Bab 20

BUNYI mesej masuk langsung tidak diendahkan oleh Hana. Dia hanya membiarkan sahaja telefonnya berbunyi di atas tilam. Hana mengambil tuala lalu masuk ke dalam bilik mandi. Sempat dia memesan Arissa yang sibuk bermain game di tab jenama Samsung agar jangan keluar dari bilik ini selagi dia tidak siap mandi. Arissa mengangguk faham.

Bunyi mesej dan panggilan yang tidak henti-henti itu membuatkan Arissa geram. Dia mematikan tabnya lalu mengambil telefon yang dibiarkan di atas tilam itu. Arissa terus menjawab panggilan tanpa memandang siapa pemanggilnya. Dia tersenyum lebar. Rupanya daripada uncle Yana.

“Arissa, mana aunty Aivy? Kenapa aunty Aivy tak jawab panggilan uncle?” Tanya Aniq di hujung talian.

Aunty dalam bilik mandi. Dia tengah mandi.” Selamba sahaja Arissa menjawab membuatkan Aniq berdeham beberapa kali.

“Kenapa uncle telefon?” Giliran Arissa pula bertanya.

Uncle ada dekat bawah dengan Yana. Nanti, suruh aunty bawa Arissa turun sekali, ya. Kita pergi makan.” Ajak Aniq.

“Okey.” Jawab Arissa sambil mengangguk.

 

HANA membuat muka sebalnya. Terpaksa akur dengan seorang budak. Mahu sahaja dia mencubit pipi gebu anak buahnya itu. Tapi, kasihan pula dia. Arissa sibuk memaksanya ikut sama makan dengan Yana dan juga lelaki itu. Macam mana dia hendak tenangkan fikiran kalau hari-hari lelaki itu mengacaunya.

Telaga Seafood &Telaga Arabic Restaurant menjadi tempat makan pilihan Aniq untuk makan malam mereka berempat. Aniq mengerling Hana yang menayangkan wajah tidak puas hatinya. Arissa dan Yana seperti biasa akan teruja bila dibawa ke tempat yang mereka belum pernah pergi.

“Jom,”

“Tak nak! Saya tak ada duit nak bayar nanti.” Hana mula buat perangai tidak puas hatinya. Dia membelakangi Aniq. Tangannya sudah menarik tangan Arissa.

“Siapa kata Cik Bento bayar. Saya belanjalah.”

“Belanjalah sangat!” Hana memerlinya.

“Sekali lepas makan nanti dia pula suruh bayar makanan masing-masing. Hesy! Tak naklah makan dekat sini. Arissa, jom ikut aunty makan tempat lain.” Ujar Hana geram. Mentang-mentang dia ada banyak duit, terus nak buli aku! Bentak Hana dalam hati.

“Suha…”

“Hana!” Hana membetulkan namanya.

No. I tak akan panggil you dengan nama tu. Sama ada you suka atau tidak tetap akan panggil you dengan nama Suha ataupun Cik Bento.” Tegas suara Aniq membuatkan Hana berasa geram.

“Saya nak pergi! Saya nak makan tempat lain!” Hana kembali ke topik utama. Riak wajah Aniq sudah bertukar.

“Suha janganlah macam ini. I’m sorry, okey? Kali ini saya tak main-mainkan awak. Jom,” sekali lagi Aniq mengajak namun di bantah keras oleh Hana.

“Kalau awak nak belanja sangat belanja saja Arissa ni. Saya nak makan dekat tempat lain. Assalamualaikum!” Hana mempercepatkan langkah meninggalkan mereka. Biarlah Arissa dengan mereka berdua.

Aunty Aivy kalau dah merajuk susah nak dipujuk.” Arissa mencelah. Aniq memandang Arissa dengan satu keluhan. Lain yang dia rancangkan lain pula yang jadi.

“Tapi, uncle jangan risau. Lepas makan nanti kita cari aunty. Nanti, tahulah Arissa nak pujuk dia macam mana.” Kata Arissa dengan senyuman manisnya itu.

“Jom, uncle. Yana dengan Arissa dah lapar ni.” Yana menarik tangan unclenya untuk ikut sama masuk ke dalam restoran tersebut. Aniq akur lalu mengikut langkah dua orang budak di depannya.

Selesai mengaminkan, Yana dan Arissa terus menarik hidangan mereka lalu menikmatinya. Aniq turut sama makan dengan mereka. Saat itu juga fikirannya melayang memikirkan Hana. Agaknya dekat mana tunangnya itu mencari makan?

Uncle Aniq jangan risaulah. Aunty Aivy pandai jaga diri.” Suara Arissa memecah keheningan malam. Dia berlagak seperti biasa. Memang dia sudah biasa dengan sikap auntynya yang satu ini.

Aunty memang macam tu kalau dia marah atau merajuk. Ibu selalu marah aunty kalau aunty buat perangai ikut suka hati dia. Bila ibu cabar aunty Aivy, dia akan buat betul-betul. Sebab tu Arissa diam saja. Ikut saja aunty Aivy pergi mana. Aunty Aivy merajuk sebab uncle, kan? Sebab uncle tak bagi dia tempat tinggal, kan?” Tebak Arissa. Aniq diam. Hanya senyuman saja yang diukir. Dalam hatinya sempat memuji Arissa yang petah bercakap itu.

“Arissa memang sayangkan aunty Aivy ke?” Aniq ingin tahu. Arissa mengangguk.

“Walaupun aunty Aivy tu suka tunjuk perasaan tapi dia tidak pernah buat Arissa sedih. Dengan Arissa, dia akan jadi aunty yang baik. Begitu juga dengan budak-budak lain. Tapi, Arissa jeles bila aunty lebihkan budak-budak lain dari Arissa.” Arissa menjuih bibir. Yana yang mendengarnya ketawa geli hati.

“Jadi, awak jeles dekat sayalah?” Tanya Yana dengan sisa tawanya.

“Sikitlah. Tapi aunty Aivy lebih sayangkan saya berbanding awak.” Arissa jelir lidah dan kemudian mereka berdua sama-sama ketawa. Aniq tersenyum. Tercuit dengan gelagat mereka berdua.

“Dah. Cepat habiskan makanan tu. Lepas tu, kita cari aunty Aivy.” Kata Aniq lalu menyambung semula suapannya.


Hana berlegar-legar dikawasan sekitar Pantai Cenang. Tidak sangka suasana malam di kawasan ini cantik dan menarik perhatiannya. Di tepi-tepi kedai ada saja orang-orang berbakat menceriakan suasana malam.

Hana mematikan langkah. Lagu Aku Cinta Aku Rindu yang pernah didendangkan oleh Ajai dan Nurul seketika dulu dan dinyanyikan oleh dua orang penyanyi jalanan itu membuatkan dia terhanyut seketika.

Bagaimana harus aku

Menahan rasa rinduku

Bila kau tiada di sisi

 

Takdapat ku membayangkan

Rasa rindu dalam jiwa

Kita sama-sama rasa...

Setiap bait-bait kata dalam lagu itu sungguh menyentuh perasaannya ketika itu. Seolah-olah lagu itu adalah luahannya terhadap seseorang. Bayangan Faiz menjelma ke dalam mindanya. Dia menyentuh dadanya. Rindu? Ya, dia terlalu rindukan lelaki yang bernama Faiz itu.

Perasaan Hana mula tidak keruan bila memikirkan tentang lelaki itu. Pantas dia mengambil telefonnya yang berada di dalam poket seluar. Tidak mahu buang masa, dia terus sahaja mendail nombor Faiz. Jawab atau tidak itu lain cerita.

Satu panggilan…

Dua panggilan…

Tiga kali panggilan. Hana bercekak pinggang. Satu panggilan pun tidak berjawab. Takkan langsung tak dapat line? Hana tertanya-tanya.

Dia menggunakan kod telefon di sana namun, panggilan tetap gagal. Berkali-kali di telefon juga tidak dijawab dan akhirnya Hana berputus asa.

Mungkin juga dia guna nombor lain. Hana mengeluh. Dengan langkah yang lemah dia mengatur langkah menyusuri pantai.

Kalau tiada orang dipantai itu mahu sahaja Hana membuka tudungnya melepaskan ikatan rambut. Membiarkan angin meniup lembut setiap helaian rambutnya. Tapi aurat tetap dia kena jaga. Auratnya hanya untuk suami dan keluarga.

Bunyi mesej di telefon. Hana ambil dan baca.

Are you still angry? ~ Aniq 

Tiada balasan dan sekali lagi bunyi mesej.

Masih merajuk? ~ Aniq

Hana merengus. Dia tidak mahu melayan sebarang mesej yang dihantar oleh Aniq. Lima minit kemudian telefonnya berdering meminta di angkat. Hana melihat pemanggilnya. Sekali lagi dia merengus.

Hmmm…

“Kenapa tak balas mesej saya?”

“Suka hati sayalah tak nak balas.” Lancar dia membalas.

“Dah makan?”

“Tak payah nak ambil tahu.”

“Arissa…” Belum habis Aniq menuturkan katanya, Hana laju memotong.

“Kenapa dengan Arissa? Dia mana?!” Laju sahaja dia mengajukan soalan. Aniq ketawa di hujung talian.

Calm girl. She is here with me. Pandang belakang!” Arah Aniq.

“Pandang belakang?” Berkerut dahi Hana mendengar arahan lelaki itu. Namun, diturutkan juga arahannya.

Sebaik sahaja Hana berpaling ke arah belakang, dia dikejutkan dengan suara Arissa dan juga Yana. Terbeliak mata Hana melihat mereka bertiga berada di depan mata.

“Terkejut aunty, tau.” Hilang terus merajuk Hana. Dipeluknya erat dua orang budak itu.

“Macam mana tahu aunty dekat sini?” Arissa dan Yana dipandang bersilih ganti. Aniq yang berdiri tidak jauh darinya tidak di pedulikan.

“Arissa kan anak buah aunty. Arissa tahulah nak cari aunty dekat mana.” Kata Arissa. Hana senyum nipis. Hidung Arissa di cubit manja. Begitu juga dengan Yana. Arissa dan Yana sama-sama tersengih.

Aunty masih marahkan uncle ke?” Tanya Yana pula. Hana diam.

Aunty tak baik tau marah-marah dengan uncle Aniq. Uncle Aniq risau dengan aunty.” Kata Arissa pula. Hana memandang Aniq dan beralih pandang pada dua orang budak itu semula.

“Jom, balik. Dah lewat ni. Yana nak tidur dengan aunty tak?”

Laju Yana mengangguk lalu memandang unclenya. “Uncle Aniq, Yana nak tidur dengan aunty Aivy malam ni, boleh?” Yana meminta izin. Lama Aniq berfikir. Bila melihat Yana sudah menguap berkali-kali, dia jadi kasihan pula.

“Tak nak pindah sana?” Aniq mahu memujuknya.

“Pindah mana?”

“Pindah balik dekat resort.”

“Buat apa nak pindah sana. Saya tak booking pun bilik dekat sana.” Sindir Hana.

“Kalau awak paksa sekalipun, saya tetap tak nak. Saya suka sini. Murah dan selesa. Saya tak ada banyak duit nak sewa bilik mahal macam tu.” Hana memerlinya. Aniq mengeluh. Bukan senang pula hendak memujuk gadis yang bernama Suhana Aivy ni.

“Suha, saya minta maaf kalau hal tengah hari tadi buat Suha sakit hati.” Sekali lagi Aniq memujuknya. Hana pula mencebik. Malas dia melayan maaf dari lelaki itu.

“Kalau tak ada apa-apa kami balik dulu. Yana, salam uncle.” Laju sahaja tangan Yana menyalami unclenya. Hana tidak peduli sama ada lelaki itu benarkan atau tidak, dia tetap akan bawa Yana tidur bersamanya.

“Assalamualaikum.” Hana dan yang lain terus bergerak menuju ke hotel yang sudah disewanya petang tadi. Aniq menghela nafas berat. Dia hanya menghantar mereka dengan pandangan mata sahaja.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh