaminya terus menutup mata sambil membelakanginya.

Hana masih dalam keadaan berdiri memerhatikan suaminya. Beberapa minit berlalu. Hana menghampiri Aniq. Dia melambai-lambaikan tangannya di wajah Aniq. Hana tersenyum puas bila suaminya itu sudah tidur.

Hana mencabut satu persatu jarum peniti yang tersemat di tudung selendangnya. Selepas itu, dia menanggalkan pula selendang dan anak tudung yang dipakai. Rambut panjang yang masih bersanggul itu dibiarkan. Dengan senang hati, Hana melangkah ke bilik air dengan tualanya.

Selesai mandi, Hana keluar semula dari bilik air tersebut dengan tuala yang berbalut di tubuhnya. Dia terus memakai pakaiannya. Hana mengerling suaminya yang masih tidur. Harap suaminya itu tidak sedar sebelum dia siap memakai telekung.

Sejadah dibentangkan. Wuduk sudah diambil dan dia juga sudah siap memakai telekung. Hana menuju ke katil untuk bangunkan suaminya.

“Rafisqy, bangun. Kata nak solat asar berjemaah.” Hana menggoncangkan tubuh suaminya dengan tangan yang berlapik.

“Rafisqy, bangunlah. Kalau tidak saya solat dulu.”

Suaminya masih belum mahu membuka mata. Hana naik geram. Wajah Aniq dipandang lama. Agaknya, apa akan jadi dengan rumah tangga mereka selepas ini? Lagipun, perasaan cintanya pada lelaki ini masih belum ada.

“Dah puas tenung abang?” Aniq tersedar dari tidurnya dan perasan isterinya sedang merenung dia. Hana telan liur. Laju dia berpaling ke tempat lain.

“Aw… awak cepatlah ambil wuduk. Kata nak solat asar berjemaah.” Tergagap-gagap Hana memberitahu suaminya. Aniq ketawa kecil. Dia bingkas bangun lalu menuju ke bilik air.

Selesai mengaminkan bacaan doa, Aniq menghulurkan tangannya pada Hana. Hana memandang tangan Aniq itu tanpa riak.

“Salam abang cepat. Tak salam, nanti berdosa.”

Laju Hana menyambut salam suaminya itu. Hana tergamam bila Aniq mencium ubun-ubun kepalanya. Wajahnya bertukar merah lagi. Hana menunduk. Tidak mahu menatap wajah suami.

Aniq bangun sambil melipat sejadah. Hana masih lagi dalam keadaan duduk sambil menundukkan kepala. Aniq duduk di birai katil memerhatikan isterinya. Mereka masih ada beberapa jam sebelum majlis persepsi mereka nanti.

“Kenapa tundukkan wajah tu? Malu lagi ke?” Aniq ketawa kecil.

Malu? Aku pun tak tahu kenapa aku boleh tiba-tiba malu macam ni. Sebelum ni okey saja. Atau… sebab kami berdua dah berkahwin? Fikir Hana.

“Mana ada saya malu!” Hana mengangkat wajah memandang suaminya yang sedang ketawa.

“Awak janganlah ketawakan saya!” Marah Hana lalu berdiri dan melipat sejadahnya. Dia kemudian duduk di sofa tanpa membuka telekungnya. Hanya kain sarung sahaja dibuka, dilipat dan disidaikan di atas tempat penyidai kain

“Kenapa tak buka telekung tu?”

“Tak nak. Suka hati saya nak buka atau tak.” Hana mengambil telefonnya. Berpura-pura sedang sibuk melayan teman-temannya di aplikasi Whatsapp. Matanya tertancap pada satu mesej. Mesej daripada Faiz. Laju Hana membukanya.

Selamat pengantin baru. Maaf sebab tak dapat datang ke majlis perkahwinan awak.

Hana senyum tawar.

Thanks. Faiz apa khabar? Masih di sini? Lana macam mana?

Send. Dua blue tick menandakan lelaki itu sedang membacanya.

Saya sihat dan sekarang dekat Kedah. Saya mahu tutup kafe di sini dan kembali ke Australia. Awak jangan risau tentang Lana. Dia sentiasa ada dengan saya.

“Senyum sendiri tu kenapa?” Dari tadi dia memerhatikan Hana sedang senyum sendiri.

“Err…”

You…”

“Awak,” Laju Hana mendekati suaminya. Dia duduk di sebelah Aniq. Hana tidak suka jika Aniq bertukar bahasa.

“Err… Sebenarnya… Faiz ada hantar mesej dekat saya. Dia ucapkan tahniah.” Takut-takut Hana mahu memberitahu suaminya. Aniq berpeluk tubuh.

“Ucap tahniah saja? Dia mesti ada tanya apa-apa lagi dekat Suha, kan?” Aniq angkat kening.

“Dia tak tanya. Tapi, saya yang bertanya dengan dia. Saya nak tahu dia okey ke tak? Masih dengan Lana ke tak?”

You sibuk sangat nak ambil tahu pasal lelaki tu kenapa? Bukan I dah bagi tahu you sebelum ni pasal dia?” Tajam matanya memandang si isteri.

“Saya cuma tanya je. Nak tahu…” Hana terdiam bila mendengar dengusan suaminya.

“Cukuplah kalau dia hantar ucapan dekat you. Yang you sibuk nak tanya khabar dia, kenapa? I ni you tak tanya pula khabar. Beberapa hari I tak telefon you, you tak pernah pula hantar mesej tanya khabar dekat I.” Aniq angkat punggung. Dia sedikit terkilan dengan sikap isterinya itu. Dia yang pergi berurusan di luar negara beberapa hari sebelum majlis perkahwinan mereka ini, tidak pula isterinya bertanyakan khabar.

“Tapi, awak dah telefon pun malam tu, kan?”

Aniq senyum sinis.

“Suha, tak faham lagi ke apa yang abang nak? Abang sengaja tak telefon Suha untuk beberapa hari tu sebab abang nak Suha yang telefon abang. Tanya khabar abang. Suha langsung tak terdetik nak tahu khabar abang ke, hah?!” Aniq meninggikan suaranya. Hana menunduk. Takut melihat suaminya yang sudah bertukar wajah.

“Aw… awak nak ke mana?” Tanya Hana bila melihat suaminya memulas tombol pintu bilik.

“Balik rumah I. Get ready for our reception tonight.” Kata Aniq sebelum melangkah keluar dari bilik. Hana bungkam.

Aku dah buat dia marahlah. Hana apa perlu kau buat ni? Kau dah janji dengan mama dengan umi kan yang kau tak akan bergaduh dengan suami. Apa aku nak buat ni?!

 

RESEPSI perkahwinan diadakan di taman Setia City Mall. Debaran yang dirasa tidak sama dengan debaran sewaktu majlis akad nikah yang berlangsung tengah hari tadi. Malam ini lagi ramai tetamu yang hadir berbanding majlis akad nikah.

Tetamu-tetamu yang hadir sudah berkumpul di khemah Marqueet. Hana terpegun melihat hiasan bunga-bungaan hidup dan juga kristal yang memukau pandangannya. Konsep taman bunga merupakan konsep perkahwinan kesukaan Hana. Lagi menarik perhatiannya adalah gabungan tema warna yang dipilih oleh Aniq. Gabungan tema berwarna peach rose dan biru quartz.

“Sedia?” Suara garau itu membuatkan hatinya semakin berdebar. Hana langsung tidak memandang suaminya yang berdiri di sebelah. Dia tahu suaminya masih marahkan dirinya.

Hana menarik nafas dalam. Majlis perkahwinan sekali sahaja dalam seumur hidup. Hana tidak selesa dengan gaun pengantin moden berwarna pink fanta dan putih yang dipakainya itu. Berat, berkilau dan amat menarik perhatian orang. Mahu atau tidak dia tetap akan cuba buat yang terbaik untuk majlis persepsi mereka. Suami dikerling. Aniq memakai tuxedo berwarna hitam. Dia nampak segak dan kacak dengan penampilan seperti itu.

“Rafisqy,” Hana membuang rasa takutnya. Dia perlu pujuk suaminya itu. Dia tidak mahu majlis ini dirosakkan dengan perasaan yang tidak sepatutnya.

Hmmm,” Aniq tidak memandangnya.

“Awak masih marah?” Tanya Hana sambil memandang suaminya.

“Kita bincang hal tu lepas majlis ni.” Mendatar suaranya. Hana mengeluh.

Sejak bila pula aku tak suka tengok dia marah dekat aku macam ni, huh? Tanya Hana pada dirinya sendiri.

Selesai ucapan majlis, pengacara memanggil masuk pasangan pengantin baru. Hana memeluk lengan Aniq dan mereka beriringan berjalan menuju ke pelamin. Ramai yang memuji kecantikan Hana pada malam itu. Begitu juga dengan kekacakan Aniq yang dipuji-puji oleh pekerja-pekerja perempuannya dan juga tetamu perempuan yang lain. Tidak lupa juga mereka yang hadir ke majlis persepsi itu menitip ucapan tahniah buat pasangan pengantin. Rata-rata yang hadir ke majlis persepsi mereka adalah dari golongan atasan dan rakan seperniagaan Aniq.

Majlis persepsi berjalan dengan lancar. Acara memotong kek sudah pun selesai. Kini, aktiviti menyanyi pula diadakan. Hana terhibur dengan nyanyian-nyanyian mereka. Sekejap-kejap matanya mengerling Aniq yang berdiri tidak jauh dari dia. Suaminya itu sibuk melayan teman-temannya yang datang dari jauh.

Ketika itu juga dia terasa cemburu bila melihat Chinta bersama dengan suaminya. Hana mencebik. Tak payah cemburu. Aku dah berjaya kahwin dengan Aniq. Perempuan tu tak payah dihiraukan lagi. Hana menenangkan hatinya.

Dia mula terasa penat. Namun, Hana tetap melayan tetamu-tetamu yang hadir terutamanya tetamu golongan atasan. Dia cuba membiasakan diri dengan mereka. Saat dia berbual dengan tetamu-tetamunya, matanya menangkap satu kelibat yang amat dikenali. Siapa lagi kalau bukan Edine.

Edine dari jauh merenung tajam ke arahnya. Hana telan liur. Telefon di tangannya tiba-tiba berdering. Hana segera menjawab.

“Kau memang dah melampau. Kau betul-betul tak takut dengan ugutan aku. Kau memang nak menyesal, kan?! Perempuan tak sedar diri!” Keras suaranya mengancam Hana. Hana meminta diri. Dia ke belakang sedikit. Matanya mencari semula kelibat Edine.

“Kenapa kau tak faham-faham lagi ni? Aniq dah bagi kau amaran pun kau masih tak nak berputus asa ke?” Hana membalas renungan tajam Edine dari jauh.

“Huh, putus asa?” Edine ketawa sinis. Reaksinya dapat dilihat dari jauh oleh Hana.

“Hey, perempuan! Aku tak pernah berputus asa untuk dapatkan apa yang sepatutnya jadi milik aku. Aniq milik aku dan kau sudah merampasnya dari aku. Kau tahulah apa yang akan jadi dengan kau atas kelakuan kau sendiri.”

Tiba-tiba Hana jadi takut dengan ugutan perempuan itu. “Sedarlah Cik Edine. Aniq sudah berkahwin. Aku minta kau tolonglah cari orang lain dan berputus asa saja dengan Aniq. Dia tak akan jadi milik kau juga.” Kata Hana geram.

We will see!” itu sahaja ucapan terakhir Edine sebelum dia menamatkan panggilan. Hana mengetap bibir. Edine dari jauh tersenyum sinis sebelum meninggalkan majlis tersebut. Hana tidak puas hati. Dia mengejar Edine yang sudah jauh meninggalkan majlis tersebut.

Kelibat Hana berlari keluar dari majlis itu disedari oleh Mitsuha dan juga Muaz. Lantas, mereka berdua mengejar Hana.

“Cik Aivy, nak tinggalkan majlis ke?” Tanya Muaz. Muaz sudah terbiasa memanggil Hana dengan panggilan ‘cik’ di pangkal namanya.

What happened, Hana? Why you run out from your wedding ceremony?” Tanya Mitsuha pula. Riak risau terpamer di wajah gadis Jepun itu.

“Tak ada apa-apalah. Korang berdua pergilah masuk dalam dulu. Saya…” Hana diam. Cuba memikirkan alasan yang mahu diberikan kepada mereka berdua.

“Saya nak ambil angin kejap.” Alasan Hana. Dia mengukir senyuman.

Are you sure? Hana macam ada sembunyikan sesuatu saja dari kami?” Mitsuha tidak puas hati. Dia kenal Hana. Dia tahu teman baiknya ada sembunyikan sesuatu daripadanya.

“Cik Aivy, kita masuklah dekat dalam. Tak baik berdiri dekat sini. Nanti, apa pula kata tetamu yang datang. Tentu, Tuan Aniq tengah cari Cik Aivy sekarang ni.” Ujar Muaz. Hana diam. Edine sudah hilang dari pandangan mata. Ugutannya pula terngiang-ngiang di kepala. Apa yang perlu dia lakukan sekarang ni? Patutkah dia beritahu suaminya tentang Edine?

“Cik Aivy,” Muaz melambai-lambaikan tangannya di depan wajah pengantin baru itu. Hana tersentak kemudian tersenyum.

“Jom,” Lembut suaranya mengajak mereka berdua masuk semula ke dalam majlis tersebut.

Previous: Bab 52
Next: Bab 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh